Keistimewaan Wuquf
di Arafah
pada Hari Jumaat
& Haji Akbar.
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، والصلاة والسلام
على رسول الله، وعلى آله وصحبه، ومن والاه، وبعد.
Catatan ringkas ini membincangkan tajuk fadhilat Wuquf
pada hari Jumaat.
Wuquf
pada hari Jumaat mempunyai sepuluh keistimewaan berbanding dengan Wuquf pada
hari-hari lain, kerana beberapa sebab/perkara;
Pertama: Kerana berkumpul pada ketika itu dua hari yang merupakan hari yang
paling afdhal. Hari Jumaat yang paling afdhal dalam seminggu dan Hari Arafah yang
paling afdhal dalam setahun.
Kedua: Ianya merupakan hari yang terdapat padanya waktu yang mustajab doa.
Kebanyakan ulama’ mengatakan pada akhir hari selepas asar. Kebanyakan jemaah
haji yang berada di Arafah berdiri berdoa dengan penuh tadarru’,
merendah diri kepada Allah SWT.
Ketiga: Ianya bersamaan dengan hari Rasulullah SAW Wuquf semasa mengerjakan Haji
Wada’.
Keempat: Berkumpulnya semua umat Islam di seluruh dunia mendengar khutbah dan
solat Jumaat. Berbetulan juga dengan jemaah haji sedang berkumpul di Arafah.
Maka terjadilah ijtima’ umat Islam di masjid-masjid mereka dalam keadaan mereka
berdoa dan bertadarru’ yang tidak terjadi pada hari lain.
Kelima: Hari Jumaat merupakan hari raya (mingguan) dan hari Arafah adalah hari
raya bagi jemaah haji yang berada di Arafah, kerana itu mereka tidak disunatkan
berpuasa di Arafah.
Hikmahnya, agar mereka kuat
untuk berdoa dan beribadat di Arafah. Ada juga pendapat yang mengatakan kerana
ianya hari raya bagi ahli Arafah.
Keenam: Bertepatan dengan hari yang Allah SWT sempurnakan Agamanya bagi
hamba-Nya yang beriman dan menyempurnakan nikmat-Nya ke atas mereka.
Ketujuh: Ianya bertepatan dengan hari perhimpunan agung, hari Kiamat yang akan
berlaku pada hari Jumaat kelak.
Kelapan: Umat Islam biasanya akan melakukan ketaatan yang banyak pada malam dan
hari Jumaat berbanding pada hari-hari lain. Bahkan ramai kaki maksiat pun yang menghormati
hari Jumaat, mereka mengira sesiapa yang berani membuat maksiat pada hari itu,
Allah SWT akan menyegerakan siksaannya. Ini telah menjadi kefahaman mereka
melalui pengalaman, tidak lain melainkan kerana kebesaran hari Jumaat dan
kemuliaannya di sisi Allah SWT. Maka Allah SWT memilihnya daripada hari yang
lain, maka tidak diragukan lagi Wuquf padanya mempunyai kelebihan daripada
hari-hari lain.
Kesembilan: Bertepatan dengan hari tambahan nikmat bagi ahli Syurga, iaitu hari
yang Allah SWT kumpulkan ahli syurga di Wadi Afyah, diletaknya mimbar dari
lu’lu’ (mutiara), emas, zabarjad dan yaqut di atas pasir kasturi, maka mereka
memandang kepada Tuhan mereka Tabaraka wa Ta’ala. Allah SWT mentajalli (menzahirkan)
kepada mereka dan mereka melihat-Nya. Peristiwa itu juga berlaku pada hari Jumaat.
Apabila
hari Arafah terkena pada hari Jumaat maka bertambahlah kemuliaannya berbanding
dengan hari lain.
Kesepuluh: Allah SWT
menghampiri orang yang sedang berWuquf di Arafah pada petang Arafah, kemudian
berbangga dengan hamba-Nya yang berWuquf kepada malaikat dengan firman-Nya:
{Apa yang mereka mahu? (datang
ke Arafah ini)}. [HR: Muslim]
Aku saksikan kamu (wahai
malaikat) bahawa aku telah mengampuni bagi mereka.} [Lihat Sahih At-Targhib
1154].
Pada petang Arafah
merupakan waktu mustajab doa, tidak ditolak permintaan orang meminta segala
kebaikan, maka ahli Arafah menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan berdoa
dan bertadharru’ merendah diri pada waktu itu.
