Alhamdulillah segala pujian hanya untuk Allah, Tuhan
Semesta alam. Selawat serta salam kepada junjungan agung Nabi Muhammad S.A.W, para
Ummu al-Mukminin, Aalul Bait, sahabat Baginda s.a.w serta ulama’ yang menurunkan ilmu
dengan seikhlas hati kerana Allah.
Makalah yang ana masukkan di blog ini ialah tulisan Ustaz
Hasan Ahmad –hafizahullah- [Mantan Pensyarah UM] yang telah disiarkan oleh Majalah Pengasuh, terbitan
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bilangan 587.
Makalah ini membincangkan isu yang mungkin dianggap kontroversi atau isu panas
dalam masyarakat, namun untuk memberi maklumat dan asas perbincangan kepada
umum terhadap amalan yang menjadi kebiasaan masyarakat dengan dalil dan
pandangan empat mazhab – khasnya mazhab Syafie dan nukilan dari kitab jawi yang
menjadi rujukan dan bacaan di masjid dan surau kita.
Tujuan siaran ini ialah untuk perbincangan bukan untuk
menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat, dan satu perkara yang perlu diingat
bahawa perbincangan ini adalah tentang majlis kenduri kematian, tanpa menyentuh
hukum sampaikah pahala kepada orang yang telah mati, dua perkara ini adalah berbeza. Insya’Allah
akan dibincangkan dalam siri yang lain. [Penjelasan tentang Perjalanan Manusia ke Alam Akhirat boleh di lihat di: http://abuanasmadani.blogspot.com/2012/04/rehlah-abadi-ke-alam-akhirat-12-siri.html ].
MAJALAH BULANAN
DAKWAH DAN HADHARAH ISLAMIYYAH
BILANGAN: 587.
KDN-MI-1390/R/20
(ISSN 0126-6462)
JULAI – OGOS 2004.
TAJUK:
“HUKUM MENYEDIAKAN KENDURI KEMATIAN”
Oleh: Ustaz Hasan
Bin Ahmad.
بسم
الله الرحمن الرحيم
Sudah
menjadi lumrah kepada orang Melayu yang beragama Islam di tanah air kita,
apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, maka ahli keluarga si mati
itu akan menyediakan makanan dan minuman.
Pada
kebiasaannya, keluarga si mati akan memasak dan menyediakan nasi bungkus
mengikut bilangan orang yang hadir bersembahyang jenazah atau mengikut jumlah
orang yang terlibat memberi pertolongan mentajhizkankan mayat, termasuk
penggali kubur dan sebagainya. Sebaik sahaja selesai sembahyang jenazah, nasi
bungkus akan diedarkan dan dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang turun
dari rumah.
Kemudian,
pada malam pertama hingga malam ke tujuh diadakan majlis tahlil kepada roh si
mati, dan sesudah majlis tahlil, keluarga si mati akan menghidangkan makanan
dan minuman kepada jiran dan para jemaah yang hadir, sama ada jamuan ringan
atau jamuan berat mengikut kadar kemampuan masing-masing. Manakala pada malam
ketiga, ketujuh, kedua puluh, keempat puluh dan ke seratus pula, pada kebiasaannya,
akan dihidangkan jamuan nasi dengan aneka masakan yang enak-enak. Kemudian
setiap malam Jumaat selepas hari ke tujuh hingga hari keempat puluh atau
kadang-kadang sehingga hari ke seratus, diadakan lagi majlis-majlis tahlil,
dengan setiap lepas tahlil akan dihidangkan pelbagai hidangan dan masakan oleh
ahli si mati.
Pendek
kata, menjamu makanan dan minuman selepas kematian telah menjadi tugas yang
terpaksa dilakukan oleh ahli si mati, sama ada mereka terdiri dari orang kaya
atau kurang berada (miskin). Kalau tidak dibuat, nescaya akan dicela oleh jiran
tetangganya, kaum kerabatnya dan sahabat handainya. Bukan setakat dicemuh,
malahan keluarga si mati yang tidak menurut resam turun temurun itu akan
dipandang serong oleh masyarakat sekitar. Bermacam-macam tuduhan dan cemuhan
dilemparkan kepada ahli si mati yang tidak mengikut adat tradisi itu. Umpamanya
dikatakan kedekut, bakhil, tidak mengenang jasa si mati atau juga dikatakan
seperti mengambus batang pisang dan sebagainya.
Itulah
antara ungkapan, dan ajaran yang menggambarkan kejinya sesiapa yang
meninggalkan tradisi tersebut.
Sebahagian besar dari kalangan umat Islam menganggapnya dari ajaran Islam yang
penting yang tidak boleh diabaikan, kerana ianya turut dilakukan oleh
orang-orang yang berpengetahuan agama, sama ada dari lepasan madrasah-madrasah
pondok atau lepasan dari sekolah-sekolah arab/agama. Mana-mana individu yang
mengkritik adat resam itu akan dicop dan dilabelkan sebagai Kaum Muda yang
hendak merosakkan ajaran Islam yang suci.
