Mari kita lihat contoh
lain yang tidak kurang hebatnya.
Al-Wazir Abdul Rahman
bin Hubairah:
Ibnu Hubairah
rahimahulllah, beliau seorang menteri yang sangat alim. Seorang yang
dikurniakan jawatan menteri, ilmu fiqh yang tinggi. Beliau menganjurkan majlis ilmu
yang dipenuhi dengan para alim ulama’ dari mazhab empat.[1]
Siri Satu di: Siri-01-akhlak-orang-yang-berjiwa-besar.html
Siri Dua di: Siri-02-akhlak-orang-yang-berjiwa-besar.html
Pada suatu hari dalam
majlisnya, beliau menyebut suatu masalah yang termasuk mufradat[2]
Imam Ahmad Bin Hanbal. Maka bangunlah salah seorang fuqaha’ Malikiyah yang bernama Abu Muhammad Al-Asyiiri dan berkata,
“Tidak! Imam Malik juga mempunyai pendapat ini.”
Lalu Ibnu Hubairah
mengemukakan banyak kitab dan berkata: “Kitab-kitab
ini menyatakan bahawa masalah tersebut juga termasuk pendapat yang keluar dari Imam
Ahmad tanpa ketiga Imam lainnya.”
Abu Muhammad Al-Asyiiri
tetap pada pendiriannya dan berkata, “Tidak,
tetapi pendapat ini juga dikatakan oleh Imam Malik.” Lalu para ulama’ yanag
hadir dalam majlis itu berkata dengan yakin,”Sesungguhnya
pendapat ini hanya pendapat Imam Ahmad, ketiga-tiga imam yang lain tidak
mempunyai pendapat ini.”
Tetapi Abu Muhammad
Al-Asyiiri tetap pada pendiriannya dan berkata, “Tidak! Pendapat ini telah
dikatakan oleh Imam Malik.”
Maka Ibnu Hubairah marah
dan berkata, “Apakakah kamu ini
binatang?! Tidakkah kamu mendengar pernyataan para ulama’ ini termasuk
Mufradat Imam Ahmad dan kitab-kitab ini juga menjadi saksinya?! Bagaimana kamu
tetap mempertahankan pernyataan kamu?!!
“Kemudian, majlis pun bersurai.
Wahai
saudaraku…
Bayangkan seandainya
kamu berada dalam majlis ini. Bayangkan seandainya kamu berada di kalangan
salah satu daripada kedua pihak itu. Bayangkan jika kamu adalah Abu Muhammad
Al-Asyiiri. Seandainya cuma anda berdua dan tidak ada orang lain, apakah kamu
akan menemuinya lagi?! Apakah kamu akan menghadirkan diri lagi dalam
majlisnya?! Kemudian bagaimana jika dia mengatakan hal itu kepada anda di depan
khalayak ramai?! Bolehkah kamu tidur pada malam itu?! Apakah kamu berfikir
untuk kembali lagi pada majlis itu?!
Pada hari berikutnya,
Abu Muhammad Al-Asyiiri hadir ke majlis itu seakan-akan peristiwa kelmarin
tidak pernah terjadi. Ibnu Hubairah juga hadir dalam majlis tersebut. Para ulama’
yang lain juga hadir pada hari itu.
Kemudian sebagaimana
biasa pembaca kitab ingin membacanya, kemudian al-Wazir akan menghuraikannya.
Namun Ibnu Hubairah berkata, “Tolong berhenti sebentar!"
Ibnu Hubairah
melanjutkan: “Kelmarin Al-Faqih Abu Muhammad Al-Asyiiri telah mengeluarkan
suatu pernyataan. Kemudian saya mengatakan perkataan kurang sesuai terhadapnya.
Maka hari ini saya
memohon kepada kamu wahai Abu Muhammad Al-Asyiiri, agar mengatakan hal yang
serupa kepada saya seperti yang telah saya ucapkan kemarin. Saya bukanlah orang
yang paling baik dikalangan kamu, saya hanya salah seorang yang seperti kamu”.
Wahai
saudara sekamu…
Perhatikan ucapannya! “Maka hendaklah beliau mengatakan hal yang
sama kepadaku seperti yang saya katakan kelmarin kerana saya bukan yang paling
baik antara kamu dan bukanlah saya kecuali seorang individu dari kamu yang sama
seperti kamu.”
Wahai
saudara sekamu…
Cuba perhatikan apakah
kesan pengaruh perkataan Ibnu Hubairah ini? Padahal perkataan kelmarin hanya
secara spontan yang keluar tanpa sengaja. Abu Muhammad Al-Asyiiri juga tidak
mendapat kerugian sedikit pun. Itu hanyalah sebuah ucapan Ibnu Hubairah secara
spontan.
Akhirnya majlis itu penuh dengan esakan
tangis. Semua ulama’ menangis. Mereka sangat terharu dengan akhlak Ibnu
Hubairah yang mulia ini. Majlis itu menjadi ramai dengan lantunan puji dan doa
buat Ibnu Hubairah kerana keluhuran akhlaknya.
