Sepatah
kata Abu Anas Madani:
Syariah
Islam adalah suatu perundangan yang Allah SWT syariatkan ke atas hamba-Nya
untuk menjaga kemaslahatan dan kebaikan buat mereka.
Ini
adalah suatu rahmah, Allah sebagai Pencipta Yang Maha Mengetahui dengan karenah
dan keperluan makhluk-Nya.
Kalau
dibiarkan manusia memikirkan sendiri untuk maslahah mereka tentulah pemikiran
mereka tidak sampai ke tahap yang sepatutnya.
Sebagai
suatu usaha kami untuk menyampaikan kebaikan dan memberi kefahaman kepada masyarakat
tentang perkara ini, khasnya pada zaman yang ada orang mempersendakan Hukum Allah
khasnya Hudud, maka diharapkan usaha ini ada manfaatnya.
Di
bawah ini kami petik tulisan Allahyarham Dato’ Yusoff Zaky Yaakob dalam
muqaddimah buku MENGENAL HUKUM HUDUD yang ditulisnya pada tahun 1992 ketika
Kerajaan Kelantan mengemukakan Enakman Jenayah Syariah II di DUN Kelantan.
Buku
ini diterbitkan oleh: Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (Cet. 1, 1992).
Akhukum,
AAM. PSD 27 Muharram 1435H – 01/12/2013.
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله
نحمده ونستعينه ونستهدية ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا
من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له واشهد ان لا اله الا الله وحده لا
شريك له واشهد ان محمدا عبده ورسوله صلى الله عليه وسلم وعلى آله وضحبه وسلم كثيرا
.
{وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ
أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا} [الأحزاب: 36]
Maksudnya:
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perampuan
mempunyai hak membuat pilihan sendiri dalam urusan mereka apabila Allah dan
Rasul telah membuat sesuatu keputusan. Siapa yang tidak mematuhi hukum-hukum
Allah dan Rasul-Nya bererti ia telah terjerumus dalam kesesatan yang amat
nyata.’’ (al-Ahzab : 36)
Buku ini
lahir tepat ada waktunya, di mana isu hukum hudud menjadi topik perbincangan
hangat di kalangan orang-oang Islam sendiri dan menerima reaksi yang
berbelah-bagi dari berbagai-bagai sektor penduduk Malaysia.
Buku
ini dilahirkan dengan tujuan memberi gambaran asas tentang hukum hudud yang
dipertikaikan itu supaya ia dapat difahami dengan penjelasan yang betul, mudah
dan terlepas dari sebarang sentimen politik dan semangat perkauman yang buta
agar isu yang besar ini dapat difikir dan diteliti dengan penuh tanggungjawab
oleh setiap pihak yang berminat untuk mencampuri dalam isu ini terutama
bahagian umat Muslim yang menerima Allah SWT sebagai Tuhan dan menerima
Muhammad Rasulullah SAW sebagai pemimpin mereka yang ulung di sepanjang zaman.
[Gambar Kecil: Dato' Yusuf Zaky]
Menurut
prinsip keimanan dan aqidah Islamiah, setiap Muslim dan Muslimah wajib
mempertahan dan membela agamanya, dan konsep membela agama tidak hanya terbatas
dalam erti kata mengamal dan mempertahankan peraturan-peraturan ibadat,
peraturan nikah cerai dan peratuan muamalah sahaja, malah merangkumi usaha
mempertahankan konsep-konsep pemerintahan, pentadbiran dan kehakiman yang telah
digariskan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan
diantaranya ialah hukum hudud yang
dipertikaikan sekarang ini.
Sehubungan
dengan ini, mana-mana Muslim dan Muslimah yang tidak sanggup mempertahankan
kesucian hukum hudud atau merasa keberatan untuk menganggap hukum hudud sebagai
hukum-hukum Allah Taala yang wajib dipatuhi atau bertindak liar dengan
mempertikaikan hukum hudud atau mempersenda-sendakan hukum hudud atau menyifatkan
hukum hudud sebagai undang-undang barbarik, kejam dan tidak berperikemanusiaan,
maka bererti ia tidak sanggup menjunjung hukum Allah SWT dan secara terbuka
menentang al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan setiap mereka yang tergolong dalam
kategori orang-orang yang menentang al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW secara langsung adalah tergolong di dalam
kumpulan manusia yang menentang Allah dan Rasul-Nya.
Untuk menyelamatkan
ramai orang Islam dari keruntuhan iman dan kemusnahan aqidah mereka yang suci
kerana terlibat secara sedar atau tanpa sedar dalam kegiatan mempertikaikan
hukum hudud yang digariskan oleh
al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW itu, maka terpaksa dilakukan dengan segera untuk
melahirkan sebuah buku khusus megenai hukum hudud dengan tujuan membentangkan
keterangan hukum-hukum itu supaya ramai orang Islam mendapat gambaran tentang hukum hudud yang sebenar dan tidak
terus terkeliru dan tertipu dengan gambaran-gambaran khayalan yang melulu
hingga hukum hudud dipandang sebagai ancaman-ancaman dan undang-undang buas
yang menakutkan dan mengerikan, sedangkan hukum hudud yang diturunkan Allah SWT itu suci dan bersih dari segala gambaran
yang melulu, dusta dan menghinakan itu.
AAM HUDUD; Hukum, Hikmah, Kritikan & Jawapan
Semua
pihak yang ikhlas sedar bahawa pelaksanaan hukum hudud yang diperkatakan sekarang
ini masih dalam peringkat perancangan persiapan. Tiada siapa yang sanggup
berdakwah bahawa hukum hudud boleh dilaksanakan sekarang juga dengan
menggunakan kitab-kitab Feqah yang ditulis di abad-abad yang lampau tanpa
memerlukan penapisan dan semakan yang rapi atau tanpa memerlukan usaha-usaha
kemaskini atau tanpa memerlukan perubahan-perubahan yang wajar dalam struktur
kehakiman dan pentadbiran undang-undang negara.
Pendek kata, persiapan itu adalah satu perkara,
dan kesahihan hukum hudud sebagai undang-undang dari syariat Allah Taala yang
wajib didaulatkan oleh umat Islam yang mempunyai kuasa membentuk kerajaan dan
menggubal undang-undang adalah satu perkara yang lain, yang tidak boleh
dikelirukan dengan isu persiapan yang juga turut menjadi kewajipan.
Apa
yang penting wujud pada peringkat sekarang ialah keinsafan dan keazaman untuk
menegakkan hukum hudud. Apabila keinsafan dan keazaman yang ikhlas wujud, maka
perlaksanaan hukum hudud lambat laun akan muncul di alam realiti. Dalam
perjuangan di peringkat persiapan, setiap Muslimin dan Muslimat berkewajipan
memberi sumbangan dan sokongan tanpa mengira parti dan menjauhi diri dari
membuat komen-komen negatif atau memalu gendang-gendang sumbang yang
membayangkan kearah keraguan.
Hukum hudud merupakan sebahagian
dari kanun jenayah Islam dan kanun jenayah Islam merupakan sebahagian dari
syariaat Allah SWT yang wajib dijunjung, diamal, dan dipertahankan oleh setiap
Muslimin dan Muslimat.
Perlaksanaan kanun jenayah Islam di
zaman Rasulullah SAW telah dilakukan pada zaman Madinah, ketika mana Islam
berjaya menegakkan negara Islam yang berdaulat, yang mempunyai kuasa untuk menegakkan
undang-undang dan peraturan-peraturan. Oleh sebab itulah setiap masyarakat
Islam di mana-mana negeri dalam mana-mana generasi dan zaman sekalipun, wajib
mendaulatkan kanun jenayah Islam apabila mereka berkuasa membentuk kerajaan dan
menggubal undang-undang negeri, kerana perlaksanaan kanun jenayah Islam
merupakan perkembangan yang kemuncak bagi dakwah Islam di samping ianya merupakan
keperluan asasi bagi mengawal kesejahteraan umat.
Keutuhan sebuah negara Islam adalah
dipertahankan oleh dua kekuatan, iaitu kekuatan keimanan dan taqwa yang
tertanam dalam hati rakyat jelatanya, dan kekuatan undang-undang yang menjadi
teras kekuatan lahiriah negara itu.
Taqwa dan undang-undang merupakan
dua kekuatan berkembar negara Islam yang tidak boleh dipisahkan. Sebarang usaha
untuk memisahkan dua kekuatan itu akan memusnahkan identiti sesebuah negara Islam.
Memang diakui bahawa hukum hudud
atau kanun jenayah Islam umumnya yang diwarisi umat Islam pada hari ini belum
dilengkapkan dengan teknik-teknik dan kaedah-kaedah pelaksanaan undang-undang
yang moden seperti undang-undang ‘penal code’ yang ada pada hari ini adalah
kerana beberapa sebab oleh sejarah dan politik.
Di
antaranya, yang pertama; lalah kerana kesuburan dan perkembangan kanun jenayah
Islam telah terbantut sejak negara-negara Islam memasuki era kelemahan dan
kejatuhan, di mana kanun jenayah Islam dari segi amalan tidak lagi berfungsi
dalam masyarakat-masyarakat Islam dan oleh kerana itu ia tidak mendapat
kesempatan untuk terus berinteraksi dengan realiti kehidupan manusia hingga ke
zaman moden.
Kedua; Kerana
ia ditulis di abad-abad yang silam berlandaskan realiti-realiti kehidupan umat
Islam di zaman silam, akan tetapi walaupun begitu, ia tetap kekal dengan
ciri-ciri semulajadinya yang sanggup mengikuti perkembangan zaman dan perubahan
kehidupan manusia. Lunas-lunas dan kaedah-kaedahnya yang universal (sejagat)
yang dapat dipakai pada semua zaman dan tempat.
Jika kepakaran teknikal ahli
perundangan di zaman ini bergabung dengan kepakaran ilmiah Islamiah ahli
perundangan Islam yang telah lama wujud di negara kita dan negara-negara Islam
yang lain, sudah tentu kanun jenayah Islam dapat diletakkan dalam satu acuan
baru yang dapat mencerminkan dinamisme (kehadapan) dan realismenya yang utuh untuk
menghadapi kehendak realiti kehidupan moden.
Buku ini adalah hasil dari saringan
bebas dari sebuah buku perundangan Islam yang besar yang paling mutakhir dan
sedang mendapat populariti yang tinggi dan meluas di dunia Islam iaitu buku:
الفقه الإسلامي وأدلته
(Kefahaman Perundangan Islam Dan Dalil-dalilnya)
karangan ulama Islam semasa yang terkemuka, Doktor Wahbah az-Zuhayli -hafizahullah-.
Bahagian yang dimasukkan
dalam buku yang kecil ini ialah bahagian hukum hudud mengenai jenayah-jenayah
zina, qazaf (membuat tuduhan zina ke atas orang lain), mencuri, merompak dan
minum arak sahaja dengan tujuan agar buku ini tidak menjadi tebal dan cukup
untuk mengenal garis-garis besar hukum hudud dengan beberapa perinciannya yang
penting.
Setiap pembaca yang
menatap buku ini dengan hati nurani yang terbuka dan dengan kesedaran seorang
mukmin yang mempunyai hubungan yang peka dengan Allah dan Rasul-Nya akan
melihat dan menginsafi bahawa hukum hudud itu adalah undang-undang yang
diaturkan oleh kebijaksanaan Allah SWT yang mengetahui tabiat hati dan naluri
manusia yang diciptakannya. Ia bukannya undang-undang yang digaris secara
sewenang-wenangnya yang hanya sesuai dengan zaman unta dan masyarakat padang
pasir yang bersahaja, malah selanjutnya ia akan memperolehi keyakinan bahawa
hanya hukum hudud ciptaan Allah sahaja yang mampu menyelamatkan tamadun manusia
dari keruntuhan akhlak dan kemusnahan sosial akibat kebebasan perlakuan jenayah
seks, jenayah mencuri dan merompak, jenayah membunuh dan menceroboh dan
merosakkan.
Masyarakat Amerika yang membangga-banggakan dirinya sebagai negara yang
terkuat dan mempunyai tamadun yang paling tinggi dan sebagai satu-satunya negara
yang layak menjadi polis dan hakim dunia dapat dijadikan contoh yang amat jelas
bagaimana ketamadunan negara itu sedang dicemari keruntuhan akhlak dan
perlakuan jenayah yang berleluasa hingga ketamadunannya tidak lagi mencerminkan
konsep tamadun dalam erti kata yang murni dan sebenar.
Gaya perundangan
jenayah barat kebelakangan ini menjurus ke arah kaedah bersimpati dengan
penjenayah dan meringankan hukuman terhadap mereka. Hasil yang paling jelas
dari kaedah ini ialah penghapusan hukuman bunuh atau ‘Capital Punishment’,
memandang ringan kepada jenayah zina dan jenayah minum arak dan mengenakan
hukuman yang menggalakkan ke atas pencuri-pencuri dan perompak-perompak. Akibat
trend perundangan yang lembut inilah penjenayah-penjenayah yang keji itu
berkembang begitu pesat dan subur dan mengakibatkan penderitaan-penderitaan
yang amat berat kepada masyarakat di seluruh dunia dan menyebabkan rancangan
pembesaran penjara-penjara sama penting dengan pembesaran kolej-kolej.
Dari penjelasan buku
yang kecil ini, setiap pembaca dapat melihat bahawa pelaksanaan hukum hudud
dari awal hingga akhirnya adalah diikat dengan berbagai-bagai syarat yang ketat
dan boleh digugurkan dangan berbagai-bagai keraguan, malah dalam kes rejam yang
paling berat sekalipun, orang yang dihukum masih mempunyai kelonggaran untuk melarikan
diri semasa menjalani hukuman dan dalam sesetengah kes hudud yang lain, hukuman
hudud tergugur sekiranya dengan taubat sebelum penjenayah itu ditangkap.
