AKHLAK ORANG YANG BERJIWA BESAR.
Oleh: Fadhilah Syaikh Dr. Khalid bin Utsman as-Sabt, Hafizahullah.
Pembaca yang dihormati, disebabkan akhlak dan perangai terpuji begitu tinggi
kedudukannya di sisi Allah Ta’ala dan umat secara umum, lebih-lebih lagi bagi
mereka yang mendokong misi dakwah Ahlu Sunnah wal Jama’ah, maka kami berusaha mengalih-bahasakan sebuah muhadharah (ceramah) ilmiyah yang
sangat bermanfaat, disampaikan oleh
salah seorang ulama tafsir yang masyhur di Dammam, Arab Saudi. Fadhilatus Syaikh
Dr. Khalid bin Utsman as-Sabt –hafizahullah, yang berjudul “Akhlaq al-Kibar”. http://www.khaledalsabt.com/cnt/lecture/298
Alhamdulillah dalam rehlah dakwah kami bersama sheikh ke Indonesia pada bulan Jun 2012, ana telah minta izin untuk menyebarkannya kepada para ikhwah di Malaysia. Jazahullahu khaira kepada sheikh dan team penterjemah semuanya.
Perbahasan kita pada kali ini, berlegar sekitar akhlak Al-Kibar. Apa yang kami maksudkan dengan Al-Kibar adalah orang-orang yang berjiwa besar. Orang-orang yang penuh jiwa mereka dengan semangat yang tinggi, selalu menghindari perbuatan-perbuatan hina dan urusan yang remeh- temeh. Sehinggakan cita- cita dan keinginan mereka turut menolak untuk melakukan hal-hal yang sempit dan bersifat murahan. Pandangan mereka sentiasa menerawang tinggi, mereka tidak sibuk dengan hal dirinya sendiri. Mereka tidak marah dengan hanya satu perkataan (yang diucapkan kepada mereka) dan tidak pula merasa gembira (redha) hanya kerana satu perkataan (yang diucapkan). Iaitu bukan sifat orang yang sangat kagum terhadap pujian, bukan pula orang yang mudah marah terhadap satu celaan. Ia bukan pemilik jiwa rendah yang redha jika jiwanya masuk dalam kehinaan, serta mengharamkan syurga dunia ke atas dirinya, sebelum syurga akhirat. Syurga dunia yang kami maksudkan adalah: ketenteraman hati, keramahan, serta kebahagiaan jiwa yang didapati hasil daripada meninggalkan hal-hal kecil dan remeh-temeh.
Mereka inilah orang-orang besar (hebat), yang kita akan bicarakan, iaitu para pemilik jiwa besar itu.
Sesungguhnya
kami hanya membicarakan orang-orang yang memiliki jiwa besar dan dada yang lapang.
Mereka adalah orang-orang yang tidak sibuk hanya kepada diri mereka dan tidak
hanya berdiri kepada kepentingan peribadinya. Tetapi yang saya maksudkan adalah
orang-orang yang hanya mementingkan kemaslahatan
yang besar untuk Islam.
Orang-orang
seperti itulah yang seharusnya kita perbincangkan akhlak dan sifat-sifat
mereka. Kemudian perbincangan ini kita sampaikan kepada seluruh manusia.
Topik
perbahasan ini kami bawakan, kerana keperluan kita terhadapnya sangat besar.
Kita sangat perlu membahas masalah ini, kerana kita sangat sering melalaikan
masalah- masalah penting tersebut.
Bayangkan,
betapa banyak khitbah (lamaran) yang
telah terputus sia-sia. Betapa banyak keluarga yang menjadi kucar-kacir. Betapa
banyak kecintaan yang beralih menjadi permusuhan. Betapa banyak kerjasama dalam
pekerjaan dunia atau dakwah yang menjadi kacau dan rosak. Juga betapa banyak
hubungan yang telah terputus jalinannya. Semuanya gara-gara jiwa yang rendah.
Gara-gara sibuk dengan kepentingan-kepentingan peribadi, yang seseorang menjadi
redha dan marah hanya kerana kepentingan itu.
Sehingga
pada situasi dan keadaan apa pun, dia mencari kemenangan hanya untuk dirinya
sendiri serta tidak menerima daripada sesiapa pun jika mengeluarkan kata-kata
teguran, kesalahan atau kelemahan terhadapnya.
Jika
ini terjadi, maka tidak ada ampun maaf lagi, dia juga tidak akan mengingati kebaikan-
kebaikan lalu yang telah dilakukan oleh orang tersebut tanpa mengingati
perasaan kasih sayang dan hubungan yang ada. Semua ikatan yang wujud antara
mereka sebelum ini dilupakan.
Ia
melupakan semua hal itu, serta bertukar perasaan dari sayang menjadi benci dan
dianggap musuh yang telah menjatuhkan dan telah mengurangkan serta tidak
memberikan haknya yang sepatutnya.
Kenapa sifat mementingkan
diri seperti ini boleh terjadi?
Kenapa seseorang
meletakkan dirinya pada kedudukan yang hina seperti ini?!
Ini
tidak lain kerana ia sangat cenderung kepada asal kejadian penciptaan dirinya
yang diciptakan daripada dua unsur: tanah dan tiupan roh.
Jika
seseorang cenderung kepada zat asal ianya dicipta iaitu tanah, maka tanah tersebut menarik dan memaksanya menuju
ke bawah. Sehingga akhlaknya menjadi hina dan buruk, serta muncul hal-hal yang tidak
sepatut pada dirinya, bahkan seseorang yang berakal akan menjadi sangat malu
setiap kali mengingati dan merenungkan hal itu.
Namun,
jika seseorang manusia berjaya memutuskan rantai dan belenggu ini maka ia akan berada
pada kedudukan yang tinggi. Ini kerana akhlaknya menjadi tulus dan mulia, serta
membuang hal-hal yang buruk tadi ke belakangnya.
Dia
tidak akan menjadi gembira atau kecil hati hanya kerana satu pujiaan atau
kejian sahaja. Ia telah melepasi tahap yang rendah ini. Akhirnya ia bergaul dengan
manusia lain dengan dada yang lapang dan jiwa yang besar. Ia sentiasa memaafkan
setiap kekurangan, keburukan, kesalahan dan aib-aib yang muncul daripada
mereka. Ia juga selalu memaafkan segala hal buruk yang keluar dari mereka
terhadap dirinya, terutama pada hak peribadinya.
Ketika
membincangkan masalah ini, saya tidak mengarahkannya kepada orang lain, tetapi pertamanya
saya tujukan kepada diri saya sendiri kemudian saya tujukan kepada anda semua.
Jangan
ada orang yang merasa bahawa perbincangan topik seperti ini hanya ditujukan
kepada orang lain sahaja. Tetapi hendaklah dia menghadirkan hati, memikirkan
keadaannya, dan memasukkan dirinya dalam golongan orang yang mendengar untuk
mengambil faedah dan perubahan yang lebih baik.
Maka, perbaharuilah hidup anda, sucikan akhlak
anda, perbaiki sikap anda, dan pulanglah kepada keluarga anda mulai hari ini
dengan wajah baru.
Pulanglah kepada teman-teman dan
masyarakat anda dengan wajah baru, dengan jiwa lain yang tiada memperdulikan kepentingan-kepentingan
peribadi dan keegoan yang menyebabkan anda menjadi kecil.
Topik perbahasan ini ditujukan kepada
para ulama’, thullab al-‘ilm (penuntut
ilmu), para pemerintah yang berkuasa, seperti raja, pemimpin, ketua dan setiap
orang yang memiliki kekuasaan, besar atau kecil. Juga ditujukan kepada para ibubapa,
murabbi, pengajar dan seluruh manusia
amnya. Juga kepada setiap pencinta kemuliaan.
