Biodata

Saturday, July 13, 2013

Hukum Penggunaan Inhaler, Accuhaler dan Alat Perubatan Lain Ketika Puasa.

Hukum Penggunaan Inhaler dan Accuhaler Ketika Puasa.

بسم الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين،
 نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد:
Menunaikan ibadat puasa dengan sempurna merupakan perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap muslim, menjaga puasa dari perkara yang membatalkannya juga tidak kurang pentingnya, oleh itu perbincangan tentang perkara ini adalah perlu untuk menjaga puasa dari terbatal, dan membatalkan puasa dengan perkara yang sebenarnya tidak membatalkannya akan menyempitkan ruang yang telah diperluaskan oleh Allah swt. Ayat 185 dari Surah Al-Baqarah adalah salah satu ayat yang telah disebut oleh Allah swt tentang keringanan syariat-Nya:
] يُرِيدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ، وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ [
 {Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.}
Oleh kerana ramai masyarakat yang bertanya tentang hukum penggunaan Inhaler oleh orang yang memerlukannya dan juga beberapa hukum yang berkaiatan dengan kesihatan yang lain, maka kami catatkan di sini beberapa isu tersebut, semoga ianya member manfat untuk menyelesaikan persoalan tersebut.

Perbincangkan isu ini kami pilih dari sebuah buku berjudul: مُفطِرات الصيام المعاصِرةMufthirat as-Siyam al-Mu’asirah (Perkara-perkara Semasa Yang Membatalkan Puasa) yang ditulis oleh Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah Universiti al-Qasim, Arab Saudi, [Dar Ibnu Jauzi, Arab Saudi, Cetakan Pertama, 1426H/2005M / http://saaid.net/book/open.php?cat=97&book=2020.
 Video: HUKUM MENGGUNAKAN INHALER & ACCUHALER BAGI ORANG ASMA, BATALKAH PUASA.

Perbincangkannya seperti berikut;
Antara Isu-isu baru berkaitan dengan perkara membatalkan puasa.
Perbahasan tentang tajuk ini dapat dibahagikan kepadaa dua bahagian iaitu pertama benda-benda yang masuk ke dalam badan orang yang berpuasa. Ia melibatkan beberapa masalah.

A-   BENDA-BENDA YANG MEMASUKI BADAN MELALUI MULUT.
   Perbahasan di bawah tajuk ini pula dapat dibahagikan kepadaa beberapa persoalan kecil.
1.    Penggunaan Inhaler Mulut.
Inhaler merupakan satu alat yang mengandungi ubat dalam bentuk cecair yang mengandungi tiga jenis bahan iaitu ubat-ubatan, air dan juga oksigen. Cara penggunaannya dilakukan di dalam bentuk mengangkat, kemudian menekannya ke dalam mulut atau hidung. Pada masa itu bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan keluar dan memasuki tekak melalui mulut atau melalui bahagian dalam hidung. Sebahagian daripadanya akan kekal berada di dalam tekak. Kadang-kadang satu kuantiti kecil akan berada di dalam kerongkong.
Pendapat Ulama:
Ulama’ masa kini berselisih pendapat tentang penggunaan inhaler ini kepada dua iaitu:
Pendapat Pertama
Penggunaan inhaler tidak membatalkan mahupun merosakkan puasa. Inilah pendapat As-Syeikh Abd Aziz bin Baaz, As-syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin, As-Syeikh Abdullah bin Jabrin, As-Syeikh Dr. As-siddiq Ad-Darir, Dr. Muhammad Al-Khayyat dan Jawatankuasa Fatwa Tetap Kerajaan Arab Saudi.
Alasan Hukum:
a.    Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit, kerana itu, hukumnya tidak membatalkan puasa, sebagai qiyas  kepada berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).
Satu alat inhaler mengandungi 10 ml cecair, yang mengandungi ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan sebnyak 200 kali semburan. Setiap kali semburan, mengeluarkan jumlah yang rendah, tidak sampai 1ml. Setiap semburan tidak sampai 1 titis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar memasuki bahagian pernafasan. Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang memasukinya. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat dibawah sinar x), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan. Kuantiti sisa air dari berkumur dan istinsyaq tersebut dari segi keyakinannya,  sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaler yang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong.
b.    Semburan yang masuk ke dalam perut, satu perkara yang belum pasti, sebaliknya masih diragui. Mungkin masuk dan mungkin juga tidak. Berdasarkan kepada hukum asal, puasa sah dan tidak rosak. Perkara yang yakin, tidak dapat dihilangkan dengan perkara yang masih ragu-ragu.
c.     Ia tidak sama dengan makan dan minum, sebaliknya lebih menyerupai pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi makanan (nutritive).
Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun alasan ini boleh dipertikaikan, kerana memang wujud kuantiti tertentu air di dalam kandungan ubatan yang terdapat di dalam Inhaler, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
d.    Bahan semburan akan keluar dalam bentuk wap dan tidak akan sampai ka dalam perut, sebaliknya hanya ke dalam ruang di dalam paru-paru sahaja.
Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun sebelum ini, kita telah menjelaskan kuantiti kecil semburan Inhaler juga masuk ke dalam perut.
e.  Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak (kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak.
Di dalam Sahih Al-Bukhari daripada ‘Amir bin Rabi’ah, katanya: “Saya melihat Rasulullah s.a.w bersiwak, dalam jumlah yang tidak dapat saya hitung, sedangkan Baginda berpuasa.”
Sekiranya bahan-bahan kimia yang memasuki tekak ini dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan, begitu jugalah bahan-bahan daripada Inhaler yang memasuki tekak, juga dimaafkan, di atas sebab yang sama.
Perbahasan kepada alasan ini: Mereka yang bersiwak, berkumur dan beristinsyaq tidak berniat untuk memasukkannya ke dalam tekak, jika masukpun secara tidak sengaja. Berbeza dengan penggunaan inhaler yang mmg disembur ke dalam tekak.
Jawapan: Semua itu kembali kepada qasad dan niat, maka mereka yang menggunakan inhaler juga tidak berniat memasukkannya ke dalam rongga dan perut, mereka menggunakannya untuk melegakan pernafasan iaitu ke paru-paru.

