Mukjizat
al-Quran
Banyak
kajian serta cubaan mengelirukan kebenaran kitab suci tetapi temui kegagalan
JIKA
kita ingin mengetahui dan rasai kehebatan satu-satu mukjizat seperti yang
pernah berlaku ke atas umat sebelum kita, kemudian kita mengisytiharkan keimanan
serta-merta dan memeliharanya, sila perhatikan al-Quran al-Karim.
Al-Quran
ialah mukjizat kekal sebagai bukti kebenaran bahawa Muhammad adalah Rasulullah
SAW. Pengekalan mukjizat al-Quran akan tetap dirasai oleh seluruh manusia
hingga ke akhir zaman. Ini berbeza dengan mukjizat seketika yang hanya dirasai
oleh umat sebelum kita, bahkan mukjizat yang dirasai oleh sahabat nabi, selain
al-Quran.
Sebagai
contoh, Nabi Nuh AS dengan mukjizat taufan dan air bah yang hanya berlaku untuk
dirasai umatnya saja. Nabi Saleh AS dengan mukjizat unta hanya berlaku untuk
dirasai umatnya saja. Nabi Musa AS dengan mukjizat membelah air laut dan hanya
berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Isa AS dengan mukjizat boleh
menghidupkan yang mati atas izin Allah dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya
saja.
Tetapi
Nabi Muhammad SAW dengan mukjizat al-Quran berlaku untuk dan dirasai seluruh
umat manusia ketika dan sesudah Baginda tidak kira masa dan tempat sampai hari
kiamat dan ia akan kekal dipelihara seperti ditetapkan al-Quran yang bermaksud:
] إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا
لَهُ لَحَافِظُونَ [
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan
al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya" (Surah al-Hijr: 9)
Dengan
jaminan Allah ini, terpeliharalah kitab suci al-Quran daripada sebarang
perubahan, dan bersinarlah cahayanya ke seluruh dunia.
Al-Quran
itu sendiri boleh menjadi sebab kepada seseorang untuk memeluk agama Islam sama
ada menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan
tulisan atau kaligrafinya. Begitu pula ia menakutkan dan menggerunkan musuhnya
menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan
atau kaligrafinya. Ramai orang memeluk al-Quran dengan karakter al-Quran dan
tidak sedikit pula yang memusuhinya bahkan menyeru untuk berperang melawannya
seperti disebutkan al-Quran sendiri dengan ayatnya yang bermaksud:
] وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لا تَسْمَعُوا
لِهَذَا الْقُرْآَنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ [
"Dan orang yang kafir berkata:
"Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah ia (dengan nyanyian
dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu
bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)" (Surah Fussilat: 26)
Gary Miller:
Antara
orang yang pernah menentang al-Quran ialah seorang profesor Matematik dan
logik di Universiti Toronto, Kanada bernama Gary Miller. Pada 1977, beliau
membuat keputusan untuk mengkaji al-Quran dengan tujuan mencari kesilapan dan
kesalahan ilmiah dan sejarah yang ada di dalamnya.
Dia
berharap dengan kajian itu boleh membantu rakannya, pendakwah Kristian untuk
mengelirukan umat Islam dan mengajak mereka keluar daripada agama Islam dan
memeluk Kristian. Pihak gereja dan yang berkepentingan menyokong tujuan 'mulia'
ini dan memberikan apa jua keperluan kewangan dan moral bagi menjayakannya.
Apa
yang diinginkan manusia lain dengan apa yang diinginkan oleh Allah dan yang
pasti akan berlaku ialah apa yang diinginkan Allah, maka takdir yang baik
menyebelahi Prof Miller dan kemudian membawanya untuk memeluk Islam setahun
kemudian iaitu pada 1978 selepas menamatkan kajiannya.
Kajiannya
ini kemudian dibukukan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dengan tajuk al-Quran
al-Muzhil (al-Quran Yang Mempesona) atau tajuk asalnya The Amazing
al-Quran. Beliau menukar namanya menjadi Abdul Ahad Omar kemudian
bekerja sebagai pensyarah di University of Petroleum and Minerals, Dhahran,
Saudi Arabia. Hingga ke hari ini masih menjadi pendakwah antarabangsa dan
banyak menulis mengenai Islam.
Perkara
pertama yang menarik perhatian Prof Miller ialah cabaran al-Quran yang mendakwa
bahawa di dalamnya tidak ada kesalahan atau kesilapan apa pun juga. Beliau
berkata: "Tidak ada seorang penulis pun di dunia ini yang memiliki
keberanian kemudian dia menulis buku dan mendakwa bahawa bukunya itu tidak ada
sebarang kesalahan mahupun kesilapan kecuali al-Quran, bahkan ia mencabar
seandainya anda mencari-cari kesalahan itu anda pasti tidak akan
menemukannya."
Beliau
juga mengungkapkan kepesonaannya terhadap al-Quran dengan mengambil contoh
bahawa dalam al-Quran ada satu surah yang diberi nama Surah Mariam yang
mana di dalamnya ada diberitakan mengenai kemuliaan beliau yang tidak dijumpai
di mana-mana kitab suci lainnya. Kita tidak menemukan surah yang dijoloki nama
orang kesayangan Nabi SAW seperti Aisyah dan Fatimah. Malah nama baginda pun
tidak banyak disebut al-Quran iaitu hanya lima kali jika dibandingkan
dengan nama Nabi Isa as yang disebut sebanyak 25 kali.
