Labels

Thursday, October 27, 2011

Catatan Rehlah Haj 1432H [1].


بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول القائل: "لتأخذوا عني مناسككم" 
وعلى آله الطاهرين، وصحابته الميامين، ومن تبعهم وترسم خطاهم إلى يوم الدين، أما بعد.

Merafa’kan setinggi kesyukuran kepada al-Maula ‘Azza wa Jalla atas limpah kurnia-Nya memilih hamba-Nya yang haqir lagi faqir kepada keampunan-Nya sebagai dhuyuf-Nya bagi tahun 1432H ini..
Alhamdullillah, perjalanan bermula dari PSD pada jam 8.15 pagi Ahad 25 Zulqa’dah 1432H bersamaan dengan 23 Oktober 2011... memandangkan kesihatan lutut kiri agak kurang baik, maka rehlah kali ini memberi suatu kebimbangan, bagaimana nak melakukan amalan ibadat Haji yang kebanyakannya memerlukan kerja yang melibatkan “jalan kaki”… maka doa dipanjatkan ke Hadhrat ilahi seperti yang telah dikatakan oleh Al-Khalil ‘alaihissalam:
{وإذا مرضت فهو يشفين -Wa iza maridhtu fahuwa yasyfin!}
Maksudnya: “Apabila aku sakit maka DIA lah yang menyembuhkan!”
Dalam perjalanan singgah sekejap di KIAS untuk menyerahkan kertas jawapan peperiksaan pelajar maddah KDS2311, kemudian rehlah diteruskan ke Mator (Airport KB) yang sepatutnya telah dinaik-tarafkan sebagai International Airport, memandangkan kesibukan dan keperluan rakyat Kelantan dan para pengunjung ke Negeri Tok Kenali yang begitu ramai… tapi apakan daya ‘Asobiyyah’ kemelayuan hanya untuk sebahagian sahaja.. demikian juga dengan jalanraya.. perjalanan dari PSD ke Airport pada waktu pagi mengambil masa hampir 2 jam..sedangkan jaraknya lebih kurang 75km sahaja.
Sampai di AP bertemu dengan al-Fadhil Prof Madya Dr. Mohd Radhi Osman yang juga nak balik ke Penang, datang ke KB menghadiri persidangan… dan secara kebetulan juga Tuanku Perlis akan tiba di AP ketika itu juga, ramailah para pembesar negeri yang hadhir..
Ramai keluarga dan sahabat datang meng”wada’” para jemaah, sahabat setia Dr Hj Zaidi Zakaria sanggup tinggal wad bedah sekejap untuk bertemu mata di AP.. Jazahullahu khaira..
Penerbangan dari KBR jam 11.50am tepat mengikut jadual..  tiba di KLIA, KT berhenti terminal yang paling akhir, cabaran pertama bermula dengan berjalan kaki yang agak jauh, dibantu oleh escalator yang bergerak.
Kami disambut oleh staff Ash-Har dan Tabung Haji, menaiki bas yang disediakan ke Kompleks Haji Kelana Jaya.. sampai di KHKJ dah jam 3 lebih..
Penempatan tempat rehat; jemaah wanita diberi asrama tingkat 4 yang lengkap setiap biliknya dengan bilik air, manakala jemaah lelaki seperti biasa di Dewan Seri Jugra1. [http://www.tabunghaji.gov.my/th/th/KompleksKelanaJaya.htm] Baguslah diasingkan tempat, memandangkan keaadaan bilik air yang sempit, 3 tandas lelaki dan 3 untuk wanita sahaja. Jadi semua untuk lelaki.
Cadangan:
Ana cadangkan kepada pihak TH agar sediakan bilik mandi dan tempat menukar pakaian khas berdekatan DSJ, memandangkan DSJ ini telah digunakan setiap tahun pada musim haji sebagai tempat transit jemaah yang datang dari jauh, [ana sendiri ini adalah kali ke 3 menjadi tamu DSJ] tidak hanya berpada dengan bilik air yang disediakan untuk pengguna DSJ ketika ada majlis jamuan atau seminar, kerana sangat berbeza dua penggunaan itu! Jazakumullahu khaira diucapkan kepada pihak TH sekiranya cadangan ini diambil kira..
Ketika menunggu di KHKJ itu macam-macamlah aktiviti para jemaah, yang kebanyakannya dikunjungi oleh sanak-saudara dan sahabat-handai khasnya yang berada di ibu kota, kebetulan pula hari cuti hujung minggu..
Penyakit biasa umat Islam Melayu ni, walaupun dah nak jadi haji.. masih lagi tidak mahu ikut solat berjemaah dengan kawan-kawan yang sedang solat dalam dewan, sanggup solat bersendirian.. Allahulmusta’aan!
Insya’Allah jemaah yang bersama dengan ana, akan dibimbing (dalam siri ceramah / kuliah di Tanah Haram) dengan kefahaman tentang fadhilat / kaifiyat solat berjemaah, semoga pergi dan balik ada perbezaannya..