Ciri-ciri hukum hudud yang menarik ini membayangkan bahawa matlamat
hukum hudud adalah semata-mata untuk mewujudkan kesan pencegahan yang mendera
dan memeritkan bukannya untuk membinasakan penjenayah demi melindungi kesejahteraan
masyarakat. Di samping itu konsep hukuman dan balasan dalam Islam bukan
semuanya diselesaikan di dunia ini, malah seluruh insan akan dibicarakan
kembali dalam pengadilan terakhir di hadapan Allah SWT pada hari akhirat, oleh
sebab itulah dalam hukum hudud terdapat lorong-lorong yang selamat untuk
memberi peluang kepada pesalah itu menginsafi diri mereka di dunia atau
bertaubat sebelum menghadapi pengadilan di akhirat buat kali terakhir.
Dengan syarat-syarat
yang ketat dan faedah-faedah keraguan (benefit of doubts) yang luas yang
diperuntukkan di dalam hukum hudud tidak boleh disifatkan sebagai undang-undang
mandatori yang mutlak seperti Akta Undang-Undang Dadah Merbahaya yang
dilaksanakan di negeri ini, malah perselisihan pendapat di antara ahli-ahli perundangan
Islam dalam mentafsirkan sesetengah peruntukan di dalam hukum hudud, telah
menjadikan hukum hudud suatu undang-undang yang banyak memberi ruang kepada
pertimbangan dan ijtihad para hakim untuk membuat keputusan yang berhemat.
Ia jauh berbeza dari
undang-undang dadah merbahaya ciptaan manusia yang tidak memberi ruang-ruang
pertimbangan perikemanusiaan yang logik yang dapat memberi kepuasan dan ketenangan
kepada hati nurani yang merasa bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap setiap
nyawa yang dihukum oleh mereka.
Pelaksanaan hukum
hudud sebagaimana yang dapat diperhatikan dari penjelasan buku ini lebih
mendalam dan lebih serius dalam mendokong
aspek rahmat dan kasihan belas yang tidak terdapat di dalam undang-undang dadah
merbahaya ciptaan manusia yang tidak sanggup membezakan secara berperikemanusiaan
di antara pengedar-pengedar dadah yang sebenar dengan pengambil-pengambil upah
yang miskin, jahil dan terdaya, juga di antara pengedar-pengedar dadah yang
sebenar dengan orang-orang yang bernasib malang yang tercebak dalam
deeming provision atau dalam definasi
pemilikan dadah mengikut undang-undang dadah.
Setengah-setengah
hakim diakhir pembicaraan dadah merbahaya yang berbunyi: “Saya tidak mempunyai
pilihan selain dari menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kamu” adalah
merupakan sesuatu pernyataan yang mengungkapkan kebuntuan dan kekecewaan hati
nurani yang peka untuk menemui jalan-jalan rahmat dan kasihan belas.
Saya
percaya setiap pembaca yang meneliti syarat-syarat pelaksanaan hukum hudud
dengan sadar dan insaf dari awal hingga akhir akan membuat kesimpulan yang
spontan bahwa hukum hudud walaupun bersifat mandatori amat sukar dilaksanakan
melainkan ke atas penjenayah-penjenayah yang yang amat jahat dan benar-benar
wajar dihukum atau penjenayah yang amat jujur dan amat tinggi keinsafan dan
taqwanya hingga sanggup meminta hukuman dijalankan ke atasnya walaupun diberi
isyarat oleh hakim supaya tidak membuat pengakuan seperti itu.
Di samping itu
pelaksanaan hukum hudud tidak seharusnya membimbangkan orang-orang bukan Islam,
kerana hukum hudud bertujuan mewujudkan suasana aman yang sebenar kepada semua
penduduk negara tanpa mengira kaum dan bangsa. Mereka tidak seharusnya merasa
takut kepada hukum hudud selama mereka menaruh kebencian dan bersikap menentang
perlakuan jenayah-jenayah hudud yang keji itu atau selama mereka tidak
bercita-cita untuk melibatkan diri di dalam jenayah-jenayah yang jahat itu.
Atau selama mereka
tidak rela kedai-kedai mereka dicuri atau selama mereka tidak rela melihat isteri
dan anak-anak gadis mereka dilarikan dan dirogol dengan kejam atau selama
mereka bercita-cita untuk tidur nyenyak dalam suasana aman dan selesa tanpa
mengenakan pada pintu-pintu rumah mereka dengan berbagai-bagai penggera yang
canggih dan tanpa memasang kunci yang berlapis-lapis seolah-olah penjara-penjara
kecil di tengah bandar.
Cara
pelaksanaan hukuman rejam, hukuman sebat, hukuman potong tangan dan hukuman
bunuh yang dijalankan di hadapan mata satu perhimpunan ramai akan membuat para
penjenayah yang menjalani hukuman itu benar-benar merasakan bahawa mereka
sedang dihukum oleh orang ramai. Di sinilah letaknya faktor-faktor keberkesanan
hukum hudud yang dapat melahirkan kesan-kesan pencegahan yang berkesan sehingga
membuat setiap orang yang bercita-cita untuk melakukan jenayah-jenayah hudud
yang keji itu terpaksa berfikir sedalam-dalamnya sebelum melangkah ke alam
jenayah itu.
Sebelum mengakhiri
kata pendahuluan ini adalah wajar ditekankan sekali lagi bahawa kewajipan
mempertahankan hukum hudud dari segi ilmiah dan kaedah perlaksanaannya bukan
sahaja menjadi kewajipan cerdik pandai Islam yang tergolong dalam istilah alim-ulama
seperti yang ditanggapkan selama ini, malah ia menjadi kewajipan semua pengamal
undang-undang yang beragama Islam di seluruh negeri ini, yang terdiri dari
hakim-hakim dan peguam-peguam yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan
dan pengendalian undang-undang Negara.
Selaku seorang muslim
yang bertuhankan Allah SWT dan mahir dalam perundangan negara, mereka berkewajipan
mempelajari dan mengkaji selok-belok hukum hudud bersama para ulama dan membuat
perakuan-perakuan yang membuka jalan ke arah pelaksanaan hukuman hudud yang
diturunkan oleh Allah Taala. Mereka tidak wajar berselindung di sebalik lalang
dengan alasan yang dangkal bahawa tugas mereka hanya menafsirkan undang-undang,
bukan menggubal undang-undang, kerana di dalam realiti Islamnya, mereka adalah
hakim-hakim dan peguam-peguam yang beragama Islam yang bertanggungjawab
mengamal dan mengembangkan undang-undang Islam mengikut saranan-saranan yang
berada di dalam keupayaan mereka selaku ahli undang-undang.
Sikap redha dan
berpuas hati dengan undang-undang ciptaan manusia yang diambil dari Barat atau
sebagainya adalah bertentangan dengan aqidah Islamiah yang dianut oleh mereka.
Begitu juga sikap tidak peduli atau memandang remeh kepada undang-undang
ciptaan Allah SWT akan meletakkan mereka dalam barisan orang-orang yang tidak
menghormati dan menjunjung tinggi undang-undang Allah SWT, iaitu satu barisan
yang bertenggek di tepi jurang kemusnahan aqidah dan keruntuhan iman.