Bahkan Abu Muhammad Al-Asyiiri
meminta maaf dan berkata: “Sayalah yang bersalah, mana mungkin saya akan
membalas kamu.”
Ibnu Hubairah terus
berkata, “Tidak! Kamu harus tetap membalas dan meng-qisaskan saya.”
Akhirnya salah seorang ulama’
mengambil jalan tengah dan berkata: “Wahai tuan[3]!
Jika dia tidak mahu membalas qisas, maka kamu harus memberikan tebusan
kepadanya[4].”
Ibnu Hubairah berkata: “Sekarang keputusan ada padanya. Wahai Muhammad
Al-Asyiiri, berikanlah yang kamu kehendaki!”
Abu Muhammad Al-Asyiiri
berkata: “Kebaikan kamu kepada saya sangat banyak. Maka putuskan apakah yang
mesti saya berikan?”
Ibnu Hubairah berkata:
“Kamu tetap perlu memberi keputusan kerana saya telah terlanjur mengatakan
ucapan buruk kepada kamu.”
Abu Muhammad Muhammad
Al-Asyiiri berkata “Saya masih memiliki sisa hutang yang masih belum selesai
sejak saya berada di Syam.”
Ibnu Hubairah berkata,
“Kamu diberi seratus dinar untuk menghilangkan hutangmu dan menggugurkan tanggungan
saya .” Lalu wang itu diberikan kepada Abu Muhammad Al-Asyiiri dan Ibnu
Hubairah berkata, “Mudah-mudahan Allah s.w.t memaafkan kamu dan saya. Juga
mengampuni kamu dan saya.”
Wahai saudara sekamu…
Apakah kita juga seperti
ini?! Jika dalam suatu majlis terjadi peristiwa tadi maka bagaimana
seterusnya?! Sudah jelas, pasti terjadi permusuhan di antara kita hingga Hari
Kiamat. Hati kita menjadi sangat panas, sangat benci dan sangat ingin membalas
orang ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t melindungi kita semua.
Sebentar tadi, hanyalah beberapa kata
yang Abu Muhammad Al-Asyiiri tidak mendapat kerugian apa pun. Justeru ia
semakin mulia kedudukannya. Wahai saudara sekamu, kita membicarakan ini setelah
berabad-abad dan beratus-ratus tahun. Jika masalah ini selesai pada masa ini
dan masih berlaku dendam di antara mereka sehingga ketika ini maka apa yang
akan terjadi?!
Wahai saudara sekamu…
Kamu jangan seperti ini,
berlakulah seperti Ibnu Hubairah. Jangan menjadi kerdil! Jangan rela menjadi
orang yang rendah! Jangan kembali kepada asal kamu[5]!
Tinggalkanlah hawa nafsu dan kepentingan peribadi.
Peristiwa tadi berkaitan
dengan masalah ilmu. Bagaimana jika berkaitan dengan perkara yang tidak
menyenangkan dalam kehidupan sehari-hari, dalam hubungan bersama masyarakat,
dalam perdagangan dan hal-hal lain yang setiap orang pasti menemuinya?! Seperti sikap tidak memenuhi hak orang lain,
kezaliman, perkataan tidak menyenangkan dari orang lain. Keburukan dan banyak
hal lain yang mungkin kebanyakan manusia tidak mampu menahannya!
Jadi apa yang mesti kita
lakukan?!
Wahai saudaraku! Carilah
jawapannya pada diri kamu, jangan menoleh kepada orang lain.
Apakah sikap kamu jika
seseorang mengatakan sesuatu tidak baik pada kamu dan mengejek-ngejek maruah
anda?!
Apa yang akan kamu
lakukan?!
Apakah kamu berazam
untuk memacakkan tombak permusuhan atas dirinya?!
Dalam hal ini
Imam Asy-Syafi’e memberikan wasiat kepada Yunus As-Sadafi dan ini merupakan
wasiat pula bagi kita. Iaitu:
Wahai Yunus! Jika kamu
memiliki sahabat maka genggamkan kedua tanganmu padanya kerana mencari sahabat
adalah susah dan menghilangkannya sangat mudah.”[6]
Jika jiwamu memaksa
untuk membalas maka fikirkanlah kebaikan-kebaikan yang pernah diberikannya
padamu. Hitunglah kebaikan-kebaikan itu dan gantilah keburukan tadi dengan membalas
kebaikan-kebaikannya yang sangat banyak. Sesekali jangan pernah melupakan
kebaikan-kebaikannya yang lalu disebabkan oleh satu kesalahan ini kerana perbuatan
itu tidak lain kecuali satu perbuatan yang zalim.
Tetapi masalahnya, wahai
saudara sekamu…
Kadang-kadang ada
seseorang yang menganggap suatu perkataan (kerana salah paham) dengan tanggapan
yang sangat buruk. Padahal orang itu tidak mempunyai maksud apa-apa dalam
mengatakannya sesuatu yang dianggap pihak kedua sebagai perkataan yang sangat
buruk. Namun orang yang terasa, pasti sangat marah dan menyimpan dendam.
Sementara pihak yang
dianggap berkata buruk, hatinya benar-benar lalai dan tidak pernah terdetik
sedikit pun untuk mengatakan sesuatu yang dianggap pihak kedua sebagai
perkataan yang sangat buruk.
Sehingga pihak kedua ini
penuh dengan perasaan dendam, sangat marah, ingin sekali membalasnya dan sampai
tidak dapat tidur pada malam itu. Sedangkan pihak pertama tidak memikirkan hal
itu sama sekali dan ketika mengatakan hal itu, niatnya sangat suci dan bersih,
sedangkan tidak bermaksud menyakiti sesiapa pun.
Wahai saudara sekamu…
Setiap orang
berbeza-beza tingkatannya dalam hal ini. Dia antara mereka ada yang mengambil suatu perbuatan baik dengan sebuah
keburukan dan satu kata yang baik dianggapnya sebagai satu perkataan yang
melukainya.
Dia antara mereka ada
yang mengambil perkataan yang tidak dan masih boleh dipalingkan pada
kemungkinan lain, dengan tanggapan yang sangat buruk dan di antara mereka ada
yang mengambil perkataan yang sangat buruk tetapi dia menganggapnya sebagai suatu ucapan yang
sangat baik.
Allah s.w.t telah
memisah-misahkan tingkatan para manusia dan sebagaimana dia mengurniakan rezeki
kepada para hamba seperti itulah dia membahagi-bahagikan akhlak kepada mereka.
Maka benarlah Raja’ bin
Haiwah rahimahullah ketika berkata: “Sesiapa yang hanya berkawan dengan orang
yang tidak memiliki keaiban maka akan sedikit sahabatnya. Sesiapa yang tidak
redha dari temannya kecuali dengan perlakuan yang ikhlas terhadapnya maka akan
timbul kemarahannya dan sesiapa yang mencaci setiap sahabatnya atas setiap
dosa, pasti banyak musuhnya.”
Benar sekali…
Pasti akan banyak
musuhnya kerana manusia adalah makhluk yang sangat zalim dan sangat bodoh (zaluum
jahuul) Oleh itu, sudah pasti akan muncul darinya beberapa kesalahan dan
kekurangan.
Sebab itu, jika ada
seseorang yang selalu menghitungkan setiap gerakan, ucapan, dan perilaku
kawannya maka sesungguhnya hal itu akan menyebabkan kesulitan.
Sekarang tanyakan kepada
diri anda! Bagaimana sikap anda terhadap orang yang menebar fitnah terhadap
terhadap diri anda, ingin menghancurkan kerjaya anda, dan mendatangkan
keburukan kepada anda?!
Kisah Ummul Mukminin
Sofiyyah.
Mari kita perhatikan
kisah Sofiyyah Ummul Mukminin. Beliau memiliki seorang hamba perempuan. Hamba
tersebut datang kepada Umar bin Khattab untuk menyampaikan suatu fitnah dan
pembohongan besar. Sofiyyah binti Huyai, dahulunya memang seorang wanita Yahudi
tetapi telah masuk Islam. Sofiyyah adalah wanita yang telah dinikahi Nabi s.a.w
dan secara automatik termasuk di kalangan Ummahatul Mukminin (Ibu para kaum
mukminin).
Pada masa pemerintahan
Umar bin Khattab, hamba perempuan itu datang menghadapnya sambil menyampaikan
suatu pembohongan besar. Dia berkata: “Sesungguhnya Sofiyyah sangat mencintai
hari Sabtu dan membina persaudaraan
dengan orang-orang Yahudi.”
Ini adalah tuduhan
buruk, dimana isinya: Sofiyyah mengikut
kebiasaan Yahudi kerana hari Sabtu adalah hari raya kaum Yahudi, bererti masih
mengagungkan dan menyucikan hari Sabtu itu. Jadi, pada dirinya masih ada amalan
yang teguh berkaitan dengan tradisi orang-orang Yahudi.
Umar bin Khaththab r.a
tidak bertindak melulu. Dia juga tidak meyakini bahawa kewujudannya suatu
kenyataan yang memang benar. Kemudian, beliau memanggil Sofiyyah dan menanyakan
hal itu kepadanya. Sofiyyah r.a menjawab: “Tentang hari Sabtu, maka sama sekali
saya tidak menyukainya semenjak Allah s.w.t menggantikannya dengan hari Jumaat.
Adapun orang-orang Yahudi, maka saya masih mempunyai sanak saudara di antara
mereka yang masih mempunyai pertalian silaturrahim, saya menghubunginya.”
Kemudian Sofiyyah r.a
memanggil hamba perempuan itu dan bertanya: “Apa yang mendorong kamu untuk
mengatakan fitnah ini?” Sofiyyah sama sekali tidak memaksa hamba tersebut demi mencari pembelaan
buat dirinya tetapi sekadar bertanya: “Kenapa kamu melakukan perbuatan ini?”
Budak itu menjawab, “Syaitan yang menyuruh saya.”
Kemudian Sofiyyah
berkata: “Kalau begitu pergilah. Sekarang kamu menjadi orang yang merdeka.”
Selesailah masalahnya.
Sekarang, cuba anda
bertanya kepada diri anda?
Seandainya anda pulang
ke rumah, kemudian mendapati pintu rumah telah dipecah masuk dan barang-barang
dalam rumah telah dicuri lalu anda memereksa dokumen-dokumen penting,
rupa-rupanya dokumen itu juga sudah hilang dan telah dicuri.
Kemudian anda keluar menuju ke kereta,
tiba-tiba kereta itu sudah dipecah pula tingkapnya dan barang-barang
berharganya juga sudah hilang.
Apa tindakan anda?!
Apakah anda akan
mendoakan pencuri dan penjahat itu, agar Allah s.w.t melumpuhkan tangan, kaki,
telinga, penglihatan dan membekukan darah pada peredarannya sehinggakan dia
terseksa dan mengharapkan kematian namun dia tetap tidak mati bahkan terus
menderita dengan penyakitnya itu.
Inilah tindakan yang
kadang-kadang kita lakukan.
Abdullah bin Mas’ud.
Adapun Abdullah bin
Mas’ud r.a dan insan-insan sepertinya yang memiliki jiwa yang besar pasti tidak
akan melakukan sedemikian.
Pada suatu hari Ibnu
Mas’ud r.a keluar ke pasar dan menyimpan wangnya pada lipatan serbannya.
Kemudian dia duduk di sisi seorang penjual dan membeli makanan daripadanya.
Ketika mengangkat tangan untuk mengambil wangnya, beliau mendapati wang
tersebut telah dicuri. Lalu beliau berkata: “Demi Allah! Ketika saya sedang
duduk tadi, wang itu ada bersama saya tetapi sekarang sudah tiada.”
Abdullah bin Mas’ud
sangat hairan dan terkejut lalu sebagaimana kebiasaan yang ada pada kita,
orang-orang pun berkumpul di sekililingnya untuk menolong, memberikan simpati
dan menenangkannya atas kejadian yang baru sahaja menimpanya.
Orang ramai mulai
berdoa ke atas pencuri tersebut: “Ya
Allah, potonglah tangan pencuri yang telah mengambil wangnya” dan “Ya Allah,
hukumlah dia dengan hukuman yang seberat-beratnya.” Apa yang jelas, semua
orang yang berada di situ duduk sebentar untuk mendoakan sesuatu yang buruk ke
atas pencuri tersebut.
Adapun Abdulllah bin
Mas’ud, dia hanya berkata: “Ya Allah, jika dia mengambil wang saya kerana
sangat memerlukannya maka berkatilah padanya tetapi jika dia melakukan kerana
semata-mata berbuat dosa (tanpa apa-apa alasan), maka jadikanlah perbuatan ini
sebagai dosa terakhirnya.”
Selesai Itu sahaja.
Tidak ada doa agar sipencuri dipotong tangan, dilaknati Allah, dilumpuhkan
anggota-anggota tubuhnya, dibutakan mata, dihilangkan telinganya atau didoakan
agar dia mengharapkan kematian disebabkan terseksa dengan penyakitnya tetapi
dia tidak mati dan terus menderita atau agar darahnya dibekukan dan sebagainya.
Abdullah bin Mas’ud sama
sekali tidak mengaminkan doa-doa itu, malah mendoakan kebaikan bagi sipencuri
bukan mendoakan keburukan ke atasnya.
Wahai saudara sekamu…
Seandainya anda keluar
kemudian bertemu dengan seseorang yang tidak pernah menjaga hak-hak anda dan
tidak pernah menghormati anda, kemudian dia mengucapkan perkataan kotor,
mencaci dan memperdengarkan kepada anda suatu yang sangat anda benci.
Tindakan apa yang akan
anda lakukan?!
Adakah anda membalasnya
dengan hal yang serupa?!
Membalas dendam atau
berubah menjadi musuh kepadanya?
Wahai saudara sekamu…
Para pemilik jiwa yang
besar, pada situasi-situasi seperti ini akan selalu mengingatkan kita kepada
firman Allah s.w.t yang berbunyi: “
“Dan tidaklah sama
(kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah
(kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau
berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan
serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib”. (Surah Fussilat:
34)
“Idfa’ billati hiya
ahsan” inilah
yang menjadi syi’ar mereka.
Ali Zainul Abidin
Mari kita perhatikan
kisah Ali Zainul Abidin, Ali bin Husain bin Ali bin Abi Thalib rahimahullah. Baginda
termasuk pembesar Tabiin.
Pernah pada suatu
ketika, beliau berada dalam majlis bersama para sahabatnya. Sahabat-sahabatnya
adalah para ulama’, para pimpinan, para pembesar dan seluruh lapisan
masyarakat. Majlisnya disertai oleh ramai orang kerana beliau seorang yang
alim, bapa kaum fakir miskin dan sentiasa menghilangkan kesusahan dan
kesengsaran orang lain.
Ketika itu beliau sedang
duduk dalam majlis seperti kebiasaannya. Pada ketika itu, di antara dia dengan
putera pakciknya, iaitu Hasan bin al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib, sedang
berlaku suatu hal yang kebiasaannya berlaku.
