Catatan Abu Anas tahun 1996 sewaktu masih belajar
di Universiti Islam Madinah:
Masalah Pemindahan & Penanaman Semula Organ
Dan Anggota Manusia.
Dan Anggota Manusia.
Sabda Nabi SAW من يرد الله به خيرا يفقهه
في الدّين :
Maksudnya : “Sesiapa yang
dikehendaki oleh Allah akan kebaikan maka diberi kefahaman dalam agama”
Dalam tulisan yang ringkas ini, Insyaallah sama-sama kita kaji satu tajuk yang menjadi perbincangan hangat di kalangan ulama dan ahli perubatan Islam khasnya dan masyarakat dunia seluruhnya.
Sebagai pendakwah yang sedang menuju
ke alaf baru, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama, khasnya
pelajar-pelajar di institusi-institusi pengajian Islam untuk mengetahui,
mengkaji dan menyelidik masalah-masalah semasa (Contemporary Issues) yang
menjadi persoalan dan tanda tanya di
kalangan masyarakat Islam untuk mencari jawapan atau mengemukakan penyelesaian
kepada masalah tersebut.
Memandangkan tanggungjawab
tersebut, sukalah saya mencatatkan di sini beberapa petikan ringkas daripada
kajian alim-ulama dan ahli-ahli perubatan Islam mengenai masalah tersebut di dalam kitab yang
ditulis oleh Dr. Ali Al-Bar, perunding perubatan Islam di Pusat Kajian
Perubatan King Fahd, Universiti King Abdul Aziz, Jeddah.
Mudah-mudahan ia akan menjadi
perangsang dan galakan kepada para pelajar untuk terus mengkaji dengan lebih
terperinci dan mendalami lagi masalah-masalah semasa yang sentiasa wujud dan
bertambah, sesuai dengan zaman ‘cyber’, MSC dan sebagainya yang semakin canggih
dan mencabar ini.
Masalah pemindahan organ dan
anggota manusia adalah merupakan satu tajuk yang sensitif kerana ia berkaitan
dengan orang yang hidup dan orang yang telah mati. Sesungguhnya tajuk atau isu
ini bukanlah satu benda baru yang lahir di abad 21 ini, bahkan ia merupakan
satu cara (method) yang telah lama diketahui dan diamalkan oleh masyarakat
terdahulu seperti tamadun Mesir purba, India dan lain-lain dengan cara dan
kaedah masing-masing.
Tetapi amalan ini dipraktikkan
semula secara meluas di zaman moden ini sehinggakan tiada satu organ ataupun
tisu daripada badan manusia yang ditinggalkan.
Isu ini perlulah dijadikan
kajian dan perbincangan dikalangan alim-ulama dan Fuqaha’ Islam kerana tidak
terdapat nas-nas tentang hukum amalan ini daripada mana-mana kitab feqah lama.
Hanya terdapat beberapa nas yang menyebut tentang hukum menggunakan jasad manusia seperti didalam bab
jual-beli dan sedikit dalam masalah perubatan ketika membincangkan hal-hal
terdesak dan terlalu berhajat (لاضطرار) seperti:-
1.
Bolehkah manusia memakan daging manusia didalam
keadaan darurat.
2.
Bolehkah membelah perut mayat untuk
mengeluarkan harta yang ditelan.
3.
Bolehkah membelah perut ibu (mayat) untuk
mengeluarkan janin yang bernyawa.
Menurut pendapat Dr. M. N. Yassin,
kebanyakkan perbincangan Fuqaha’ tentang menggunakan jasad manusia ketika hidup
atau mati hanyalah berkisar tentang sama ada boleh dimakan atau tidak ketika darurat, dan
Fuqaha’ Syafieyyah yang paling banyak membincangkannya dan tidak terdapat
Fuqaha’ lain (kecuali sedikit) selain daripada kelompok Syafieyyah yang membincangkan tentang masalah
mengambil manfaat daripada tulang mayat untuk digunakan kepada yang masih
hidup.
Mengikut pendapat Imam An-Nawawi
didalam “Minhajul-Tholibin” dan juga oleh Al-Khatib Al-Syarbini didalam
“Mughnil-Muhtaj” adalah harus menggunakan tulang orang yang mati untuk
menyambung tulang orang yang masih hidup.
Dan kebanyakkan Fuqaha’
membincangkan masalah ini didalam kaedah:
(
ارتكاب
أخف الضّررين لدفع الأشد منهما )
dengan mengambil mudharat yang lebih
kecil untuk menolak mudharat yang lebih besar. Disini akan dibawa pandangan
atau hukum feqah dalam masalah ini sebagai perbincangan dan panduan.