Tidak
ada seorang pun yang akan senang hatinya, pada bila masa dan di mana sahaja
jika dia dikatakan seorang yang memiliki sifat yang bersemangat rendah, berjiwa
kecil dan tidak mempunyai cita-cita. Ataupun jika dikatakan dia adalah
seseorang yang hidup dalam ruang lingkup yang sempit dan berjiwa kerdil.
Seandainya ciri-ciri seperti ini anda
ucapkan kepada seseorang, nescaya dia akan marah, tidak dapat menahan diri dan
menolak hal itu mentah-mentah. Ini bermaksud, seluruh manusia bersepakat bahawa
sifat-sifat (yang akan kita bincangkan) ini adalah baik, dan sesungguhnya
akhlak mulia memiliki kedudukan yang sangat tinggi di kalangan manusia.
Jadi, ini adalah perbahasan yang
indah. Perbahasan yang dirindukan setiap jiwa. Juga perbahasan yang membuat
semua orang menjadi terpikat hati (untuk mendengarnya).
Ketahuilah, seandainya dakwah para
Rasul s.a.w. terfokus pada masalah akhlak sahaja, tanpa masalah- masalah besar
yang lain, seperti masalah tauhid dan syirik, nescaya seluruh manusia
berpusu-pusu menyokong dan mengikuti mereka kerana perbahasan tentang akhlak
adalah masalah yang disepakati oleh semua orang.
Syeikh
Muhammad rahimahullah berkata:
“Seandainya saya mengajak manusia kepada akhlak yang mulia dan meninggalkan
perbuatan-perbuatan buruk seperti zina dan mencuri, nescaya semua orang
menyetujui saya dalam hal ini.”
Jadi sekali lagi, perbahasan tentang akhlak, adalah perbahasan yang
dipersetujui oleh semua orang, baik kawan ataupun lawan. Semua orang menganggap
baik hal ini. Semua sangat rindu (suka) mendengarnya. Tetapi pelaksanaannya
adalah masalah lain. Pelaksanaan adalah
suatu kriteria (ukuran) yang dengannya menzahirkan peribadi seseorang dan
menjelaskan hakikat dirinya.
Pokok
perbincangan ini bukan hanya untuk mendengar tentang akhlak baik seseorang. Tetapi
ianya dilihat daripada segi amalan dan perlaksanan terhadap ahklak mulia itu.
Sifat
penyantun pada seseorang tidak dapat diukur ketika ia suka dan redha. Sesungguhnya
sifat peyantun itu dilihat ketika seseorang itu sedang marah.
Ertinya
bukanlah ukuran kemuliaan akhlak itu, ketika anda mengukir senyuman pada masa
redha terhadap kawan dan teman anda. Namun akhlak yang benar dan hakiki, iaitu
ketika anda tetap berakhlak mulia pada setiap situasi dan keadaan. Juga dengan
menjauhi segala perbuatan hina dan sia-sia. Inilah akhlak yang sepatutnya
dimiliki oleh setiap muslim.
Allah s.w.t telah memberi nama dan menyifatkan
diri-Nya dengan Al-‘Afwu (Yang Maha
Pemaaf). ‘Afwu adalah salah satu
sifat mulia Allah s.w.t. Sifat ini adalah sifat agung lagi mulia, yang bererti
memaafkan dosa, memaafkan kesalahan, dan tidak membalas dosa itu. Selain itu,
sifat ini juga bermaksud tidak segera mengambil tindakan untuk menghukumnya.
Jadi, Allah s.w.t adalah Maha Pemaaf, Maha Santun, Maha Pemurah dan suka
memaafkan.
Oleh kerana itu, kita memohon kepada
Allah s.w.t Yang Maha Tinggi dan Maha Agung agar menghiaskan diri kita semua dengan sifat
pemaaf, sifat pemurah, sifat lemah lembut dan sifat santun-Nya.
Hendaklah
setiap orang dari kita bertanya kepada dirinya setelah mengetahui sifat mulia
ini, apakah kita tergolong dalam orang yang berjiwa besar?
