Sempena sambutan hari Raya Aidil Fitri
yang bakal menjelma pada 1 Syawwal 1433/19 Ogos 2012 ini, pihak Multaqa
Asatizah dan Du’at (MURSHID) atau ‘Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah’ ingin
memberikan nasihat berkaitan Hari Raya ‘Idul Fitri dan juga aspek keselamatan
Jalan Raya semasa pulang berhari raya.
Sambutan hari raya adalah suatu
anugerah Allah yang amat besar kepada umat Islam
(al-Baqarah[2:185]). Kepulangan berhari raya sepatutnya menjadi
suatu kesinambungan rahmat tersebut dengan menjaga adab semasa berada di jalan
raya dan menyambut ‘Idul Fitri. Pesanan ini merangkumi dua perkara iaitu;
SAMBUTAN ‘IDUL FITRI
Sambutan ‘Idul Fitri
sejurus berakhirnya sekolah Ramadhan adalah suatu lambang kejayaan mendidik
jiwa manusia mencapai martabat taqwa sebagaimana firman Allah:
Wahai orang-orang yang
beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang
dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa (al-Baqarah[2:183]).
Anugerah Taqwa yang diperolehi
dari latihan Ramadhan bakal menjadi pembimbing bagi umat Islam untuk menempuh
kehidupan sepanjang hayat sebagaimana firman Allah:
Wahai orang-orang yang
beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan
bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang
salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan
(dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar
(al-Anfal [8:29]).
Oleh itu, sewajibnya ‘Idul
Fitri disambut dalam kerangka taqwa mengikut panduan Islam. Sebarang sambutan
yang bakal merosakkan amalan yang sudah dikerjakan pada bulan Ramadhan mesti
dielakkan. Oleh itu, MURSHID menegaskan beberapa panduan kepada pihak berikut:
1) Umat
Islam perlu mengambil perhatian tentang adab dan garis panduan sambutan ‘Idul
Fitri menurut Islam, antaranya:
·
Memastikan zakat fitrah
untuk diri sendiri dan tanggungan ditunaikan sebelum selesai menunaikan solat
sunat ‘Idul Fitri.
·
Memperbanyakkan ingatan terhadap Allah dan ketaatan terhadapNya dalam
setiap tindakan sewaktu musim raya.
·
Menjauhi rasuah dalam bisnes
dalam bentuk duit atau hamper raya sama ada selaku pemberi atau penerima.
·
Menjauhi sifat
banding-membanding pemilikan harta di antara satu sama lain sewaktu berhari
raya. Tindakan tersebut tidak lain hanyaalah akan membawa kepada perasaaan ujub
dan takbur bagi mereka yang mempunyai lebihan harta manakala rendah diri kepada
mereka yang kurang. Sedangkan menurut ajaran Islam, kita adalah bersaudara dan
kemuliaan tidak terletak pada harta fizikal individu namun pada taqwa di dalam
hati.
·
Mengelakkan dosa dalam
keghairahan berhari raya seperti pembaziran dan pemborosan melampau dalam
perbelanjaan membeli peralatan hari raya dan juga penganjuran rumah terbuka.
·
Mengelakkan dalam menambahkan hutang bagi hal yang tidak mendesak
sempena menyambut hari raya.
· Hindari diri dari memperagakan
pakaian yang tidak menepati syariat Islam, tidak menjaga batasan hubungan
antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram sehingga bercampur gaul dan
saling bersentuhan.
·
Mengelakkan sifat bakhil jika
berkemampuan dan menjaga nafqah yang wajib bagi keluarga, kebajikan ibu bapa,
anak-anak, saudara mara, jiran tetangga dan sebagainya dengan menyediakan
jamuan yang selayakknya dengan kemampuan diri serta mengeratkan silaturahim.
· Mengambil peluang keemasan
pahala berganda berpuasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal serta tidak mencerita
dan menghebahkan bilangan puasa sunat syawal yang sedang atau telah dilakukan
tanpa keperluan kerana ia hanya akan membatalkan pahala puasa berkenaan.
2) Mencadangkan
agar authoriti agama yang berwajib serta berkuasa di Malaysia memberikan garis
panduan khusus tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam sambutan
hari raya menurut Islam khususnya yang merangkumi beberapa perkara utama
seperti penyediaan garis panduan rancangan TV dalam sambutan hari raya kerana
media penyiaran memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat. MURSHID
amat berharap agar status “IBADAH” dalam sambutan hari raya tidak
dirosakkan dengan stigma “PERAYAAN BUDAYA” dan lambakan hiburan
dalam media penyiaran dalam sambutan hari raya. Kalau perlu konsep LOGO HALAL
dalam penerbitan sesebuah rancangan TV sempena sambutan hari raya turut
dipraktikkan dengan perlantikan pakar dalam bidang hiburan Islam
3) Pihak media cetak dan
penyiaran perlu lebih sensitif dengan kehendak Islam terutama sekali dalam isu
yang melibatkan IBADAH seperti sambutan hari raya. MURSHID menyeru agar pihak
media menjadi agen dakwah kepada masyarakat, bukan hanya pengaut
keuntungan yang asyik mencapai sasaran RATING.
