بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, yang
telah menyampaikan kita pada bulan Ramadhan tahun ini lalu memberi peluang
untuk kita menambah amal kebajikan. Semoga buku amalan kita dipenuhi dengan
pahala-pahala yang dikaut sepanjang Ramadhan ini, insya’Allah. Hari ini hari
ke20, esok kita akan memasuki 10 ketiga atau terakhir bulan Ramadhan. Hari-hari
yang memiliki kelebihan dan kemulian yang khas dan berbanding lainnya.
Di antara nikmat dan hadiah Allah SWT terhadap
hamba-Nya umat Islam akhir zaman ini, dianugerahkannya kepada kita satu malam
yang mulia dan mempunyai banyak kelebihan. Suatu keutamaan yang tidak pernah
didapati pada malam-malam selainnya. Iaitu malam “Lailatul Qadr”. Suatu malam
yang lebih baik daripada seribu bulan, sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ * وَمَا أَدْرَاكَ مَا
لَيْلَةُ الْقَدْرِ * لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ * تَنَزَّلُ
الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ * سَلَامٌ
هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ *
{Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada
malam taqdir (Lailatul Qadr). Dan tahukah kamu apakah malam taqdir (Lailatul
Qadr) itu? Malam taqdir itu (Lailatul Qadr) lebih baik daripada seribu bulan.
Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya
untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit
fajar”. [Al-Qadr: 1-5]
BAGAIMANAKAH WANITA MUSLIMAH YANG UZUR HAIDH NAK DAPAT LAILATUL QADAR
Ulama' menjelaskan bahawa (pahala)
amalan pada malam yang barakah itu lebih baik daripada pahala amalan yang dikerjakan selama 1000
bulan yang lain. 1000 bulan itu sama dengan 83 tahun lebih. Itulah di antara
keutamaan malam yang mulia tersebut.
Rasulullah SAW pada 10 terakhir Ramadhan ini
meningkatkan amalan ibadah Baginda dan berusaha untuk meraihnya. Baginda
bersabda:
مَنْ قَامَ
لَيْلَةَ الْقَدْرِإِيْمَاناًوَاحْتِسَاباً،غُفِرَلَهُ مَاتَقَدَّمُ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Lailatul
Qadr dengan penuh keimanan dan mengharap balasan (dari Allah), diampunkan
dosa-dosanya yang telah lalu”. [HR Al Bukhari no.1768, An Nasa’i no. 2164,
Ahmad no. 8222].
Ummul Mukminin Aisyah ra meriwayatkan tentang keadaan Nabi
SAW pada 10 terakhir Ramadhan :
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل العشر - أي العشر الأخير من
رمضان - شد مئزره، وأحيا ليله، وأيقظ أهله . متفق عليه
“Adalah Rasulullah SAW
apabila memasuki 10 terakhir Ramadhan, Baginda mengikat tali kainnya (yakni
meningkat amalan ibadah Baginda), menghidupkan malam-malamnya, dan membangunkan
isteri-isterinya.” [Muttafaqun ‘alaihi]
Untuk penjelasan lebih lanjut tentang Lailatul Qadr
sila dengar:
Tazkirah Jumaat Ramadhan 1431 BHG 3 BAB Nuzul Quran & Lailatul Qadar
Muslimat di 10 Akhir Ramadhan;
Apa yang ingin dibincangkan atau menjadi persoalan
utama di sini ialah keluhan-keluhan dan pertanyaan daripada kawan-kawan
muslimat.
“Alamak! Esok dah 21 Ramadhan period saya baru mula...
terlepas la Lailatul Qadr tahun ni..”
“Saya dah tiga tahun, tinggal puasa ‘cuti’di akhir Ramadhan, bila la nak dapat Lailatul Qadr??”
“Kalau kita ‘uzur’ apa ibadat yang boleh kita buat
untuk mendapatkan Lailatul Qadr?”
Serta pelbagai lagi bentuk persoalan, tetapi isu
utamanya adalah: “Bagaimanakah cara bagi wanita yang datang haidh
(cuti/uzur) beribadat juga peluang untuk turut meraih Lailatul Qadr??”
Ini bukan isu yang kecil kerana sehingga ada yang
sanggup untuk mengambil ubat penahan haidh pada bulan Ramadhan ini kerana takut
kerugian dan terlepas tawaran istimewa yang hanya datang setahun sekali ini.
Sebenarnya kita tidak perlu bertindak sejauh itu, haidh
adalah satu nature, tabi’i bagi kaum Hawa. Allah Yang Maha Adil, yang mencipta
kita dan memberikan sifat itu kepada kita pasti sekali tidak akan membiarkan
kita kerugian dan terlepas tawaran yang begitu besar ini.
Orang yang berhadas besar
seperti haidh ini hanya tidak boleh melakukan ibadat puasa, solat serta membaca al-Quran (serta semua yang
memerlukan wudhu’).