Masalah pertama: Penanaman semula
anggota asal di tubuh sendiri (Auto Graff Replantation). Contohnya seperti mengambil
kulit dari badan sendiri untuk ditampal ke tempat-tempat lain yang
memerlukannya. Sepertimana yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW, dimana
Qatadah Ibnu Nu’man telah terkeluar matanya ketika peperangan Badar (pendapat
lain dalam Uhud ), lalu Rasulullah SAW telah memasukkan semula mata beliau.
Begitu juga dalam satu kejadian
lain, Rasulullah SAW telah memasukkan kembali tangan Muawwaz Ibnu Afra’ dan
tangan Habib Ibnu Yasaf yang terkeluar dalam peperangan Badar.
Hukumnya: - Telah Ijma’ Ulama
zaman ini bahawa harus menanam semula anggota asal di badan sendiri dengan
syarat tidak membawa kepada kemudharatan dan untuk penyembuhan, berdalilkan
kepada kaedah-kaedah syariah yang am, iaitu mengambil kira maqasid syariah
dalam memelihara diri dan anggota, dan menghilangkan kecacatan yang menimpa
seseorang itu yang mana boleh menyebabkan gangguan jiwa ke atasnya.
Telah diputuskan didalam
perbincangan Ulama-ulama besar, Kerajaan Arab Saudi, fatwa No. 99. bertarikh
6/11/1402 H (selepas perbincangan dan pertukaran pendapat, majlis memutuskan
dengan ijma’ bahawa harus memindahkan anggota atau sebahagian daripadanya daripada anggota manusia muslim atau zimmi
yang hidup kepada dirinya sendiri apabila keadaan memerlukan dan aman daripada
bahaya melakukannya dan terdapat keyakinan yang kuat diatas kejayaannya).
Masalah kedua : Mengembalikan atau
menyambung anggota yang terputus dengan sebab kemalangan atau sakit.
Hukumnya:- Tiada khilaf di kalangan Ulama
dan Fuqaha’ pada mengharuskannya dan ini telah dilakukan oleh Rasulullah SAW ke
atas beberapa orang sahabat, berdasarkan kaedah-kaedah am syariah. Dalam hal
ini darjat hukumnya menjadi sekurang-kurangnya harus atau sunat atau mungkin
wajib. Contohnya dalam masalah ini, satu peristiwa yang berlaku kepada Afrajah
Ibnu As’ad RA yang terputus hidung lalu digantikan bahagian
itu dengan potongan perak tetapi tidak lama kemudian ia menjadi busuk, lalu
Rasulullah SAW menyuruhnya menukar bahagian itu dengan emas kerana ia tidak
rosak atau busuk lagi. Sungguhpun begitu, ini bukanlah satu pemindahan anggota,
tetapi ia merupakan satu operasi untuk membaiki kecacatan anggota badan (body
surgery).
Masalah ketiga: Mengembalikan anggota yang telah dikerat
dengan sebab qisas ataupun hudud.
Hukumnya:- Menurut fatwa yang telah
diputuskan dalam Majma’ Al-Fiqh Al-Islami (OIC), Fatwa No. 6/9/60, bertarikh 17-23
Sya’aban 1410 H di Jeddah: (Tidak harus pada syara’ mengembalikan anggota yang
telah diputuskan dalam hudud kecuali dengan izin daripada mangsa (dalam qisas
itu) ataupun apabila anggota mangsa itu juga telah dapat disambung semula,
itupun dengan syarat selepas dijalankan hukuman tersebut. Ataupun ke atas orang
yang tersalah hukuman ke atasnya walhal dia asalnya tidak bersalah ).
Masalah keempat: Memindahkan organ
manusia yang hidup kepada manusia hidup yang lain.
Hukumnya:- Beberapa Fatwa daripada
Majaami’ Fiqhiyyah dan Darul-Ifta’ (Majlis-majlis Fatwa) dan anggota Ilmiah
yang mengharuskan pemindahan anggota
manusia yang masih hidup kepada manusia hidup yang lain dengan beberapa syarat.