Penentang
kebenaran al-Quran mendakwa bahawa syaitanlah yang mengajarkan al-Quran kepada
Nabi Muhammad SAW tetapi bagaimana di dalam al-Quran ada ayat yang maksudnya:
] فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآَنَ فَاسْتَعِذْ
بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ [
"Oleh itu, apabila engkau
membaca al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dulu) memohon perlindungan
kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam." (Surah al-Nahl:
98)
Dr
Miller berkata: "Seandainya aku berada dalam keadaan Rasulullah r bersama Abu Bakar di gua di mana seandainya
seorang daripada pengepungnya melihat ke bawah pasti mereka akan ternampak,
maka jawapan ketakutan Abu Bakar akan dijawab secara semula jadi dengan ucapan 'mari
kita cari jalan belakang' atau 'diam, jangan berkata-kata'. Akan
tetapi Rasulullah SAW menjawab dengan tenang: "Janganlah engkau risau
sesungguhnya Allah bersama kita." Adakah jawapan ini boleh dikeluarkan
oleh seorang penipu atau jawapan seorang nabi yang percaya seratus peratus
kepada pertolongan Allah?
Surah al-Masad
(Tali Yang Dipintal) iaitu surah nombor urut 111 dalam al-Quran diturunkan 10
tahun sebelum matinya Abu Lahab. Ini bermakna bahawa di hadapan Abu Lahab ada
sebanyak 365 x 10 = 3,650 peluang untuk membuktikan bahawa al-Quran adalah satu
khayalan dan pembohongan. Selama itulah ada cabaran tetapi Abu Lahab tetap
dalam kekufuran dan kekafirannya dan tidak tergerak hatinya untuk masuk Islam
walaupun secara pura-pura. Surah ini sampai hari ini masih dibaca, bagaimana
Rasulullah SAW yakin atas kebenaran yang dibawanya selama 10 tahun dan Abu
Lahab sememangnya tidak akan memeluk Islam. Keyakinan ini membuktikan bahawa
al-Quran memang wahyu Allah yang mengetahui segala sesuatu dan ia diturunkan
kepada nabi terakhir yang diutus untuk umat manusia, Muhammad SAW.
Prof
Abdul Ahad juga merujuk kepada New Catholic Encyclopaedia dalam topik
'al-Quran' dikatakan bahawa walaupun banyak kajian dan percubaan untuk
mengelirukan kebenaran al-Quran tetapi pada akhirnya: "Selama berabad-abad
muncul banyak teori mengenai sumber al-Quran tetapi tidak satu pun daripada
teori itu boleh diguna pakai oleh seorang yang berakal." Beliau menambah
ada gereja yang pada mulanya teruja untuk mengadaptasi teori berkenaan tetapi
pada akhirnya mereka semua menolaknya dan malangnya mereka tidak berani untuk
mengakui kebenaran teori umat Islam. Apa pendapat anda? Adakah anda masih
meragui kebenaran al-Quran yang mempesonakan? Terima kasih Profesor Abdul Ahad.
Oleh:
Abdurrahman Haqqi
[http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Agama/20091108004132/Article/index_html]
Jumlah Ayat Al-Quran
= [ 6,236 ] ayat.
Tiap-tiap surah, melainkan surah 9 (At-Taubah), bermula dengan
"Bismillah." Akan tetapi hanya Bismillah yang pertama di dalam
al-Qur'an, iaitu di surah 1 (Al-Fatihah), dikira sebagai satu ayat. Ini
bermaksud ia diberi nombor, iaitu nombor 1. Bismillah di surah lain yang
berjumlah 112 kesemuanya tidak dikira atau diberi nombor.
Andaikata
bilangan 112 itu ditambah kepada jumlah besar 6,236 tadi, maka ia menjadi
6,348, yang bukan juga sebanyak 6,666 yang keramat itu.
Perbezaan bilangan ayat di antara dua jumlah tersebut (6,236 dan 6,348)
dengan 6,666 adalah 430 dan 318 masing-masing. Perbezaannya besar. Di manakah
pula tersimpannya ayat-ayat yang berlebihan itu?
Mungkin terdapat orang yang mempercayai ada unsur mistik pada nombor
6666 itu. Sekiranya begitu, maka mistis nombor 6666 itu adalah tiada fakta yang
jelas, kerana tiada ayat Allah daripada al-Qur'an yang tersembunyi.
Contoh
bagaimana berleluasanya penggunaan fakta 6666 ialah;
1- Pengeluar capal nabi
menarik perhatian pembeli muslim di Malaysia dengan mengatakan bahawa
pengeluaran capal nabi itu terhad hanya kepada jumlah 6666 buah bersempena
dengan jumlah ayat-ayat al-Quran.
2-Pengeluar air musaffa (air
rawatan pinggan putih dan za’faran) di dalam segmen tajaan syarikatnya di radio
IKIM telah mengatakan bahawa ayat-ayat al-Quran yang berjumlah 6666 sebenarnya
mewakili sebanyak 6666 sendi-sendi di badan manusia.
2 Contoh di atas sudah cukup
untuk menunjukkan bagaimana fakta salah ini telah disalahguna secara meluas
untuk kepentingan peribadi sesetengah pihak.
Oleh itu, menjadi
tanggungjawab kita semua untuk memperbetulkan kesilapan ini. Ingat betul-betul
jumlahnya ialah 6236 bukan 6666…
[Risalah Masjid Ar-Rahman. Jumaat 17
R-Thani 1431H – 02 April 2010M]