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Bukankah wanita itu jika sedang haidh dia tidak solat dan tidak berpuasa? Itulah
kekurangan agamanya.” [HR Bukhari]
Walaupun Allah memberi kita
‘cuti’, tidak dibolehkan puasa dan solat,
namun ia tidak bererti kita tidak boleh melakukan sebarang amalan atau ibadat
yang boleh menambahkan lagi pahala kita, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan
yang segala amalan dilipat gandakan pahalanya.
Banyak lagi
amalan-amalan yang dicintai oleh Allah SWT serta ibadah sunnah lainnya yang
dianjurkan yang dapat dilakukan diantaranya:
1)
Menyediakan dan memberi iftor
(hidangan berbuka).
Menyediakan makanan kepada
orang-orang yang puasa samada anggota keluarga ataupun saudara-saudara umat
Islam. Iftor adalah amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, kerana
mengandung pahala yang besar dan kebaikan yang berlimpah.
Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang memberi iftor
(hidangan untuk berbuka) orang-orang yang puasa/berpuasa maka baginya pahala
seperti orang yang puasa/berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun". [H.R.
Bukhari dan Muslim].
Jika tidak mampu dari segi
kewangan, tolonglah ibu atau kakak di dapur untuk menyediakan hidangan berbuka
bagi keluarga. Juga memberi sumbangan tenaga menolong di tempat-tempat yang
menganjurkan jamuan berbuka puasa seperti di masjid-masjid atau surau
berdekatan.
2)
Menyediakan Makanan Sahur.
Menyediakan makanan
sahur kepada anggota keluarga ataupun saudara-saudara Islam lain juga satu
ibadat yang tidak kurang besar pahala dan faedahnya. Selain memberi makan
kepada orang lain, ia juga memberi kita peluang untuk turut menghidupkan waktu
sahur serta qiyamullail. Walaupun tidak dapat bersolat masih banyak lagi ibadat
lain yang dapat kita lakukan.
Sabda Rasulullah SAW:
Ertinya: "Allah turun ke
langit dunia, ketika malam telah tinggal sepertiga yang akhir. Maka Allah
berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku perkenankan doanya. Sesiapa
yang minta ampun kepada-Ku, maka Aku ampuni dia." (HR. Bukhârî dan
Muslim).
Dan Sabda Nabi SAW yang
bermaksud: "Pada waktu malam, sesungguhnya ada suatu saat, dimana jika
seseorang Muslim memohon kepada Allah suatu kebajikan dunia dan akhirat ketika
itu, niscaya Allah mengabulkannya." (HR. Muslim).
Bagi kaum ibu yang sudah
menjadi tugasan wajib bangun untuk menyediakan juadah sahur serta mengejutkan keluarga,
anak-anak dan bapanya, maka ambillah kesempatan itu untuk turut bersama berdoa,
beristighfar dan berzikir mengingati Allah.
Anak-anak
gadis pun bangunlah untuk menolong ibu di dapur lalu memberi peluang kepada
mereka yang tidak ‘cuti’ beribadat lebih lama, serta mengambil peluang waktu
mustajab itu untuk turut berdoa dan berzikir, bukan hanya meneruskan tidur
tanpa apa-apa input yang berfaedah! Bahkan setengah tu siap berpesan: “Mak
malam ni tak payah kejut sahur, saya cuti??!!” Bukankah ini amat merugikan?
Korbanlah masa tidur untuk sepuluh malam terakhir yang entah bila lagi kita
akan sempat laluinya.
3)
Menjauhi Larangan Agama.
Kita hendaklah bijak memanfaatkan
setiap detik ketika bulan Ramadhan walaupun ketika sedang haidh, dan terhalang
menunaikan puasa masih mendapat pahala iaitu dengan berusaha menjauhi segala yang
dilarang oleh agama,dan berusaha menjaga lidah dari mengeluarkan kata-kata
buruk seperti berdusta, mengumpat dan seumpamanya. Bahkan sentiasa membasahinya
dengan sesuatu yang berfaedah dan memberi pahala.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa tidak meninggalkan
perkataan zurr (dusta, mengumpat, ghibah) maka tiada artinya di sisi
ALLAH baginya puasa dari makan dan minum" . [HR Bukhari].
Jangan kerana tidak puasa, bukan hanya meninggalkan ibadat
tetapi terus leka menonton tv, mendengar
lagu-lagu yang tidak elok, surfing internet tanpa manfaat dan seumpamanya. Jadi kita juga harus menjaga mata,
telinga dan seluruh anggota kita yang lain daripada menjadi penyumbang dosa dan
pengikis pahala pula!!!
4)
Banyakkan Berdoa dan Berzikir Sepanjang
Hari.
Berdoa di bulan Ramadhan
adalah sangat mustajab, dan sangat digalakkan, maka manfaatkan waktu dengan sentiasa
berdoa dan bezikir setiap masa.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada kaum membaca Kitab
Allah (berzikir kepada ALLAH) kecuali mereka di kelilingi oleh
malaikat-malaikat, di liputi oleh Rahmat, turun kepada mereka ketenteraman, dan
ALLAH menyebut mereka sebagai orang-orang yang di sisi-Nya.” [HR. Muslim].
Walau tidak solat, kita boleh
berdoa pada bila-bila masa saja terutamanya pada waktu yang mustajab seperti ketika
sesudah azan dan pada waktu sahur. Kerana itu bangunlah pada waktu sahur
walupun ‘cuti’.
5)
Mengingatkan anggota keluarga
kepada kebaikan.
Samada suami/anak/saudara lelaki
agar sentiasa solat berjamaah di masjid. Juga solat sunat terutama solat terawih,
sunat dhuha dan solat sunat qiyamul lail.
Juga dengan memberi peluang
kepada ibu/saudara/kawan yang mempunyai anak kecil dan jarang berpeluang ke
masjid untuk bersolat terawih dengan menawarkan diri untuk menjaga anak mereka
semasa waktu terawih.
Rasulullah SAW bersabda:
“Dan jikalau mereka mengetahui
apa-apa yang ada dalam solat Isya’ dan Subuh nescaya mereka mendatangi keduanya
bahkan mereka akan mencintainya.” [HR. Bukhari]
“Berikanlah kabar gembira
kepada orang-orang yang berjalan bersama-sama ke masjid di kegelapan dengan
cahaya yang sempurna pada hari akhir nanti.” [H.R At Tirmizi].
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang solat Subuh
berjamaah,lalu duduk berzikir kepada Allah Subhanu wa Ta’ala hingga terbit
matahari,kemudian solat dhuha dua rakaat,maka untuknya pahala haji dan umrah,
yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna .” (HR. At Tirmizi)
“Hendaklah kamu mendirikan
qiyamul lail, kerana dia adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu, jalan
untuk mendekatkan pada Tuhan kamu, penghapus dosa-dosa, pencegah maksiat, dan
penolak masuknya penyakit ke badan”. (HR. At Tirmizi).
6)
Menyibukkan diri menuntut Ilmu yang
Manfaat.
Kita juga boleh menambah atau menyampaikan ilmu samada dengan menghadiri kuliah, mendengar
ceramah agama, membaca buku-buku ilmiah, nendengar bacaan al-Quran atau
membaca tafsiran al-Quran dan sebagainya yang dapat menambahkan amal kebajikan
dan manfaat diri.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa menempuh suatu jalan
untuk menuntut Ilmu, nescaya Allah SWT menunjukkan jalan menuju Syurga
Baginya”. (H.R. Muslim)
7)
Banyak Bersedekah dan derma.
Meningkatkan
amalan kebajikan seperti bersedekah, berderma dan seumpamanya.
Ibnu Abbas ra
berkata: “Rasulullah SAW adalah manusia yang sangat pemurah dan Baginda akan
menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan... dan Baginda SAW lebih pemurah
dalam kebaikan daripada angin yang kencang.”
[HR: Al-Bukhari]
Rasulullah SAW
menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sabda
Nabi SAW:
)) اتَّقُوا النَّارَ
وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ)) البخاري
Maksudnya: “Takutilah
api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar”. [HR: Al-Bukhari].
Imam asy-Syafie
berkata: “Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadhan kerana
ia mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW, kerana ketika itu manusia berhajat
kepada bantuan untuk keperluan mereka. Ini kerana manusia sibuk dengan puasa
dan solat (ibadat) berbanding pekerjaan masing-masing”.
Kaum wanita yang
mempunyai kemampuan masih berpeluang berderma dan bersedekah pada waktu ini.
Kesimpulan:
Sebenarnya terlalu banyak lagi
kebaikan dan ibadat yang dapat kita lakukan, tinggal hendak atau tidak
sahaja!!!
Dengan niat yang baik dan
keikhlasan kita ingin beribadat, serta kita pun telah menunjukkan kesungguhan
dari awal Ramadhan lagi; iaitu telah melakukan segala ibadat sebaik mungkin
ketika mampu dan boleh melakukannya, insya’Allah kita akan dapat mencapai
pahala pada malam Lailatul Qadar dengan sepenuh dan sebanyak mungkin sama
seperti yang tidak uzur (samada uzur Syar’ie atau uzur tubuh badan).
Sebagaimana hadis ini:
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزَاةٍ فَقَالَ إِنَّ أَقْوَامًا بِالْمَدِينَةِ
خَلْفَنَا مَا سَلَكْنَا شِعْبًا وَلَا وَادِيًا إِلَّا وَهُمْ مَعَنَا فِيهِ حَبَسَهُمْ
الْعُذْرُ. صحيح البخاري
Dari Anas RA, sesungguhnya Rasulullah
SAW telah bersabda semasa pulang dari peperangan Tabuk: “Sesungguhnya terdapat di Madinah sekumpulan
lelaki yang kita tinggalkan, namun setiap bukit yang kita daki, setiap lembah
yang kita rentasi, mereka tetap bersama kita dalam perjalanan. Mereka terhalang
(untuk ikut serta) oleh keuzuran.” [HR Bukhari].
Mudah-mudahan memberi manfaat
buat semua, khususnya para muslimat diluar sana. Semoga Allah SWT sentiasa
memberi kita hidayah dan kekuataan untuk sentiasa istiqamah di dalam ibadat dan
keredhaan-Nya, amin.
Ukhtukum,
Ummu Anas Madani.