Di antaranya fatwa daripada Majma’
Al-Fiqhi (Rabithah), Qarar, No. 1, perhimpunan ke-8, di Makkah bertarikh 28/4 –
7/5 / 1405 H, bersamaan 19 -28 Januari 1985, keputusannya adalah seperti
berikut:-
Adalah harus mengambil organ
daripada manusia yang masih hidup untuk diberikan kepada manusia lain yang
berhajat bagi menyelamatkan hidupnya atau mengembalikan fungsi salah satu
daripada anggota asasnya, selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip kemuliaan
manusia bagi pihak penderma (Donor) dan memberi manfaat kepada pihak penerima
(Recipient), dan ini adalah satu amalan yang disyariatkan dan dipuji jika ia
memenuhi syarat-syarat di bawah ini:-
1. Tidak memberi mudharat kepada
penderma organ itu, kerana kaedah syara’ ialah kemudharatan itu tidak boleh
dihilangkan dengan kemudharatan yang seumpamanya atau yang lebih teruk lagi
الضّرر لا يزال بضرر مثله ولا
بأشد منه
Dan sekiranya membawa kemudharatan,
maka tidak diharuskan oleh syara’ kerana penderma seolah-olah telah sengaja
menempah kebinasaan.
2. Penderma hendaklah memberi dengan
kehendak dan kerelaannya sendiri, bukan terpaksa atau dipaksa.
3. Tiada alternatif pengubatan lain
kecuali pemindahan organ tersebut.
4. Ramalan nisbah kejayaan hendaklah
melebihi nisbah kegagalan mengikut adat kebiasaan.
Dan ditambah beberapa syarat lagi didalam fatwa yang lain:-
5. Penderma hendaklah sempurna
keahliannya (akil-baligh)
6. Pemberian bukannya kerana
bayaran, kerana anggota manusia adalah haram hukum jual-belinya, tetapi harus
bagi penerima memberi apa-apa saguhati yang sepatutnya.
Masalah kelima: Memindahkan organ
manusia yang telah mati (mayat) kepada manusia yang masih hidup.
Persoalannya:- Adakah mengambil organ daripada mayat itu
boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang menyakiti dan menghina mayat
sebagaimana yang dilarang oleh Rasulullah SAW didalam hadisnya?
Hukumnya:- Para
Fuqaha’ telah mengharuskan pembedahan ke atas mayat berdasarkan kepada kaedah
menanggung kemudharatan yang ringan untuk maslahah yang lebih besar.
Kebanyakkan para Fuqaha’ telah mengharuskan membelah perut mayat untuk
mengeluarkan harta yang bernilai dan janin yang bernyawa.
Jadi apabila ulama telah
mengharuskan perkara tersebut tadi, maka membedah mayat untuk mengambil
organnya bagi meneruskan hidup satu insan yang lain adalah lebih afdhal dan
utama hukumnya, dengan syarat mendapat keizinan dari simati semasa hayatnya dan
izin serta muafakat para warisnya setelah kematiannya.
Beberapa persidangan Fiqh Islami
mengenai perkara ini telah mengharuskan kaedah pemindahan organ dan dalil-dalil
yang dijadikan hujah oleh mereka adalah berdasarkan kaedah-kaedah fiqh seperti
berikut:-
1. Memindahkan organ
mayat kepada orang yang masih hidup adalah sebahagian daripada kaedah perubatan
yang dibolehkan.
الضّرر الأشد يزال بالضّرر الأخف، الضّرر يزال، الضّرورات تبيح المحظورات، إذا تعارضت المفسدتان روعي 2. لأعظمهما بارتكاب أخفهما ..
3. Kemaslahatan
orang yang hidup didahulukan daripada maslahat orang yang telah mati.
4. Konsep Takaful, Al-Ehsan, Al-Birr
dan Al-Ithar (melebihkan orang lain).
Diantara fatwa-fatwa pada zaman ini
ialah:-
1. Fatwa yang terawal ialah yang mengharuskan pemindahan mata (kornea)
mayat kepada orang yang masih hidup dari Sheikh Hassan Makmun, Mufti Mesir,
bertarikh 14 April 1959 M, Sheikh Hasanain Makhluf, Mufti Mesir dan fatwa
Anggota Ulama Besar Arab Saudi No. 62, bertarikh 25/2/1368 H.
2. Dalam masalah mengunakan lain-lain organ mayat kepada orang yang
hidup, antaranya Fatwa Muktamar Islam Antarabangsa di Malaysia, bertarikh April
1969, dan Fatwa Majlis Tertinggi Islam Al-Jazair (Algeria) dan Fatwa Anggota Ulama
Besar Arab Saudi, No. 99, bertarikh 6/11/1402 H, dan Fatwa Majma’ Fiqh Islam (Rabithah),
Qarar 1, No. 8 bertarikh 1405 H/1985 M, dan beberapa keputusan Majma’ Fiqh
Islam (OIC) dan lain-lain.
