Sambungan Siri 2 dari ceramah "Akhlaq Al-Kibar". Siri 1 di: ttp://abuanasmadani.blogspot.com/2013/04/siri-01-akhlak-orang-yang-berjiwa-besar.html
1-
Imam Ahlus Sunnah wal
Jamaah, Ahmad bin Hanbal rahimahullah.
Ketika berlaku peristiwa
fitnah tentang “Fahaman Yang Mengatakan bahawa
al-Quran adalah makhluk” Imam Ahmad telah
dipenjara, dibelenggu, diseksa dan dipukul di bawah matahari terik pada siang
hari Ramadhan dalam keadaan beliau berpuasa. Sehinga hilang ingatan beliau dan
jatuh pengsan.
Setelah itu beliau dipindahkan ke tempatnya di dalam penjara, dalam
keadaan berlumuran darah, padahal beliau adalah seorang Imam Ahlus Sunnah wal
Jamaah. Mudah-mudahan Allah s.w.t meredhainya. Beliau adalah Imam pada zaman
itu. Walaupun demikian beliau tidak mencari kemenangan untuk diri sendiri.
Beliau hanya marah kerana Allah s.w.t. setelah kejadian ini beliau berkata: “Semua orang yang mengata buruk terhadap
saya[1],
maka saya telah menghalalkan mereka semuanya[2].”
Beliau juga berkata, “Saya
telah memaafkan Abu Ishaq[3]
kerana saya melihat Allah s.w.t berfirman:” [4]
{Dan janganlah
orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah
tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin
serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah
mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka
supaya Allah mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihani}. [Surah
An-Nur:22].
Nabi s.a.w juga menyuruh Abu Bakar r.a memaafkan seorang sahabat
Mistah yang bersalah dengannya dalam kisah
ifk [5].”
Lalu Imam Ahmad berkata
lagi: “Apa gunanya jika Allah s.w.t menyeksa saudara muslim anda hanya kerana
kepentingan peribadi anda?!
Imam Ahmad setelah diseksa
dengan seksaan yang sangat berat ini, beliau tidak membuka diari dan catatan
nama-nama musuhnya. Beliau tidak mencari siapa dalang disebalik peristiwa yang menyebabkan datangnya seksaan
yang meimpa beliau ini. Beliau tidak mengatakan: “Si fulanlah yang telah
menjerumuskan saya ke dalam masalah ini.”
“Si fulanlah yang membesarkan masalah
ini.”
“Si fulanlah telah
memberikan pandangan sinis kepada saya.”
“Si fulan tidak berbuat
apa pun untuk menyelesaikan penderitaan saya.”
“Si fulan tidak
mengunjungi saya setelah saya keluar dari penjara.”
“Si fulan itu telah
mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak baik terhadap saya.”
Mungkin sebahagian orang menyangka bahawa Imam Ahmad akan
mengambil tindakan terhadap orang-orang yang terlibat dalam fitnah tersebut.
Apa yang jelas, beliau tidak ingin membalas dendam sedikit pun terhadap mereka.
Sejarah juga tidak pernah mengkhabarkan kepada kita, dari biografi
Imam Ahmad rahimahullah yang panjang, bahawa beliau pernah mengucapkan satupun kenyataan yang bertujuan membela dirinya
sendiri.
2- Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah.
Beliau adalah seorang ulama’ besar yang dituduh dan difitnah
bahawa beliau telah melakukan banyak perbuatan buruk. Para ulama’
mengkafirkannya. Sultan juga memerintahkan agar beliau dibunuh. Bahkan
sebahagian mereka memukul dadanya sambil mengatakan: “Darahnya berada di dalam leher saya[6]“.
Darah beliau dihalalkan dan beliau sentiasa dipindahkan dari satu penjara ke
penjara yang lain di Damsyik dan Kaherah.
Beliau berada dalam penjara untuk tempoh waktu yang sangat lama.
Beliau dikeluarkan dari penjara sekejap dan tidak lama kemudian beliau disumbat
lagi ke dalam penjara.
Pada zamannya itu para golongan pembesar pengamal bid’ah,
pengikut hawa nafsu, mereka yang dengki, yang hati mereka dipenuhi kemarahan
dan hasad dengki, bersama-sama bangkit untuk menentang beliau. Sedangkan beliau adalah seorang imam yang telah
memenuhkan dunia dengan ilmu dan dakwahnya. Iaitu seorang imam yang mengekang perkembangan
para pengamal bid’ah dan pengikut hawa nafsu dengan pedang-pedang sunnahnya. Kitab-kitab
beliau sehingga kini menjadi saksi atas hal ini.
Di antara musuh ketat yang paling memusuhi Syeikhul Islam, yang
mengeluarkan fatwa bahawa telah halal darahnya, harus dibunuh dan telah kafir
dan lain-lain lagi tuduhan, adalah seorang ulama’ dari fuqaha’ penganut mazhab
Maliki. Lelaki itu bernama Ibnu Makhluf.
