Biodata

Monday, March 23, 2015

Catatan Banjir AAM (01) Banjir di Pondok Sungai Durian K. Krai 24 Dis. 2014.

بسم الله الرحمن الرحيم - الحمد لله الذي قدَّر الأقدار، ومجري السحاب، ومنزل الأمطار، والصلاة والسلام على رسول الهدى رحمة للعالمين، وعلى آله وصحبه ومن تبعه إلى يوم الدين، وبعد.

Semua yang berlaku adalah dengan ketetapan Allah, tidak mungkin untuk melarikan diri dari apa
yang Allah telah taqdirkan.
Di bawah ini secebis catatan pengalaman menghadapi saat banjir melanda Pondok Sungai Durian (PSD) pada 24hb Disember 2014.
PSD terletak berdekatan dengan Sungai Durian, sungai ini melingkungi sebahagian dari kawasan pondok ini dan pada suatu masa yang tidaklah lama sangat - sekitar tahun 70an- ianya menjadi sumber air dan tempat kami mandi manda, akhir-akhir ini sungai kami telah dikotori oleh tangan manusia. Sungai ini kecil sahaja dan bersambung dengan Sungai Kelantan.


Walaupun PSD berdekatan dengan sungai dan pada musim bah air akan naik ke kawasan pondok di bawah lembah, tapi tidak sampai kepada Bangunan Madrasah dan Masjid Ar-Rahman. Ada juga air melintasi kawasan ini setakat betis, tidak sampai masuk ke dalam masjid.
Mengikut cerita arwah ayahanda - Tuan Guru Hj Abdul Rahman - pada tahun 1967 sekali air naik sampai setakat dada di bawah Madrasah, atau enam anak tangga.

Pertengan Disember 2014 sudah berlaku bah di kawasan sekitar PSD seperti kampung Chenulang, Kuala Pertang dan sekitarnya telah menenggelamkan kampung dan menghanyut atau meruntuhkan lapan buah rumah. Ini di namakan gelombang pertama banjir 2014.  Pada waktu ini PSD masih beroperasi seperti biasa dengan aktiviti kuliah dan pengajiannya, para pelajar pun semuanya berada di pondok.

Isnin 22 Dis 2014 - Ana menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Bandar Kuala Krai, sedang berkuliah, kelihatan beberapa orang jemaah menjengok ke luar tingkap masjid. Selepas isya' rupanya jalan utama masjid sudah dinaiki air, nasib baik masjid ada jalan satu lagi sebelah atas bukit, dapatlah kami balik dengan selamatnya ke PSD.
Pada malam ini ana khatam Syarah Kitab KEINDAHAN ISLAM 43 siri, alhamdulillah.

Selasa 23 Mac 2014- Pagi ini kami sekeluarga mahu pergi ke PUTIK KB sempena Majlis Graduasi Tahfiz  Amir -anak kedua-. Hati sudah berbelah bagi nak pergi ke tidak memandangkan air bah sudah memenuhi dalam kawasan bandar Kuala Krai.
Sahabat di KB kata cuaca baik, panas dan tak ada hujan, kami pun pergi ke PUTIK. Selesai majlis graduasi dengan baik, kami pulang ke PSD tanpa halangan.
Selepas isya',  singgah di kedai Rahman Frozen, berbual-bual tentang cerita banjir, Hj. Mat Ghani bagitahu "Air Mudik dah".  Maksudnya air Sungai Kelantan dah masuk ke Sungai Durian.
Balik ke rumah tak berapa lena tidur, rasa tak sedap perasaan memikirkan air mudik, sempat juga siapkan makalah untuk majalah i dan Solusi.

24 Dis 2014 hari Rabu yang bersejarah.
Sedar tidur jam 4 pagi hujan sangat lebat, keluar suluh dengan lampu di belakang rumah air sudah sampai ke anak tangga pintu dapur...
Kejutkan Ummu Anas minta siapkan pakaian anak-anak untuk sehari dua, ana bawa kereta naik ke atas bukit kedai Sg Durian.
Kemudian ke pejabat PSD angkat barang-barang pejabat letak atas meja, dok kira mungkin air naik setakat lutut je, dalam masjid tak  mungkin masuk perkiraannya.
Balik rumah ambil keluarga bawa ke rumah mama ana di depan masjid dalam jam 5 pagi.. Kami bertawakkal kepada Allah.. tinggalkan rumah pergi ke masjid dan rumah mama..

Ke Masjid Solat Subuh berjemaah..
Selepas solat arahkan semua warga pondok keluar meninggalkan pondok masing dan naik berlindung ke tingkat atas masjid..
Belum sempat habis perbincangan air dah masuk ke dalam masjid..
الله المستعان.

Balik ke rumah angkat kitab dan apa-apa barang yang sempat  dari rak paling bawah ke atas....
Jam 7 pagi air dah masuk dalam rumah...
Jam 8 pagi bekalan letrik terputus seluruhnya, air paip juga sudah tiada.
Jam 10 pagi separuh bangunan telah tenggelam.
Zuhur air masih naik, sudah banyak bangunan yang tenggelam.
Asar, air masih naik perlahan-lahan semakin tinggi, tingkat bawah rumah mama sudah tenggelam, anak tangga satu demi satu hilang, tingkat bawah masjid juga semakin hilang..
Warga emas dan yang berkeluarga serta pelajar lelaki pondok berlindung di tingkat dua masjid, manakala pelajar perempuan kami tempatkan di tingkat dua bangunan sekolah mereka.  

Dalam jam 4 petang, bermulalah perpindahan.. warga pondok dari masjid dibawa dengan dua trip bot askar ke Sekolah Sungai Embak.. Selepas itu terhenti seketika, bot dan perahu amat tidak mencukupi dengan keperluan perpindahan, kerana seluruh daerah Kuala Krai telah tenggelam, balai polis, balai bomba hatta kem askar juga telah lumpuh ditenggelami air....

6:30 Petang Ustaz Ab Latif  - YB Mengkebang- datang dengan bot bomba minta kami pindah.. Selesai solat maghrib, dalam keadaan yang gelap gelita, hujan lebat angin menderu, kami empat keluarga bersama mama (lebih kurang 25 orang termasuk anak-anak kecil), memanjat pagar beranda tingkat dua terjun ke dalam bot bomba yang dirapatkan, boleh bayangkan air sudah mencecah beranda tingkat dua.
Kami semua hanya mampu berdoa dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Pengasih, bersesak dalam bot kecil tanpa apa-apa perlindungan, mengharungi air separas kabel letrik, melewati rumah-rumah kami yang hanya nampak bumbung.... menuju ke pusat perpindahan yang lebih tinggi dan selamat insya'Allah.

Kemudian keputusan baru dibuat, warga PSD di bawa ke bangunan kedai yang atas bukit, kawasan perumahan Sungai Durian yang baru, di belakang Klinik 1 Malaysia. Malam itu Klinik pun tenggelam sehingga setegah...
Bot kami selamat mendarat dengan hentakan yang mendebarkan. Pengemudi bot memberitahu, mereka tidak dapat pergi banyak kali lagi kerana bot sudah hampir kehabisan minyak... Allahu Musta'an.

Setelah berunding Alhamdulillah mereka sanggup pergi lagi, kami meminta jasa baik mereka untuk memindahkan malam itu juga, pelajar perempuan yang berada di bangunan sekolah sesama mereka saja itu. Alhamdulillah semua pelajar itu berjaya dipindahkan juga.

Manakala warga pondok dan pelajar lelaki terpaksa menunggu hari cerah keesokan harinya. Mereka ini kurang sedikit risiko bahanya kerana ada kaum lelaki dan mereka yang berkeluarga serta ramai. Cuma masalah bilik air, terpaksalah mereka hadapinya dengan sabar....
Manakala bekalan makanan dan minuman alhamdulillah sejak siangnya lagi ada roti, biskut dan air botol yang diagihkan oleh Pejabat Dun Mengkebang.
Jam 11 Malam, Ustaz Fakhru dan beberapa orang lagi pergi ke masjid meninjau keadaan jemaah dan paras air. Jangkaannya -insya' Allah- keadaan air tenang, sempat sampai pagi esok untuk menyambung kerja memindah warga PSD yang masih ada.
 [Gambar Banjir di PSD Hari Rabu]
 












Khamis 25/12/2014.
Selepas solat subuh cari but penambang dan but bomba menyambung kerja pemindahan. Kami berunding dan mencari minyak dari tuan-tuan kereta yang sudi menderma minyak, disedut dari kereta mereka untuk kegunaan but pindah orang dan menghantar makanan kepada mereka dan juga kawasan sekitar.
Alhamdulillah jam 10 pagi lebih kurang selesai membawa semua warga PSD ke pusat pemindahan.


Dari Ummu Salamah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidaklah seorang muslim itu ditimpa suatu musibah, kemudian ia berdoa:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raaji’un [QS 2:156]
(Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali)

اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
Allahumma’Jurni Fii Musibati, Wa Akhlifli Khairan Minha
(Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya)

Melainkan Allah SWT akan menggantikan baginya yang lebih baik daripadanya". (HR. Muslim)
Itulah ucapan yang mampu kami katakan, mengikut Sunnah dan bertawakkal kepada Allah.
 [Gambar Banjir di PSD Hari Khamis]





















Bersambung: Cerita di tempat perpindahan, insya' Allah.





AAM; Keadaan Pondok Sungai Durian Selepas Banjir 2014 & Kesannya




AAM; Pengelaman AAM Semasa Banjir 2014 Di Pondok Sungai Durian




Kesan Banjir Di Pondok Sungai Durian 2014