Maka Hasan bin Hasan
tidak mampu menahan diri. Beliau segera keluar mencari di mana Ali Zainul
Abidin berada. Beliau mendapati Ali sedang duduk bersama para sahabatnya di
masjid. Hasan bin Hasan mendekati Ali Zainul Abidin kemudian cercaan telah
dilemparkan kepada Ali Zainul Abidin yang sedang duduk bersama para sahabatnya
itu.
Ali Zainul Abidin diam
seribu bahasa tidak membalas dengan sepatah kata pun. Ketika Hasan Bin Hasan
sudah puas dan dendamnya sudah terbalas, beliau pun beredar pergi meninggalkan
majlis tersebut. Ali Zainul Abidin meneruskan majlisnya. Apabila selesai dari
majlisnya, beliau pun pulang ke rumahnya. Pada malam harinya, Ali Zainul Abidin
pergi ke rumah Hasan bin Hasan.
Dalam keadaan seperti
ini mungkin kita menganggap, Ali Zainul Abidin menyembunyikan pistol di sebalik
bajunya untuk mengajar si Hasan tadi tetapi Zainul Abidin tidak melakukan
perbuatan itu sama sekali. Beliau pergi ke rumah Hasan lalu mengetuk pintu
rumahnya. Ketika Hasan bin Hasan keluar, Ali berkata,
“Wahai saudaraku, jika
apa yang kamu katakan tadi adalah benar maka mudah-mudahan Allah s.w.t
mengampuni saya tetapi jika awak berdusta tadi maka mudah-mudahan Allah s.w.t
mengampunimu. Assalamua’laikum.
Lalu Ali Zainul Abidin
pergi meninggalkan Hasan.
Ucapan Ali ini
meluluhkan rasa permusuhan yang memuncak dalam dada Hasan bin Hasan. Beliau
tidak mampu menahan dirinya sehingga perasaan benci, marah, dendam dan
permusuhan ini beralih menjadi perasaan yang sebaliknya. Beliau segera
mengekori Ali Zainul Abidin dengan berlari ke belakangnya dan menyentuhnya dari
belakang sambil menangis lalu berkata, “Kamu tidak ada dosa, kamu tidak pernah
melakukan seperti apa yang saya saya katakan.”
Maka Ali Zainul Abidin
berkata, “Saya semakin tidak marah dengan ucapanmu. Saya telah memaafkamu sejak
peristiwa itu terjadi.”
Wahai saudara sekamu..
Pada malam itu, masalah
tersebut terus selesai. Ali tidak mengadu perbuatan Hasan ini kepada orang
lain. Beliau tidak mencari-cari kesempatan dari peristiwa yang baru sahaja
ditimpakan kepadanya untuk membalas dendam dan sebagainya,
Wahai saudaraku…
Apakah kita pernah
melakukan hal ini?!
Ketika anda berada di
dalam masjid, majlis keramaian, kumpulan, rakan-rakan dan sebagainya kemudian
tiba-tiba datang seseorang dan menghentam anda dengan perkataan yang buruk.
Berbagai-bagai ucapan buruk yang dilontarkan kepada anda. Bagaimanakah sikap
anda terhadap orang tersebut?
Jika anda termasuk
orang-orang yang berjiwa besar maka maafkanlah beliau dan anggap kesalahan itu
tidak pernah terjadi. Sebab itulah, sebahagian ulama’ berkata orang yang
mencaci dan memakinya dengan sangat tegas, “Wahai
kawan, jangan terlalu keras memaki kami, berikan peluang untuk berdamai (di
antara kita) kerana kami tidak membalasi orang yang melakukan maksiat kepada
Allah s.w.t atas kita dengan lebih banyak dari ketaatan kami kepadaNya.” [7]
Seandainya ada seseorang
yang kurang ajar yang memukul anda, meracuni anda atau melakukan perbuatan
buruk yang lain, apakah tindakan anda terhadapnya?
Umar bin Abdul Aziz
rahimahullah.
Khulafa’ ar-Rasyidin
yang kelima. Ketika beliau diserang penyakit yang membawanya kepada kematian,
beliau bertanya kepada Mujahid: “Apakah yang dikatakan orang-orang terhadap
penyakit yang menimpaku?” Mujahid menjawab: “Mereka mengatakan bahawa anda
terkena sihir,” Umar menjawab: “Tidak sama sekali.”
Lalu Umar bin Abdul Aziz
memanggil seorang hamba lelaki dan bertanya, “Kenapa kamu meracuni saya?” Dia
ingin mengetahui alasan kenapa hamba tersebut meracuninya.
hamba itu menjawab:
“Saya melakukannya kerana wang seribu dinar dan saya ingin dimerdekakan.”
Umar menyuruh Mujahid
mengambil wang seribu dinar daripada Baitul
Mal dan berkata: “Ambillah wang seribu dinar daripada Baitul Mal ini dan pergilah dalam keadaan merdeka, jangan sampai
orang melihatmu.”
Wahai
saudaraku!
hamba
ini telah meracuni khalifah. Khalifah mengetahuinya dan budak itu sendiri yang
mengakuinya. Lalu apa tindakan khalifah Umar bin Abdul Aziz?! Baginda berkata:
“Pergilah! Kamu sekarang telah merdeka.”
Imam
Malik.
Sekarang mari kita
perhatikan kisah Imam Malik rahimahullah. Beliau dipukul dan disebat kedua
tangan beliau mengelupas kulitnya, sehingga ketika berdiri dalam solat, beliau menjulurkan
kedua tangannya kerana berasa sangat sakit dan pedih. Beliau tidak dapat
menekup kedua tangannya di atas dada.
Kemudian Al-Mansur
(Khalifah Abbasiyah) datang ke kota Madinah selepas menunaikan haji. Beliau
bertemu dengan Imam Malik di atas tujuan
untuk berbuat baik. Lalu beliau meminta kepada Imam Malik untuk mengambil qisas (pembalasan) dari seseorang yang
telah memenjarakan dan menyebat beliau. Orang itu adalah Ja’far bin Sulaiman.
Apakah ungkapan yang disebut oleh Imam Malik? Adakah beliau berkata: “Ini
adalah peluang yang tidak patut dilepaskan?” Tidak sama sekali Imam Malik akan
berkata demikian. Bahkan beliau berkata: “Ma’aazallah!
Saya berlindung kepada Allah s.w.t
Beliau sama sekali tidak
mengatakan: “Ja’far adalah seorang yang sangat zalim yang harus diberikan
pembalasan.”
Tidak!! Imam Malik sama
sekali tidak mengatakan sedemikian. Begitulah contoh orang yang berjiwa besar.
Dia sama sekali tidak mencari kemenangan buat dirinya. Oleh kerana itu, Nabi
s.a.w tidak pernah mencari pembelaan atau kemenangan buat dirinya walaupun
sedikit.
Mari kita mengambil
contoh yang lain.
Ibnu Hubairah dengan
peminta wang;
Pada suatu ketika
seseorang datang ke majlis Ibnu Hubairah dan mengemis. Ibnu Hubairah berkata
kepada pengawal: “Bukankah sudah kukatakan kepadamu?! Beri dia dua puluh dinar,
beri dia makan dan jangan sampai ia masuk ke dalam majlis ilmu ini?!!
Pengawal tersebut
berkata, “Kami sudah memberinya tetapi dia tetap memaksa untuk masuk.”
Ibnu Hubairah berkata
lagi: “Kalau begitu, beri dia dua puluh dinar lagi dan jangan benarkan dia
masuk!”
Ketika lelaki pengemis
itu pergi, Ibnu Hubairah berkata kepada para sahabatnya di majlis itu: “Apakah kamu
hairan/terkejut terhadap jawapan dan perlakuan saya ini?!
Mereka menjawab:
“Benar!!” Ibnu Hubairah berkata, “Orang yang baru sahaja kamu lihat adalah
seorang syihnah[8]
di pedalaman.
Pada suatu ketika, ada
seseorang yang terbunuh di daerah tempat tinggal saya. Maka datanglah lelaki
ini bersama para penghulu kampung serta membawa saya bersama orang ramai.
Dia menyuruh saya berjalan kaki.
Sementara dia menaiki kuda, dia mulai menyakiti dan menyeret saya bersama
kudanya. Kemudian saya diikatnya dan mengambil wang daripada setiap orang dan
melepaskan mereka. Kemudian dia datang kepada saya dan berkata: “Berikan
wangmu!”
Saya menjawab: “Saya
tidak memiliki wang walau sedikit pun.” Maka orang itu mengherdik dan memukul
saya tetapi saya tidak berdendam sedikit pun ke atasnya. Saya meminta izin
kepadanya untuk mengerjakan solat wajib ketika di jalan apabila tiba waktunya.
Namun dia tidak membenarkan saya melakukan solat. Perkara inilah yang
membuatkan saya marah kerana itu saya tidak ingin menyakitinya dan saya sangat
benci untuk melihatnya.”
Wahai
saudara sekamu…
Di atas sifat
kebaikannya, Ibnu Hubairah yang telah menjadi menteri selepas peristiwa
tersebut, akhirnya memanggil orang itu dan memberikannya satu jawatan. Orang
itu disuruh mengatur harta khusus yang dimiliki para pembesar.
Lihatlah!! Ibnu Hubairah
sama sekali tidak mencari kemenangan buat dirinya. Tidak pula mengatakan: “Ini
adalah peluang keemasan untuk membalas dendam.” Namun dia memberikannya wang,
memuliakannya dan sama sekali tidak mencari kemenangan untuk dirinya sendiri.
Ibnu Hubairah, pemilik
hati mulia ini juga pernah terlibat dalam suatu peristiwa yang lain. Peristiwa
itu sudah lama terjadi iaitu sebelum beliau menjadi menteri. Peristiwa tersebut
berlaku di antara Ibnu Hubairah bersama dengan seorang ‘ajam (bangsa bukan
Arab) yang bergaduh dalam masalah pertanian. Orang ‘ajam ini telah memukul Ibnu
Hubairah dengan sangat keras.
Ketika Ibnu Hubairah
diangkat menjadi menteri, orang ‘ajam itu
telah dipanggil. Mari kita bayangkan. Kalau bukan Ibnu Hubairah, pasti orang ‘ajam itu telah diseksa, dihukum atau
dibunuh. Namun Ibnu Hubairah sama sekali tidak menghukum atau mengherdiknya.