Allah SWT dekat
dengan hamba-Nya mengandungi dua maksud;
1-
Hampir dengan menerima doa dan
permintaan mereka pada waktu itu.
2-
Hampir dengan makna khas
istimewa untuk mereka yang berwuquf di Arafah, Allah SWT berbangga dengan mereka
kepada Malaikat, maka hati para mukmin yang berwuquf, bertambah kekuatan dan
keyakinan, bertambah iman dan gembira, serta mengharapkan kelebihan dan limpah
kurnia Tuhannya.
Maka sepuluh perkara ini dan selainnya menjadikan Wuquf pada Hari Jumaat lebih baik daripada Wuquf pada hari-hari lain.
Berkata Ibnu
Al-Qayyim rahimahullah:
“Adapun apa yang
tersebar di atas lidah orang awam bahawa, ‘Wuquf pada hari Jumaat menyamai
tujuh puluh dua kali haji’ adalah maklumat yang batil, tidak ada sandaran asal baginya
dari Rasulullah SAW, tidak juga dari salah seorang sahabat Nabi SAW dan juga
tabi’in, Wallahu a’lam”. [Diringkaskan dari Kitab: Zad al-Ma’aad 1/60-65].
Berkata Al-Imam Al-Hafiz Ibnu
Hajar rahimahullah:
“Adapun apa yang disebut oleh
Ruzain dalam kitab Jami’ dan dimarfu’kan (kepada Nabi SAW) hadis:
(Sebaik-baik hari yang naik
matahari padanya ialah hari Arafah, jika bertepatan dengan hari Jumaat maka
lebih afdhal daripada tujuh puluh kali haji yang berwuquf pada hari lain.)
Hadis ini aku tidak tahu
kedudukannya, kerana tidak disebut siapakah sahabat yang meriwayatkannya, tidak
disebut pula kitab yang mengeluarkannya, bahkan dimasukkannya pada hadis
al-Muwatta’ yang disebut secara mursal dari Talhah bin Abdullah bin Kuraiz, dan
tambahan tersebut tidak ada sedikit pun dalam kitab-kitab Muwatta’.
Sekiranya hadis ini ada
asalnya, maka kemungkinan maksudnya 70 itu ialah bilangan atau mubalaghah
iaitu menunjukkan kelebihan, kedua-duanya menunjukkan kepada keistimewaannya,
wallahu a’lam”. [Fath al-Bari 8/271]
Berkata Sheikh Al-Mubarakfuri:
“Perhatian, telah masyhur di
kalangan orang awam bahawa apabila Wuquf pada hari Jumaat maka ia adalah Haji
Akbar. Ini tidak ada asal (sandarannya).
Betul Ruzain meriwayatkan dari Talhah:
(….Apabila Wuquf pada hari Jumaat
maka lebih afdhal daripada tujuh puluh kali haji yang berWuquf pada hari lain.)
Demikian dalam kitab Majma’ Al-Fawaid, hadis ini mursal, dan saya tidak menemui
sanadnya.” [Tuhfah Al-Ahwazi 4/27]
Salah Faham
Tentang Haji Akbar
Ramai
lagi umat Islam yang masih belum faham dan keliru tentang maksud Haji Akbar
(besar).
Bagi
setengah mereka ia adalah apabila hari Wuquf jatuh pada hari Jumaat. Di sini
kita cuba lihat penjelasan tentang maknanya yang sebenar berdasarkan ayat
al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih.
Allah
SWT berfirman,
}وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى
النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَرِيءٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
وَرَسُولُهُ{
{Pengumuman dari
Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada
hari Haji Akbar, bahawa Allah dan Rasul-Nya berlepas diri dari orang
musyrik…} [At-Taubah: 3]
*Mufassirin (ahli
tafsir) berbeza pendapat tentang yang dimaksudkan dengan Haji Akbar, ada yang
mengatakan hari Nahar (hari Idul Adha), ada yang mengatakannya hari Arafah.
Tetapi yang dimaksudkan dengan Haji Akbar di sini adalah Haji yang berlaku pada
tahun ke-9 Hijrah.
Kemudian
dalam sebuah hadis, dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu:
Bahawa
Abu Bakr As-Siddiq radhiallahu ‘anhu ketika musim haji yang diperintahkan
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam sebelum musim haji Wada’, telah mengutuskan
aku bersama sekumpulan kaum muslim untuk
mengumumkan kepada masyarakat pada hari Nahar (Idul Adha),
bahawa:
لا يحج بعد العام مشرك ولا يطوف بالبيت
عريان
“Selepas
tahun ini, orang musyrik tidak boleh datang haji lagi dan orang yang telanjang
tidak boleh lagi tawaf di Ka’bah.” [HR. Muslim].