Sebenarnya, kepakaran teknikal dan
pengalaman-pengalaman yang luas dari para hakim dan peguam beragama Islam itu
dapat memberi sumbangan-sumbangan pelaksanaan yang amat bermakna dalam
penyusunan qanun jenayah Islam umumnya dan undang-undang hudud khususnya, di
zaman kebangkitan umat Islam yang ingin kembali kepada sistem hidup Islam
setelah gagal dengan undang-undang ciplak ciptaan manusia yang semata-mata
berlandaskan kepentingan-kepentingan keduniaan.
Di samping itu,
pengalaman-pengalaman kerajaan Arab Saudi serta kerajaan Sudan dan juga
percubaan-percubaan kerajaan Pakistan dapat dijadikan panduan-panduan yang amat
berguna dan membina dalam usaha mengemaskinikan teknikaliti pelaksanaan
undang-undang hudud dalam dunia yang serba maju dan moden ini. Kita yakin
dengan usaha yang sedemikian rupa dari para alim ulama yang berganding bahu
dengan para hakim dan para peguam yang beragama Islam, negara ini lambat-laun
akan dapat menikmati naungan di bawah undang-undang Islam yang adil dan aman.
KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH
Semakin jauh kita
mengkaji perundangan Islam dan kitab-kitab yang disusun oleh ahli perundangan
Islam semakin kuat kepercayaan kita terhadap kemantapan syariat Islam dalam
mengatur urusan kehidupan masyarakat, juga terhadap kebaikan pemikiran Islam,
kebijaksanaan ahli-ahli perundangan Islam dan keagungan perundangan Islam,
kerana hukum-hukumnya bukan sahaja dilandaskan di atas dalil-dalil naqli dari
al-Quran dan as-Sunnah, malah ia menembusi begitu jauh di dalam jiwa dan akal
manusia untuk mendapatkan dalil yang menguat dan menyokongnya sehingga ke masa
kini, iaitu dalil yang menyokongnya dari aspek pelaksanaan yang praktikal dan
menyumbangkan kekuatan kepadanya untuk kembali berfungsi semula dalam mengatur
dan mengendalikan hubungan-hubungan social, hubungan-hubungan dagang, dan
hubungan dua hala yang berlangsung setiap hari di antara individu-individu,
juga dalam mengembalikan hubungan antarabangsa.
Tujuan memilih dan
mengambil undang-undang Islam ialah untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam
yang kukuh, terhormat, bersih, aman dan tenteram dimana tiada ruang untuk
ditawarkan kehinaan atau menyerah kalah kepada musuh, masyarakat yang tidak
memberi tempat kepada perlakuan jenayah dan kegiatan-kegiatan yang tidak
menentu, masyarakat yang tidak memberi pertimbangan kepada kelakuan-kelakuan
pelik dan menyeleweng, perbuatan yang korup, atau mungkar dan maksiat. Ia
bertindak ke arah itu secepat mungkin mengikut prinsip-prinsip Islam terutama
prinsip memberi perlindungan kepada perbuatan jenayah yang tertutup atau
dilakukan secara tidak terbuka dan prinsip menolak dan mengenepikan hukum-hukum
hudud bukan hukum ta’zir apabila terdapat keraguan.
Di antara faktor yang
benar-benar menarik kita kepada undang-undang Islam ialah umat Muslimin di
zaman kita telah pun mencuba segala barangan import di dalam bentuk
undang-undang dan peraturan-peraturan, idea-idea dan budaya-budaya serta
berbagai-bagai ilmu pengetahuan yang bersifat materialistik yang sempit atau
kebendaan semata-mata, tetapi pada akhirnya golongan yang insaf dan sedar telah
kembali kepangkuan Islam setelah sistem import itu gagal memajukan individu dan
masyarakat, dan setelah terbuka tembelangnya yang selama ini ditutup dengan lapisan
cat tamadun yang palsu, yang mana dari tamadun palsu inilah kita telah
mengambil sesuatu yang rendah serta tidak bermutu dan meninggalkan intan atau
sesuatu yang berguna lalu kita tegakkan kehidupan umat Islam mengikut sistem-sistem
dan budaya-budaya import itu yang telah mengakibatkan kerosakan kepada nurani
dan fikiran-fikiran mereka.
Di samping menanamkan
keraguan dan sikap tidak yakin kepada diri sendiri, menggoncang nilai,
sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang murni dan pada akhirnya sistem itu gagal
kecuali mengekalkan kita menjadi satu umat yang lemah yang bergantung pada
orang lain, satu umat yang tidak diketahui identitinya atau satu umat yang
tidak mempunyai keperibadiaan yang tersendiri sama ada keperibadian Islam atau
keperibadian Arab, sama ada keperibadian Timur atau Barat.
Dengan dorongan yang
kuat dari pemikiran yang sedar atau tidak sedar, masyarakat Islam menjurus ke
arah Islam sebagai jalan keluar atau jalan selamat, tetapi malangnya
orang-orang Islam hanya menumpukan kegiatan mereka dalam bidang ibadat sahaja
menyebabkan sistem hidup mereka berada di suatu sudut dan kegiatan ibadat
mereka berada di sudut yang lain. Mereka berada dalam keadaan dua jalan yang terumbang-ambing
dan bertentangan antara satu sama lain, mereka berada dalam keadaan bingung dan
bosan, mereka berada dalam keadaan serba salah yang baru walaupun tidak seburuk
berpisah terus daripada Islam.
Tiada jalan lain yang
dapat menyelamatkan umat Islam dari keadaan dua jalan yang terumbang-ambing itu
selain dari pelaksanaan syariat Allah SWT secara menyeluruh dalam semua bidang
muamalah, jenayah, hudud dan lainnya, serta mengubah undang-undang ciptaan
manusia. Sehubungan dengan ini, sinar harapan telah kelihatan, di mana langkah–langkah
yang positif sedang menjurus kearah menegakkan kembali undang-undang syariat di
negeri-negeri Arab dan di negeri-negeri
Islam untuk membersihkan masyarakat dari keruntuhan akhlak dan penyelewengan,
menegakkan keperibadian sendiri dan mengendalikan segala urusan kehidupan
masyarakat mengikut pemikiran Islam baik dalam bidang politik ataupun sosial
ekonomi mahupun dalam bidang ketenteraan, juga untuk menghancurkan segala belenggu
kehinaan, membasmi segala bentuk pencerobohan dan pencabulan, memerangi segala
jenis eksploitasi di samping menghidupkan kepercayaan kepada diri sendiri dan
menyatukan umat Islam di bawah panji-panji al-Quran dan sunah Rasulullah SAW dan
mengambil manfaat dari kajian–kajian perundangan Syariah yang tidak terkeluar
dari dua sumber tersebut.
Kini orang-orang Islam telah sedar bahawa
satu-satunya jalan untuk mencapai kemuliaan, menolak pencerobohan musuh dan
membebaskan bumi Islam dan hak-haknya yang telah dirampas itu ialah
bersatu-padu di bawah panji–panji jihad untuk menegakkan agama Allah SWT sama seperti
perpaduan dan pengemblengan kekuatan yang telah dilakukan oleh musuh terhadap
kita. Mereka telah memerangi kita di bawah lambang ideologi kebangsaan dan
perkauman mereka yang keji.
