Doa pada Hari Arafah Untuk Jemaah Haji
Atau Semua?
Sebaik-baik doa adalah doa pada hari
Arafah, iaitu pada 9 Zulhijjah. Maksudnya, doa ini paling cepat diterima atau
diqabulkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Sehinggakan kita diperintahkan untuk berterusan
dan mengambil berat untuk melakukan ibadah yang satu ini pada hari Arafah.
Lebih-lebih lagi untuk orang yang sedang berwukuf di Arafah.
Dari ‘Aisyah ra, dia berkata bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ
أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَإِنَّهُ
لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ: مَا أَرَادَ
هَؤُلاَءِ؟
Maksudnya: “Di antara hari yang
Allah banyak membebaskan seseorang dari neraka adalah hari Arafah. Dia akan
mendekati mereka lalu Allah berbangga dengan mereka (menunjukkan keutamaan)
kepada para malaikat. Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh
mereka?” [HR. Muslim no. 1348].
Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya
dari datuknya, Nabi SAW bersabda,
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ
يَوْمِ عَرَفَةَ
Sebaik-baik doa ialah doa yang
dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi
sebelumku ialah:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ
وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ
شَيْءٍ قَدِيرٌ .
“Tiada Tuhan yang berhak disembah
melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya
kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu”. [HR. Tirmizi no. 3585.
“Hasan”].
Maksudnya, inilah doa yang paling
cepat dipenuhi atau dikabulkan. (Lihat Tuhfatul Ahwazi, 10: 33).
Persoalannya, apakah keutamaan doa
ini hanya khusus bagi mereka yang wukuf di Arafah? Apakah termasuk juga keistimewaan
ini bagi orang yang tidak menunaikan ibadat haji?
Ulama’ berbeza pandangan
dalam masalah ini; Ada ulama’ yang mengatakan bahawa mustajabnya doa tersebut
adalah umum, baik bagi yang menunaikan haji mahupun yang tidak. Ini kerana
keutamaan yang ada adalah keutamaan pada hari Arafah.
قال الباجي رحمه الله: قوله: (أفضل
الدعاء يوم عرفة) يعني: أكثر الذكر بركة ، وأعظمه ثواباً ، وأقربه إجابة. ويحتمل
أن يريد به الحاج خاصة ؛ لأن معنى دعاء يوم عرفة في حقه يصح ، وبه يختص وإن وصف
اليوم في الجملة بيوم عرفة فإنه يوصف بفعل الحاج فيه ، والله أعلم . انتهى . " المنتقى
شرح الموطأ " (1 / 358 ) .
Berkata Al-Baji rahimahullah: Makna
Hadis “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah” ialah: Zikir
yang paling banyak berkat, paling besar pahala dan paling hampir dengan ijabah
(diperkenan/diterima).
Pandangan yang kedua (Ihtimal)
maksudnya ialah khas untuk jemaah haji sahaja, kerana makna doa pada hari
Arafah untuk mereka memang sah, dikhususkan untuk mereka, walaupun disifatkan
hari secara umumnya dengan nama Hari Arafah. Maka ianya disifatkan dengan
perbuatan jemaah haji pada hari tersebut, wallahu a’lam”. [Al-Muntaqa’ Syarah
Muwatto’ 1/358].
Bagi jemaah yang berwukuf, waktu
untuk berdoa bermula pada siang hari 9hb itu, selepas matahari tergelincir ke
barat (masukwaktu solat Zuhur) sehingga terbenamnya matahari (maghrib). Maka
bagi mereka yang sedang berada di Arafah ia bererti menggabungkan antara keutamaan
waktu dan tempat.
Dalil bagi yang mengatakan ia adalah
umum untuk semua ialah: Bahawa doa pada hari Arafah dilihat kerana kemuliaan
hari tersebut, bahkan dapat kita lihat sebahagian dari salaf yang membolehkan ta’rif.
Ta’rif adalah berkumpul di masjid untuk berdoa dan berzikir pada hari
Arafah. Antara yang melakukan seperti ini adalah sahabat Ibnu ‘Abbas
radhiyallahu ‘anhuma yang berkumpul pada petang Arafah mengajar tafsir Al-Quran
(bukan berdoa beramai-ramai).
Imam Ahmad juga membolehkannya walau
beliau sendiri tidak melakukannya. Syaikh Soleh Al Munajjid -semoga Allah memberkati
umur beliau- menerangkan: “Hal ini menunjukkan bahawa mereka menilai keutamaan
hari Arafah tidaklah khusus bagi orang yang haji saja. Walau memang berkumpul
ramai-ramai seperti ini untuk berzikir dan berdoa pada hari Arafah tidak pernah
ada asalnya dari Nabi SAW.
Oleh kerana itu Imam Ahmad tidak
melakukannya. Namun beliau memberi keringanan dan tidak melarang kerana ada
sebahagian sahabat yang melakukannya seperti Ibnu ‘Abbas dan ‘Amr bin Harith
radhiyallahu ‘anhum.”
[Syaikh Soleh Al Munajjid, Al-Islam
Soal wa al-Jawab fatawanya no. 70282 - http://twitmail.com/email/397041104/59/false].
Para salaf dahulu saling
ingat-memperingati pada hari Arafah untuk menyibukkan diri dengan ibadah dan
membanyakkan doa serta tidak banyak bergaul dengan manusia. ‘Ata’ bin Abi Rabah
berkata kepada ‘Umar bin Al Warud, “Jika engkau mampu mengasingkan diri pada
siang hari Arafah, maka lakukanlah.” [Ahwal Al-Salaf fi Al-Hajj, hal. 44].
Kesimpulannya, rahmat Allah swt
sangat luas, perbincangan ulama’ ini menunjukkan kepada amalan berzikir dan
berdoa pada hari Arafah ada dilakukan oleh sebahagian ulama’. Ada pula
sebahagian yang lain melarangnya kerana berkumpul pada Hari Arafah hanya
dikhususkan kepada jemaah haji yang berada di Arafah.
Maka apa yang sepatutnya ialah kita
galakkan masyarakat Islam yang tidak mengerjakan haji agar berpuasa,
menghidupkan sunnah puasa pada hari Arafah sebagaimana sabda Nabi SAW:
))صِيَامُ
يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي
قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ)) [رواه مسلم[
Maksudnya: “Puasa pada hari Arafah,
aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang
akan datang.” [HR Muslim].
Doa orang yang berpuasa ketika
berbuka puasa juga salah satu antara waktu mustajab doa.
Semoga Allah memudahkan kita untuk
banyak melakukan amal ibadat di awal bulan Zulhijjah, menyibukkan diri dengan
pelbagai amal kebajikan padanya, insya'Allah.
Akhukum, Abu Anas Madani,
Makkah, 4 Zulhijjah 1434H / 9
Oktober 2013M.