Berdasarkan
ayat dan hadis di atas, maka makna hari Haji Akbar adalah hari dimana Abu Bakar
RA bersama kaum muslim yang lain, mengumumkan kepada masyarakat Makkah bahawa
orang musyrik tidak boleh lagi melakukan haji di Ka’bah. Ini menunjukkan bahawa
hari Haji Akbar adalah hari Nahar (Idul Adha), kerana pengumuman
tersebut dilakukan pada hari Idul Adha.
Imam
An-Nawawi menjelaskan dalam Syarah Sahih Muslim, bahawa Ibnu Syihab mengatakan,
“Humaid bin Abdurrahman mengatakan, Hari Nahar (Idul Adha) adalah hari Haji
Akbar, berdasarkan hadis Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu di atas.”
Kemudian
Imam An-Nawawi menjelaskan lagi,
“Makna perkataan Humaid bin Abdirrahman, firman Allah ‘Pengumuman
dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar,…’ kemudian
penyampaian pengumuman ini dilakukan oleh Abu Bakar, Ali bin Abi Talib, Abu
Hurairah, dan para sahabat RA yang lainnya pada ketika hari Idul Adha, dengan
izin dari Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam.” [Syarah Sahih Muslim, Imam
An-Nawawi, 9:116].
Imam
An-Nawawi juga mengatakan, “Ulama’ berselisih pendapat mengenai apa yang
dimaksudkan hari Haji Akbar. Ada yang mengatakan, hari Arafah. Sementara Imam
Malik, Imam as-Syafi’i, dan majoriti ulama’ berpendapat bahawa Haji Akbar
adalah hari Nahar (Idul Adha).
Sebahagian ulama’ menjelaskan lagi: Dinamakan hari Haji Akbar, untuk
membezakannya dengan haji Asghar (kecil), iaitu umrah.” [Syarah Sahih
Muslim, An-Nawawi, 9:116].
Al-Hafiz
Ibnu Hajar mengatakan, “Ulama’ juga berbeza pendapat tentang makna haji asghar.
Majoriti ulama’ berpendapat bahawa haji asghar adalah umrah. Ada juga
yang mengatakan, Haji asghar adalah hari Arafah (9 Zulhijah) dan Haji
Akbar adalah Idul Adha’. Kerana pada hari Idul Adha, dilakukan penyempurnaan
amalan manasik haji yang belum dilakukan.” [Fathul Bari, Syarah Sahih Bukhari,
8:321].
Dari
keterangan di atas, dapat kita buat kesimpulan bahawa dinamakan Haji Akbar pada
asasnya adalah untuk membezakannya dengan umrah atau dengan kegiatan haji yang
lain. Bahkan lansung tiada tersebut dan tiada hubungannya dengan Wuquf yang
jatuh pada hari Jumaat.
Disebutkan
dalam Tuhfatul Ahwazi Syarh Jami’ At-Tirmizi:
قد اشتهر بين العوام أن يوم
عرفة إذا وافق يوم الجمعة كان الحج حجا أكبر ولا أصل له
“Telah masyhur di
kalangan masyarakat awam, bahawa hari Arafah, apabila bertepatan dengan hari Jumaat
maka hajinya adalah Haji Akbar. Dan ini adalah pendapat yang tidak ada
asasnya.” [Tuhfatul Ahwazi Syarh
Turmuzi, 4:27]. Wallahu a’lam.
[Lihat: http://www.islamweb.net/fatwa ]
Demikianlah sedikit penjelasan
tentang Fadhilat Wuquf pada hari Jumaat dan istilah yang masyhur “HAJI AKBAR”
menurut huraian para ulama’.
Kita berdoa kepada Allah ‘Azza wa
Jalla agar menganugerahkan kepada jemaah haji semua “Haji Mabrur, Usaha Yang
Diberkati dan Amalan Yang Diterima”.
وصلى الله على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى
آله وصحبه وبارك وسلم.
Akhukum,
AAM.
Makkah 4 Zulhijjah 1435H – 28 Sept 2014
Wuquf pada tahun ini Hari Jumaat, Alhamdulillah
AAM.
Makkah 4 Zulhijjah 1435H – 28 Sept 2014
Wuquf pada tahun ini Hari Jumaat, Alhamdulillah