Ibnu Makhluf meninggal pada masa hidupnya Syeikhul Islam Ibnu
Taimiyyah. Murid beliau yang bernama Ibnul Qayyim mendengar khabar kematiannya,
lalu Ibnu Qayyim segera berlari menghadap Syeikhul Islam, demi memberitahu
khabar gembira kematian musuh terbesar dan ketat yang bernama Ibnu Makhluf.
Ibnul Qayyim berkata: “Bergembiralah! Ibnu Makhluf telah
meninggal dunia.”
Tetapi apa tindakan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah?
Apakah beliau bersujud syukur atas kematian musuhnya itu? Apakah
beliau mengatakan: “Segala puji bagi
Allah s.w.t yang telah menyelamatkan kaum muslimin dari keburukannya?”
Sama sekali Ibnu Taimiyyah tidak mengatakan hal itu. Beliau tidak
seperti sebahagian kita yang mengatakan: “Itu
adalah batu kerikil yang telah dibuang dari jalan kaum muslimin. Kita sekarang
bebas darinya.” Beliau sama sekali tidak mengatakan hal itu. Ibnul Qayyim
berkata, “Bahkan beliau menegur dan
memarahi perbuatan saya. Kemudian beliau beristirja’[7].”
Setelah itu, Ibnu
Taimiyah terus bangkit menuju ke rumah keluarga Ibnu Makhluf untuk mengucapkan
takziah di atas kematiannya. Beliau berkata kepada ahli keluarga Ibnu Makhluf:
“Saya
sekarang sebagai pengganti Ibnu Makhluf dan jika kamu memerlukan apa-apa bantuan, saya akan membantu kamu.” Sehingga
seluruh keluarga Ibnu Makhluf menjadi gembira dengan kedatangan beliau dan
mendoakan beliau dengan kebaikan.
Siapakah di antara kita
yang pernah melakukan seperti ini? Apakah pernah seseorang dari kita menziarahi
rumah musuh ketatnya kemudian ia mengucapkan takziah kepada mereka? Kemudian menenangkan
hati ahli keluarga simati dan mengatakan: “Jika kamu memerlukan bantuan apa
sahaja, maka saya akan melakukannya?”
Siapakah di kalangan kita
yang pernah melakukan hal ini?
Hanya pemilik jiwa besar
sahajalah yang mampu melakukannya.
Seorang yang telah mengeluarkan fatwa bahawa anda patut dibunuh,
anda telah kafir dan sebagainya, tetapi anda yang memiliki jiwa yang lebih
besar dari semua itu tidak mengambil hirau tentang perkara tersebut. Anda
kemudian pergi menziarahi keluarganya dan menenangkan mereka.
Seandainya kita semua berhias dengan akhlak ini, nescaya kita
dapat memikat banyak hati manusia. Tetapi masalahnya, kadang-kadang kita
melaknat orang-orang yang telah berselisih dengan kita sehingga tujuh puluh
kali, dan kadang-kadang kita bermuamalah dengan mereka berdasarkan kaedah yang
terdapat di dalam ayat al-Quran ini:
{Dan janganlah engkau
sembahyangkan seorang pun yang mati dari kalangan orang-orang munafik itu
selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya
mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam
keadaan fasik (derhaka).} [Surah
At- Taubah: 84]
Sedangkan ayat ini diturunkan kepada kaum munafik, kita pula
mnggunakannya terhadap kaum muslimin yang
berbeza pendapat dengan kita dengan tindakan yang keterlaluan. Maka dengan
perbuatan ini, kita bertindak keras terhadap orang yang beriman. Hal ini jelas
menyalahi perintah Allah s.w.t.
Allah s.w.t menyifatkan para
sahabat Nabi s.a.w, sebagai orang-orang yang berbelas kasih terhadap sesama
mereka. Firman-Nya yang bermaksud:
{Nabi Muhammad (s.a.w)
ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan
tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap
kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat
mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia
(pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang
menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari
kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang
tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula
ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak
dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat,
lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya Dengan keadaan yang
mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat
Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya berkembang biak serta kuat gagah
sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan
perasaan marah dan hasad dengki - Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan
selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh
dari mereka, keampunan dan pahala ang besar.} [Surah Al-Fath: 29].
Kemudian Allah berfirman lagi kepada Nabi-Nya,
{Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu
Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka
(sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras
hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka
(mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi
mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan
hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah
bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah,
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang ang bertawakkal kepadaNya.} [Surah Ali Imran:159]
Ibnu Ubai bin Salul.
Tahukah kamu siapakah Abdullah
bin Ubai itu?! Dia adalah ketua orang-orang munafik. Dia telah mencela
Rasulullah s.a.w dan kaum muhajirin, ketika peperangan al-Muraisi’ di daerah
Musyallal dengan berkata:
“Tidaklah bandingan kita
dengan mereka, kecuali seperti perumpamaan orang–orang dahulu: “Gemukkanlah anjingmu, nescaya ia akan memakanmu.”
Ia mengucapkan perkataan buruk ini terhadap Rasulullah s.a.w.
Dia juga
mengatakan bahawa dia merasakan bahawa perbendaharaan langit dan bumi berada di
tangannya. Dia berkata sebagaimana diabadikan Allah s.w.t. dalam al-Quran yang
bermaksud:
{Merekalah yang
mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan
orang-orang Muhajirin): "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada
orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai
(meninggalkannya)". padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan
bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian
melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang munafik itu tidak
memahami (hakikat yang sebenarnya).} [Surah Al-Munafiqun: 7]
Maksudnya: Kamulah (Ansar) yang memberi makan dan tempat kepada
mereka (Muhajirin) kerana itu jangan memberi makan kepada mereka agar mereka keluar
dan pergi dari negeri kamu (kota Madinah) dan mencari negeri lain.
Beginilah keadaan
orang-orang yang berjiwa kerdil tetapi Rasulullah s.a.w adalah seorang yang
berjiwa besar. Apabila Abdullah bin Ubai meninggal dunia,
Baginda memberikan
bajunya kepada anak Abdullah bin Ubai bin Salul untuk dijadikan kain kafan bagi
bapanya. Kemudian Baginda berdiri di atas kuburnya, meminta ampun buatnya (Abdullah
bin Ubai), sehingga Allah s.w.t melarang perbuatan Baginda itu.
Ketika Allah s.w.t
melarang Baginda dengan firman-Nya yang
bermaksud:
{(Orang-orang munafik
itu) sama sahaja samada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak
meminta ampun bagi mereka. Jika Engkau (Wahai Muhammad) meminta ampun bagi
mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan
mereka; Yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya;
dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.} [Surah At-Taubah: 80]
Maka Rasul s.a.w pun berkata: “Sekiranya saya tahu jika meminta ampun
untuknya lebih daripada tujuh puluh kali akan member faedah, pasti saya akan
melakukannya (untuk Abdullah bin Ubai).”
Lihatlah! Bagaimana tindakan Rasulullah s.a.w terhadap orang yang telah
menyakitinya dan menyakiti kaum beriman?! Dia adalah dalang di sebalik ifk (khabar bohong tuduhan jahat
terhadap ‘Aishah). Dialah yang menyebarkan khabar angin dan terlibat dalam
menghebohkannya. Dia juga yang menuduh Rasulullah s.a.w dengan tuduhan yang
paling buruk dan mengucapkan perkataan yang paling keji. Walaupun demikian,
Nabi s.a.w memaafkannya,
menyembahyangkannya dan memberikan baju Baginda kepada anaknya untuk mengkafaninya,
kemudian Baginda berdiri di atas kuburnya, meminta ampun baginya. Padahal Nabi
s.a.w sangat mengetahui keadaannya.
Perbuatan ini tidak dapat
dilakukan kecuali oleh orang-orang yang hatinya ada sifat belas kasihan, berjiwa besar dan sangat berlapang dada.
Apa yang perlu saya
ingatkan di sini, bahawa hal ini bukan bererti kita tidak memperdulikan masalah
“Al-Wala’ wa Al-Baraa’. “Sebab Al-Wala’ wa Al-Bara’” adalah satu kaedah yang tetap dalam agama ini dan tidak pernah berubah seperti yang saya
sebutkan pada awal perbincangan.
Kita perlu membezakan di
antara dua perkara ini: di antara kedudukan”Al-Wala’
wa Al-Bara’” dengan “kepentingan
peribadi”. Al-Wala’ wa Al-Bara’
dengan tetap teguh dalam hati. Adapun kepentingan peribadi perlu ditinggalkan
di belakang anda. Jangan mencari kemenangan kerana kepentingan peribadi.
Jangan hanya setakat itu perjuangan kita.
Orang-orang yang berjiwa besar tidak patut sibuk dengan hal dirinya sendiri
sahaja, seperti iri hati kepada seseorang, masalah khusus dengan orang itu, masalah
peribadi dengan yang lain pula. Serta lain-lain masalah peribadi yang tiada
kepentingan bagi ummah dan agama,
Orang seperti ini tidak patut menjadi daie. Orang seperti ini lebih
banyak membuat kerosakan daripada membaiki. Ada sedikit salah faham sahaja, dia
terus mendoakan si fulan dan melaknat si fulan dalam sepertiga akhir malamnya.
Malah meneriakkan dengan lantang bahawa dia tidak akan memaafkan si fulan
sehingga mereka berdua berdiri di hadapan Hakim Yang Paling Adil pada hari
kiamat nanti iaitu Allah s.w.t.
Tindakan seperti inilah
yang dilakukan oleh beberapa orang yang berjiwa kerdil. Orang seperti ini tidak
patut untuk terjun dalam dunia dakwah. Sama sekali tidak layak untuk mengajak
dan menyeru orang ramai. Sewajarnya orang seperti ini perlu mengajak dan
menyeru dirinya sendiri, menyembuhkan hatinya kemudian barulah dia boleh
berusaha memperbaiki orang lain.
Jika dalam keadaan
seperti ini dia terlibat dalam dakwah, dia akan menyebabkan lebih banyak
kerosakan daripada kebaikan. Selalu sahaja ada masalah dengan si fulan dan
mewujudkan permusuhan dengan orang yang ketiga. Akhirnya orang-orang yang
didakwahnya akan melepaskan diri darinya dan tinggallah dia sendirian.
Ketika Syeikhul Islam
Ibnu Taimiyah diserang penyakit yang membawa kepada kematiannya, beliau bukan berada
di hospital atau di istana, tetapi di dalam penjara dan beliau dilarang membuat
apapun, sehingga pen dan kertas sekalipun tidak diberi. Ini semua akibat
provokasi dari golongan ahli bid’ah, para pembesar yang sesat dan mereka yang dengki.
Pada saat akhir ini,
beberapa orang ahli bid’ah telah terbuka hatinya untuk berjumpa Syeikhul Islam
di penjara dalam keadaan dibelenggu, untuk meminta maaf. Syeikhul Islam Ibnu
Taimiyah tidak sesekali mengatakan: “Baru sekarang kamu mahu meminta maaf,
kenapa tidak dari dulu?! Tidak mungkin saya memaafkan, mengampunkan atau
menghalalkannya!!”
Beliau sama sekali tidak mengatakan hal itu tetapi beliau mengatakan: “Saya
telah memaafkan anda dan semua orang yang menyakiti saya kerana saya tidak tahu
bahawa adakah saya dalam kebenaran.” Beliau mengatakan: “Saya juga telah
memaafkan Sultan Nasir yang memenjarakan saya. Sebab dia melakukan hal itu kerana
mengikut nasihat dan pandangan orang lain.”
Orang yang berada dalam martabat
seperti ini, hatinya telah bebas dari perasaan hasad dengki. Bukan seperti
orang yang tidak dapat tidur kerana benci dan ingin membalas dendam terhadap
orang yang menyakitinya, kemudian dia mati seperti belum sempat membalas dendam
dan belum sempat membuat perhitungan.
Ciri-ciri yang ada pada beliau bukan seperti orang yang ingin
membuat perhitungan terhadap musuh-musuh yang menghinakannya, yang ingin
membunuhnya dan merasa tenang dengan pemergiannya dari dunia ini.
Beliau sama sekali bukan
seperti itu. Beliau tidak mengatakan: “Sekarang
saya meninggal dengan dengan hati
yang sangat pedih.” Tetapi
dia mengatakan: “Saya telah memaafkan
semuanya.” Bahkan lebih mulia dari
perbuatan ini. Semasa terjadi revolusi terhadap raja An-Nasir maka seluruh kekuasaannya
hilang dari genggamannya. Pemimpin revolusi ini adalah seorang lelaki yang
bernama Raja Muzaffar, Ruknuddin Baybars.
Lalu para ulama’,
fuqaha’, hakim dan para pendengki yang berusaha untuk menyebarkan fitnah terhadap
Syeikhul Islam sebelum ini, dengan segera berduyun-duyun mendatangi raja baru
tersebut. Mereka menjadi kaki tangan dan selalu menjadi pelindung kepada raja
ini sebagaimana yang mereka lalukan terhadap raja yang telah digulingkan tadi.
Mereka segera
meninggalkan raja lama dan mula mencari pengaruh di sisi raja baru. Akhirnya
mereka menjadi kaki tangan, orang yang dekat dengannya dan sekutu-sekutunya.
Namun tidak lama kemudian, raja An-Nasir berjaya meraih kembali kerajaannya.
Raja An-Nasir kembali
duduk di atas singgahsana kerajaannya kemudian mengumpulkan semua para ulama’,
fuqaha’ dan hakim yang telah mengkhianatinya. Raja An-Nasir menyuruh mereka semua duduk
dihadapannya. Mereka semua menunduk tidak tahu apa yang akan dilakukan terhadap
mereka.
Mereka tidak tahu
bagaimana raja akan membalas dendam terhadap perbuatan mereka ketika mereka
berpaling dan mengerumuni musuh raja kerana mereka tidak mempunyai kesetiaan
terhadap raja ini.
Ketika mereka dalam
keadaan tunduk dan sangat takut itu, tiba-tiba muncul seseorang dari jauh. Pada
mulanya, mereka tidak mengenali siapa lelaki itu. Ketika lelaki itu semakin
dekat, rupa-rupanya itu adalah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, yang sebelum ini
berada dalam penjara. Rupa-rupanya raja An-Nasir telah memerintahkan agar
beliau dilepaskan dan datang menghadapnya pada ketika itu.
Syeikhul Islam Ibnu
Taimiyah berdiri di tengah-tengah mereka lalu Raja An-Nasir berkata: “Sekarang
telah tiba waktu anda untuk berfatwa bagi membalas fatwa mereka agar mereka
dapat disembelih dengan betul mengikut Syariah Islam.”
Kemudian raja bangkit
dan berjalan menuju kepada Syeikhul Islam sambil menunjukkan rasa hormat dan
sikap yang sangat memuliakan. Padahal perkara itu bukan kebiasaan terhadap
beliau kerana dialah yang memindahkan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dari satu
penjara ke penjara yang lain.