KESELAMATAN JALAN RAYA
Kemalangan dan kecelakaan di jalan raya
boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti sikap pemandu, keadaan kenderaan,
keadaan cuaca dan keadaan alam sekitar atau jalan raya yang
digunakan. Oleh itu, aspek pengurusan risiko perlu
diperhatikan oleh semua pihak dan untuk itu MURSHID mencadangkan beberapa
perkara iaitu;
1) Menyeru
para pemandu jalan raya yang bakal pulang berhari raya agar membuat persiapan
sebaik mungkin dengan mengambil kira 2 aspek;
· Persiapan fizikal merangkumi keadaan kenderaan yang
selamat, kecerdasan minda semasa memandu, keadaan cuaca serta kesesuaian waktu.
Sebarang kepincangan pada aspek persiapan fizikal mungkin akan membahayakan
diri sendiri dan orang lain. Perlu diingat tanggungjawab menjaga
keselamatan jalan raya turut melibatkan ahli keluarga sendiri dan keluarga
orang lain.
· Persiapan rohani dan mental. Pemanduan untuk suatu
jarak yang jauh seumpama jihad yang memerlukan kesabaran dan ketinggian akhlak.
Sikap tidak sabar ketika memandu bakal mengundang masalah yang turut sama
membahayakan diri sendiri dan orang lain. Akhlak yang buruk semasa berada di
jalan raya amat bertentangan dengan ajaran Islam dan melibatkan persoalan dosa
dan pahala. Larangan memudaratkan orang lain jelas disebut oleh
sebuah hadith:
لا ضرر ولا ضرار
Tidak
boleh memberikan mudarat dan memudaratkan orang lain (Sunan Ibn Majah).
2) Menyeru pihak berwajib yang berkaitan secara
langsung dengan aspek keselamatan jalan raya seperti pihak POLIS, Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut
Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan syarikat
pengendali lebuh raya agar menggunakan pendekatan yang lebih mesra
Islam untuk menyedarkan pihak pengguna jalan raya tentang aspek
keselamatan yang sebenarnya melibatkan soal dosa dan pahala.
Pihak MURSHID mencadangkan agar Ayat al-Quran yang terpilih digunakan sebagai bahan kempen
keselamatan jalan raya. Umat Islam yang mempercayai keunggulan
al-Quran sudah pasti akan lebih terkesan dengan mesej Allah kepada mereka di
sepanjang perjalanan pulang ke kampung. Ayat-ayat
tersebut boleh ditulis dengan besar dan jelas, bersama-sama dengan
terjemahannya untuk diletakkan pada papan tanda di sepanjang jalan raya utama
seluruh Negara. Lebih-lebih lagi diletakkan pada tempat yang mempunyai kadar
kemalangan yang tinggi. Antara ayat al-Quran yang boleh dicadangkan adalah:
v Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu
ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha
dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berusaha memperbaiki amalannya (Al-Baqarah[2:195])
v Setiap jiwa akan merasai kematian (Ali
‘Imran[3:185], al-Anbiya’[21:35] dan al-`Ankabut[27:57]).
v Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu
(bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi
lagi kukuh. (Al-Nisa’[4:78]).
v Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri,
sesungguhnya Allah amat Pengasih kepadamu (al-Nisa’[4:29]).
v Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia
yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar
(al-Isra’[17:33]).
v Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang
yang sabar (Al-Baqarah[2:153]).
v Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan
kesabaran kamu (Al-Ra’d[13:24]).
3) Pihak
media (cetak atau eletronik) perlu memainkan peranan pro-aktif dalam menyiarkan
kempen keselamatan jalan raya yang lebih Islamik seperti mengambil fatwa
terpilih daripada badan fatwa dunia bagi lebih menyedarkan lagi para pengguna
jalan raya.
Sekian,
Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)
28 Ramadan 1433 Hijri.
Ahli-ahli
MURSHID :
1. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Penasihat)
2. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Mohd Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohamed
10. Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin
11. Ustaz Muhammad Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Muhammad Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Mohd Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman (Setiausaha).
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Dato’ Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisyam Tuan Padang
18. Ustaz Muhd Ramadhan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Abd Naser Abd Rahman.
1. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Penasihat)
2. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Mohd Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohamed
10. Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin
11. Ustaz Muhammad Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Muhammad Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Mohd Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman (Setiausaha).
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Dato’ Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisyam Tuan Padang
18. Ustaz Muhd Ramadhan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Abd Naser Abd Rahman.
Rankaian: