الحمد لله رب العلمين
القائل:
{ وأذن في الناس بالحج...
} الآية من الحج: 27-28
والصلاة والسلام على
نبينا وقدوتنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين.
{Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka
akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus
[984] yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka menyaksikan
berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari
yang telah ditentukan [985] atas rezki yang Allah telah berikan kepada mereka
berupa binatang ternakan [986]. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan
(sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan
fakir.} [Al-Hajj: 27-18].
[984] Unta yang kurus menggambarkan jauh dan sukarnya yang ditempuh oleh
jemaah haji.
[985]
Hari yang ditentukan ialah hari raya haji dan hari
tasyriq, yaitu tanggal 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.
[986]
yang dimaksud dengan binatang ternak di sini ialah
binatang-binatang yang termasuk jenis unta, lembu, kambing dan biri-biri.]
Asy-Syauq dan Al-Hanin – Kerinduan dan Keghairahan ke
Dua Tanah Haram.
Rehlah atau pengembaraan mengerjakan haji ke Baitullah
al-Haram adalah Rehlah Imaniah yang diberkati, tidak ada bandingan yang
seumpamanya.
Sesiapa yang memerhatikan kepada hujjaj atau jemaah
haji dan kesan ibadat haji ke atas diri mereka selepas melakukannya, nescaya
dia akan dapati dengan penuh ilmu bahawa maqsad atau objektif Syara’ yang suci
dalam mensyariatkan ibadat haji ke atas manusia.
Apa yang zahirnya, ramai dari kalangan jemaah selepas
pulang dari mengerjakan ibadat ini, telah tertanam dalam jiwa mereka perasaan
takut dan gerun untuk melakukan dosa-dosa yang besar, kehidupan mereka juga
berubah ke arah yang lebih baik. Ini semua adalah limpahan kurniaan dan
kemurahan Allah SWT ke atas hamba-Nya.
Allah SWT telah menjadikan dalam hati orang muslimin
seluruhnya perasaan kerinduan dan pengharapan untuk sampai ke Dua Tanah Suci
ini, bumi yang diberkati, tempat ibadat yang besar, menjadi tetamu Allah SWT.
Setiap orang yang berada di bumi mana saja, di hujung
dunia ini pasti bercita-cita untuk melihat sendiri dengan mata kepalanya
Baitullah al-‘Atiq, bumi Makkah, Padang Arafat, Muzdalifah, Mina dan juga
negeri al-Habib kekasih Tuhan sekalian alam, -ke atasnya selawat dan salam-.
Setiap mereka tidak akan puas dengan hanya sekali, bahkan bercita-cita untuk
datang berkali-kali kepadanya.
Perasaan kerinduan dan kecintaan ini pada hakikatnya
adalah rahsia yang Allah SWT campakkan kepada makhluk-Nya, yang menjadi sebab
orang tidak lagi berfikir tentang kesusahan dan kepayahan yang dihadapi serta
kewangan yang dibelanjakan demi untuk merealisasikan rehlah keimanan ini.
Demikianlah perasaan salah seorang jemaah haji tahun
ini Abu Anas Madani apabila dijemput untuk bersama dalam kafilah haji Ash-har
Travel walaupun keuzuran dibahagian lutut yang nampak tidak begitu sesuai untuk
bertugas menguruskan jemaah haji. Tetapi demi untuk menyertai jemaah haji ini
pengorbanan tetap diteruskan.
Maka pada pagi Sabtu 20 September 2014 bersamaan dengan
25 Zul-Qa’dah 1435H berangkatlah AAM bersama rombongan dari KB Jam 9:30 pagi ke
KLIA setersnya pada jam 3:30 petang menaiki pesawat biasa SAUDI SV831 ke Jeddah.
Kali ini tanpa melalui proses biasa di Komplek Haji
Kelana Jaya, Alhamdulillah, perjalanan lebih mudah dan ringkas.
Sewaktu tiba di KLIA sempat juga bertemu dengan
beberapa orang sahabat Tuan Haji Mustafa dan Hajjah Rokiah (Jemaah haji yang
bersama pada tahun 1434H) akhi Jazman bersama keluarganya dan tidak ketinggalan
teman setia dakwah Ustaz Hidir.
Dalam pesawat ke Jeddah ini sempat mutalaah buku kecil
yang bertajuk
"الشوق
والحنين الى الحرمين”
susunan Dr. Muhammad Musa Asy-Syarif, Jazahullahu
Khaira yang menukilkan pengalaman dan perasaan kecintaan dan kerinduan para
penulis yang mencatatkan kisah mereka dalam buku masing-masing.
Perasaan dan pengalaman setiap orang ada perbezaannya
namun boleh dikatakan semuanya merupakan khuatir dalam hati dan jiwa yang sukar
untuk digambarkan.