Raja terus berjalan
menghadap Syeikhul Islam dan memberi penghormatan dan kemuliaan. Kemudian dia
memeluk Syeikhul Islam dan membawanya ke tempat yang sunyi di sudut istana
untuk berbincang dengan beliau secara rahsia. Dia bertanya kepada Syeikhul
Islam: “Apa pendapat anda terhadap orang-orang itu?!”
Syeikhul Islam berkata
(dalam hati): “Sekarang saya tahu bahawa dia sangat marah dan ingin membalas
dendam terhadap mereka demi kepentingan peribadinya.”
Perhatikan, dia tidak
membalas dendam demi Syeikhul Islam, tidak pula demi agama tetapi demi
kepentingan diri kerana mereka telah meninggalkannya dan berpaling tadah darinya.
Ibnu Taimiyah bercerita:
“Ketika saya mengetahuinya, saya mula menyanjungi, menyebut kebaikan para ulama’
itu, mensyukuri mereka dan saya mengatakan: Seandainya mereka menghilangkan
diri dari daulah (Negara) ini pasti
anda menyesal kerana daulah ini tidak
dapat berdiri tanpa adanya mereka. Puncanya mereka adalah para hakim negara,
para ulama’ dan para fuqaha’ nya.”
Ibnu Taimiyah menyambung
lagi: “Setelah itu Raja mengeluarkan beberapa
kertas dari saku bajunya yang didalamnya tertulis fatwa-fatwa dari tulisan
tangan mereka.”
Raja berkata: “Lihatlah! Apakah yang dikatakan oleh mereka
terhadapmu?! Mereka telah mengkafirkan kamu dan berfatwa agar kamu dibunuh.
Tulisan ini sentiasa tersimpan dalam dokumen saya. Sekarang telah tiba waktu untuk kamu membalas mereka.” Raja
bertindak sedemikian kerana ia ingin mencari kemenangan buat dirinya.
Seandainya Syeikhul
Islam Ibnu Taimiyah yang dizalimi ini memiliki jiwa yang kerdil nescaya beliau
akan mengambil peluang membalas dendam dan sangat mudah bagi beliau untuk
berselimut dengan selimut akidah dan sunnah demi melangsaikan dendamnya
terhadap mereka kerana mereka adalah ahli bid’ah. Jadi negara harus
diselamatkan dari mereka.
Tetapi Syeikhul Islam menjawab:
“Bagi saya, saya telah memaafkan mereka.” Kemudian Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah
menenangkan hati raja dan terus memujuknya agar membiarkan mereka tetap hidup
dan tidak perlu dibunuh.
Semenjak peristiwa ini, pengajian
Syeikhul Islam telah tersebar di seluruh masjid, halaqah dan majlis-majlis
ilmu. Kemudian muncullah ramai para pengikut, penyokong dan pembantu beliau.
Sementara, orang-orang
yang dulunya sangat keji dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memusnahkan
beliau, mula mendekati dan berbuat baik kembali kepada Syeikhul Islam agar
beliau memaafkan kesalahan mereka.
Kita
dapat melihat, beliau sama sekali tidak berdiri di hadapan mereka satu
persatu sambil menahan dan menanyakan: “Kenapa
kamu menyebut perkara ini? Apa yang mendorong kamu untuk melakukannya?”
Tidak..!! Beliau sama
sekali tidak melakukan perkara itu. Bahkan beliau telah menutup jangan sampai
hal ini terjadi dengan terus mengatakan: “Saya telah memaafkan kamu semua dan
telah melupakan apa yang terjadi.”
Syeikhul Islam sama
sekali tidak memisahkan manusia kepada dua bahagian: golongan yang membela
beliau ketika dalam kesusahan dan golongan musuh yang menghina beliau ketika beliau
dalam kemelaratan, yang patut mendapat kecaman atau cercaan. Beliau tidak
melakukan hal ini. Bahkan, beliau mengatakan: “Peristiwa ini sudah dilipat bersama permaidani.”
Apabila beliau telah menulis surat kepada
kawan-kawan dan para pengikutnya di Damsyik, demi memperingatkan mereka tentang
peristiwa ini. Jangan sampai seorang pun dari mereka mengundur dan memutarkannya
kembali. Beliau mengatakan:
“Pertama
sekali yang ingin saya ingatkan kepada kamu adalah berkenaan dengan diri
peribadi saya. Kamu tahu! Saya sangat tidak menyukai jika ada seseorang yang
disakiti dari kaum muslimin kerana saya. Lebih-lebih lagi sahabat- sahabat saya
secara zahir mahupun batin. Sama sekali saya tidak pernah memiliki keinginan
untuk mencaci atau mencela orang-orang yang telah memfitnah saya sedikit pun.
Justeru, sebaliknya mereka memiliki kedudukan yang sangat tinggi, mulia dan
luhur di sisi saya berlipat ganda.”
Sebab manusia tidak
terlepas dari tiga golongan: kalau bukan seorang mujtahid (ahli ijtihad) yang
benar, seorang mujtahid yang salah atau seorang pelaku kesalahan yang berdosa.
Maka yang pertama pasti
mendapat pahala dan disyukuri oleh Allah s.w.t. sementara yang kedua ia tetap
mendapat pahala akibat ijtihadnya dan kesalahannya dimaafkan. Adapun yang
ketiga, mudah-mudahan Allah s.w.t mengampuni saya dan seluruh kaum muslimin.”
Beliau sudah menyimpan
semua peristiwa yang sudah berlalu itu sehingga tidak ada seorang pun yang
mengatakan,
“Si fulan telah bersikap
meremehkan.”
“Si fulan mengerjakan
apa pun.”
“Gara-gara si fulan
inilah Syeikhul Islam diseksa bertubi-tubi.”
“Si fulan inilah
penyebab fitnah ini.”
Kata-kata lainnya yang
berisi celaan terhadap sebahagian saudara dan kawan. Beliau telah melupakan
semuanya sehingga tidak terjadi perkataan seperti itu.
“Sungguh! Saya tidak
akan memaafkan siapa sahaja yang menyakiti mereka[8]
hanya kerana mereka menyalakan api fitnah ini,” kata beliau.
Kemudian beliau
meneruskan: “Kamu juga tahu bahawa yang terjadi dari bentuk “penyesatan” atau
“penghinaan” terhadap sebahagian sahabat atau saudara itu sama sekali bukan
pengurangan atau ketidaksempurnaan pada orang yang dituduh sesat atau dihina.
Itu tidak pula terjadi kerana adanya perubahan pada diri kita atau sebahagian
kita.
Justeru setelah
terjadinya penghinaan dan penyesatan (pengkafiran) terhadap seseorang maka
darjat seseorang itu menjadi lebih tinggi dan lebih disukai oleh Allah s.w.t
kerana peristiwa-peristiwa ini tidak akan terjadi kecuali untuk kemaslahatan
(kebaikan) kaum mukminin dengan Allah s.w.t mengadakan islah (perbaikan) pada sebahagian mereka atas sebahagian yang lain.
Sebab
seorang mukmin yang lain, seperti dua tangan. Satu sama lain saling mencuci dan
membersihkan. Sikap mencuci atau membersihkan ini tidak akan terjadi kecuali
jika ada kekotoran atau persengketaan pada salah satunya. Sehingga hal itu memerlukan pembersihan dan kelembutan yang menjadikan
persengketaan itu hilang sama sekali.”
Kemudian beliau
mengingatkan mereka agar sentiasa saling membantu dalam kebaikan dan ketaqwaan
juga mengingatkan mereka bahawa orang-orang yang tidak hadir atau menghadap
beliau tidak mengucapkan salam dan tidak pula memberikan ucapan selepas beliau
keluar dari penjara. Sesungguhnya mereka tidak patut dicela atau dicaci tetapi
mereka memiliki kedudukan yang sangat tinggi lebih berlipat kali ganda dan
lebih tinggi dari sebelumnya.
Beliau mengatakan bahawa
permasalahan-permasalah seperti ini tidak terlepas dari ijtihad. Barangsiapa
bersungguh- sungguh dalam mencari kebenaran bererti ia mendapat pahala dan
Allah s.w.t pasti mengampuni kesalahannya.
Beliau menjelaskan
sesungguhnya ujian seperti ini tidak terjadi kecuali dengan bisikan syaitan
kerana itu kita harus melupakan kesalahan-kesalahan itu.
Beliau juga mengatakan
bahawa perkara-perkara seperti ini adalah permasalahan yang banyak diwarnai
kebohongan dan kecacatan lalu beliau mengingatkan mereka dengan kisah ifk (bohong) yang terjadi pada keluarga
Rasulullah s.a.w dan bahawasanya kisah itu bukan suatu keburukan bagi orang
yang terkena fitnah. Di situ Allah s.w.t berfirman :
Sesungguhnya orang-orang
yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu;
janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia
baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan
dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar
dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia
dan di Akhirat).
( Surah An-Nuur:11)
Syeikhul Islam memaparkan bahawa Allah s.w.t telah menampakkan
kebenaran atas beliau dan memperjelaskannya. Beliau sangat membenci jika dibela
hanya kerana ada seseorang yang mencaci atau memusuhi beliau kerana beliau
telah memaafkan seluruh kaum muslimin dan beliau menyukai kebaikan bagi mereka
semua sebagaimana menyukai untuk diri beliau.
Sedangkan orang-orang
yang berdusta dan berbuat zalim terhadap beliau maka secara peribadi mereka
telah dimaafkan. Adapun pada sisi Allah maka jika berkehendak Dia akan
memaafkan atau menyeksa mereka.
Beliau meneruskan: “Jika ada seseorang[9]
yang disebut-sebut kerana keburukan perbuatannya maka akan saya usir dari sini
orang yang menyebutnya[10]kerana
tindakannya yang buruk terhadap saya.”
Wahai
saudara sekamu…
Siapakah di antara kita
yang mampu melakukannya?! Siapakah di kalangan kita yang sanggup bermuamalah
dengan para musuhnya dengan kaedah seperti ini?!