Walau
bagaimanapun, ada juga segolongan kecil umat Islam di negara kita yang
berpendapat bahawa membuat dan menjamu makanan selepas kematian adalah amalan
bid’ah yang perlu ditinggalkan, kerana ia tidak pernah dibuat atau dilakukan
oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya.
Penyusun
merasa terpanggil untuk mengambil bahagian dalam perbincangan masalah
perselisihan yang tidak ada kesudahan ini, dengan harapan semoga masyarakat
kita, khususnya alim ulama dan bijak pandai Islam, dapat menilai siapakah
sebenarnya berada di pihak yang hak dan siapakah yang berada di pihak yang
kabur dalam masalah yang dinyatakan.
Ulama
silam telah membentangkan kepada kita mengenai hukum sebenar membuat dan
menjamu makanan kepada orang ramai selepas berlaku kematian. Antaranya ialah
dengan cara membawa hadis-hadis yang menjelaskan secara khusus mengenai perkara
ini:
1. Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud, At-Tirmizi
dan Ibnu Majah dari Abdullah Bin Ja’far, beliau berkata, apabila tiba berita
kematian Ja’far (bin Abi Thalib) Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Hendaklah kamu membuat
makanan kepada ahli Ja’afar (isteri-isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya
telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan (menyulitkan) mereka.
Dalam
hadis diatas, Rasullulah SAW mengharapkan jiran tetangga yang tinggal
berhampiran dengan keluarga si mati agar membuat makanan kepada mereka yang
ditimpa musibah dan dukacita kematian. Ja’far Bin Abi Thalib r.a telah mati
syahid dalam peperangan Mu’tah pada tahun kelapan hijrah. Sebaik-baik sahaja
berita kematiannya sampai, Nabi SAW menyuruh jiran tetangganya melakukan
perkara itu kepada ahlinya (keluarganya) bagi meringankan beban dukacita ahli
keluarga dengan memberi makan kepada mereka.
2. Hadis Jarir Bin Abdullah (r.a) katanya:
كنا
نعد الإجتماع إلي أهل الميت وصنعة الطعام بعد دفنه من النياحة.
Maksudnya:
Kami mengira berhimpun orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas
pengebumiannya adalah sebahagian dari ratapan kematian. (diriwayatkan oleh Imam
Ahmad Bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan sanad yang sahih).
Hadis diatas menunjukkan kepada kita
bahawa orang ramai yang berhimpun di rumah ahli si mati dan memakan makanan
yang dimasak dan disediakan oleh ahli si mati adalah sebahagian dari perbuatan
ratapan kematian. Dan ratapan selepas kematian adalah perbuatan jahiliah yang
hukumnya adalah haram sebagaimana dimaklumi.
Dibawah ini diturunkan pesanan
beberapa ulama besar lagi mujtahid:
1-
Imam Syafie menegaskan dalam
kitabnya
(الأم):
a)
وأحب
لجيران الميت أو ذى قرابته أن يعلموا لأهل الميت في يوم وليلته طعاما يشبعهم، فإن
ذلك سنة وذكر كريم، وهو من فعل أهل الخير قبلنا وبعدنا، لأنه لما جاء نعى جعفر قال
رسول الله صلى عليه وسلم: اجعلوا لآل جعفر طعاما فإنه قد جاءهم أمر يشغلهم.
Maksudnya:
Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya
(keluarga jauh) memberi makan kepada ahli keluarga mayat, yang mengenyangkan
mereka pada hari dan malamnya, kerana itu adalah sunnah dan ingatan (ذكر) yang mulia, dan
ianya adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Ini
kerana apabila tiba berita kematian Ja’far, Rasulullah SAW bersabda: Buatlah
kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang
mengharukan kepada mereka.
b)
وأكره
المأتم وهي الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يجدد الحزن ويكلف المؤنة
.....
Maksudnya:
Aku benci diadakan mu’tam iaitu perhimpunan, walaupun tidak ada tangisan
kepada mereka, kerana sesungguhnya perbuatan itu memperbaharui dukacita dan
membebankan tanggungan...[1]).
2-
Kata
Imam An-Nawawi dalam kitab (المجموع): Telah berkata Imam Syafie dalam (المختصر): Aku suka kepada kaum kerabat si mati dan kepada jirannya yang
membuat makanan kepada ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan
malamnya. Sesungguhnya ia adalah sunnah yang dilakukan oleh golongan yang
baik-baik. Kata Ashab kita (Ulama Fiqh Syafie): Membuat pelawaan bersungguh-sungguh
supaya ahli si mati itu makan, walaupun mayat berada di negeri lain, juga
disunatkan kepada jiran keluarga si mati membuat makanan untuk mereka[2]).
3-
Shohib
Assyamil (Ibn As-Sobbagh) dan orang lain
berpendapat: Ahli keluarga si mati membuat makanan dan menghimpunkan orang
ramai supaya makan, maka tidak ada sumber sedikit pun yang diriwayatkan, bahkan
perbuatan itu bid’ah yang tidak disukai. Beliau membuat dalil dengan
hadis Jarir Bin Abdullah (r.a) yang berkata: “ كنا
نعد الاجتماع.......
”
4-
Sheikh
Al-Islam Ibnu Taimiyyah (rhm) berkata:
"Manakala ahli si mati membuat makanan dan memanggil orang ramai
supaya memakannya, adalah perbuatan itu tidak di syarakkan, bahkan ianya
bid'ah, berdasarkan kepada hadis Jarir Bin Abdullah r.a yang berkata: "Kami
mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan untuk
dijamu kepada orang ramai adalah sebahagian dari ratapan jahiliah."[3])
5 . Di dalam
kitab Fiqhussunah ada disebut: “Disunatkan membuat makanan kepada ahli
si mati, kerana ianya dari perkara
kebajikan dan taqarrub kepada Allah dari jiran tetangga dan dari kaum kerabat
(yang jauh)”. Imam Syafie berkata: “Aku suka kaum kerabat si mati membuat dan
memberi makan kepada ahli si mati, yang boleh mengenyangkan mereka pada hari
dan malamnya, kerana ia adalah sunnah dan daripada perbuatan golongan yang
baik-baik.”
Ulama
mengatakan sunat mempelawa bersungguh-sungguh supaya ahli si mati memakan makanan yang diberikan itu supaya mereka
tidak menjadi lemah lantaran tidak menjamah makanan disebabkan terlampau
terkejut dengan peristiwa kematian atau dengan sebab segan. Imam-imam mazhab telah bersepakat bahawa hukumnya
adalah makruh bagi ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai
yang berkumpul kepada ahli si mati, kerana perbuatan itu menambahkan lagi
musibah ke atas mereka dan memperbanyakkan lagi kesibukkan di atas kesibukkan
yang telah sedia ada, dan perbuatan itu tak ubah seperti kelakuan seperti
golongan Jahiliah. Hajat ini berdasarkan kepada hadis Jarir Bin Abdullah r.a yang
berkata: “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat
makanan selepas pengebumiannya adalah dari ratapan kematian”.
Sesetengah ulama mengatakan hukumnya adalah
haram bagi ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai[4]).
Di dalam kitab حكم القراءة للاءموات
ada disebut: antara bid'ah yang diharamkan ialah ahli si mati memberi makan
kepada orang yang memberi takziah atau memberi makan kepada faqir miskin
selepas mengiring jenazah, dan pada hari Khamis, pada hari ketiga, pada hari
keempat puluh dan tahunan (haul). Yang sunnahnya ialah sahabat handai dan
jiran tetangga memberi makan kepada ahli
si mati kerana hadis Nabi SAW: "Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli
Ja'far kerana sesungguhnya telah datang perkara yang telah mengharukan mereka"
(diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan selainnya dengan sanad yang sahih). Maka
alangkah jauhnya perbezaan antara As-Sunnah dengan bid'ah[5]).
7. Di dalam kitab احكام
الجنائز وبدعها ada
disebut, antara amalan bid'ah ialah:
1) Ahli si mati menerima dhif tetamu dengan memberi makan kepada
mereka.
Sunnah
membuat makanan untuk ahli si mati - Pendapat empat Mazhab
Selepas
kita mengikuti perbincangan dari ulama dan ulama mujtahid mengenai membuat dan
menjamu makanan selepas kematian, atau dengan kata lain membuat kenduri jamuan
makanan selepas kematian, maka dapat di fahamkan dari ulasan dan penerangan itu
bahawa amatlah berbeza sekali apa yang di amalkan oleh kebanyakkan masyarakat Islam
kita pada hari ini, kerana amalan mereka membuat kenduri jamuan makan selepas
kematian adalah bercanggah dengan sunnah Nabi SAW dan sunnah sahabat-sahabat
dan bertentangan dengan fatwa-fatwa ulama. Oleh kerana perkara ini sangat tebal
diamalkan dalam masyarakat Islam Melayu kita, maka penyusun merasa mustahak untuk
membentangkan pula kepada pembaca pendapat Fuqaha' dari empat imam mazhab
sebagaimana berikut:
1
- Mazhab Maliki:
Di
sunatkan kepada jiran dan seumpamanya menyediakan makanan kepada keluarga si
mati kerana kesibukan mereka menghadapi kematian.
2
- Mazhab Hanafi:
Di
sunatkan kepada jiran keluarga si mati dan kaum kerabatnya yang jauh
menyediakan makanan untuk ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan
malamnya, kerana sabda Nabi Muhammad SAW: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far, kerana
sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”. Oleh
kerana memberi makan itu suatu perkara kebaikan dan ma’ruf, maka dipelawa bersungguh-sungguh
kepada mereka supaya makan, kerana kesedihan telah menghalang mereka daripada
memakan makanan dan menyebabkan mereka menjadi lemah.
3
- Mazhab Hanbali:
Di
sunatkan membuat makanan untuk ahli si mati dan dihantar makanan itu kepada
mereka bagi memberi pertolongan dan melembutkan hati mereka. Boleh jadi mereka
sibuk dengan ujian yang diterima, juga sibuk dengan kunjungan orang ramai yang
datang menemui mereka, menyebabkan mereka tidak dapat menyediakan makanan untuk
diri mereka sendiri. Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah Bin Ja’far bin
Abi Thalib) r.ahma, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu membuat makanan
kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan
mereka”.