Mengenal hukum–hukum
aqad, peraturan–peraturan jihad yang digariskan dalam perundangan Islam,
hukum-hukum hudud dan jenayah, sistem kehakiman Islam yang adil dan
prinsip-prinsip undang-undang Islam merupakan satu cabang dari pokok besar yang
mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi ahli-ahli undang–undang dan kehakiman
di dunia ini.
Tetapi yang amat menyedihkan
ialah wujudnya sesetengah golongan orang Islam yang jahil tentang kajian
perundangan Islam yang subur itu telah menyifatkan kajian itu sebagai longgokan
undang-undang yang tidak tersusun kerana didorong oleh perasaan kasih mereka
kepada barat dan kerana ditekan oleh perasaan rendah diri dan tidak percaya
kepada diri sendiri dan kerana jahil dengan tuntutan-tuntutan kehidupan dalam
pelbagai bentuk andaian-andaian dan kemungkinan yang wujud dalam proses perlaksanaan
undang-undang yang ada sekarang ini.
Mereka merasa senang
dan selesa dengan hidangan undang-undang ciptaan Barat dan lebih bangga
menyebut pendapat Tuan Fulan.. dan Mr. Fulan.. dari menyebut pendapat
tokoh-tokoh ulama Islam yang besar yang telah berjaya mengeluarkan pendapat-pendapat,
konsep-konsep dan hasil-hasil karya yang menjadi idaman para pembesar, alim-ulama,
ahli-ahli falsafah dan para cendikiawan.
Kepada generasi umat
Islam di zaman ini kita menyeru, marilah kita kembali kepada perundangan Islam
yang kaya dan subur ini, marilah kita menghayati mata-airnya yang nyaman dan
menceduk undang-undang yang sesuai dengan zaman kini. Semoga Allah SWT memberi
taufik kepada kita untuk memilih undang-undangnya yang mudah dan selesa, semoga
Allah mengurniakan keyakinan yang kukuh, pemikiran yang matang dan perasaan
yang peka untuk memilih peraturan-peraturan yang baik, juga untuk mengesan
kebenaran dan mencegah kebatilan dari akar umbinya.
Di sinilah kita
mengetahui bahawa perjuangan menegakkan panji-panji Islam memerlukan kepada
usaha menyiapkan satu tapak yang kukuh untuknya dalam bentuk mewujudkan realiti
yang praktikal untuk perundangan Islam, pemikiran Islam dan dakwah Islam yang bersifat
membina, kerana dakwah Islam bukannya kenyataan bersifat sentimen yang
berkobar-kobar atau bukannya suatu kerangka kosong yang tidak mempunyai isi dan
metodologi. Usaha mewujudkan tapak yang kukuh itu adalah bertujuan untuk
menjamin kesinambungan dakwah agar ia tidak dapat digugat oleh pukulan ribut
taufan yang kencang atau digugat oleh angkara tipu daya musuh.
Dalam pengajian
perundangan Islam dari semua alirannya, terdapat bukti yang kukuh bahawa
undang-undang Islam sesuai untuk dilaksanakan pada setiap zaman. Ia merupakan
satu jalan yang betul untuk merealisasikan syakhsiah Islamiah yang padu kerana
Islam berfungsi sebagai faktor yang membina dan menyatu-padu, bukannya faktor
yang memecah-belah sebagaimana yang dilihat oleh pemikir–pemikir yang dangkal
fahamannya. Perselisihan pendapat dalam kalangan ahli-ahli perundangan Islam hanya
berlaku dalam isu–isu kecil atau isu–isu ijtihadiyah sahaja, bukan dalam
persoalan–persoalan prinsip dan tujuan.
Oleh sebab itulah
dirasakan amat perlu agar pengajian perundangan Islam itu dibentangkan dengan
gaya penjelasan yang mudah dengan berlandaskan dalil-dalil yang sahih untuk
menimbang-tara dan membandingkan pendapat-pendapat perundangan di samping
memudahkan jalan untuk mentarjih (menguatkan) atau memilih pendapat–pendapat
yang lebih baik dan sesuai dengan aliran zaman.
Inilah perkara yang
saya ingin lakukan dalam buku ini melalui usaha–usaha yang bersungguh–sungguh,
–Allah SWT sahaja yang mengetahuinya– untuk menjelaskan setiap pendapat
perundangan dan mengetahui hukum setiap masalah yang terdapat dalam kitab-kitab
feqah yang lama dengan harapan dapat memberi manfaat yang sebaik-baiknya.
HUKUM
HUDUD
(Hudud adalah kata majmuk) dari “Al-Hadd” yang bermakna “kawalan”
atau “cegahan”. Dari asal kata
yang sama penjaga atau pengawal pintu dipanggil Haddad kerana ia mengawal dan
mencegah seseorang dari memasukinya. Hukuman-hukuman dinamakan sebagai
hukum-hukum hudud kerana ia berfungsi mencegah orang ramai dari melakukan
jenayah-jenayah yang dikenakan oleh hukum hudud. Istilah Hududullah bererti
perlakuan-perlakuan yang diharamkan dan dicegah oleh Allah SWT.
Firman Allah s.w.t:
تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَقْرَبُوهَا
“Itulah perlakuan-perlakuan yang diharamkan Allah oleh kerana itu
janganlah kamu dekatinya.” (al-Baqarah:
187)
Istilah Hududullah juga bererti “hukuman-hukuman
yang telah ditentukan Allah” yang tidak seharusnya dilakukan seseorang.
Hukum-hukum ini dinamakan Hudud kerana ia mencegah seseorang dari melakukannya.
Firman Allah
s.w.t:
تِلْك حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَعْتَدُوهَا”
“Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan. Oleh kerana itu janganlah
kamu mencabulinya.”(al-Baqarah: 229)
Hudud mengikut pengertian syara’ yang diguna pakai mazhab Hanafi ialah
hukuman-hukuman yang ditentukan dan diwajibkan Allah SWT sebagai hak Allah
Taala. Hukum-hukum Ta’zir tidak ditentukan Allah (malah diserahkan kepada budi-bicara
pemerintah. Hukum Qisas (balasan bunuh) juga tidak dinamakan Hudud walaupun ia
merupakan suatu hukuman yang telah ditentukan Allah SWT kerana hukum Qisas
merupakan hak manusia bukannya hak Allah, kerana itu hukum Qisas boleh
dimaafkan dan dicari perdamaian, tetapi semua hukuman-hukuman itu dinamakan
hudud kerana ia mencegah perlakuan jenayah seperti itu daripada berlaku.
Maksud hukum hudud itu disifatkan sebagai hak Allah SWT kerana hukum
hudud diperundangkan dengan tujuan untuk melindungi maruah, keturunan, harta
benda, akal dan nyawa dari ganguan dan pencerobohan, tetapi sesetengah hukum
hudud seperti hukuman perzinaan dan minum arak adalah hak Allah Taala
semata-mata dengan erti, ia adalah hak masyarakat. Dan sesetengah hukum hudud
yang lainnya seperti hukum hudud qazaf (membuat tuduhan berzina terhadap orang
lain) merupakan hak Allah dan hak manusia, iaitu satu hukum dimana hak peribadi
berkongsi dengan hak umum.