Oleh kerana itulah Ibnu
Makhluf yang merupakan musuh ketat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dari mazhab
Maliki yang sudah saya sebutkan berkata: “Kami
tidak pernah berjumpa orang seperti Ibnu Taimiyah. Kami telah berusaha
bersungguh-sungguh melakukankan segala usaha untuk membinasakannya tetapi
ketika mampu membalas dendam kepada kami, dia mengampuni kami.”
Wahai
saudara sekamu…
Dengan akhlak seperti
ini kita dapat menarik dan memikat hati para manusia. Kita dapat mengambil hati
para musuh. Lebih-lebih lagi para kawan dan pengikut.
Ingatlah! di sekeliling ulama’,
penuntut ilmu atau daie ada beberapa orang murid. Kemudian sorang alim
bermuamalah terhadap mereka dengan kaedah yang mementingkan keperluan peribadi,
maka secara automatik para murid itu tidak mampu bersabar untuk terus berada di
sekelilingnya.
Mereka juga tidak
mungkin menghasilkan suatu amal yang mampu dipersembahkan dan bermanfaat bagi
umat ini. Hal ini kerana mereka dalam waktu yang singkat pasti meninggalkan
orang alim tadi lalu pergi dan berubah menjadi musuh bagi orang alim tersebut, penuntut ilmu atau daie
tadi. Mereka juga secara berterusan akan melancarkan serangan terhadapnya.
Wahai
saudara sekamu…
Bahkan Syeikhul Islam
Ibnu Taimiyah, semasa di Kota Kaherah pernah bersendirian bersama beberapa
kelompok ahli bid’ah. Mereka memukul dan mencaci beliau lalu hal ini didengari
oleh seluruh manusia sehingga para pemimpin, para pemuka, para panglima, para
tentera dan orang-orang awam mencari-cari Syeikhul Islam demi membalas dendam
terhadap beliau.
Mereka terus mencari sehingga
mendapati beliau di suatu masjid di atas laut. Mereka berkumpul di sana.
Kemudian, para manusia yang lain ikut bergabung dan ingin mendengarkan apa yang
sedang terjadi.
Mereka berkumpul di
sekeliling beliau dan berkata: “Wahai
Syaikh! Telah datang kepada kamu seluruh kelompok Husainiyah. Jika anda
memerintahkan mereka untuk menghancurkan Mesir secara keseluruhan mereka pasti
melaksanakannya.”
Beliau tidak mengatakan:
“Mereka adalah ahli bid’ah dan membawa
kesesatan. Mereka telah berbuat ini dan itu. Bakarlah mereka. Tamatkan riwayat
mereka dan bebaskan negeri ini dari mereka.”
Sama sekali Syeikhul
Islam Ibnu Taimiyah tidak mengatakan hal itu kerana masalah ini hanya
melibatkan dengan kepentingan peribadi
beliau.
Justeru beliau bertanya:
“Untuk apa hal ini?”
Mereka menjawab: “Untuk membalas dendam terhadap kamu.”
Beliau berkata: “Ini tidak patut dilakukan.”
Mereka meneruskan: “Kalau begitu kami akan pergi ke rumah
orang-orang yang menyakiti kamu sahaja supaya tidak merosakkan pergi ke
rumah-rumah mereka dan menghancurkannya tanpa merosakkan rumah orang lain
kerana mereka telah mendatangkan kekeliruan terhadap manusia.”
Perhatikan bagaimana
cara mereka mengambil redha dari Ibnu Taimiyah. Alasan yang pertama untuk
memenangkan Ibnu Taimiyah tetapi beliau menolak. kemudian mengulangi permintaan
lagi dengan alasan bahawa para ahli bid’ah adalah para pencetus fitnah yang
mendatangkan kekeliruan di antara manusia tetapi beliau tetap mengatakan bahawa
hal ini tidak patut dan tidak halal dilakukan.
Kemudian mereka berkata
lagi: “Kemudian yang dilakukan mereka terhadap kamu, apakah ini suatu perbuatan
yang halal? Ini adalah perbuatan yang kami tidak dapat bersabar terhadapnya.
Kami perlu pergi mendapatkan mereka dan memeranginya.”
Tetapi beliau terus
melarang dan mencegah mereka agar tidak melakukan hal itu.
Ketika mereka terus
mendesak, beliau pun berkata, “Sebenarnya
jika kebenaran itu tidak bersama saya maka mereka berada dalam kehalalan[11].
Jika kebenaran bersama kamu, jika kamu tidak mendengar ucapan saya dan tidak
meminta fatwa dari saya, maka laksanakanlah apa sahaja yang kamu inginkan dan
jika kebenaran itu demi Allah s.w.t akan membalasinya siapa sahaja.”
Mereka bertanya lagi:
“Perkara yang mereka kerjakan sekarang ini, apakah ini suatu kehalalan?!”
Syeikhul Islam Ibnu
Taimiyah menjawab: “Justeru mereka boleh mendapat pahala dari perbuatan itu.”
Mereka berkata: “Kalau
begitu anda berada dalam kebatilan sementara mereka berada dalam kebenaran?!
Bagaimana kamu mengatakan bahawa mereka mendapat pahala dari hal itu?!”