Apakah
kita benar-benar menghiaskan diri kita dengan sifat yang sedang kita bincangkan
ini?
Adakah
kita telah bersifat lalai dalam masalah ini, yang hal itu menyebabkan datangnya
perkara-perkara buruk lain, seperti permusuhan, hasad-dengki, dan mencari-cari
kesempatan untuk membalas dendam kepada si A atau si B?
Telah
bayak bercampur-aduk dalam diri kita ini antara keinginan untuk membela agama
dan keinginan untuk membela diri sendiri. Kadang-kadang seseorang keluar dengan sangat marah serta ingin
menang dan membalas dendam, juga ingin menjatuhkan musuh, menjatuhkan orang
yang menyalahinya, atau menjatuhkan orang yang tidak bersefahaman dengannya.
Dia keluar dengan wajah yang sangat menggerunkan dan pada ketika itu, dia juga
keluar dengan berhujahkan agama, sambil berkata dengan hujahnya itu, bahawa dia
ingin membela agama, membela akidah dan membela iman. Dia melakukan hal itu
kerana terlalu ghairah ingin menjaga Syariat Islam dan sangat ingin membelanya
sehingga perkara ini menjadi tidak jelas baginya lagi. Apakah dia keluar kerana
hendak memenangkan kepentingan peribadi, atau kerana ingin memenangkan agama
Allah s.w.t???
Hal ini sering terjadi pada diri kita.
Terutama pada masalah ‘izzah (kemuliaan).
Kita sering mengatakan bahawa seorang mukmin adalah ‘aziz (mulia). Hal ini kerana Allah s.w.t menyatakan bahawa ‘izzah itu adalah milik Allah s.w.t,
Rasulullah s.a.w, dan seluruh kaum mukminin.
Seringkali masalah ‘izzah ini menjadi tidak
jelas di hadapan kita. Perkara yang dimaksudkan di sini ialah ‘izzatunnafs (kemuliaan diri) yang
bercampur dengan keinginan untuk membalas dendam, atau keinginan untuk membalas
terhadap seseorang yang telah berbuat salah kepada kita.
Akhirnya mungkin kita telah melakukan
sesuatu yang tidak layak untuk diletakan dibwah alasan ‘izzah, yakni izzah seorang
mukmin. Dengan alasan bahawa seorang mukmin tidak boleh dizalimi dan tidak
meredhai adanya kezaliman serta untuk
menyatakan bahawa sesungguhnya ia bukan orang yang lemah.
Lalu ia berusaha membela
dirinya, sehinggakan dia menjadi sangat berlebihan dalam pembelaan ini. Ia
melakukannya dengan berpayungkan ‘izzah,
yakni ‘izzatu mukmin.
Dia berdalil dengan firman Allah s.w.t
yang berbunyi:
{Dan orang-orang yang apabila mereka
diperlakukan dengan zalim mereka membela diri.} [Asy- Syura: 39].
Ia tidak menyedari bahawa seluruh ayat
Al-Quran, telah menyebutkan betapa besar keutamaan orang yang memaafkan,
mengampuni dan menahan diri. Ia melupai bahawa Allah s.w.t telah berfirman:
{Dan
tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang
lebih baik, sehingga orang yang di antaramu dan di antara dia ada permusuhan
seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.} [Fussilat:34]
Tetapi siapakah yang boleh melakukan
hal itu? Siapakah yang mampu menahan diri untuk untuk tetap berakhlak mulia?! Oleh
kerana itu Allah s.w.t meneruskan firman-Nya:
{Dan
sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh
orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan
melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan
dunia dan akhirat.} [Surah Fussilat:35].