Hukum hudud mengikut istilah kebanyakan
ulama yang bukan dari aliran Hanafi ialah hukuman yang ditentukan oleh syara'
sama ada ianya hak Allah SWT atau hak manusia.
JENIS-JENIS HUKUM HUDUD
Jenis-jenis hukum hudud ialah hukum hudud kerana berzina, hukum hudud
kerana membuat tuduhan zina, hukum hudud kerana mencuri, hukum hudud kerana
merompak, hukum hudud kerana meminum arak dan sebagainya. Mengikut mazhab imam
Hanafi, hukum hudud itu lima:
. 1- Hukum hudud kerana mencuri.
2- Hukum hudud kerana berzina.
3- Hukum hudud kerana minum arak.
4-Hukum hudud kerana mabuk.
5- Hukum hudud kerana tuduhan zina
2- Hukum hudud kerana berzina.
3- Hukum hudud kerana minum arak.
4-Hukum hudud kerana mabuk.
5- Hukum hudud kerana tuduhan zina
Hukuman
hudud kerana merompak termasuk dibawah hukum mencuri dengan pengertian yang
lebih luas kemudian ditambah dua hukum yang lain mengikut mazhab-mazhab selain
daripada mazhab Hanafi, iaitu hukum hudud
kerana Qisas dan hukum hudud kerana murtad. Jadi, hukum hudud mengikut
mazhab ini adalah tujuh, dengan alasan bahawa hukum hudud itu, adalah hukuman yang
ditetapkan oleh Allah SWT yang perlu diikuti dan tidak boleh diingkari
seseorang, juga dengan alasan hukum hudud mengikut pendapat yang sah adalah meliputi
hukuman kerana memelihara hak Allah dan hukuman kerana memelihara hak-hak
manusia, antaranya ialah hak Qisas.
Berdasarkan
penjelasan ini kita mempunyai dua istilah mengenai hukum hudud.
Pertama:
Istilah mengikut mazhab Hanafi yang masyhur, iaitu
mengkhususkan hukum hudud kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, iaitu
hukuman yang bertujuan melindungi kepentingan masyarakat, iaitu lima jenis hukuman
yang telah diterangkan sebelum ini dengan memasukkan hukum hudud merompak
kedalam hukum hudud mencuri, juga dengan
membezakan hukuman hudud kerana meminum arak yang diperbuat daripada anggur
dengan hukuman hudud kerana minum minuman yang memabukkan yang diperbuat
daripada bahan selain daripada anggur, iaitu seperti minuman yang diperbuat
daripada beras belanda, madu, cuka dan sebagainya.
Kedua: Istilah kebanyakan ahli perundangan yang bukan dari mazhab Hanafi,
iaitu perkataan hukum hudud diistilahkan kepada setiap hukuman yang telah
ditetapkan Allah SWT sama ada hukuman itu bertujuan untuk melindungi hak Allah
Taala atau hak individu-individu. Hukuman-hukuman itu adalah sebanyak tujuh
jenis hukuman termasuk hukuman Qisas dan hukuman murtad. Saya akan menyentuh
tujuh jenis hukuman ini dengan menjelaskan bahawa jumlah jenayah-jenayah hudud
ialah lapan jenis iaitu berzina, membuat tuduhan zina, minum minuman yang memabukkan,
mencuri, merompak, menderhaka atau merompak, murtad dan membunuh dengan sengaja
yang dikenakan hukuman Qisas. Semua hukuman ini dikira sebagai hukuman-hukuman
yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Ujar
Al-Mawardi: Perbuatan-perbuatan jenayah ialah perbuatan yang terlarang disisi
undang-undang syara’ dan ia dicegah dengan hukum hudud dan hukum Ta’zir.
HIKMAH DIPERUNDANGKAN HUKUM HUDUD
Hikmah
dan tujuan diadakan hukum hudud atau hukuman-hukuman ialah untuk mencegah dan
menahan manusia dari melakukan jenayah-jenayah itu dan untuk melindungi
masyarakat dari kerosakan dan membersihkannya dari sebarang perlakuan jenayah.
Ujar
Ibnu Taimiyyah rh: Diantara rahmat Allah SWT ialah Dia mengenakan hukuman
terhadap perlakuan jenayah yang berlaku diantara sesama manusia yang melibatkan
nyawa, tubuh badan, maruah dan kehormatan, harta benda, iaitu perlakuan jenayah
membunuh, meluka, membuat tuduhan zina dan mencuri. Dan Allah SWT telah
mengatur kaedah-kaedah untuk mencegah jenayah-jenayah itu dengan undang-undang
yang amat halus, kukuh dan menguatkuasakannya dengan sebaik-baik cara yang
dapat mencapai maksud pencegahan itu tanpa melampaui batas yang wajar diterima
oleh seorang penjenayah. Oleh sebab itu, Allah SWT tidak mensyariatkan hukuman potong lidah atau
bunuh ke atas pembohong dan tidak pula mengenakan hukuman memotong kemaluan ke
atas mereka yang berzina atau mengenakan hukuman bunuh ke atas pencuri, malah
Allah SWT mengenakan hukuman yang sesuai dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya
Yang Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang, Maha Lemah Lembut, Maha
Pemurah dan Maha Adil dengan tujuan untuk menghapuskan jenayah yang
mendatangkan bala dan mala petaka serta untuk membasmi keinginan-keinginan
untuk melakukan kezaliman dan pencerobohan agar setiap orang berpuas hati
dengan limpah kurnia dan rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya dan tidak
tamak untuk merampas hak-hak orang lain.
ADAKAH HUKUMAN POTONG TANGAN ITU SUATU
HUKUMAN YANG KEJAM?
Pelaksanaan
hukuman potong tangan adalah merupakan satu cara pencegahan yang sesuai dengan
penjenayah yang mengancam masyarakat. Ia merupakan hukuman yang memberi rahmat dan
keamanan kepada orang ramai umumnya. Dalam Memorandum Penjelasan Kanun Hudud
bagi jenayah mencuri dan merompak bilangan 148 tahun 1972 yang dikeluarkan di
Libya terdapat kenyataan berikut:
Sesetengah
golongan yang ragu dan was-was dengan senang hati menyifatkan hukuman potong
tangan (dalam jenayah mencuri dan merompak) sebagai hukuman yang tidak sesuai
dengan tamadun dan kemajuan serta menuduh hukuman itu sebagai kejam dan bengis.
Mereka sebenarnya menumpukan pandangan mereka hanya kepada aspek kekerasan
hukuman, tetapi mereka berpura-pura lupa kepada kekejaman jenayah itu dan
kepada kesan-kesannya yang buruk terhadap masyarakat. Mereka pura-pura menangis
kerana tangan si pencuri yang berdosa itu di potong, tetapi meeka tidak merasa
takut kepada jenayah mencuri dan bebagai-bagai kesan sampingannya yang buruk.
Berbagai-bagai lagi kesalahan
dilakukan kerana jenayah mencuri. Pelbagai pencerobohan dilakukan keatas
orang-orang perseorangan dan banyak kecederaan parah dialami oleh orang-orang
yang tidak berdosa kerana jenayah mencuri. Berapa banyak harta benda dan harta
kekayaan telah diragut dan dirampas dan berapa ramai orang yang hidup tanpa
rumah tangga kerana harta mereka dicuri dan kerana sumber rezeki mereka terputus
akibah dicerobohi pencuri, tetapi semua akibat ini tidak pernah difikirkan oleh
orang-orang yang merasa kasihan belas kepada tangan-tangan yang hanya sedikit
yang dipotong untuk menjamin keamanan dan ketenteraman orang ramai.
Apakah
mereka tidak menyoal diri sendiri manakah yang lebih selesa kepada masyarakat
di antara memotong satu dua tangan setahun yang dapat menghapuskan jenayah
mencuri dan mungkin selepas itu mungkin tiada lagi tangan yang dipotong dan
orang ramai dapat hidup aman, di mana harta benda dan nyawa mereka terjamin
selamat atau pencuri itu hanya dihukum penjara dan kerja berat untuk sementara atau
untuk selama-lamanya bagi jenayah mencuri sahaja. Di dalam kebanyakan negeri di
dunia, puluhan ribu kes jenayah kecurian berlaku setiap tahun.
Jenayah mencuri tidak
pernah putus malah kian bertambah dari semasa ke semasa, kian beragam dan kian
merebak. Kita masih mendengar berita bank-bank yang dirompak dengan nekad,
keretapi-keretapi yang disamun di siang hari dan gudang-gudang yang dirompak.
Jenayah mencuri harta benda sering dilakukan serentak dengan jenayah mencederakan,
membunuh dan merogol mangsa-mangsa. Kes-kes yang seperti ini berlaku tidak
terhingga banyaknya dan tidak dapat dicegah walaupun telah digunakan
berbagai-bagai ilmu, kepandaian dan kuasa pihak tertentu.
Perlakuan
jenayah-jenayah yang serius tidak dapat dicegah melainkan dengan mengenakan
hukuman-hukuman berat yang berkesan. Sesuatu hukuman itu tidak dapat berfungsi
sebagai hukuman jika ianya bersifat lembut dan lemah. Hukuman yang berjaya
ialah hukuman yang dapat menumpaskan jenayah bukannya hukuman yang memberi
kemenangan kepada jenayah.
Yang
anehnya, ahli-ahli perundangan ciptaan manusia tidak memandang hukuman bunuh yang
dikenakan ke atas sesetengah jenayah yang lain sebagai hukuman yang berat,
sedangkan hukuman itu jauh lebih berat dari hukuman potong tangan yang
dikenakan ke atas jenayah mencuri dan merompak. Konsep hukuman yang sebenar
harus dilihat dari aspek kesesuaian dan keberkesanannya dalam membanteras setiap jenayah.
Satu
hakikat yang tidak dapat dipertikaikan ialah hukuman memotong tangan pencuri
adalah jauh lebih baik dari membiarkan jenayah itu bermaharajarela di dalam
masyarakat dam mengancam keamanan dan ketenteraman yang membawa kepada
berbagai-bagai kemungkaran dah jenayah yang lain.
Sejarah telah
membuktikan bahawa masyarakat Islam selepas melaksanakan hukum hudud telah
berada dalam keadaan aman dan tenteram pada keselamatan harta benda, maruah,
kehormatan dan sistem pemerintahannya sehingga pernah penjenayah sendiri datang
menyerahkan dirinya supaya dijalankan hukuman ke atasnya kerana ingin membesihkan
dirinya dan menebus dosanya.
Negeri Hijaz dan
seluruh negeri di Semenanjung Tanah Arab pada zaman yang lampau merupakan gelanggang-gelanggang
yang aktif kepada jenayah mencuri dan menyamun yang ganas. Mereka melakukan
jenayah itu sehinggakan ke atas rombongan jemaah haji lelaki dan perempuan yang
ingin berkunjung ke Baitullah. Hanya sebilangan kecil sahaja dari mereka yang
selamat pulang ke negeri mereka.
Tetapi apabila
kerajaan Saudi menjalankan hukum hudud terhadap dua jenayah itu, maka negeri
itu terus aman, jenayah mencuri berhenti dan geng-geng penyamun terus hilang
sehingga negeri itu menjadi contoh negeri aman yang mengagumkan, di mana terhapusnya
perlakuan jenayah mencuri dan menyamun walaupun jumlah penjenayah yang dipotong
tangan itu sangat kecil dan tidak setanding dengan jumlah mangsa yang tidak
berdosa yang terkorban dalam satu serbuan oleh pihak penjenayah. Mengikut
rekod, jumlah pencuri yang dikenakan hukuman potong tangan hanya enam belas
orang sahaja dalam masa dua puluh empat tahun.
Bertitik-tolak dari
keterangan yang lalu, ternyatalah bahawa kekerasan yang bercirikan hukuman
potong tangan itu sebenarnya merupakan suatu rahmat yang menyeluruh kepada
masyarakat kerana terselamat dari keganasan jenayah kecurian dan rompakan serta
kesan-kesannya yang amat buruk. Tindakan memotong tangan dan kaki sebilangan
penjenayah yang amat kecil yang melanggar perintah Allah SWT itu adalah lebih selesa dari membiarkan
jenayah itu bertindak secara berleluasa terhadap ribuan mangsa yang tidak
berdosa menyebabkan jiwa, tubuh dan harta kekayaan mereka terkorban, malah
kekerasan hukuman hudud merupakan rahmat kepada mereka yang terlintas di hati
untuk melakukan jenayah itu, mereka terpaksa membatalkan angan-angan itu
apabila mereka terbayangkan kepada kekerasan hukuman yang akan diterimanya
nanti.
Kekerasan hukuman
akan menghalangnya dari terjerumus ke dalam gaung jenayah. Hukuman itu
merupakan satu kekerasan dalam suatu skop yang tertentu sahaja, tetapi ia
membawa rahmat yang luas kepada seluruh masyarakat. Inilah sejajar dengan Syariat
Islam selaku Syariat yang berlandaskan rahmat dan kasihan belas.
Bukankah Allah telah
menyatakan dalam firmanNya:
كتب
على نفسه الرحمة
“Allah
telah mewajibkan dasar rahmat kasihan belas keatas diri-Nya.” (al-An'aam:12)
Bukankah Allah Taala sifatkan diri-Nya dengan
Ar-Rahman dan Ar-Rahim, Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih yang kita
sebut pada setiap waktu.
Sementara Rasulullah SAW pula bersabda:
الراحمون يرحمهم
الرحمن
“Orang-orang
yang bersifat kasihan belas dirahmati Allah Yang Maha Penyayang dan Kasihan
belas.”
Malah kita diperintah
untuk menunjukkan sikap kasihan belas kepada makhluk haiwan. Jika beginilah
sifat Syariat Islam, tentulah hukum-hukumnya dalam kanun hudud tidak boleh
disifatkan sebagai kejam dan berat, malah hukuman-hukuman itu meupakan rahmat
kepada seluruh orang ramai.