Syarat-syarat Fiqh dan Qanun bagi membolehkan
pemindahan organ dan anggota mayat:-
1. Keizinan daripada simati semasa hayatnya, dimana seseorang yang akil-baligh
boleh memberi keizinan untuk mengambil mana-mana bahagian badannya dengan
syarat-syarat berikut:-
a) Izin itu tanpa paksaan, yakni dengan kerelaan sendiri.
b) Tanpa ada apa-apa bayaran kepadanya mahupun kepada warisnya.
c) Dia berhak menarik balik keizinannya itu pada bila-bila masa.
d) Keizinan hendaklah secara bertulis dan persaksian yang sah. Hendaklah
difahami, keizinan itu bukan secara mutlak, kerana seluruh jiwa raga kita ini
adalah milik Allah SWT, cuma dengan niat ingin memanfaatkan sebahagian daripada
anggota badannya demi menyelamatkan hidup orang lain.
2. Persetujuan daripada waris simati jika tiada keizinan rasmi dari
simati semasa hayatnya adalah perlu, berdasarkan kepada Ijma’ Fatwa yang
mengharuskannya. Namun terdapat juga beberapa Qanun yang mewajibkan keizinan
daripada waris simati semasa hayatnya, sebagai contoh seperti di Kanada, USA,
dan di Arab Saudi dimana semua waris mesti memberi persetujuan tanpa
pengecualian walaupun seorang, jika tidak, ia tidak boleh dilakukan.
3. Muafaqah Waliyyul-Amri ataupun mereka yang mendapat tauliah. Adalah
semua fatwa bersepakat bahawa Waliyyul-Amri boleh menjadi wali kepada orang
yang tiada wali. Dengan ini Hakim Muslim berhak atau boleh memberi keizinan
untuk memindahkan mana-mana anggota atau organ mayat kepada yang berhajat
4. Pemindahan merupakan satu
keperluan asasi yang diletakkan dibawah darurat.
Masalah keenam: Haruskah mengambil
anggota atau organ pesalah yang telah dihukum bunuh menurut syara’?
Hukumnya:- Kebanyakkan fatwa-fatwa
kajian fiqh mengharuskan menggunakan organ-organ yang telah dihalalkan darahnya
seperti kafir harbiy, orang murtad dan pembunuh yang tidak dimaafkan ketika
darurat, berdasarkan pendapat Ulama Syafie yang mengharuskannya ketika darurat yang
melampau. Kata Imam Nawawi; “Harus bagi seseorang yang sangat berhajat membunuh
kafir harbiy dan orang murtad, lalu memakan dagingnya tanpa khilaf. Adapun
penzina yang muhsan, muharib dan orang yang meninggalkan solat ada dua pendapat,
yang paling sahihnya ialah harus.”
Namun begitu, masalah ini masih lagi menjadi khilaf
dikalangan Ulama semasa dan hanya ini saja yang sempat dibincangkan dalam
ruangan yang terhad ini, untuk maklumat yang lebih lanjut lagi, sila rujuk
kitab-kitab berikut:-
الموقف الفقهيي الأخلاقي من
قضية زرع الأعضاء .1
الدكتور محمد علي ألبار
الطيب آدابه وفقهه . 2
الدكتور زهير أحمد
السباعي,
الدكتور محمد علي ألبا ر
أبحاث فقهية في قضايا طيبة
معاصرة, .3
الدكتور محمد نعيم ياسين
Penutup:-
Sekali lagi diharapkan agar kita lebih gigih dan tekun dalam
mempelajari dan mengkaji masalah-masalah
yang lama dan baru yang sering menjadi persoalan pada hari ini, seperti masalah
bayi tabung uji, pengklonan, bank mani (sperma) dan tidak lupa juga dalam
masalah muamalah, sistem perbankan hari ini, konsep jual-beli saham,
konsep-konsep amalan syariah di bank-bank konvensional yang sukar dipastikan,
apakah betul-betul mengikut syariah ataupun hanya semata-mata untuk mengaburi
mata kita dengan nama-nama dan slogan yang digunakan tersebut.
Dengan harapan akan lahir ulama-ulama pewaris Nabi yang menyuluh,
membimbing masyarakat ke jalan yang diredhai Allah di saat-saat alim-ulama
dihina, dikecam mahupun digam oleh golongan-golongan pemimpin sekular yang
mengaku Islam, manakala golongan fasik yang berbuat kemungkaran pula disanjung
dan dipuja.
Tajuk Yang Berkaitan, Sila Lihat: