Abu Anas Madani: Catatan Rehlah Haj 1434H. (1)
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله الذي جعل الكعبة البيت الحرام مثابة
للناس وأمناً، والصلاة والسلام الأتمان الأكملان على خير البرية أجمعين، وخاتم
رسله الأكرمين، وعلى آله وصحبه ومن تبعهم إلى يوم الدين، أما بعد.
Alhamdulillah, sekali lagi syukur yang tidak pernah putus dan setingi-tingginya kepada al-Mun’im ‘Azza wa Jalla atas limpah kurnia-Nya memilih
hamba-Nya yang haqir lagi faqir kepada keampunan-Nya, sekali lagi untuk mendapat peluang sebagai dhuyuf-Nya
bagi tahun 1434H ini.
Rehlah atau pengembaraan Suci.
Tidak ada satu pun
pengembaraan di atas muka bumi ini sebaik menuju ke Baitullah al-Haram. Rehlah
yang diberkati iaitu rehlah haji dan umrah.
Setiap jemaah yang telah
mendaftarkan diri untuk mengerjakan haji menanti dengan penuh kerinduan dan
pengharapan untuk menjadi tetamu Allah swt. Apabila sahaja keputusan telah diterima
mereka akan melaksanakan sujud syukur kepada Allah swt seolah-olah mereka telah
mendapat anugerah yang besar daripada Allah swt. Bagaikan mereka telah menerima
kad jemputan dari Allah swt untuk menziarahi rumah yang paling mulia, negeri
yang dicintai oleh Nabi saw, tempat terawal wahyu diturunkan, menjadi kiblat solat
umat Islam dan ganjaran pahala solat seratus ribu kali ganda serta pelbagai
fadhilat dan kelebihan lagi.
Demikianlah keadaan al-‘abdu al-faqir
Abu Anas apabila dijemput untuk bersama dalam kafilah haji Ash-har Travel pada
tahun ini, walaupun keuzuran dibahagian lutut yang nampak tidak begitu
mengizinkan untuk melaksanakan haji. Tetapi demi untuk menyertai jemaah haji
ini, pengorbanan tetap diteruskan.
Maka pada pagi selasa 01
Oktober 2013 bersamaan dengan 25 Zulqa’dah 1434H berangkatlah AAM bersama
rombongan dari KB pada jam 11:50 pagi ke KLIA setersnya ke Kelana Jaya
– penginapan dan proses keberangkatan macam biasa -. Lihat rehlah tahun sebelumnya:
http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/10/catatan-rehlah-haj-1432h-1.html
http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/10/catatan-rehlah-haj-1432h-1.html
Pada jam 1:30 pagi Rabu (02/10/2013) terbang dengan KT 57 (SV5217), kapal charter dari Spanish (Pullmantur Air).
Alhamdulillah sampai di KAAIA
Jeddah sedang molek azan subuh (4:58am), jadi sempat solat Subuh berjamaah di
terminal haji. Setelah itu beratur untuk cop paspot di kaunter imigresen dan
ambil barang, dapatkankan tiket bas dan terus ke tempat menunggu jemaah haji Malaysia.
Oleh kerana rombongan Ash-Har
ada 56 orang dalam group ini, maka 12 orang kena naik bas lain. Perjalanan begitu
lancar dan kami selamat tiba di Makkah, check-in Hotel Al-Zahabi Al-Khalil,
Al-Misfalah pada jam 11:30 pagi..
Selepas semua sudah dapat
bilik dan makan tengah hari, ada jemaah yang pergi sendiri menyelesaikan
ibadat Umrah (Tawaf, Saie, bergunting), ada yang pergi pada waktu Asar dan majoriti
jemaah di bawa waktu malam selepas solat Isya’.
Keadaan di Makkah pada masa
ini masih tenang, jem tidak begitu teruk, Tetapi yang menjadi kelam-kabut dan
serabutnya ialah orang tidak ikut disiplin atau akhlak, selamba duduk di tengah
jalan, depan pintu dan pelbagai karenah lagi
Sedikit Maklumat Dari Makkah.