Beliau menjawab:
“Sesungguhnya urusan ini tidak seperti yang kamu duga. Boleh jadi mereka
berijtihad dalam hal ini dan salah dalam ijtihadnya sehingga dalam beramal,
mereka bertindak sesuai untuk ijtihad ini dan mereka mendapat pahala.”
Wahai
saudara sekamu…
Mustahil orang-orang
yang memukul tubuh beliau dan mencaci beliau adalah para pelaku bid’ah dan
kesesatan. Kemudian dikatakan: “Mereka
layak memperoleh pahala?”
Siapakah kita
dibandingkan dengan beliau dan para ulama’ lain yang seperti beliau?
Bahkan pernah seorang
ahli bid’ah yang merupakan seorang ahli fiqh menghadap Ibnu Taimiyah di tempat
yang sunyi, di sana tidak ada seorang pun lalu dia berbuat tidak patut terhadap
Syeikhul Islam. Dia mencaci dan mengumpat beliau habis-habisan.
Masyarakat mendengar
peristiwa ini sehingga mereka semua mendatangi Syeikhul Islam kerana hendak
membelanya. Ahli bid’ah mendengar hal ini. Akhirnya dia mula bersikap lemah
lembut dan mencari Syeikhul Islam. Dia menduga Syeikhul Islam akan akan mencari
kemenangan buat dirinya tetapi Syeikhul Islam menjawabnya denagan ungkapan
singkat: “Saya tidak mencari kemenangan
buat diri saya.” Sehingga orang itu merasa selesa, tidak takut dan boleh
tidur dengan tenang.
Wahai
saudara sekamu…
Mereka adalah kaum yang
berbeza pendapat dengan Syeikhul Islam dalam masalah aqidah (usul) dan manhaj
(kaedah). Sedangkan khilaf
(perselisihan pendapat) dalam masalah-masalah far’iyyah (cabang), maka hukumnya seperti yang tadi disebutkan;
kita harus berlapang dada.
Ini adalah yang paling
patut dan paling utama kerana khilaf dalam masalah ilmiah ijtihadiyah dan far’iyyah adalah suatu hal yang biasa
dan pelakunya yang mukhalif[12],
tidak layak dikatakan sebagai seorang yang sesat, seorang pelaku bid’ah atau
pengikut hawa nafsu jika memaksudkan kebenaran dengan hal itu.
Selalunya
masyarakat berbeza pendapat dalam masalah far’iyyah
tetapi para pemilik jiwa kerdil menjadikan masalah itu sebagai suatu perkara
yang sangat besar, yang memerlukan perdebatan panjang yang mengakibatkan orang
yang berada dengannya menjadi musuh baginya sehingga ia menghadap kamu dengan
wajah lain. Dia tersenyum sinis kepada kamu dan di dalam hatinya menyimpan rasa
benci kerana telah terjadi perbezaan pendapat dengan kamu dalam masalah furu’ (cabang).
Yunus As-Sadafi berkata tentang Imam
Asy-Syafi’e: “Saya tidak pernah
bertemu dengan orang yang lebih hebat dari Asy-Syafi’e. Pernah suatu
hari saya ber-munazorah[13]
dengannya dalam satu masalah kemudian kami berpisah. Ketika bertemu, beliau
terus menggenggam tangan saya dan berkata: “Wahai Abu Musa! Apakah salah jika
kita tetap menjadi saudara meskipun kita tidak bersefahaman dalam sesuatu
masalah?[14]”.
[1] Maksudnya: menjerumuskan dan mengadukan beliau kehadapan khalifah
sehingga diseksa seperti ini.
[2] Maksudnya: Saya tidak membencinya dan tidak pula mendoakan
keburukan baginya tetapi saya memaafkannya.
[3] iaitu Al- Mu’tashim, khalifah yang menangkap dan menyeksanya.
[4] Ayat ini mengenai Abu Bakar r.a bahawa dia tidak akan memberi apa-
apa kepada kerabatnya atau pun orang lain yang terlibat dalam menyiarkan berita
bohong tentang diri Aisyah. Maka turunlah ayat ini melarang beliau melaksanakan
sumpahnya itu dan menyuruhnya memaafkan serta berlapang dada terhadap mereka
sesudah menerima hukuman atas perbuatan mereka itu.
[5] Iaitu fitnah yang menuduh Aisyah r.ha.
[6] Maksudnya, dialah yang akan membunuh Syaikhul Islam ini.
[7] Istirja’ iaitu mengucapkan, “Innalillahi
wa Innailaihi Raji’un.”
[8] Maksudnya adalah mereka yang menfitnah dulu dan melemparkan
Syaikhul Islam ke penjara
[9] Dari orang-orang yang telah mendatangkan fitnah terhadap beliau.
[10] Yakni dari para murid, pengikut dan sahabat yang ada di
sekelilingnya.
[11] Yakni haram menyakiti mereka.
[12] Orang yang berselisih pendapat dengan kita.
[13] Munazharah adalah
berdiskusi dan berdebat dalam sesuatu masalah.
[14] Siyar A’lamin Nuabala’:
10/16.