Diriwayatkan dari Abdullah Bin Abu Bakar r.anhma, beliau berkata:
“Sentiasa sunnah Nabi itu menjadi ikutan kami (sahabat Nabi) sehingga
ditinggalkan oleh manusia yang meninggalkannya (yakni sehingga sunnah itu
ditinggalkan dan tidak diamalkan oleh kebanyakkan orang)”.
4 - Mazhab Syafie:
Sebagaimana disebut dalam kitab Al-Muhazzab (المهذب) oleh Imam Al-Syirazi[7] ).
Disunatkan kepada kaum kerabat si mati dan jirannya membuat makanan kepada ahli
si mati. (Isteri, Suami dan anak-anaknya), kerana diriwayatkan
apabila Ja’far Bin Abu Thalib r.a terbunuh Nabi SAW bersabda:
“Hendaklah
kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah datang kepada
mereka perkara yang mengharukan mereka”. Imam Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’
syarah kepada kitab al-Muhazzab, katanya: “Imam Syafie berkata di dalam
kitab al-Mukhtasar: “Aku suka pada kaum kerabat si mati dan jirannya
membuat makanan untuk ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan
malamnya, kerana sesungguhnya perbuatan itu ialah sunat dan diamalkan oleh
golongan yang baik-baik’’.
Dipelawakan
bersungguh-sungguh kepada mereka (ahli si mati) supaya mereka makan dan
walaupun mayat itu berada di negeri lain sekalipun, adakah disunatkan juga
kepada jiran tetangga keluarga si mati membuat makanan untuk mereka.
Setelah
kita mengikuti pendapat ulama di dalam empat mazhab mengenai membuat dan
menyediakan makanan atau jamuan selepas kematian maka kita dapati semua mazhab
telah bersepakat kata bahawa hukumya adalah sunat bagi jiran tetangga dan kaum
kerabat yang jauh membuat makanan kepada mereka, bukan mereka membuat makanan
dan menjamu jiran dan orang ramai apabila berlaku sesuatu kematian seperti yang
diamalkan oleh kebanyakan masyarakat kita pada hari ini.
Sebagaimana
yang telah dikatakan, adat resam ini menjadi amalan sebahagian besar masyarakat
Islam di negara kita, malah ada sesetengah bijak pandai Islam sendiri,
mempertahankan tradisi ini, tanpa berpegang kepada dalil-dalil dan hujah-hujah
yang kukuh.
Bagi
memahami permasalahan ini ada baiknya dibentangkan dahulu nas atas teks asal
dalam bahasa Arab oleh ulama dari empat mazhab kemudian diiringi dengan
maksudnya dalam bahasa Melayu.
Ø
Pendapat
Mazhab Maliki:
وجمع الناس على طعام بين
الميت بدعة مكروهة لم ينقل منها شئ, وليس ذلك موضع ولائم.
Maksudnya:
Perhimpunan orang ramai pada makanan di rumah si mati adalah bid’ah yang makruh,
tidak ada sandaran riwayat yang boleh berpegang sedikit pun, dan ia bukan
tempatnya yang sepatut dan ianya dicela.[8])
Ø
Pendapat
Mazhab Syafie:
وأما
إصلاح اهل الميت طعاما وجمع الناس عليه , فلم ينقل فيه شئ وهو بدعة غير مستحبة.
ويستدل لهذا بحديث جرير بن
عبد الله رضى الله عنه: كنا نعد الاجتماع إلى أهل الميت وصنعة الطعام بعد دفنه من النياحة.
Maksudnya:
“Jika ahli si mati membuat makanan untuk orang ramai dan menghimpun mereka
kepada makanan itu, maka ianya tidak ada sandaran riwayat yang boleh dipegang sedikit pun, dan perbuatan itu
bid’ah yang tidak disunatkan. Berdalil dengan hadis Jarir Bin Abdullah r.a: “Kami
mengira perhimpunan kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengebumiannya
adalah dari ratapan kematian.” [9])
فأما
صنع اهل الميت طعاما للناس فمكروه, لأن فيه زيادة على مصيبتهم وشغلا إلى شغلهم
وتشبها بصنع اهل الجاهلية .
Maksudnya:
Jika ahli si mati membuat makanan untuk di jamu kepada orang ramai, maka
hukumnya makruh, kerana perbuatan itu menambahkan lagi ke atas musibah mereka
dan memperbanyakkan lagi kesibukan ke atas kesibukan mereka yang sedia ada, dan
kelakuan itu seperti perbuatan golongan
jahiliyyah.[10]
Tetapi
dalam mazhab Hanbali ini ada pengecualiannya, iaitu jika terpaksa ahli si mati
membuat makanan kepada orang yang datang dari perkampungan atau dari
tempat-tempat yang jauh untuk menziarahi mayat, dan mereka terpaksa bermalam di
rumah mereka (ahli si mati), maka tidak
dapat tidak ahli si mati terpaksa menerima mereka sebagai tetamu, maka
pada ketika itu hukumnya boleh memberi mereka makan.