Akibat daripada pembinaan dan
pembesaran yang sedang dijalankan di dalam Masjidil Haram, telah berlaku
kesesakan yang agak teruk. Ini kerana sebahagian besar daripada kawasan Masjid
terutama di tempat tawaf tingkat atas, bermula dari bahagian Hajarul Aswad
sehingga ke Rukun Hijir Ismail masih di dalam pembinaan.
Lalu sebagai alternatifnya,
orang ramai menjadikan sebahagian besar ruang Sa’ei sebagai tempat solat, menjadikan
kawasan ini begitu penuh dan sesak. Laluan untuk masuk ke dalam masjid melalui
ruang ini juga telah menjadi agak sukar.
Bagi mereka yang menggunakan
kerusi roda juga terpaksa menghadapi kesesakan dan kesukaran.
Untuk naik tawaf ke tingkat
atas sahaja Ada ketikanya mereka terpaksa beratur hampir satu jam, dalam
barisan yang begitu panjang sehingga ke pintu istana.
Semua ini belum lagi pada
waktu kemuncak haji. Jika waktu puncak ibadat nanti, tak dapatlah dibayangkan
bagaimana, hanya Allah sahaja yang dapat menolong dan mempermudahkannya.
Jadi sememangnya tindakan
Kerajaan Arab Saudi, yang mengurangkan kuota haji bagi tahun ini sebanyak 20%
adalah sesuatu yang wajar dan perlu. Ianya amat penting untuk kebajikan para
jemaah haji dan keselesaan mereka sendiri.
Diharap para jemaah haji pada
tahun ini dapat bersabar dan bertimbang rasa menghadapi semua keadaan ini, demi
maslahah dan kebaikan bagi masa depan, insya’Allah.
Rahsia Haji Yang Terabai.
Memahami rahsia dan hikmah
ibadat haji adalah merupakan manfaat yang besar dan sangat tinggi nilainya.
Allah swt telah mendahulukan sebutan menyaksikan manfaat bagi orang yang
mengerjakan haji sebelum menyebut nama Allah swt sebagaimana dalam firman-Nya:
لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ
لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم
مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: {Supaya mereka
menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka, serta
memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana kurniaan-Nya
kepada mereka dengan bintang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang
yang susah, yang fakir miskin.} [Surat al-Haj: Ayat 28].
Apabila manusia jahil atau
tidak mengetahui hikmah rahsia sesuatu amalan yang besar, ia akan menyebabkan
amalan itu dipandang kecil kerana mereka akan menunaikannya tanpa ruh dan
melakukan tidak mengikut kehendak Allah yang mensyariatkan amalan tersebut.
Maka apabila manusia meninggalkannya tiadalah mereka mendapat faedah dari
ibadat tersebut kecuali sangat sedikit.
Kesan daripada itu, sebagaian
besar dari jemaah haji yang kembali dari menunaikan haji hanya membawa balik riwayat-riwayat
cerita sahaja, tetapi tidak membawa kesan dari haji yang dilaksanakan.
Contohnya dalam penjagaan solat, menutup aurat, meninggalkan riba dan rasuah
dan lain-lain pelanggaran arahan Syara’.
Bagi penduduk Makkah pula,
sebahagian mereka menganggap ahli jemaah haji yang datang hanyalah rezeki
semata-mata daripada Allah dan dengan itu menyebabkan sebahagian penduduk Makkah
merasakan jemaah haji yang datang ini tidak perlu diberi layanan istimewa menjadi
tetamu Allah. Maka bumi yang berkat ini menjadi seakan-akan bumi perniagaan
semata tanpa ruh ibadat haji yang sebenar.
Akan bersambung....
Akan bersambung....
Akhukum, Abu Anas Madani,
Makkah. Al-Misfalah,
29/11/1434H – 05-10-2013.