Oleh
Multaqa Asatizah & Du’at
(MURSHID)
Kami, selaku pendakwah dan
asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu
musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak
Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat
seperti berikut :-
Di dalam system demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi
memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem
demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar
kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima
mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru
kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan
dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang
berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi melalui
kaedah yang berkesan lagi dipercayai.
Kami juga
bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM
dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji
yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara.
Sekiranya
pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan
terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah
suatu proses KESAKSIAN. Firman Allah :
وأشهدوا ذوى عدل منكم
..(الطلاق: 2)
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari
kalangan kamu” ( At-Talaq: 2).
Juga Firman Allah :
وَلاَ يَأْبَ
الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا
Ertinya
: “Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka
dipanggil”. (Al-Baqarah: 282)
Dalil-dalil
di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan
sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi
memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang
diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.
Dalam konteks pilihanraya,
rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak
mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan
pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan
menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.
Jika seorang saksi TIDAK
DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya
DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan
kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di
luar negara.
Justeru, setiap individu
yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah,
termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak
dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang
memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun.
Firman Allah Ta'ala:
وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ
قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang
yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa
yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya
dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
(Al-Baqarah :283)
Akhuirnya,
kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat
rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu
member penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak
berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.
Sekian
dari kami,
1. Dr.
Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr.
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr.
Zahazan Mohamed
4. Dr.
Maszlee Malek
5. Dr. Abd
Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad
Wifaq Mokhtar
7. Dr.
Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki
Othman
9. Ustaz
Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman
Pada: 05 Sya’ban 1433H bersamaan 25 Jun 2012.