Catatan ini ialah petikan dari tulisan Ketua Hal Ehwal Penyelidikan, Akademi Penyelidikan Syariah Kewangan Islam Antarabangsa (Isra), Dr Asyraf Wajdi Dusuki, seperti yang disiarkan oleh Sinar Harian: [http://www.sinarharian.com.my/nasional/ptptn-haram-caj-lebihi-kos-sebenar-1.40761#.T44onESpgXo.facebook] dan catatan dalam blog beliau.
Sahabat saya Ustaz Dr. Zaharuddin juga ada membuat beberapa ulasan mengenai isu ni, sila ke: http://zaharuddin.net/
Kepentingan Memerangi Riba
Sahabat saya Ustaz Dr. Zaharuddin juga ada membuat beberapa ulasan mengenai isu ni, sila ke: http://zaharuddin.net/
Kepentingan Memerangi Riba
Sememangnya pembangunan sistem mahupun instrumen alternatif yang bebas riba amat mustahak bagi memastikan kehidupan manusia khususnya generasi muda yang akan menjadi aset berharga negara pada masa akan datang lebih dirahmati dan diberkati Allah.Ini amat bertepatan dengan amaran Allah S.W.T.:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (278) فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Jika tidak, Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya". (Al-Baqarah:278-279)
Tafsir Ibn Kathir meriwayatkan kata-kata Ibn Abbas yang menyebut:
فَمَنْ كَانَ مُقِيمًا عَلَى الرِّبَا لَا يَنْزَعُ عَنْهُ فَحَقٌّ عَلَى إِمَامِ الْمُسْلِمِينَ أَنْ يَسْتَتِيبَهُ، فَإِنْ نَزَعَ وَإِلَّا ضَرَبَ عُنُقَهُ
“Sesiapa yang masih mengamalkan riba dan tidak mahu menjauhinya, maka pemerintah umat Islam berhak memintanya bertaubat. Jika tidak juga bertaubat, pemerintah berhak memenggal tengkuknya”.
Begitulah kerasnya sesetengah ahli tafsir menelaah maksud ayat-ayat riba yang pada hakikatnya amat berat kesalahannya di sisi Allah. Sebab itulah Nabi SAW turut menggambarkan bahawa dosa riba merupakan sebahagian daripada tujuh kesalahan besar yang dilaknat Allah:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
“Jauhilah tujuh kesalahan besar. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kesalahan itu? Baginda menjawab: Mensyirikkan Allah SWT, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan Allah SWT kecuali kerana kebenaran, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada pertempuran, serta menuduh wanita suci dan beriman berzina tanpa disedarinya.”[1]
Dalam satu hadis yang lain Nabi SAW menggambarkan dosa riba ini lebih teruk daripada berzina dengan ibu kandung sendiri:
الرِّبَا ثَلَاثَةٌ وَسَبْعُونَ بَابًا، أَيْسَرُهَا مِثْلُ أَنْ يَنْكِحَ الرَّجُلُ أُمَّهُ، وَإِنَّ أَرْبَى الرِّبَا عِرْضُ الرَّجُلِ الْمُسْلِمِ
“Riba terbahagi kepada tujuh puluh tiga jenis, yang paling rendah diantaranya seperti menikahi seseorang dengan ibunya sendiri, dan yang paling teruk antaranya ialah memusnahkan maruah seseorang Muslim"[2].
Dosa riba ini juga bukan terhad kepada pemberi dan penerima sahaja malah yang bersubahat sama ada sebagai saksi mahupun sebagai penulis sebagaimana hadis Nabi SAW:
لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا، وَمُؤْكِلَهُ، وَكَاتِبَهُ، وَشَاهِدَيْهِ» ، وَقَالَ: هُمْ سَوَاءٌ
“Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, wakilnya, penulisnya dan dua orang saksinya. Baginda kemudiannya bersabda: Mereka semua sama”.[3]
Demikianlah bahana riba yang dikategorikan sebagai dosa besar yang bukan sahaja diumpamakan seperti berzina dengan ibu kandung sendiri malah lebih parah lagi sehinggakan Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap pengamalnya.
Sebab itulah dalam konteks urusniaga kewangan semasa, ulamak telah banyak memperincikan garis panduan berasaskan prinsip syarak dalam memastikan urusan muamalah ummat benar-benar bebas daripada unsur-unsur riba yang diharamkan.