Ana sendiri bila bawa jemaah yang baru tiba di Makkah,
setelah memperkenalkan tempat-tempat yang sepatutnya di sekitar Kaabah akan
pergi ke belakang, meninggalkan jemaah sendirian di hadapan Kaabah melayani
perasaannya… dan apabila tiba waktu bertemu kembali pastinya mereka datang
dengan mata merah kesan luahan perasaan yang mereka alami setelah bersimpuh di
hadapan Baitullah, menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Tuan
Kaabah yang telah menjemputnya datang bertamu.
Para pembaca yang dirahmati Allah SWT.
Kalau kita toleh ke zaman yang lampau, dengan kepayahan
dan kesusahan perjalanan tentulah kerinduan itu lebih berganda lagi, berbanding
dengan zaman sekarang yang orang boleh lihat Kaabah, Makkah dan Madinah melalui
alat media yang menayangkan semua yang berlaku pada setiap detik dan saat.
Sedangkan orang dahulu mereka hanya mendengar tapi
tidak dapat melihat, kata para cendikiawan:
ليس المخبر كالمعاينة
“Bukanlah dengar itu sama dengan melihat.”
Namum keajaiban dua Haramain ini masih utuh, perasaan
kerinduan tetap wujud dalam jiwa muslimin setiap masa, ramai yang bercita-cita
untuk sampai kepada keduanya, merasai dan menjiwai sendiri kelebihan berada dan
beribadat di tempat ini serta melihatnya dengan pandangan mata sendiri.
Beberapa faedah daripada risalah ini terserlah melalui
beberapa sudut;
1- Menyatakan hikmah Allah SWT menanamkan perasaan
kerinduan dalam hati manusia hingga mereka sanggup datang dari pelusuk dunia.
Apalagi kalau kita lihat sejarah haji di kurun ke 10
hingga 14 dikala umat Islam telah dhaif berada dalam kerendahan di bawah
penjajah sedangkan dulunya mereka umat yang sangat dihormati. Mereka datang ke
Tanah Haram untuk menggilap iman di negeri yang tidak duduk di bawah penjajah
kafir, kedatangan mereka telah memulihkan semangat ke dalam jiwa. (Penulis
telah mengemukan beberapa contoh, maaf ana tak sempat nak terjemahkannya).
2- Menjelaskan kesan kerinduan ini untuk meringankan bebanan musibah
dan meredakan tekanan, bilamana para hujjaj mengetahui dan menyedari betapa
orang-orang dahulu telah melalui kesukaran yang jauh bezanya dengan sekarang
untuk sampai ke Haramain, dari sudut keselamatan dan keamanan perjalanan,
jalanraya tak ada, kenderaan laut atau darat yang mengambil masa yang begitu
lama, ramai yang mati dalam perjalanan dan seumpamanya.
3- Menyatakan hubungan yang rapat perasaan ini dengan keimanan yang
terpahat dalam fitrah manusia yang baik. Bagi setiap muslim mesti ada kadar
yang tertentu perasaan keimanan ini yang mesti disuburkan hingga sampai
menjiwai dan menghayati semua ibadat dan pengembaraan yang dilakukan ini dengan
penuh rasa bahagia dan seronok serta bertuah dapat menunaikannya.
Bukan seperti sebahagian yang datang dengan perasaan
malas, terpaksa, ikut suami atau isteri, ikut kawan, tidak bersedia, tidak
menjiwai ruh ibadat dan sebagainya. Maka orang seperti ini akan rasa berat, nak
cepat-cepat siap, nak berehat-rehat di hotel, apalagi yang tinggal di hotel
mewah. Mereka tidak dapat mengecapi kemanisan limpahan rahmat Allah SWT di
dalam hati dan inilah yang bahayanya, mereka tidak dapat kesan baik dari ibadat
haji. Maka jadilah keadaannya sama seperti sebelumnya, tidak ada perubahan
dalam kehidupannya ke arah jalan yang diredhai oleh Allah SWT selain mendapat
title “HAJI’’ atau “HAJJAH”.
Akhirnya,
betapa cantik dan indahnya keadaan jemaah haji yang
telah mengalir air mata tangisan ketika berhadap dengan Kaabah, berdiri di
Multazam atau ketika menyaksikan tempat ibadat yang lain juga ketika berada di
Masjid Rasulillah SAW. Perasaannya yang terharu, lidahnya menyebut nama Allah
SWT dan berselawat ke atas Rasulullah SAW hatinya berazam dan bertekad untuk
menjadi hamba Allah SWT yang mukmin atau mukminah sejati.
Sebaliknya, bagi yang tidak mendapat halawah (keindahan
– kemanisan) ini, muhasabah dan murajaahlah diri serta iman sebelum berakhirnya
tempoh berada di Haramain dan lebih-lebih lagi sebelum tamat tempoh hayat di
dunia ini.
Akhukum, AAM.
SV381 KLIA – JEDDAH.
Menghampiri udara Miqat Qarn Al-Manazil.