Pendapat Kedua:
Golongan ini berpendapat, penggunaan Inhaler membatalkan puasa dan tidak harus digunakan pada siang hari bulan Ramadhan kecuali pada waktu terdesak dan sangat diperlukan oleh pesakit sahaja. Orang yang menggunakan Inhaler pada siang hari bulan Ramadhan hendaklah mengqada’ puasa untuk hari itu.
Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Dr. Fadl Hasan Abbas, As-Sheikh Muhammad al-Mukhtar Sulami, Dr. Muhammad Alfai, As-Sheikh Muhammad Taqiuddin Al-Uthmani dan Prof. Dr. Wahbah Mustafha Az-Zuhaili.

Alasan Hukum:
Bahan-bahan yang terdapat di dalam Inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut. Oleh itu, ianya dianggap membatalkan puasa.
Perbahasan ke atas Alasan: Alasan ini boleh dijawab dengan merujuk kepada alasan pertama yang dikemukakan oleh golongan pertama di atas.

PENDAPAT TERPILIH:
Pendapat yang jelas lagi nyata di dalam kes ini -Allah yang Maha Mengetahui hakikat yang sebenarnya- penggunaan Inhaler tidak membatalkan puasa.
Pandangan golongan pertama yang menyatakan penggunaannya tidak membatalkan puasa, adalah sesuai dan logik. Manakala qiyas mereka kepada berkumur, istinsyaq dan siwak, adalah qiyas yang betul. Wallahu A’lam.

Hukum Inhaler Menggunakan Debu.
Adapun hukum inhaler yang menggunakan debu, para ulama semasa berselisih pendapat agak kuat lebih daripada isu inhaher, memandangkan debu tersebut mungkin terlekat di halkum atau kerongkong.
Menurut Kajian Dr. Khalid bin Abdullah Al-Muslih:
Semua jenis penggunaan inhaler dengan pelbagai jenisnya, termasuk yang menggunakan debu yang disedut melalui mulut atau hidung, semuanya tidak membatalkan puasa menurut pendapat yang rajah (kuat hujjahnya).
Alasan Hukum:
1-    Sedutan yang dilakukan pergi ke bahagian pernafasan, bukan pergi ke saluran makanan dan minuman.
2-    Kalaupun ada yang termasuk ke saluran makanan ianya adalah terlalu sedikit, tidak lebih pada kebiasaannya debu-debu yang masuk melalui pernafasan
(Fiqh Syafieyyah mengatakan: “Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (masyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur.”
3-    Debu ubat itu tidak dikira sebagai sejenis makanan dan minuman, atau yang bermakna sejenis makanan.
4-    Berpegang dengan hukum Asal, bahawa puasa seseorang itu tidak batal sehingga ada dalil yang menentukan perkara itu batal, Wallahu a’lam.

Hukum Accuhaler:
Adapun Accuhaler yang biasanya untuk rawatan jangka panjang. 
Maknanya tiap-tiap hari pesakit kena ambilnya walaupun tiada serangan lelah. Contohnya dia kena ambil sekali atau 2 kali sehari tiap-tiap hari. Maka 
dinasihatkan supaya dia ambil sewaktu sahur atau selepas berbuka. Wallahu a'lam.

HUKUM SEMASA BERKAITAN PUASA (Fatwa Majma' Fiqh dll).
Rakaman Penuh di: https://www.youtube.com/watch?v=LExXW1_6iK4