Riba Yang Berkaitan dengan Pinjaman
Salah satu bentuk riba yang jelas diharamkan oleh Islam ialah riba yang terkait dengan amalan memberi hutang atau dinamakan sebagai Riba Al-Qard atau Riba Al-Duyun. Dalam konteks ini, syariat jelas memperincikan bahawa hutang atau pinjaman tidak boleh dikenakan sebarang caj tambahan sama ada bersifat faedah mahupun perkhidmatan. Prinsip ini turut dipertegaskan dalam satu hadis:
كُلُّ قَرْضٍ جَرَّ مَنْفَعَةً فَهُوَ رِبًا
"Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjaman maka ia adalah riba". (Al-Sunan Al-Kubra Lil-Baihaqi, Jilid 5, ms 571)
Majlis fatwa antarabangsa yang mengawal selia operasi sistem kewangan Islam seperti AAOIFI menyatakan bahawa:
يحرم اشتراط زيادة في القرض للمقرض وهي ربا, سواء اكانت الزيادة في الصفة أم في القدر, وسواء أكانت الزيادة عينا أم منفعة , وسواء أكان اشترط الزيادة في العقد أم عند تأجيل الوفاء أم خلال الأجل
"semua faedah atau lebihan (daripada jumlah yang dipinjam) yang dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat pada awal kontrak ataupun dikenakan ketika kelewatan membayar balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan atau apa-apa manfaat lain dilarang dan adalah riba".
Status Caj Perkhidmatan Dalam Skim Pinjaman
Berkenaan dengan kos perkhidmatan pula, Majlis Syariah AAOIFI dan Majlis Fiqh Sedunia dibawah OIC (Persidangan Negara-negara Islam), mengeluarkan resolusi yang jelas dengan menyatakan bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal sahaja. Manakala caj yang dikenakan melebihi kos sebenar adalah haram.
Dalam Piawai Syariah atau Al-Mi'yar Al-Syar'iyyah yang dikeluarkan oleh AAOIFI, No.19/9 disebutkan seperti berikut:
يجوز للمؤسسة المقرضة أن تأخذ على خدمات القروض ما يعادل مصروفاتها الفعلية المباشرة, ولا يجوز لها أخذ زيادة عليها, وكل زيادة على المصروفات الفعلية محرمة. ويجب أن تتوخي الدقة في تحديد المصروفات الفعلية بحيث لا يؤدي إلى زيادة تؤول إلى فائدة.
"Dibenarkan bagi institusi yang memberi pinjaman mengenakan caj atas perkhidmatan pemberian hutang seabagaiman kos sebenar yang dibelanjakan dalam melaksanakan perkhidmatan tersebut. Adalah tidah dibenarkan bagi institusi mengenakan caj melebihi kos perkhidmatas sebenar. Semua caj yang melebihi kos sebenar perkhidmatan adalah haram. Hendaklah dipastikan ketepatan dalam menentukan kos sebenar perkhidamatan bagi mengelakkan wujud lebihan yang membawa kepada manfaat yang diharamkan......" (AAOIFI, Piawai Syariah No.19, 9/1)
Piaiwai Syariah AAOIFI ini adalah seiring dengan Resolusi No.13 (1/3) yang dikeluarkan oleh Majma' Fiqh Al-Dawli atau Majlis Fatwa OIC. Ini bermakna sebarang caj yang dikenakan mestilah berasaskan kos pengurusan yang sebenar dan bukannya sekadar meletakkan peratusan seperti 1 peratus, 2 peratus ataupun 3 peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah yang dikatakan riba kerana manfaat diperolehi daripada nilai hutang yang diberikan dan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar.
Sebaliknya yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa OIC dan Piawai Syariah AAOIFI tadi ialah apabila caj dikenakan berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat kepada nilai hutang peminjam. Sebagai contoh, sekiranya kos pengurusan sebenar (termasuk kos dokumentasi, peguam, cukai setem dan lain-lain) bagi setiap transaksi adalah sebanyak RM600. Maka caj tersebut boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang yang diberikan. Malah turut dipertegaskan dalam Piawai Syariah AAOIFI bahawa kos sebenar tidak termasuk perbelanjaan tidak langsung (indirect expenses) sebagaimana yang disebut seperti berikut:
لا تدخل في المصروفات الفعلية على خدمات القروض المصروفات غير المباشرة, مثل رواتب الموظفين وأجور المكان والأثاث ووسائل النقل, ونحوها من المصروفات العمومية والإدارية للمؤسسة.
"Tidak termasuk dalam pengiraan kos sebenar perkhidmatan pengurusan hutang adalah perbelanjaan tidak langsung seperti gaji pekerja, sewa tempat, aset dan pengangkutan serta perbelanjaan umum meliputi pengurusan institusi"(AAOIFI, Piawai Syariah No.19, 9/2).
Demikianlah perincian yang begitu teliti dilakukan oleh para ulamak dalam memperhalusi isu caj perkhidmatan yang dikenakan dalam urusniaga pinjaman. Semua ini bagi mengelakkan wujudnya unsur-unsur riba yang diharamkan. Apa yang penting elemen riba tidak boleh dikompromi sama sekali dalam upaya mencari jalan keluar bagi mempermudahkan urusan kehidupan masyarakat.
Justeru, amat mustahak untuk dipastikan bahawa caj perkhidmatan yang dikenakan dalam memberikan kemudahan pinjaman pendidikan kepada para pelajar khususnya dalam konteks PTPTN yang dibincangkan ini, benar-benar mewakili kos sebenar perkhidmatan dan bukannya sekadar peratusan berasaskan nilai atau jumlah pinjaman yang diberikan.
Kedudukan Pinjaman Dalam Islam
Pinjaman atau istilah fiqhnya Qard adalah salah satu bentuk kontrak muamalah yang dibenarkan. Malah dalam Al-Quran, perkataan Qard senantiasa digabung-jalinkan dengan perkataan Hasan yang berasal daripada perkataan Ihsan bermaksud berbuat kebajikan kepada orang lain. Maka Qard al-Hasan ialah instrumen hutang bersifat kebajikan yang diberikan kepada orang yang memerlukannya untuk tempoh tertentu tanpa sebarang faedah dikenakan ke atas nilai asas hutang tersebut.
Qard al-Hasan merupakan kontrak kebajikan yang besar nilainya disisi Allah. Dalam Al-Quran, disebut mengenai Qard al-Hasan di beberapa tempat antaranya:
إِنْ تُقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعِفْهُ لَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ شَكُورٌ حَلِيمٌ
"Jika kamu meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik (qardan hasanan) nescaya Allah melipat-gandakan (pembalasannya) kepadamu dan mengampunimu" (At-Taghaabun:17). Banyak lagi ayat Al-Quran lain yang turut memperincikan ganjaran besar kepada mereka yang ikhlas memberi pinjaman berbentuk Qard al-Hasan ini (Lihat Al-Baqarah:245, Al-Maidah:12, Al-Hadid:18, Al-Muzammil:20)
Malah menurut pandangan sesetengah ulamak, nilai Qard al-Hasan lebih baik daripada pemberian sedekah bersandarkan hadis Nabi S.A.W: 'Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda'. Rasulullah bertanya kepada Jibrail, “Kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah?” Jawabnya, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan’. (Ibn Majah dan Baihaqi).
Hakikatnya memberi pinjaman sesuatu yang digalakkan dalam Islam atas prinsip kebajikan dan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bersandarkan dalil-dalil Al-Quran dan hadis di atas, jelas betapa ganjaran besar berlipat-ganda menanti mereka yang bersedia memberi pinjaman atas dasar kebajikan tanpa mengenakan sebarang lebihan apabila dibayar balik.
Daripada perspektif yang lain, nilai pinjaman tidak akan merosot, malah apabila dikembalikan oleh peminjam, nilai pinjaman tadi boleh dimanfaati oleh orang lain pula. Sebaliknya sedekah yang berupa 'one-off' hanya akan dimanfaati oleh penerima sedekah itu sahaja. Justeru jika diberi pilihan antara memberi pinjaman dan sedeka yang bersifat one-off, adalah lebih baik memberi pinjaman lantaran pahala memberi pinjaman lebih berkali ganda berbanding sedekah.
Nota Hujung:
Nota Hujung:
[1] Riwayat Al-Bukhari (2615) dan Muslim (89)
[2] Riwayat Ibn Majah dan Al-Hakim
[3] Sahih Muslim (1219).