Labels

Saturday, November 12, 2011

Catatan Rehlah Haj 1432H [3]


Perjalanan Haji 1432H.
Jumaat 8hb Zulhijjah 1432H – 4/11/2011M (Yaum al-Tarwiyah):
Dinamakan “Hari Tarwiyah” kerana pada hari ini para jemaah haji menyediakan air untuk kegunaan mereka di Arafah dan Mina selama tempoh mereka mengerjakan haji.
Amalan hari ini bagi jemaah haji;
Bagi orang yang melakukan haji tamattu’ (melakukan umrah dahulu sewaktu datang ke Makkah) maka hendaklah berihram (berniat) melakukan haji pada hari ini. Kemudian keluar menuju ke Mina sebagaimana Baginda SAW dan para sahabat melakukannya. Semasa berada di Mina Baginda melakukan solat Zohor, Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh secara qasar dan tidak dijamakkan.
Memandangkan hari ini jatuh pada hari Jumaat, maka pihak Pakar Rujuk Ibadat Haji Tabung Haji – Jakim telah menetapkan agar pergerakan jemaah haji Malaysia yang akan dibawa terus ke Arafah dari Makkah dimulakan operasinya selepas solat jumaat. Ini kerana kita wajib solat jumaat dulu di Makkah sebelum bertolak ke Arafah, kerana kita bukan terdiri dari kalangan orang bermusafir, setelah bermuqim di Makkah beberapa hari walaupun kita datang dari Malaysia yang beribu-ribu kilometer dari Makkah.
Bagi jemaah yang hendak ke Mina untuk ber”Tarwiyah”, mereka telah dibawa pada malam Jumaat ke Mina, kecuali beberapa kumpulan kecil yang pergi secara persendirian pada pagi Jumaat ke Mina.
Antara sebab pihak muassasah/TH tidak membawa majoriti Jemaah Haji Malaysia ke Mina pada hari Tarwiyah ialah – sebagaimana yang telah dijelaskan dalam catatan tahun lepas – kerana dikhuatirkan tidak sempat sampai ke Arafah dan terlepas wukuf, menyebabkan jemaah tidak dapat haji, dll.
Untuk maklumat pembaca, projek keretapi ataupun tren yang menghubungkan Mina, Muzdalifah dan Arafah telah siap dan digunakan pada musim haji 1431H, namun penggunaannya terhad kepada hujjaj dalam negeri sahaja.
Terdapat juga beberapa jemaah Ash-Har yang berkesempatan mencuba tren ini. Dua orang jemaah yang naik kereta dari Makkah nak ke Mina, tapi telah dihantar ke Muzdalifah. Bila tiba di sana mereka mengadu kepada pihak polis dan akhirnya dibenarkan menaiki tren ke Mina, seterusnya berjalan balik ke khemah di Mu’aisim. Manakala seorang Hajjah pula yang kebetulan suaminya bekerja di Mina sebagai petugas menjaga perjalanan tren, juga mendapat peluang menaiki tren.
Seramai 165 orang tenaga pekerja dari Malaysia telah dibawa ke Makkah untuk mengendalikan perjalanan tren ini pada Musim haji tahun ini.
Perkhemahan Maktab 97 pada tahun ini bersama dengan gergasi PJH Malaysia antaranya Rayhar Travel, dan beberapa buah PJH lain; Ash-Har, KSB, Batuta, Citra, Cantumas, D’Mawaddah dan Wira Saujana.
Zikir Munajat seperti biasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina… terus berkumandang, istimewa lagi apabila ada bersama dengan kami Sheikh munajat sendiri… Allahul musta’aan. [baca catatan tahun 1430H sudah diceritakan dengan panjang lebar…]
Sabtu 9 Zulhijjah 1432H – 05 Nov 2011. (Yaum Arafah): Wukuf.
Hari Arafah, suatu hari yang telah disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan ramai hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai daripada hari Arafah. Allah SWT hampir dengan hamba-Nya dan berbangga-bangga dengan mereka kepada para malaikat dengan berfirman: “Apa yang mereka mahu?” [HR Muslim No. 1348]
Pagi yang tenang di Arafah, dengan udara yang nyaman, namun tidak ada hujan pada tahun ini sepanjang kedatangan kami di Makkah hingga selesai mengerjakan haji, walaupun solat istisqa’ (minta hujan) telah dilakukan sebelum wuquf.
Jemaah haji menikmati hidangan sarapan pagi secara ringkas yang disediakan oleh pihak muassasah.
Waktu dhuha juga disambut dengan solat sunat dhuha, bacaan al-Quran dan pelbagai ibadat sunat yang lain termasuk zikir munajat yang kedengaran dari pelbagai sudut perkhemahan Arafah.
Memandangkan TH telah membuat ketetapan awal, khutbah akan dibaca oleh ustaz yang dibawa oleh mereka, maka ana telah menetapkan jadual sendiri, jam 10.30 Kuliah/ceramah khas: Huraian dan Penjelasan kepada Khutbah Rasulullah saw di Arafah yang sangat penting itu.
Isi kandungan khutbah al-Wada’ (khutbah Rasulullah saw) yang disampaikan di Wadi Uranah, Arafah ketika mengerjakan haji terakhir Baginda amat penting dan perlu difahamkan kepada jemaah yang sedang bersemangat untuk berwukuf pada setiap tahun, biarpun berulang kerana jemaah yang datang saban tahun majoritinya orang yang berlainan.
Khutbah Arafah Rasulullah saw:
“Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan ku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi di sini selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.
1- Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini (Makkah dan kawasan sekitarnya).
2- Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.
3- Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di bawah tapak kakiku (iaitu telah dihapuskan).
4- Tuntutan hutang darah di zaman Jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Ibnu Rabi‘ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Sa‘ad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
5- Riba adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang diterima oleh Abbas bin Abdul Muttalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.
6- Wahai manusia! Takutilah Allah I di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah I, dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk, jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka, tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan dan pakai mereka dengan baik.
7- Semua orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu, tidak halal bagi seseorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.
8- Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya.
9- Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah I Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke rumah suci Tuhanmu (Ka’bah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.
10- Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertakwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bagi bangsa Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan takwa.
11- Allah I telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh itu tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah I ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat dari para malaikat dan seluruh manusia.
12- Kemudian kamu akan disoal tentang aku, maka apa yang akan kamu jawab?
Mereka menjawab: Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu.
Baginda r lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata: “Ya Allah! Saksikanlah”.
Baginda Rasulullah telah mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah r dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi‘ah bin Umayyah bin Khalaf ra. [Di ambil dari buku: “Makkah al-Mukarramah; Kelebihan & Sejarah, Telaga Biru 2008. Muka Surat 140-142]
Zikir Arafah.
Selepas solat zohor dan Asar para jemaah mula berzikir, ada yang dipimpin oleh para syeikh dan ada yang secara bersendirian. Bagi para jemaah Ash-Har ana pilih kaedah berzikir secara individu..
Sabda Rasulullah saw, maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah, dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ .
“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian, dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu”.
Waktu Paling Berharga
Waktu wukuf yang afdhalnya ialah bermula selepas solat zohor hari Arafah sehingga tenggelam matahari (maghrib), namun bagi mereka yang terlewat sampai ke Arafah masih boleh melakukan wukuf hingga terbit fajar (subuh) hari raya.
Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW, selepas solat zohor terus berwukuf, duduk di atas untanya, menghadap ke arah kiblat mengangkat kedua tangannya berdoa dengan khusyuknya sehinggakan apabila terlepas tali unta daripada tangannya, Baginda mengambilnya dengan sebelah tangannya sahaja, dan tangan yang sebelah lagi terus diangkat berdoa.
Ini bermakna waktu afdhal untuk berdoa pada hari wukuf itu cuma lima jam setengah atau 330 minit sahaja. Tetapi malangnya masih terdapat jemaah haji kita yang tidak mendapat kesedaran dan motivasi yang cukup tentang kelebihan dan fadhilat hari yang amat istimewa ini! Mereka masih sanggup melalui saat yang bertuah ini dengan hanya berbual-bual kosong, tidur, bahkan ada yang masih tergamak merokok, orang lain mencari haji mabrur, dia pula membuat haji malboro! Walaupun hukum haram rokok ni telah diputuskan oleh mejoriti besar ulama’ Islam. [Lihat: http://www.abuanasmadani.com/?p=729]
Semoga Allah kurniakan kita dengan haji mabrur.

Buku “Yaum Arafah”.
Sebelum wuquf, ana sempat ke Aziziyyah, untuk membeli buku. Antara buku yang dibeli ialah buku “يوم عرفة” yang ditulis oleh Prof. Dr. Falih Al-Sughayyir, tahun 1430H. Ketika menyenaraikan amalan hujjaj pada Hari Arafah ialah Doa’:
Sunat bagi jemaah haji di Maufiq yang besar ini bersungguh-sungguh berzikir kepada Allah swt, berdoa kepada-Nya dengan penuh merendahkan diri dan kehinaan, menzahirkan sikap sangat berhajat dan kefaqiran kepada rahmat dan keampunan-Nya….
Dan hendaklah seorang itu menitiskan air matanya di Masy’ar yang agung ini, kerana ia dalil kepada ijabah dan alamat kebertuahan. Dan sesiapa yang tidak mampu menangis hendaklah dia buat menangis (mencuba sedayanya) dengan merintih dan berdoa kepada Allah swt…” [ms: 68-69]
Soalan: Manakah lebih afdhal; berdoa seorang diri atau seorang imam mendoakan kemudian makmum meng”amin”kan?
Asal kepada amalan doa, setiap insan berdoa untuk dirinya, kecuali apabila ada orang yang berkumpul dibelakangnya meng”amin”kan doanya, yang mungkin ada sebahagian jemaah yang lebih khusyu’, mudah menangis (maka hati orang lain pun mudah tersentuh sama). Amalan ini tidak mengapa “La ba’sa bihi” mengikut apa yang saya faham. Dan dalil pula tidak ada yang melarangnya, peristiwa seperti ini terjadi juga ada dikalangan para sahabat – radhiallahu ‘anhum – yang meminta Nabi saw berdoa untuk mereka. Namun saya tidak bertemu dalil Nabi saw di Maqif Arafah ini berdoa untuk mereka, kerana itu saya mengatakan: Yang paling afdhal ialah setiap insan berdoa untuk dirinya, lebih-lebih lagi kalau ianya membawa kepada zikir/talbiyah secara berjamaah dan seumpamanya”. [ms: 74-75]
Di awal pagi Arafah ana memberi nasihat dan bimbingan tentang doa di Arafah seperti yang disebut di atas, namun terdapat kesukaran bagi sesetengah jemaah untuk menitiskan air mata.. maka di petang Arafah ana membenarkan mereka meng’Amin’kan doa yang dibaca, mudah-mudahan air mata yang sukar untuk ditumpahkan kerana Allah swt dapat membasahi bumi Arafah, yang akan menyirami hati yang keras itu..
Maka pada petang Hari Arafah itu ana minta jemaah berdoa dan bermunajat bersungguh-sungguh kepada Allah, dengan tangisan yang penuh syahdu agar diampunkan dosa dan diterima haji yang dilakukan serta memohon kesejahteraan untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan yang berpesan agar berdoa untuk mereka, mintalah kebaikan di dunia dan di akhirat…

Makkah al-Mukarramah: 16 Zulhijjah 1432H – 12 Nov 2011.
 

Catatan Rehlah Haji 1430H: