Biodata

Wednesday, October 5, 2011

Golongan yang mempersendakan Agama

Bismillahirrahmanirrahim
Apakah sikap kita?
Dalam catatan yang ringkas ini, insya’Allah sama-sama kita ikuti kisah ‘Madrasah al-Istihza’, golongan yang mempersendakan para ulamak dan para du’ah serta ajaran dakwah Islamiyyah yang dibawanya. Madrasah ini telah diasaskan oleh golongan munafiqin bagi menentang perjuangan Islam di zaman Rasulullah SAW dan diteruskan oleh golongan sekular atau modenis di zaman sekarang.
Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah melalui dan merasai kepahitan tuduhan dan tohmahan yang di lemparkan oleh golongan tersebut. Mereka cuba menghitamkan sirah Rasulullah SAW dan cuba menjatuhkan martabat Baginda sekaligus menjauhkan manusia dari dakwah dan jihad yang dibawanya. Mereka telah menyakiti Baginda sepertimana orang kafir Quraish menyakiti Baginda dengan mengeluarkan Baginda dari kampung halamannya sehingga Baginda terpaksa meninggalkan semua harta benda dan rumah tangganya.

Munafiqin di Madinah;
Di Madinah, Baginda SAW sentiasa berada di Masjid bersama para sahabat. Baginda SAW mengajar ,mendidik dan mentarbiyah mereka yang terdiri dari semua lapisan masyarakat, tua dan muda, miskin dan kaya. Di kalangan para sahabat itu terdapat seorang kanak-kanak kecil, tetapi walaupun masih kecil, jiwanya telah dipenuhi dengan kalimah tauhid dan keimanan yang teguh. Beliau ialah ‘Umair ibn Sa’ad radhiallahu ‘anhu.
Pada suatu hari, ‘Umair telah pergi ke rumah bapa saudaranya, seorang tua yang telah berumur lebih enam puluh tahun, tetapi dirinya penuh dengan sifat-sifat munafiq. Namun demikian beliau sentiasa bersolat bersama orang lain di masjid, bahkan berpuasa dan mengerjakan ‘umrah. Beliau adalah seorang pendusta risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Namanya Al-Julas ibn Suwaid.
Semasa berada di rumah bapa saudaranya itu, ‘Umair pun menceritakan apa yang telah dipelajarinya dari Rasulullah SAW, katanya: “Wahai ‘ammi (pak cikku)! Kami telah mendengar Rasulullah SAW menceritakan tentang kesusahan hari Qiamat, sehingga kami terasa dan tergambar seolah-olah hari Qiamat itu telah berlaku di hadapan mata kami”. Setelah mendengar kata-kata ‘Umair tersebut Al-Julas lantas mencelah dengan katanya: “Wahai ‘Umair! Demi Allah! Kalaulah Muhammad seorang yang benar maka kami semua lebih bodoh dari himar (keldai)!”.
Maka dengan serta merta berubah air muka ‘Umair serta gementar tubuhnya kerana terlalu marah, lalu beliau terus membantah cakap Al-Julas, dengan berkata: “Ammi (Pak cik)! Demi Allah! Engkaulah orang yang paling aku sayangi dengan sepenuh hati sebelum ini, tetapi demi Allah! Sekarang engkaulah orang yang paling aku benci”. Kemudian ‘Umair berkata lagi: “Aku sekarang berada di antara dua persimpangan jalan. Samada aku diamkan saja perkataan engkau ini, maka aku telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, atau aku akan laporkan kepada Rasulullah SAW dan terserahlah apa akan terjadi selepas ini”.
Setelah mendengar bantahan ‘Umair, Al-Julas terus mengejek anak saudaranya: “Umair! Engkau seorang kanak-kanak yang masih mentah. Orang tidak akan percaya apa yang engkau cakap. Pergilah beritahu apa yang engkau suka”.
Maka dengan segera ‘Umair keluar dari rumah bapa saudaranya pergi menghadap Rasulullah SAW dan melaporkannya: “Wahai Rasulullah! Al-Julas bapa saudaraku telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya aku berlepas diri daripadanya kepada Allah dan kepada engkau”.
Rasulullah SAW bertanya: “Apakah yang diucapkan olehnya wahai ‘Umair?” Katanya: “Kalaulah Muhammad seorang yang benar maka kami semua lebih bodoh dari himar”.
Rasulullah SAW tidak terus membuat keputusan memandangkan kedudukan Al-Julas di kalangan sahabat, tetapi Baginda memanggil beberapa orang sahabat dan bermesyuarat dengan mereka. Beberapa orang sahabat memberi pendapat, katanya: “Umair seorang kanak-kanak yang masih mentah. Jangan tuan percaya cakapnya. Dia tidak tahu apa yang dicakapnya, sedangkan Al-Julas seorang tua yang baik, sentiasa bersolat bersama kami”.
Rasulullah SAW diam, tidak membenarkan laporan tersebut. Maka menangislah ‘Umair teresak-esak dan menggigil tubuhnya serta mengangkat mukanya ke langit, mengharapkan bantuan dari langit setelah tiada lagi tempat mengadu di bumi. Mengharapkan tasdiq(pembenaran) dan penyaksian dari Yang Maha Mengetahui segala perkara ghaib dan tersembunyi. Beliau berdoa: “Ya Allah! Sekiranya apa yang aku sampaikan ini benar maka benarkanlah. Dan sekiranya apa yang aku sampaikan ini dusta maka dustakanlah”.
Belum sempat Rasulullah SAW meninggalkan majlisnya itu dan keluar dari masjid, Jibril alaihissalam telah datang dari atas tujuh petala langit membawa perakuan atau shahadah pembenaran laporan ‘Umair bin Sa’ad melalui firman Allah SWT yang dapat kita baca hingga hari ini, yang bermaksud:
“Golongan munafiqin bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Dan sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kufur dan telah menjadi kafir sesudah Islam, dan mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya (dengan percubaan membunuh Rasulullah SAW”. [Surah at-Taubah: 74].
Rasulullah SAW terus memanggil Al-Julas dan bertanya tentang apa yang diucapkannya. Al-Julas dengan mudah terus bersumpah bahawa beliau tidak berkata apa-apa terhadap Rasulullah SAW. Baginda SAW terus membaca ayat yang diturunkan itu dan bersabda: “Sesungguhnya engkau wahai Al-Julas telah kafir!. Maka bertaubatlah kamu sekarang kerana firman Allah yang bermaksud:
“Maka jika mereka bertaubat, maka itu lebih baik bagi mereka” [Surah at-Taubah: 74].
Kemudian Rasulullah SAW memanggil ‘Umair bin Sa’ad dan mengucapkan “Marhaban” atau tahniah kerana laporannya mendapat akuan benar dari atas tujuh petala langit. [Al-Sayuti,Tafsir al-Durr al-Manthur, 3/463-464]
Demikianlah kisah ‘Umair RA dengan golongan munafiqin yang sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan kedudukan para du’at dan alim ulamak.

Munafiqin ketika Perang Tabuk;
Sekarang kita ikuti sebuah lagi kisah atau peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW tentang golongan yang mempersendakan Rasulullah SAW, agama Islam dan para sahabat ini.
Al-Hafiz Ibnu Kathir telah meriwayatkan daripada beberapa orang sahabat seperti Ibnu ‘Umar, Muhammad bin Kaab dan Zaid bin Aslam RA bahawa seorang munafiq telah berkata sewaktu keluar untuk pergi berperang ke Tabuk: “Kami tidak pernah melihat satu golongan seperti para Qurra’ ini (iaitu tentera yang keluar ke Tabuk, Rasulullah SAW dan para sahabat). Mereka hanya gemar mengisi perut sahaja, mempunyai lidah yang suka berbohong serta sangat pengecut bila berdepan dengan musuh”.
Seorang sahabat bernama ‘Auf bin Malik terus membantah: “Bohong! Apa yang engkau cakapkan itu adalah dusta. Engkau seorang munafiq. Aku akan laporkan kepada Rasulullah SAW apa yang engkau katakan”.
Kemudian datanglah munafiq tadi menghadap Rasulullah SAW, sedang Baginda SAW berada di atas untanya untuk keluar. Beliau cuba memujuk Baginda, kononnya apa yang diucapkan itu cakap-cakap kosong dan main-main sahaja bagi menghilangkan rasa bosan dalam perjalanan. Rasulullah SAW terus berjalan tanpa menghiraukan rayuannya. Beliau terus bergantung pada tali unta Baginda dan ditarik oleh unta itu di atas batu. Rasulullah SAW hanya menjawab dengan ayat al-Quran yang telah diturunkan, yang bermaksud:
“Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu beristihza’ (bersenda gurau atau bermain olok-olok)? Tidak usahlah kamu meminta maaf. Sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman”. [Surah at-Taubah: 65-66. Lihat Tafsir Ibnu Kathir 2/351].