Di bawah ini dinukilkan ringkasan dan kesimpulan hukum pilihan yang dibuat oleh Dr. Ahmad Al-Khalil:
1-        Pendapat yang mengatakan “al-Jauf”, iaitu rongga yang membatalkan puasa apabila masuk makanan ke dalamnya adalah “Ma’idah” (perut) sahaja, tidak termasuk lubang-lubang lain di badan manusia.
2-        Ulama' semasa berbeza pendapat tentang “Bakhkhah ar-Rabwu” (inhaler/penyembur gas untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.
3-        Pil yang diletakkan di bawah lidah bagi pesakit jantung, yang dihisap secara terus dan tidak masuk ke dalam rongga adalah tidak membatalkan puasa.
4-        Alat yang dimasukkan ke dalam ma’idah (usus) untuk mengesan penyakit juga tidak membatalkan puasa. Kecuali jika diletak ubat/minyak pada alat tersebut maka ia boleh membatalkan puasa.
5-        Ulama' semasa juga berbeza pendapat tentang ubat titis ke dalam hidung. Ada yang mengatakan tidak batal, tetapi majoriti mengatakan batal. Pendapat yang paling hampir dekat dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.
6-        Gas oksigen tidak membatalkan puasa kerana ia hanyalah angin/udara yang tidak terdapat anasir lain di dalamnya.
7-        Begitu juga gas yang disedut melalui hidung, hukumnya sama dengan penyembur lelah (no. 2).
8-        Bius setempat tidak membatalkan puasa. Manakala bius penuh sepanjang hari membatalkan puasa tetapi sekiranya pesakit tersedar dan masih berbaki waktu puasa hari tersebut tidak batal puasanya.
9-        Ubat titis ke dalam telinga juga tidak membatalkan puasa kerana rongganya tidak bersambung dengan “Jauf”.
10-    Ubat titis mata, mengikut majoriti ulama' semasa, tidak membatalkan puasa.
11-    Suntikan ubat melalui kulit, urat dan otot mengikut majoriti ulama' semasa tidak membatalkan puasa.
12-    Memasukkan air dan benda yang boleh mengenyangkan seperti glukos ke dalam urat, mengikut majoriti ulama' semasa adalah membatalkan puasa.
13-    Melumur minyak, losyen dan sebagainya pada kulit, tidak membatalkan puasa.
14-    Memasukkan alat seperti kamera, untuk mengesan penyakit ke dalam urat/saluran jantung adalah tidak membatalkan puasa.
15-    Begitu juga memasukkan alat ke dalam perut untuk mengesan penyakit, tidak membatalkan puasa. Tetapi sekiranya sampai kepada “Ma’idah” (usus), boleh membatalkan puasa.
16-    Dialisis (mencuci darah) yang mengandungi ubat-ubat yang boleh mengenyangkan atau memberi kekuatan boleh membatalkan puasa, sebaliknya kalau setakat membersihkan darah tanpa ubat-ubatan tidak membatalkan.
17-    Menggunakan cecair/sabun pencuci alat sulit wanita tidak membatalkan puasa.
18-    Memasukkan ubat ke dalam dubur untuk penyakit buaasir atau mengurangkan kepanasan suhu badan tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak sampai kepada ma’idah.
19-    Memasukkan alat pengesan penyakit atau ubat melalui lubang zakar tidak membatalkan puasa.
20-    Menderma (mengambil) darah. Terdapat khilaf yang begitu besar dikalangan ulama', tetapi pendapat yang lebih kuatnya tidak batal kerana dikiaskan kepada berbekam.
21-    Begitu juga mengambil sedikit darah untuk ujian pemeriksaan tidak membatalkan puasa.

Demikianlah beberapa masalah dan pandangan yang dipilih oleh beliau.
Bagi para pembaca yang mempunyai keahlian dalam bidang agama bebas untuk menilai manakah pendapat yang kuat berdasarkan dalil dan ta’lil yang dikemukakan, wallahu a’lam.

KEPUTUSAN SEMINAR:
Keputusan “Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997.
Bahan-bahan yang boleh membatalkan Puasa:
Menurut Al-Quran dan Hadis yang sahih dari Nabi Muhammad SAW, tiga perlakuan yang boleh membatalkan puasa: Makan, minum dan melakukan hubungan seks. Oleh yang sedemikian, apa-apa bahan yang dapat melalui rongga samada berbentuk pepejal atau cecair dalam apa jumlah sekalipun, ianya boleh membatalkan puasa.
Menurut ahli majlis/peserta seminar tersebut telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA.
1-    Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga.
2-    Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung).
3-    Memasukkan ubat melalui faraj, memasukan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).
4-    Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray.
5-Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
6-    Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti glukos yang mengenyangkan).
7-    Penderma atau menerima pemindahan darah.
8-    Oksigen dan Gas Bius.
9-    Semua jenis bahan yang boleh menyerap kedalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.
10-    Mengambil sampel darah untuk ujian makmal.
11-    Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.
12-    Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari punca penyakit.
13-    Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk kedalam perut.
14-    Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat kedalamnya (contoh; IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim).
15-    Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.

Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA:
1-    Ubat titis hidung, semburan hidung (inhalers) dan ubat sedut.
2-    Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.
3-    Pembedahan yeng melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya.
4-    Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut.
5-    Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya kedalam perut. TAMAT.

Alhamdulillah, dengan penjelasan ini semoga terjawab persoalan yang sering menjadi pertanyaan dan kemusykilan bagi para muslimin dan muslimat sekelian. Selamat menjalani ibadat puasa, semoga Allah menerima semua amalan baik kita dan memberi kekuatan dan hidayah untuk kita istiqamah melakukannya.

Akhukum:
Abu Anas Madani,
PSD, 5 Ramadhan 1434H, 14 Julai 2013.