Syaitan selalu datang menghasut agar
seseorang mencari kemenangan untuk dirinya secara peribadi. Sambil berkeyakinan
bahawa meninggalkan “mencari kemenangan” adalah tanda kelemahan dan pengecut serta
manusia akan mencaci bahawa dia adalah orang yang lemah. Dia akan diejek bahawa
dirinya penuh dengan kekurangan kerana tidak mampu mencari kemenangan. Padahal
Allah s.w.t. telah berfirman:
{Dan jika kamu ditimpa sesuatu
godaan syaitan Maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha
mendengar lagi Maha Mengetahui.} [Surah Al-A’raaf: 200].
Dalam
ayat-ayat ini, Allah s.w.t menyuruh kita agar memperbaiki keperibadian kita dan
memperbaiki pemahaman kita.
Apa yang menjadi kewajiban bagi
seseorang? Apa erti sebuah keutamaan? Bagaimanakah seseorang menjadi tinggi
dengan dirinya dan bagaimana dapat menggagalkan tipu daya syaitan, sehingga
tidak berhasil merosakkan dirinya ketika ia berusaha memperbaiki hati dan amal
perbuatan.
Saya
akan menyebutkan banyak contoh yang membuktikan, bahawa telah banyak terjadi taqsir[1]
(kelalaian) dan kesalahan yang jelas pada setiap peringkat manusia. Samada
perkara tersebut berlaku di antara para daie yang mengajak kepada jalan Allah
s.w.t, pada kebanyakan manusia, para suami atau isteri, pada tetangga, pada murabbi (pendidik), pada orang-orang yang mengerjakan
solat atau pada setiap kelompok masyarakat, melainkan orang-orang yang
dirahmati Allah s.w.t.
Benar! Ini adalah contoh-contoh yang menjelaskan
tentang keadaan kita. Jika dibandingkan keadaan kita, dengan keadaan
orang-orang yang telah mentarbiyah
(mendidik) jiwa mereka dan tidak lagi memperdulikan kepentingan peribadinya.
Dalam perbahasan ini saya tidak
menyebut keistimewaan-keistimewaan Rasulullah s.a.w yang berkaitan dengan
masalah ini secara khusus. Seperti keistimewaan-keistimewaan dan akhlak mulia
beliau yang termaktub dalam Hadith A’isyah r.a: “Akhlak Baginda adalah al-Quran.” [HR. Ahmad].
Cuba
anda bayangkan….
Apakah
yang akan anda jangka pada seseorang yang akhlaknya seperti Al-Quran?!
Pasti yang anda akan dapati satu dada
yang lapang, yang tidak memperdulikan kepentingan peribadi dan selalu
menghindari akhlak buruk yang hina. Oleh
kerana itu, jika kita membincangkan akhlak mulia Rasulullah s.a.w, cacatan
ringkas ini tidak cukup untuk membahasnya.
Kemudian, jika kita membincangkan akhlak
Nabi s.a.w dalam masalah akhlak secara khusus, akan ada orang yang akan mengatakan, “Ini adalah Rasulullah
s.a.w. Allah s.w.t telah menghilangkan segala gangguan syaitan daripadanya ketika
Baginda s.a.w masih kecil dan menyusu di
Bani Saad. Allah s.w.t telah mengeluarkan segumpal darah daripada tubuhnya dalam
peristiwa dada Baginda dibelah. Selepas
peristiwa tersebut, dada Baginda
dibelah lagi untuk kedua kalinya dalam
peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Jantung Baginda
telah dicuci dengan Air Zam-Zam dalam bejana emas sehingga benar-benar
disucikan. Oleh itu, seseorang yang darjatnya seperti ini, tidak diragukan
bahawa dia menjadi manusia yang paling banyak sifat santunnya, dan paling baik
hatinya."
Seseorang
itu akan berdalih dengan hal ini lalu mengatakan lagi: “Itu adalah Rasulullah
s.a.w., seseorang yang telah disucikan oleh Allah s.w.t. sedemikian rupa. Jadi,
siapakah kita kalau mahu dibandingkan dengan Baginda s.a.w?”
Oleh kerana itu, saya juga membawa
contoh daripada kehidupan manusia biasa, iaitu para ulama' kita yang soleh (salafus soleh), - semoga Allah s.w.t meredhai
mereka - dalam beberapa bidang kehidupan. Ini agar seseorang tidak boleh lagi menyangkal
dengan apa-apa hujjah pun.
Maksud
dari perbincangan ini adalah
untuk mengubati dan memperbaiki jiwa kita serta memutuskan tipu daya syaitan
terhadap diri kita. Tetapi saya juga membawa beberapa contoh daripada kehidupan
Rasulullah s.a.w pada beberapa keadaan tertentu.
KENAPA
DEMIKIAN?!
Ini kerana jika contoh ini terjadi kepada orang
lain, bukan Rasulullah s.a.w, pasti akan ada orang yang jiwanya masih terkesan
dengan perangai jahiliyah akan membantahnya. Atau jika contoh yang diberi itu
bukan Rasulullah pula, dia akan berani mengejek dan mencelanya pula, seperti yang
akan dapat dilihat pada contoh-contoh dalam perbahasan ini.
Cuba uji diri anda ketika anda berbeza
pendapat dengan sesuatu kaum pada suatu masalah ilmiah dalam hal akidah di mana
mereka orang-orang yang suka menurut hawa nafsu, sering melakukan perkara
bid’ah dan kesesatan.
Mengikut akidah Ahlus Sunnah wal
Jamaah, jika seseorang telah hilang iman dari hatinya, maka kita tidak perlu
berwala’ (memberikan kesetiaan) kepada mereka lagi. Sebagaiman firman Allah
s.w.t yang berbunyi:
{Engkau
tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat,
tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan
Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka,
atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka
(yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah
menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan
memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta
bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama)
Allah. Ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah
orang-orang yang berjaya.} [Surah Al-Mujaadilah: 22]
Maka, orang kafir itu tidak perlu
diberi wala’. Adapun seseorang yang
menggabungkan antara amal baik dan buruk maka perkara itu termasuk dalam
kategori syubhat seperti perbuatan
bid’ah dan kesesatan atau pada masalah syahwat seperti maksiat, maka Al-Wala’ [2]
dan Al-Bara’ [3]
menjadi terpecah terhadap dirinya.
Oleh itu, akidah Ahlus Sunnah wal
Jamaah dalam hal ini sangat jelas. Iaitu kita mencintai seseorang sesuai mengikut ukuran
keimanan dan sejauh mana ia mengikuti As-Sunnah. Kita membenci seseorang juga adalah
berdasarkan kepada tahap penyimpangan, kesesatan, serta seberapa jauh
ketaatannya daripada Allah s.w.t.
Kadang-kadang kita mencampur-aduk hal ini menjadi satu tanpa
membezakannya sedikitpun.
Tetapi
perkara ini menjadi tidak jelas apabila kita bersemuka dengan seseorang yang
kita ingkari kerana telah bersikap meremehkan Allah s.w.t, baik kerana syubhat atau syahwat. Maka kita menduga bahawa kita berhak melakukan suatu
tindakan syar’ie dengan alasan membela agama. Hakikatnya, kita membela diri
sendiri. Barangkali sebahagian kita pernah menceroboh hak seseorang samada dengan
suatu ucapan yang tidak sepatutnya atau boleh jadi kita menyakiti dan menghina
maruahnya.
Apabila dia mengetahui hal ini, dia
terus naik angin dan menyingsingkan lengan baju demi membela agama serta
mengerahkan segala tenaga sambil meyakini bahawa ini adalah pembelaan terhadap
agama, tauhid, akidah dan iman. Padahal perkara ini mungkin bukan seperti itu.
Hal ini berlaku kerana dia hanya membela kepentingan peribadi, syahwat dan
dirinya.
bersambung ke siri 2: ANTARA
TOKOH-TOKOH YANG BERJIWA BESAR. di: http://abuanasmadani.blogspot.com/2013/04/siri-02-akhlak-orang-yang-berjiwa-besar.html