Pengajaran dan Iktibar;
Di antara beberapa pengajaran dan iktibar yang dapat diambil daripada kisah-kisah yang tersebut di atas:
1. Para pemuda hendaklah bersikap tegas dan berani serta prihatin terhadap isu-isu semasa yang timbul dalam soal aqidah dan syariat Islamiyyah. Kita hendaklah mengambil tindakan sedaya yang mampu untuk mempertahankan kesucian dan kemurnian aqidah dan syariat Islamiyyah daripada dipermain-mainkan oleh golongan yang mempunyai sikap seperti Al-Julas dan yang seumpamanya. Begitu juga semua golongan yang mempersenda-sendakan undang-undang Islam dengan dakwaan bahawa ia tidak sesuai, lapuk, ketinggalan zaman, zalim, tidak adil, primitif dan lain-lain. Kita tidak boleh berdiam diri atau hanya menjadi penonton kepada apa yang berlaku di hadapan kita.

2. Kita hendaklah sedar bahawa dalam masyarakat Islam, bahkan di dalam masjid umat Islam ada golongan munafiq yang zahirnya Islam tapi diri mereka penuh dengan dusta dan engkar akan perintah Allah dan Rasul-Nya. Tujuan golongan ini ialah untuk menghancurkan Islam dari dalam. Mereka memainkan peranan untuk menjatuhkan para ulamak, pendakwah dan para solihin, sebagaimana anjing menjilat air dengan lidahnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan seperti itulah kami telah jadikan bagi setiap Nabi musuh dari kalangan orang yang jahat. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai pemberi petunjuk dan penolong”. [Surah al-Furqan: 31].

3. Orang yang beristiqamah di jalan Allah SWT, yang patuh kepada perintah Allah SWT dari kalangan yang mendokong perjuangan Islam, para ulamak dan pendakwah dilemparkan dengan berbagai tuduhan dan gelaran buruk seperti pelampau agama (al-Mutatarrif), terpesong dan sesat, ekstrim (al-Mutasyaddid), golongan yang gopoh dan berbagai jenis lagi istilah, label dan ibarat penghinaan yang dicampakkan ke atas mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Alangkah kejinya kata-kata yang keluar dari mulut mereka itu. Mereka tidaklah berkata sesuatu melainkan dusta semata-mata.” [Surah al-Kahf: 5].
Tujuan mereka melakukan perkara tersebut adalah untuk dan menjatuhkan keadilan para ulamak, pendakwah dan pendokong dakwah Islamiyyah, kerana mereka inilah sebenarnya yang menjadi pembela kepada Islam.

4. Golongan munafiqin juga berusaha menyempit dan mengagalkan peranan para ulamak dan cuba memisahkan mereka dari menjalankan tugas sebenar sebagai pewaris Anbia’. Kononnya ulamak hanya layak duduk di masjid dan surau sahaja. Bahkan lebih dahsyat dari itu mereka mengatakan bahawa kemunduran yang melanda umat Islam adalah disebabkan oleh para ulamaknya.

5. Ada di antara perbuatan atau kelakuan tersebut yang tidak boleh dimaafkan lagi kecuali pelakunya betul-betul bertaubat dan menyesal terhadap apa yang dilakukannya. Segala amalan baik orang yang mempermain-mainkan agama telah gugur kerana dengan perbuatan itu mereka menjadi kafir, (waliyazu billah) sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat yang diturunkan untuk membela ‘Umair bin Sa’ad. Begitu juga apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap munafiq yang bergantung kepada tali unta Baginda.
Akhirnya, sama-samalah kita renung dan lihat, golongan manakah yang baik dan perlu diikuti serta dicontohi? Golongan yang mendakwa membawa kemajuan dengan berbagai slogan dan di’ayah, tetapi di sebalik itu penuh dengan tipu daya. Atau golongan yang bercita-cita untuk melihat keagungan Islam dengan aqidah dan syariatnya kembali berdaulat di atas muka bumi Allah SWT ini yang menjadi pengikut ‘Umair bin Sa’ad RA yang wajib diikuti dan dicontohi?.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adakah patut kami jadikan orang Islam seperti orang mujrimin (jahat dan kafir)? Bagaimanakah kamu membuat keputusan?” [Surah al-Qalam: 35-36].

3 buah kitab Hukum Mempermainkan Agama:
1] http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1874
2]  http://saaid.net/book/open.php?cat=1&book=6056
3] http://saaid.net/book/open.php?cat=1&book=161

Wasallallahu ‘ala Nabiyyina Muhammad.
Akhukum fil Islam,
Abdul Basit Abdul Rahman
(Abu Anas Madani)
11 Muharram 1427H.