Melihat kesan hukuman
hudud ke atas suatu golongan penjenayah yang kecil sahaja tanpa melihat
kesannya yang baik ke atas masyarakat secara keseluruhan merupakan satu
pandangan yang terbalik dan songsang, malah pandangan itu lebih hampir dan merupakan
satu pandangan yang mempunyai kepentinggan dan diragui kejujurannya, kerana
yang seharusnya menjadi asas pandangan ialah kepentingan penjenayah-penjenayah
yang telah sabit kesalahan mereka tanpa sebarang keraguan yang dapat mengenepikan
hukuman itu.
Walaupun
demikian, janganlah dilupakan bahawa Islam amat berhati-hati agar hukuman hudud
tidak dilaksanakan kecuali perlakuan jenayah itu telah disabitkan bersalah dengan
yakin. Sehubungan dengan ini, Islam telah mengenakan prosedur-prosedur untuk membuktikan
jenayah dan mengenepikan hukuman hudud apabila terdapat keraguan-keraguan yang
munasabah. Langkah-langkah ini adalah bertujuan untuk mengalakkan pelaksanaan
hukuman hudud kecuali dalam kes-kes yang tertentu sahaja agar tercapai keberkesanannya
dalam mencegah perlakuan jenayah dan mengenakan kawalan yang maksima ke
atasnya.
Malah pelaksanaan sesetengah
hukum hudud seperti hukuman sebat –mengikut prinsip-prinsip Syar’iyah– lebih
disukai oleh sesetengah penjenayah dari dikenakan hukuman penjara selama
beberapa waktu sama ada panjang atau pendek. Hukuman rejam pula merupakan
hukuman bunuh secara terbuka yang amat memeritkan. Ia merupakan hukuman
masyarakat ke atas mereka yang sanggup mencabul maruah dan kehormatan.
PERBEZAAN DI ANTARA KANUN HUDUD DAN KANUN
TA’ZIR
Di antara
ciri-ciri perbezaan diantara keduanya ialah:
1.
Hukum hudud dan Qisas
telah di tetapkan oleh Allah SWT dari awal lagi di dalam jenayah-jenayah yang
tertentu, di mana hakim tidak boleh menggunakan budi bicaranya dalam menilai
hukuman-hukuman itu mengikut keadaan-keadaan penjenayah atau mengikut
suasana-suasana berlakunya jenayah itu. Adapun hukuman-hukuman Ta’zir
(keseksaan), maka ia terserah kepada budi-bicara hakim, di mana ia boleh
menimbang dan memilih hukuman yang sesuai mengikut keadaan, penjenayah,
keperibadian, kesalahan-kesalahannya yang telah lepas dan mengikut keberkesanan
atau kesesuaiannya dengan hukuman itu, juga mengikut keadaan suasana perlakuan
jenayah itu dan kesannya kepada masyarakat.
Walaupun demikian,
kuasa membuat pertimbangan dan penilaian yang diberikan kepada hakim itu adalah
terikat dengan peaturan-peraturan yang ketat terutama dalam aspek memilih
hukuman-hukuman keseksaan yang sesuai dengan perlakuan-perlakuan kesalahan yang
termasuk dalam perbuatan masiat. Untuk maksud itu, seorang hakim disyaratkan untuk
mempunyai pengetahuan hukum yang mencapai tahap mujtahid mengikut mazhab Syafie,
Maliki dan Hanbali. Di sini ternyatalah bahawa kuasa yang diberikan kepada
hakim itu bukan kuasa mutlak yang terikat terhadap mana-mana peraturan-peraturan
yang tertentu, di mana pihak tertuduh tidak mendapat jaminan-jaminan keadilan.
2.
Hukum hudud wajib
dilaksanakan oleh pemerintah, begitu juga hukuman Qisas jika tidak dimaafkan
oleh wali darah. Hukuman-hukuman hudud tidak boleh dimaafkan, dibebas,
disyafaat dan digugur dengan sebarang alasan dan sebab, tetapi di dalam hukuman
Ta’zir di sana terdapat ruang perselisihan pendapat di antara tokoh perundangan
Islam. Mengikut pendapat tokoh perundangan Islam yang besar, iaitu Imam Malik,
Imam Abu Hanifah dan Ahmad, hukuman Ta’zir wajib dilaksanakan oleh pemerintah
sama seperti hukuman hudud, tetapi boleh dimaafkan jika pemerintah berpendapat
kemaafan itu boleh mendatangkan kebaikan atau melihat penjenayah itu boleh
menjadi baik dengan cara-cara yang lain daripada mengenakan hukuman keseksaan
seperti dikenakan celaan atau sebagainya.
Sementara Imam as-Syafi’e
berpendapat bahawa hukuman Ta’zir tidak diwajibkan ke atas pemerintah untuk
melaksanakannya. Ia diberi kebebasan melaksanakannya atau tidak
melaksanakannya, kerana hukuman Ta’zir adalah hukuman yang tidak ditentukan
oleh syara’. Ia sama seperti hukuman pukulan yang dilakukan oleh seorang bapa,
guru atau suami.
Punca pebezaan
pendapat ini ialah kerana hukuman-hukuman Ta’zir melibatkan perkara-perkara
yang sesetengahnya merupakan hak Allah SWT seperti menghina sahabat-sahabat
Rasulullah SAW atau menghina al-Quran dan sebagainya atau sesetengahnya
merupakan hak individu yang boleh dimaafkan seperti, perbuatan memukul atau
memaki seseorang dan sebagainya.
3.
Hukuman Ta’zir sesuai
dengan prinsip umum yang menetapkan perlu wujudnya perbezaan hukuman kerana
perbezaan jenayah, sedangkan hukum hudud sama sahaja. Ia tidak berbeza dengan
sebab besar kecil perlakuan jenayah, iaitu ia sama sahaja di antara kesalahan
mencuri satu dinar dengan kesalahan mencuri seribu dinar, di antara peminum
arak yang minum sedikit atau yang meminum arak dengan banyak.
Dalam Bab
Yang Ketiga pula pengarang mula menjelaskan satu-persatu tentang hukum Hudud
secara ringkas. Sila baca bukunya, jika di Kelantan boleh didapati di kedai
buku Syarikat Ja’far Rawas, Kota Bharu.
[Perhatian; Kerja menaip dan menyusun semula dilakukan
oleh Pelajar KIAS, Ijazah Usuluddin Tahun 2, Fasal 4. 2012/2013. Mereka ialah;
1.
Abdul Lathif Bin Abdul Ghani
(11010131)
2.
Mohammad Izzul Afiq Bin Adizi (12010324)
3.
Mohd Rafie Bin Hashim (11010134)
4.
Mr Asree Yusoh (110101360)
5.
Mr Saipin Wamingsalaeh (11010139)
6.
Mr Yahaya Semaeng (11010140)
7.
Ahmad Rizuan Bin Samsudin (12010216)
Di Sunting Oleh: Nik
Muhammad Zulhanif Nik Yaacob. Jazahumullahu Khaira]
Syarah Kitab Keindahan Islam Dalam Bab Undang-Undang Jenayah.