Ø
Pendapat
Mazhab Hanafi:
ويكره اتخاذ الضيافة من
الطعام من اهل الميت ، لأنه شرع فى السرور ولا فى الشرور، وهي بدعة مستقبحة . فقد
روي الإمام احمد وابن ماجة بإسناد صحيح عن جرير بن عبدالله قال:"كنا نعد
الإجتماع إلى اهل الميت وصنعهم الطعام من النياحة".
Maksudnya:
Hukumnya adalah makruh ahli si mati menerima tetamu dengan memberi makan kepada
mereka, kerana yang demikian itu hanya disyarakkan pada waktu gembira, bukan
pada waktu tidak baik (waktu sedih selepas kematian), dan ianya suatu bid’ah
yang keji. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan sanad
yang sahih dari Jarir Bin Abdullah r.a, katanya: “Kami mengira perhimpunan
kepada keluarga si mati dan mereka membuat makanan (untuk dijamu kepada orang
yang berhimpun itu) adalah dari ratapan kematian.”[11]
Selepas
pembentangan pendapat ulama dari empat mazhab, penyusun bentangkan pula
pendapat ulama kita dalam Mazhab Syafie yang ditulis dalam bahasa Melayu lama
tulisan jawi. Ulama besar yang berkemampuan tinggi di dalam agama dan bahasa Arab
ini banyak mengarang kitab-kitab agama dalam bahasa Melayu tulisan jawi.
Kebanyakan kitab-kitab karangan mereka menjadi rujukan utama kepada penuntut-penuntut
di madrasah-madrasah pondok pada zaman dahulu dan malah sehingga sekarang.
Kitab
Furu’ Al–Masaail:
Antara
lain yang dijelaskan di dalam kitab ini ialah:
Hukumnya
makruh, dicela oleh syarak, amalan yang dibuat oleh orang ramai apa yang
dinamakan kifarah dan wahsyah)[12]. Iaitu berkumpul dan
berhimpun serta memberi makan kepada orang ramai pada malam pertama selepas
dikebumikan mayat, berhimpun dan memberi makan pada tujuh hari, dua puluh hari,
empat puluh hari dan seumpamanya.
Teks
atau nas asalnya berbunyi, “Dan demikian lagi yang dikerjakan manusia dengan
barang yang dinamakan dia dengan kafarah dan daripada dikerjakan wahsyah
yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan
tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan umpamanya, yang demikian itu
haramkah atau makruh atau harus. (Maka dijawabnya) maka adalah segala yang
tersebut makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak kata Syeikh
Ibnu Hajar tiada sah wasiatnya).[13]
Dari
kitab Sabil Al-Muhtadin:
Ringkasan
dari kitab ini ialah:
1
) Hukumnya bid’ah dan makruh jika dibuat kenduri makan selepas kematian dan
dijemput orang ramai supaya
memakan makanan itu, samada jamuan itu dari sebelum mayat dikebumikan atau
selepas dikebumikan.
2
) Juga hukumnya makruh dan bid’ah kepada sesiapa yang menerima jemputan itu dan
menghadirinya.
Nas
asalnya berbunyi: “Dan makruh lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan
yang diserukannya manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia dan
kemudian daripadanya seperti yang telah teradat dan demikian lagi makruh lagi bid’ah
bagi segala mereka yang diserunya perkenankan seruan.”[14]
Dari
kitab Kasyfu Al-Lithsam:
Ringkasan
dari kitab ini ialah:
1)
Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, bila ahli si mati memberi makan kepada
orang ramai sebelum atau selepas pengebumian mayat.
2) Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, membuat
penyembelihan di kubur.
3)
Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, apa yang dinamakan kafarah dan wahsyah
iaitu berhimpun dengan memberi makan kepada orang ramai pada malam pertama
selepas pengkebumian mayat, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan
seumpamanya seperti yang tersebut.
Nas
atau teks asalnya berbunyi: “Barang yang dikerjakan oleh ahli mayat daripada
mempersembahkan makanan dan perhimpunan manusia atas dahulu daripada tanam mayat
dan kemudian lagi dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan dengan kifarah
dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam
kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh hari dan empat
puluh hari dan umpamanya yang demikan itu yang diperbuat oleh kebanyakan orang
itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syarak kerana
tegah pada syarak.”[15]
Dari
kitab Bughyatu Al-Thullab:
Ringkasan
dari kitab ini antara lain ialah:
1)
Sunat
kepada jiran si mati, kepada kawan kenalan keluarga si mati dan kepada kaum
kerabat yang jauh, membuat dan membawa makanan kepada ahli si mati yang boleh
mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya.
2)
Hukumnya
makruh dan bid’ah jika ahli si mati membuat makanan dan menjemput orang ramai
supaya memakannya, samada sebelum atau selepas pengebumian mayat.
3)
Hukumnya
bid’ah yang buruk lagi makruh jika diamalkan oleh orang ramai apa yang
dinamakan kafarah dan wahsyah iaitu perhimpunan dengan memberi
makan kepada orang ramai selepas pengebumian mayat, tujuh hari, empat puluh
hari dan seumpamanya seperti yang tersebut.