Ibnu Hubairah telah memuliakannya, memberikan wang dan menyerahkan satu jawatan
kepadanya.
Ibnul Jauzi, murid Ibnu
Hubairah berkata: “Ketika Ibnu Hubairah meng-imlak (menyalin) kitab karangannya yang bertajuk ‘Al-Ifshah’ kepada kami, telah datang dua orang lelaki. Salah seorang
daripada lelaki itu telah menangkap seorang lelaki yang lain lalu membawanya
kepada Ibnu Hubairah.
Orang yang pertama
berkata: “Orang ini telah membunuh saudaraku. Oleh kerana itu, putuskan qisasnya di antara kami.”
Ibnu Hubairah bertanya
kepada orang yang kedua: “Apakah kamu telah membunuh saudaranya?” Dia menjawab:
“Benar, saya telah membunuhnya kerana berlaku pertikaian di antara saya dengan
dia, maka saya pun membunuhnya”
Maka orang pertama
berkata: “Serahkan dia kepadaku, biar kubunuh. Bukankah dia telah mengakui
perbuatannya.”
Lalu Ibnu Hubairah berkata: “Lepaskan dia dan
jangan bunuh dia.” Orang ramai berkata: “Mana mungkin kami boleh
melepaskannya, dia telah membunuh saudara kami.”
Ibnu Hubairah berkata:
“Kalau begitu, juallah dia padaku” Maka Ibnu Hubairah membeli pembunuh itu
dengan bayaran diat yang berganda-ganda iaitu dengan harga enam ratus dinar.
Ibnu Hubairah pun menyerahkan emas-emas itu kepada keluarga yang terbunuh.
Apabila emas telah diserahkan, Ibnu Hubairah berkata kepada pembunuh tersebut:
“Duduklah” Lalu pembunuh itu duduk di sisinya dan diberikan wang sebanyak lima
puluh dinar oleh Ibnu Hubairah. Kemudian pembunuh itu pun pergi.
Ibnul Jauzi bersama para
muridnya yang lain sangat kehairanan dengan kelakuan Ibnu Hubairah ini. Lalu
mereka bertanya kepada Ibnu Hubairah: “Mana mungkin seorang pembunuh dibeli
dengan harga yang sangat mahal, diberi wang kemudian dibiarkan lepas begitu
sahaja?!” Kamu juga telah membayar diat dengan bayaran yang tinggi?
Lalu Ibnu Hubairah
berkata kepada para muridnya, “Tahukah kamu bahawa mata kananku tidak dapat
melihat sejak empat puluh tahun yang lalu?!
Murid-muridnya menjawab:
“Tidak”
Ibnu Hubairah meneruskan
lagi kata-katanya: “Lelaki pembunuh tadi, empat puluh tahun yang lalu pernah
berlalu di hadapan saya sambil membawa sebakul buah. Dia berkata kepada saya:
Angkat bakul ini dan bawalah. Ketika itu saya membawa kitab fiqh.”
Saya berkata, “Ini bukan
pekerjaan saya. Kamu carilah orang lain yang boleh membawakannya untuk kamu.”
Ibnu Hubairah meneruskan ceritanya lagi, “Orang itu menjadi sangat marah. Dia
memukul saya dan menampar saya. Dia terus memukul saya sehingga akhirnya
membutakan mata saya. Setelah itu, dia pergi dan saya tidak pernah melihatnya
kecuali pada masa ini.”
Wahai
saudara sekamu…
Perhatikanlah perbuatan
orang itu terhadap Ibnu Hubairah. Sekarang dia datang lagi sebagai seorang
pembunuh tetapi Ibnu Hubairah tidak mengatakan, “Sudah, qisaslah dia” atau mengatakan: “Segala puji bagi Allah yang telah
membuatmu mendapat balasan disebabkan buruknya perbuatanmu.”
Sama sekali Ibnu
Hubairah tidak mengatakannya sedemikian. Bahkan dia telah memaafkannya,
memuliakannya dan memberikan wang kepadanya.
Wahai
saudara sekamu…
Siapakah di antara kita
yang boleh melakukan seperti ini? Ibnu Hubairah berkata: “Saya ingin membalas
keburukannya dengan kebaikan.”
Seandainya anda
terserempak dengan seorang pencaci, pengumpat dan pengejek di suatu tempat, samada
di sekolah anda, di tempat kerja anda, di pasar atau di tempat lain lalu orang
itu berkata kepada anda seperti perkataannya kepada Ahnaf bin Qais ini,
“Jika kamu bercakap sepatah, nescaya kamu akan mendengar sepuluh patah.”
Akhlak seperti inilah
akhlak orang-orang jalanan yang tidak berpendidikan. Inilah lidah orang
jalanan. Orang awam yang tidak beradab. Satu perkataan dibalas dengan sepuluh
perkataan tetapi apa jawapan Ahnaf bin Qais? Apakah beliau menjawab, “Kami akan
membalasmu seribu umpatan dan memotong lidahmu”?!
Sama sekali Ahnaf bin
Qais tidak mengatakan hal itu. Namun beliau menjawab: “Jika kamu mengatakan
sepuluh patah, kamu tidak akan mendengar sepatah kata pun dari saya.”
Seorang penyair berkata:
قالوا
سكت وقد خوصمت قلت لهم *** إن الجواب لباب
الشـر مفتـاحُ
فالعفو عن جـاهل أو أحمق أدب *** وفيه أيضاً لصون العرض إصلاحُ
إن الأسود لتخشى وهـي صامتة *** والكلب يحثى ويرمى وهو نبـاحُ
فالعفو عن جـاهل أو أحمق أدب *** وفيه أيضاً لصون العرض إصلاحُ
إن الأسود لتخشى وهـي صامتة *** والكلب يحثى ويرمى وهو نبـاحُ
“Mereka berkata: kamu diam
sahaja pada masa dimaki dan diumpat. Maka saya berkata kepada mereka,
sesungguhnya menjawabnya merupakan kunci yang bakal membuka pintu keburukan.
Mengampuni
orang bodoh dan jahil adalah suatu perbuatan yang sopan santun. Benar sekali!
Dan itu juga merupakan teguran untuk memperbaiki maruah diri. Sesungguhnya
singa-singa sangat ditakuti walaupun ia dalam keadaan diam. Sementara anjing
disembunyikan dan dilemparkan pada masa ia menggonggong.”
Anda
wahai seorang daie…
Apa tindakan anda jika
seorang mad’u (objek dakwah) berbuat
keburukan terhadap anda…?
Atau, berkata buruk
kepada anda…?
Atau, melakukan
perbuatan yang tidak sesuai kepada anda..?
Apakah anda akan
memusuhinya..?
Menjauhi atau
memulaukannya (memencilkannya)..?
Atau menyuruh para
pengikut anda untuk menjauhi dan menghindarinya..?
Menjadikan adanya jurang
dengannya..?
Apakah hanya kerana
kepentingan peribadi, anda menjadi sibuk sendiri dan dia juga sibuk dengan diri
sendiri..?!!
Wahai
saudara sekamu…
Sama sekali hal ini
tidak sesuai dilakukan. Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadith
dari Abdullah bin Mas’ud r.a dia berkata: “Seakan-akan saya melihat Nabi s.a.w
mengisahkan salah seorang Nabi dari para Nabi Allah s.w.t. yang kaumnya
memukulnya hingga berdarah, kemudian dia (Nabi itu) mengusap darah dari wajahnya sambil berkata,
“Ya
Allah! Ampunilah kaumku, kerana mereka tidak mengerti.” [9]
Jika seorang mad’u (yang didakwahi) memukul anda
hingga berdarah, apa yang akan anda lalukan…?
Apakah anda akan
mendoakan kebinasaan baginya?!
Apakah anda akan
melaknatnya…?!
Ataukah anda akan
memukulnya!
Wahai
daie!
Anda wahai orang yang
dipertanggungjawabkan dengan sesuatu perkara, anda wahai mudir di sebuah
madrasah, anda wahai ketua eksekutif di sebuah syarikat, jika seseorang datang kepada anda di atas
sesuatu urusan yang berkaitan, kemudian dia mengucapkan perkataan yang sangat
keji dengan bahasa yang sombong dan berbicara dengan anda seperti anda sedang
bekerja dengannya, pada situasi seperti ini apa yang akan anda lakukan?
Seorang lelaki telah
datang kepada Nabi s.a.w, lalu dia menarik selendang Nabi s.a.w. dengan kasar sehingga meninggalkan
kesan merah pada leher Baginda. Kemudian dia berkata: “Berikan kepada saya
harta ini kerana harta ini bukan kepunyaan bapa atau ibumu.”
Seandainya perkataan ini
diucapkan kepada selain Rasulullah s.a.w pastilah kepala orang itu sudah
terputus sebelum dia menyempurnakan perkataannya.
Cuba anda bayangkan,
apakah tindakan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w? Adakah Baginda bermusuh dengan
lelaki tersebut. Tidak sekali-kali, bahkan
Baginda s.a.w. memberi, memberi dan memberinya sehinggalah lelaki itu
meredhainya. Inilah akhlak para
Nabi.
Bersambung ke siri 4:
[1] Madzhab Abu Hanifah, Madzhab Maliki, Madzhab Syafie dan Madzhab
Hanbali.
[2] Mufradat Imam Ahmad
adalah pendapat yang hanya keluar dari Imam Ahamd. Sementara ketiga-tiga Imam
yang lain (Abu Hanifah, Syafi’e dan Maliki) tidak mempunyai pendapat ini.
[7] Hilyatul Auliya’, karya
Abu Nu’aim Al-Ashbahani, 2/313
[8] Syihnah adalah seseorang yang dikirim oleh kampung untuk menghadirkan
beberapa orang pada suatu masalah, jinayat atau penyelidikan dia memanggil para
ketua kabilah atau penghulu kampung dan menghadirkan mereka kepada Sultan.
[9] HR. Al-Bukhari, 11/296, no.3218