Abu Anas diziarahi oleh beberapa orang keluarga dan sahabat. Antara yang datang ialah Ustaz Din DBP bersama keluarganya, sempatlah bual-bual serta menghadiahkan kitab jawi lama (cetakan 50 tahun lepas), mengenai amalan sebahagian masyarakat Melayu. Kitab ini perlu ditahqiq dan dibaharukan lughahnya, mudah-mudahan akan ada ustaz / thalabatul ilmi yang bersedia berkhidmat mentahqiqnya. Ana bersedia menjadi musyrifnya, insya’Allah.  Syukran Ustaz Din..
Bersama dengan rombongan Ash-Har KT 71 ni ialah al-Fadhil Ustaz Nik Zawawi Saleh, Dr. Lukman Tuan Guru Hj Abdullah Pondok Lubuk Tapah bersama beberapa orang Pensyarah UM yang lain.
Bermula jam 9.30 Ash-Har telah membuka kaunter operasi di KHKJ, untuk memudahkan urusan perjalanan. Alhamdulillah, banyak hadiah yang diberi kepada jemaah Haji; dari beberapa buah Syarikat; CIMB Islamic membekalkan losyen yang tak berbau keluaran el-Hajj untuk kegunaan jemaah ketika berihram, MAXIS memberi sim kad SAWA SR25 untuk kegunaan di Arab Saudi, dan seperti biasa hadiah rutin dari Telekom Malaysia; sebuah beg sandang, botol spray air untuk berwudhu’ ketika perlu, tikar untuk digunakan di Arafah-Mina nanti, vitamin dan ubatan untuk kesihatan, serta sebuah buku ulangkaji haji yang mengumpulkan maklumat haji, maqalah “Bayan Lil Haj” yang  telah ditulis oleh pihak bimbingan pada tahun 1430H. Ketika itu sahabat saya al-Mursyid Dr. Zulkifli Al-Bakri dibawa oleh TH sebagai salah seorang pakar rujuk bersama Dato’ Pengerusi.
Hasil kerja Dr. Zul telah nampak, orang macam inilah sepatutnya yang dibawa oleh TH ke Makkah setiap tahun, kerana ummah - hujjaj memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar, khutbah Arafah yang ditulis pun ada roh haji… semoga DZB sentiasa bersama para hujjaj dimusim haji..
Pada jam 1.20am, mula chek-in barang dan berkumpul di Dewan Berlepas, mendengar taklimat sekejap, bacaan doa oleh salah seorang jemaah yang dipilih dari kalangan bakal haji.. pada mulanya ana mengaminkan juga doa tu, tapi setelah dia membaca salah baris, yang akan mengubahkan ertinya, maka ana berhenti setakat itu sahaja… Lain kali pilihlah seorang pembaca yang baik, pihak TH sedia teks doa, biar dia berlatih dulu dalam masa sedang menunggu tu… kerana “Doa adalah Ibadah”.
Kemudian laungan azan untuk berangkat dilaungkan oleh jemaah juga.. seingat ana, yang pergi haji melalui TH tahun 1982 tu, acara azan ni telah ada… Bila jemaah tanya: Ustaz minta dalil azan ketika musafir; nak keluar dari rumah, dewan.. ana pun tak ingat juga.. nanti kita cari selepas ni.. Biasanya soalan ini ditanya di sini… bila balik haji dah terlupa… harapnya sahabat yang membaca catatan ni terus email maklumat yang mereka ada, untuk kita kongsi bersama…
Flight kami akan terbang pada jam 5.30 pagi, sedangkan subuh pada 5.45am. Betapa ana mengharapkan agar berlaku sedikit kelewatan, agar sempat kami solat di Airport, tapi masya’Allah  hari ni cepat pula bergerak, 5.20 dah jalan.. 
Memandang keadaan sedemikian ana beri nasihat kepada jemaah agar berwudhu’ siap-siap di AP bila masuk waktu subuh terus melakukannya di atas KT setakat yang mampu { لايكلف الله نفساً إلا  وسعها - La Yukallifullahu Nafsan Illa Wus’aha”}. Ada juga jemaah yang buat tak tahu aje [bukan jemaah kami, Ash-Har], ini kerana mereka belajar solat hormat waktu yang  tak perlu wudhu’.
Para pembimbing jemaah kena tingkatkan lagi kefahaman jemaah dalam bab ni… setakat mana yang mampu dibuat tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja { ما لا يدرك كله، لا يترك كله- Ma la udraku kulluhu, la yutraku kulluhu} Ibadah yang tak boleh dibuat semua, jangan tinggalkan semua…
Di atas KT: Jemaah kepenatan, ramai yang tidur, kerana perjalanan kami “Isra’” iaitu berjalan malam… Bagi jemaah yang kena transit di KL, malam tu dah tak berapa boleh tidur… ramai keluarga datang, hendak kemas barang lagi… semoga semuanya menerima ganjaran yang terbaik atas amalan yang baik ini.
Semoga selamat sampai di Jeddah dan Makkah dengan baik… bersambung, Insya'Allah!

Abu Anas Madani, di udara, antara langit dan bumi,
Atas Flight Airbus 330 -SAUDIA- SV5703 ke Jeddah.