4)
Asal
sunat memberi makan ialah memberi makan kepada ahli si mati, bukan keluarga si mati
menjamu makan kepada orang lain, kerana sabda Nabi SAW: “Buatlah kamu makanan
kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang
mengharukan mereka.”
Teks
asal kitab ini berbunyi: “Dan sunat bagi jiran keluarga mayat dan orang yang
berkenalan dengan keluarganya, jikalau bukan jirannya sekalipun, dan segala kerabatnya
yang jauh, membawa makan makanan akan orang yang kematian yang mengenyangkan
mereka itu pada hari dan malamnya (serta) menyungguh-nyungguh akan mereka itu
suruh memakan kerana mereka itu terkadang meninggal akan memakan sebab sangat
terkejut hati mereka itu……
Dan
makruh lagi bid’ah bagi orang kematian memperbuat makanan menserukan (menyerukan)
segala manusia atas memakan dia, samada dahulu daripada menanam dia dan kemudian
daripadanya seperti yang telah diadatkan kebiasaan manusia. Demikian lagi makruh
lagi bid’ah bagi segala orang yang diserukan dia memperkenankan seruannya.”
Dan
setengah daripada yang qobihah (keburukan) lagi makruh mengerjakan dia
barang yang dikerjakan kebiasaan manusia barang dimakan dengan kafarah
dan wahsyah dan tujuh hari dan empat puluh dan umpamanya yang demikian
itu…
Adapun
asal sunat menyediakan makanan itu pada barang yang dahulunya sabda Nabi SAW,
“Tatkala datang khabar kematian Saidina Ja’far bin Abu Thalib pada perang Mu’tah,
perbuat oleh mu bagi keluarga Ja’far makanan maka sesungguhnya telah datang
akan mereka itu barang yang membimbangkan mereka itu.”[16]
Ringkasan
yang diambil dari kitab ini mengenai tajuk berkenaan antara lain seperti
berikut:
a)
Ahli si mati (isteri/suami, anak-anaknya) memasak makanan dan menghimpun orang
ramai dan menjamu makanan kepada mereka,
maka amalan itu tidak ada sedikit pun sandaran riwayat yang boleh di pegang dan
diikuti dari Nabi SAW dan dari sahabatnya.
b)
Hukumnya bid’ah dan makruh jika ahli si mati memasak dan mengumpulkan orang
ramai dan menjamu makanan itu
kepada mereka kerana berpandukan kepada hadis Jarir Bin Abdullah r.anhma
katanya “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat
makanan selepas pengebumian mayat adalah daripada perbuatan ratapan kematian”.
c)
Sunat kepada kaum kerabat si mati dan jiran tetangganya memasak atau membuat
makanan dan diberi makan kepada ahli si mati yang boleh mengenyangkan mereka
pada hari dan malamnya dan berkata Imam Syafie rhm.“Aku suka kepada kerabat si
mati dan jiran tetangganya memasak makanan kepada ahli si mati yang mencukupi
sehari semalam kerana ianya sunat dan perbuatan golongan yang baik-baik).[17]
Adat
kebiasaan menjemput, menghimpun orang ramai dan memberi makan kepada mereka
oleh ahli si mati sebelum atau selepas pengebumian mayat telah menjadi agenda
utama kepada sebahagian masyarakat kita selepas berlaku kematian. Adat seperti
ini ini perlu dihapuskan dengan segera supaya tidak bertapak lagi, kerana ia
bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW dan sunnah sahabatnya. Setengah
rakan-rakan kita yang tidak peka dengan sunnah Nabi SAW sanggup mendakwa bahawa
masalah ini adalah termasuk perkara yang remeh dan tidak penting. Persoalannya
ialah: Apakah perbelanjaan melibatkan beratus malahan beribu ringgit kepada
tempat yang bid’ah dan makruh itu termasuk perkara yang remeh-temeh?
Semua
ajaran Islam adalah penting dan memberikan mizan (timbangan) di akhirat
nanti. Oleh itu hendaklah kita masuk ke dalam ajaran Islam semuanya, tanpa
menerima separuh dan menolak separuh yang lain.
Ulama
silam telah bersepakat kata, termasuk ahli fuqaha’ dari empat mazhab
bahawa:
a) Makruh dan bid’ah apabila ahli si mati
memasak dan menjamu makanan kepada orang ramai yang berhimpun di rumah mereka.
b) Sunat dan digalakkan kepada jiran
tetangga dan kepada kaum kerabat si mati
memasak dan memberi makan kepada ahli si mati, bukan mereka (ahli si mati) yang
menjamu makanan kepada jiran dan orang ramai.
c) Perhimpunan kenduri memberi makan pada
malam pertama selepas kematian, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari
dan seumpamanya semuanya itu hukumnya makruh dan dicela oleh syarak. Amalan dan
perbuatan itu dinamakan “ كفارة dan وحشة .
”
Setakat
pembacaan penyusun dalam tajuk ini, tidak ditemui seorang ulama pun yang
hukumnya sunat bagi ahli si mati memberi makan kepada orang ramai selepas
berlaku kematian sebagaimana yang telah teradat dalam masyarakat kita bahkan
semuanya mengatakan bid’ah dan makruh, termasuk ulama-ulama besar dari Mazhab
Syafie seperti Imam Nawawi, Imam Shirazi, Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathoni,
Syeikh Muhammad Abdullah Al-Banjari dan lain-lain lagi.
Kita
merasa aneh dan hairan apabila dituduh dan dicopkan kaum muda ke-atas orang
yang menyebarkan pendapat-pendapat kibar al-ulama (ulama agung) silam
termasuk ulama mujtahidin dari empat mazhab yang menyatakan bid’ah dan makruh
apabila ahli si mati berhimpun dan memberi makan kepada orang ramai dan juga
mengatakan bid’ah dan makruh bagi mereka yang menyahut seruan dan panggilannya.
Soalannya siapakah sebenarnya yang didakwa sebagai kaum muda?
Adakah
mereka yang mempertahankan pendapat-pendapat dari ulama tersebut? Atau adakah
kaum muda yang sebenar ialah mereka yang mempertahankan adat istiadat itu dan
membelakangkan pendapat ulama-ulama berkenaan tanpa berpegang kepada
dalil-dalil yang benar dan kukuh.
Imam
Ishaq Ibrahim As-Syirazi umpamanya (wafat pada tahun 477 hijriah bersamaan 1083
masihi) demikian juga kibarul ulama yang lain termasuk Syeikh Daud
Abdullah Al-Fathoni dan Syeikh Muhammad Bin Abdullah Al-Banjari, semuanya hidup
pada zaman lampau. Oleh itu tidak masuk akal kalau mereka dilabelkan sebagai
kaum muda atas alasan berlawanan dengan kehendak dan adat masyarakat Islam.
Ada
juga di antara pensyarah-pensyarah agama dan pendakwah yang membela adat
istiadat seperti itu dan mendakwa hukumnya adalah sunat bagi keluarga si mati membuat kenduri kepada roh si mati
dengan memberi makan kepada orang ramai selepas majlis tahlil diadakan. Mereka
bukan sahaja menggalakkan masyarakat Islam supaya meneruskan amalan tersebut
malahan juga menuduh mana-mana pihak yang mendedahkan hukum sebenar masalah itu
sebagai orang yang berjalan tanpa haluan dan arah atau sebagai orang yang tidak
mempunyai ilmu yang cukup.
Ada
pula diantara mereka yang mengatakan bahawa masalah ini sudah selesai, kerana
ia telah dijawab oleh tok guru itu dan pak lebai ini, dan bermacam-macam lagi
kata-kata yang memberi sokongan ke arah mengekalkan tradisi dan adat berkenaan.
Jawapannya,
kami bukannya mengeluarkan fatwa dan menciptakan hukum baru, tetapi kami hanya
memaparkan dan mendedahkan ketetapan hukum yang telah di putuskan oleh kibarul
ulama dan ulama-ulama mujtahidin mengenai bid’ah dan makruh apabila ahli si
mati berhimpun dan memberi makan kepada orang ramai selepas kematian.
Pada
hemah kami, kalau dibandingkan ilmu antara kami dengan Syeikh Daud Bin Abdullah
Al- Fathoni pun jaraknya beribu batu. Sebab itulah kami berpegang teguh dengan
ketetapan hukum yang telah ditetapkan oleh mereka itu kerana kami yakin mereka
mempunyai ilmu yamg melaut luasnya, dengan dalil-dalil dan hujah-hujah yang dibentangkan
oleh mereka amat teguh dan tidak dapat dipertikaikan.
Apakah
mereka yang masih berpegang dengan adat istiadat mempunyai dalil-dalil yang
tidak dijumpai oleh ulama mujtahidin itu? Adakah hujah yang dipegang oleh
mereka lebih kuat daripada hujah yang dipegang oleh ulama mujtahidin?
Sanggupkah
kita membatalkan hukum bid’ah dan makruh yang ditetapkan oleh mereka untuk
diganti dengan hukum sunat, sedangkan kita tidak mempunyai dalil-dalil yang
kukuh. Keputusan oleh ulama mujtahidin bukan boleh dijawab dengan
sewenang-wenang seperti jawapan yang kita kemukakan kepada rakan sebaya kita.
Kita tidak boleh menolak keputusan mereka itu dengan sebarang alasan sahaja, kerana
selain dari dalil-dalil naqli yang telah disebut itu, ulama mujtahidin
banyak mengemukakan kepada kita dalil-dalil aqli yang sangat munasabah
dan logik, antaranya:
1- Menghimpunkan orang ramai dan memberi
makan kepada mereka oleh ahli si mati adalah tidak kena pada tempatnya yang
layak dan munasabah, dan ianya dicela oleh syarak.
2- Ahli si mati membuat makanan untuk
diberi makan kepada orang ramai menambahkan lagi musibah mereka dan
memperbanyakkan lagi kesibukan mereka diatas kesibukkan yang telah sedia ada,
dan perbuatan itu seperti kelakuan golongan jahiliah.
3.
Hukumnya
makruh dan bid’ah yang buruk apabila ahli si mati menerima tetamu dengan
memberi makan kepada mereka, kerana penerimaan tetamu dengan memberi makan
hanya disyarakkan semasa dalam kegembiraan, bukan semasa bermuram dan bersedih,
kecuali jika tetamu itu datang dari tempat yang jauh dan terpaksa bermalam
dirumah keluarga si mati untuk menziarahi mayat. Ketika itu sahaja dibolehkan untuk
memberi makan.
1- Apabila berlaku suatu kematian didalam
keluarga umat Islam, disarankan supaya mengelak daripada terikut-ikut dengan
adat kebiasaan memasak dan memberi makan kepada orang ramai, sama ada sebelum
atau selepas pengebumian mayat.
2- Hendaklah menjauhkan diri dari
melakukan amalan yang dinamakan kafarah dan wahsyah iaitu
berhimpun untuk memberi makan kepada orang ramai pada malam pertama selepas
pengebumian mayat, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan
seumpamanya.
3- Hentikan helah atau muslihat, ta’wil
dan kias yang tidak sihat dengan pelbagai cara bagi mengekalkan
unsur-unsur bid’ah selepas kematian.
4- Diharap mendapat kerjasama umat Islam
dari semua pihak, terutama dari bijak pandai Islam, bagi menghapuskan
unsur-unsur bid’ah tersebut.
5- Dicadangkan segala derma takziah yang
diterima oleh keluarga si mati diinfaq atau dibelanjakan pada sedekah-sedekah
jariah untuk roh si mati, seperti membina masjid, membangunkan sekolah-sekolah
pendidikan Islam, pusat-pusat tahfiz al-Quran dan sebagainya. Derma takziah itu
juga boleh disumbangkan kepada segala jenis “fi sabilillah”.
6- Di cadangkan kepada masyarakat Islam
disemua peringkat agar dapat menukarkan bid’ah itu dengan al-sunnah dari Nabi
SAW dan sahabat, iaitu jiran, kaum kerabat yang jauh dan sahabat handai kepada
ahli si mati yang jauh dan sahabat handai kepada ahli si mati memberi makan
kepada mereka apabila berlaku sesuatu kematian.
7- Diharapkan setiap muslim dan muslimah
menjadi agen penyebaran (dakwah) maklumat ini kepada masyarakat kita.
Sekali
lagi perlu diulang bahawa risalah (tulisan penulis) ini bukan dari pendapat
penyusun untuk menetapkan suatu hukum baru dan jauh sekali daripada
mengeluarkan fatwa. Tulisan ini tidak lain kecuali sekadar mendedahkan
pendapat-pendapat ulama muktabar dan ulama mujtahidin mengenai bid’ah dan makruh
pada apa yang di lakukan oleh ahli si mati selepas berlaku kematian.
Di
harapkan semoga usaha yang sedikit ini mendapat keredhaan Allah SWT dan
moga-moga bermanfaat pada hari yang tidak berfaedah lagi segala harta dan anak-pinak, Astaghrfirullahhalazim,
wallaha’lam.
[3]
Majmuk Fatwa syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah, juzuk 24, halaman 316.
[4] Said Sabiq, Fiqh As-sunnah,1, halaman
427-428.
[5] Muhammad Ahmad Abdul Salam, Hukm Al-qiraah
lil Amwat, halaman 25.
[6]
Muhammad Nasir Al-Bani, Ahkam Al-Janaiz wa Bid’uha’hlm. 256
[7] Abu Ishak Ibrahim
Al-Syirazi, wafat pada 476 hijriah bersamaan 1083 masihi, beliau termasuk
antara ulama’ yang agung dan mujtahid dalam mazhab Syafie.
[12]
Wahsyah: Maksudnya apabila keluarga si mati terputus dengan orang yang
dikasihinya . Mereka merasai dukacita, kesunyian, kesepian dan sebagainya, lalu
mereka berhimpun dan memberi makan kepada orang ramai seperti yang tersebut
itu.
[13]
Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathoni, Furu’ Al-Masail,Juzk 1 halaman 183.
[14]
Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Banjari,Sabil Al-Muhtadin, Juzuk 2 halaman 83.
[Maqalah ini telah ditulis semula oleh kami yang terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Usuluddin tahun dua semester empat yang di anggotai oleh Mohammad Yazreen Bin Yusof, Mohd Fahmi Bin Mustapha, Khairul Amien Bin Mohd Zuki, Huzaifah Bin Abd Aziz, Khairuddin Bin Abdul Malek, Khairul Anwar Bin Sairi, Mohamad Zulhilmi Bin Zakaria, Mohd Firdaus Bin Sibaweh dan Nik Mohd Zulhanif Nik Yaacob yang menyiapkan projek penyemakan dan penambah-baikkan iaitu mengalih tulisan dari jawi ke tulisan rumi - 19 Mac 2013]
Tambahan Petikan dari Kitab Fiqh Manhaji (Fekah Mazhab Syafie) Jilid 1: http://www.darulkautsar.net/4736-Lima_Perkara_Bid%E2%80%99ah_Terhadap_Jenazah_%28Yang_Sering_Dilakukan_Oleh_Masyarakat_Melayu%29.html dan: http://islam.gov.my/sites/default/files/e-penerbitan/jilid_1.pdf