Alhamdulillah
bersyukur Kepada Allah, dengan limpah kurnia-Nya, sebuah lagi Majalah Islamiah
dapat diterbitkan oleh DBP, dibawah editor kanannya yang sangat gigih berusaha
iaitu Ustaz Salahuddin.
Dalam keluaran
sulung ini tajuk utamanya ialah “Doa Untuk Pemimpin”, Abu Anas telah menulis maqalah
bertajuk “Bahana Fitnah”.. Semoga kelahiran majalah Dewan Tamadun Islam (TI) ini dapat memenuhi ruang untuk menambahkan lagi pengetahuan masyarakat dalam ilmu agama & maklumat umum..
Tahniah kepada
DBP, khasnya sahabat saya Ustaz Din, Barakallahu fiikum..
Di bawah ini catatan mengenai
Majalah & Majlis Pelancaran yang ditulis oleh Akhuna Ustaz ZAHIRUDDIN
ZABIDI, dari Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Lahirnya
Majalah Dewan Tamadun Islam.
Januari 2013 bermula dengan penuh
bergaya khususnya bagi Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) apabila Bahagian
Majalah DBP menerbitkan sebuah majalah baharu yang diberi nama Dewan Tamadun
Islam (TI).
Lama dahulu DBP pernah menerbitkan
Dewan Agama dan Falsafah namun akhirnya ditutup atas sebab-sebab yang tertentu.
Namun dengan kelahiran majalah Dewan Tamadun Islam ini, ia seakan menebus
kembali penamatan majalah Dewan Agama dan Falsafah.
Tidak dapat dinafikan, penerbitan
majalah-majalah berunsur Islam begitu rancak beberapa tahun kebelakangan ini,
antara puncanya adalah kerana kejayaan majalah Solusi terbitan Telaga Biru
menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia.
Rentetan daripada itu, muncul
banyak majalah baru di pasaran malah ada juga majalah yang pernah diberhentikan
juga dihidupkan kembali (Deperti Majalah DIAN). Tidak kurang juga ada majalah
berunsur Islam yang sudah beroperasi lebih 10 tahun diberhentikan kerana tidak
lagi mampu bersaing dalam pasaran.
Sisi positifnya adalah, ini
menunjukkan sebenarnya umat Islam di Malaysia suka membaca namun penerbit perlu
bijaksana dalam seni persembahan majalah terbitan mereka dan penerbit perlu
memastikan pembeli berasa berbaloi membayar RM6-10 untuk senaskhah majalah.
TI muncul tepat pada masanya dan
sesuai untuk semua peringkat
Editor yang dipertanggungjawabkan
untuk menguruskan majalah ini adalah Ustaz Salahuddin Datuk Paduka Muhammad,
lulusan Jordan dan juga merupakan seorang peceramah selebriti.
Menurut beliau, setiap bulan
pasukan majalah TI akan mengadakan wacana di pelbagai tempat di seluruh negara
khususnya di pusat pengajian tinggi dengan menjadikan tajuk fokus majalah
sebagai tajuk wacana.
Oleh yang demikian, bersesuaian
dengan tajuk fokus isu pertama iaitu “Doa Untuk Pemimpin” telah diadakan
wacana sekali gus majlis pelancaran majalah tersebut oleh penasihat agama
perdana menteri Malaysia, YB Dato’ Seri Dr. Abdullah Md Zain.
Wacana tersebut telah menampilkan
dua orang tokoh akademik dan dakwah tanah air yang tidak asing lagi iaitu Prof.
Madya Dr. Fauzi Deraman, pensyarah kanan Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dan Dr. Abdul Basit Abd
Rahman, pensyarah Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra
(KIAS).
Kedua panel telah mengupas tajuk
fokus “Doa Untuk Pemimpin” dalam masa satu jam di dewan utama Kolej Universiti
Islam Selangor (KUIS), pada 14 Januari yang lalu dan dimudahcarakan oleh
Zahiruddin Zabidi. Oleh kerana kesuntukan masa, majlis dihentikan tepat jam
11.00 pagi bagi persediaan majlis perasmian sejurus selepas itu.
Harapan dan peluang
Uniknya majalah TI ini adalah
kerana ia tidak mempunyai penulis tetap atau kolumnis namun ia sentiasa membuka
ruang kepada para penulis untuk menghantar karya mereka melalui editornya di
alamat al-fatih@dbp.com.my.
Selain daripada itu, persembahan
majalah juga mendapat pujian daripada pembaca awal kerana didapati sesuai
dibaca oleh semua golongan masyarakat sama ada golongan profesional, pelajar
dan awam.
Mereka bukan sahaja boleh menjadi
pembaca, namun sekali gus menjadi penyumbang sama ada artikel, esei, dan
menariknya ruangan untuk cerpen dan puisi juga disediakan.
Hadirnya majalah TI dilihat sangat
sesuai dengan suasana kekalutan sumber dan motivasi ilmu Islam yang benar serta
berwacana tinggi. Justeru, ia boleh dikatakan antara bacaan yang penting bagi
setiap daripada umat Islam khususnya di Malaysia bagi dijadikan rujukan
sementelah harganya yang kompetatif dan ekonomik iaitu hanya RM6.50.
ZAHIRUDDIN ZABIDI
Editor / Penulis / Penceramah. 16
Jan 2013.