Labels

Tuesday, May 14, 2013

Siri 04; AKHLAK ORANG YANG BERJIWA BESAR.


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan Badwi.
Wahai saudara sekamu…
Wahai orang-orang yang mengerjakan solat. Kita yang berada di dalam masjid ini, seandainya ada anak kecil yang berdiri di atas meja ini, kemudian dia kencing di atasnya atau ada seorang tua yang pergi ke suatu sudut masjid, kemudian duduk dan kencing di sana.
Bayangkan! Apa tindakan yang akan kita lakukan terhadapnya. Mungkin dia tidak tahu bahawa dirinya akan terkena (pukulan) tangan siapa. Tentunya semua orang akan memukulnya. Sementara yang tidak sempat memukul, dia akan terus memaki dan mengumpatnya.


Wahai saudaraku….
Pernah ada seseorang yang datang ke masjid Nabi s.a.w semasa beliau bersama dengan para sahabat. Kemudian orang itu pergi ke sudut masjid dan kencing di sana. Dia tidak mendapatkan tempat lain kecuali di masjid.
Para sahabat mengherdiknya tetapi Nabi s.a.w melarang para sahabat untuk melakukannya. Baginda turut mengatakan: “ Jangan menyekat dia ketika dia sedang buang air  kecil, agar tidak mendatangkan mudharat yang lebih banyak.”
Rasulullah s.a.w menyuruh seseorang membawa setimba air lalu dituangkan ke air kencing tersebut.
Kemudian beliau menegur orang yang kencing tadi dengan penuh lemah lembut dan mengajarnya bahawa masjid ini tidak harus dikotori.
Masalah pun selesai tanpa harus menendangnya dengan kaki atau menginjaknya dengan tumit dan sebagainya. Sungguh, orang itu tidak diusir, dimaki atau dicemuh tetapi dia dimuliakan dan diajar dengan baik dengan menjelaskan bahawa masjid ini adalah tempat solat dan tidak patut dikotori walau sedikit pun.

Dengan akhlak mulia Nabi s.a.w inilah orang tersebut menjadi terbuka hatinya. Dan sejak peristiwa itu terjadi, ia sentiasa mengatakan. “Demi Allah! sama sekali Baginda tidak berkata kasar atau memarahiku dan saya tidak pernah brtemu dengan seorang pengajar yang paling baik darinya.”
                       
 Wahai saudara sekamu…
Apakah seperti ini akhlak kita bersama murid kita, para mad’u (yang didakwahi) dan seluruh kaum muslimin?!!
Bayangkan seandainya ada seorang imam di dalam masjid yang solat dengan sujud sangat lama dan tidak mengangkat kepalanya dalam tempoh yang lama.
Ketika anda mengangkat kepala, anda melihat anak kecil imam tersebut sedang duduk di atas kepalanya. Apakah tindakan yang akan anda lakukan.? Dan apa yang akan anda katakan kepada anak kecil itu..? Tentunya setelah kamu semua mengatakan kepada imam itu hal-hal yang dibencinya, anda pasti segera pergi ke Majlis Agama untuk memecat dan memberinya pelajaran.
       
Wahai saudaraku, itu hanya anak kecil yang sedang bermain-main. Mereka tidak mencari mainan lain selain berada di atas badan ayahnya.

Wahai saudara sekamu, ingatlah, Nabi s.a.w. pernah sujud lama dalam solat Baginda. Seorang sahabat mengangkat kepalanya, beliau mendapati Hasan atau Husain sedang bermain di atas Baginda. Ketika Rasulullah s.a.w. sudah selesai solat, beliau menjelaskan kepada mereka kenapa Baginda lambat mengangkat kepala semasa sujud. Baginda s.a.w. mengatakan: “Sesungguhnya cucuku ini menjadikan badanku sebagai kenderaan baginya dan aku tidak ingin menghentikannya.”
Baginda tidak tergamak untuk menghentikan kegembiraan anak kecil ini.
Adapun kita, setiap kali melihat anak kecil bergerak sedikit saja kita terus berdalil dengan  hadith:
“Jauhkan anak-anak kecil dan orang-orang gila kamu semua dari masjid.” 
Padahal hadis ini tidak sahih sama sekali.
Sementara si ayah, yang memiliki anak-anak tadi, wajahnya menjadi merah kerana menahan perasaan serba tidak kena. Barangkali pada ketika itu, si ayah sedang berhadapan dengan situasi-situasi tertentu yang menyebabkan dia membawa anak-anaknya ke masjid. Kemungkinan dia sedang menangisi kematian isterinya dan dia memerlukan kepada ketenangan dan belas ihsan orang ramai. Mungkin juga ibu anak-anak itu sedang sakit atau sedang menghadapi apa-apa tekanan hidup. Barangkali disebabkan dengan perkara-perkara di atas, si ayah membawa keluar anaknya dari rumah dan membawa mereka bersama-samanya ke masjid. Kemudian kita pula melakukan sedemikian rupa kepada beliau dan anak-anaknya?
 Wahai saudara sekamu!
 Rasulullah S.A.W pernah berkhutbah. Kemudian baginda turun dari mimbarnya hanya kerana melihat Hasan dan Husain. Perhatikan Hadith Buraidah di bawah ini. Dari Buraidah R.A, dia berkata:
“Rasulullah S.A.W pernah berkhutbah pada hari jumaat, kemudian datang Hasan dan Husain memakai baju merah. Kedua-duanya berjalan dan terjatuh. Maka Rasulullah S.A.W turun dari mimbar, lalu Baginda mendukung kedua-duanya dan meletakkan mereka di depannya. Beliau bersabda: “Sungguh benar Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya harta dan anak-anak kamu adalah fitnah. Saya melihat dua anak kecil ini berjalan dan terjatuh, maka saya tidak mampu bersabar hingga terpaksa menangguhkan khutbah dan mendukung kedua-duanya”[1]
  
Kalaulah seorang Imam atau Khatib melakukan seperti ini pada hari Jumaat lalu dia mengambil cucunya, kemudian dia mendukungnya seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w kepada cucunya, cuba bayangkan apakah tindakan kita terhadapnya?
Telah thabit (benar periwayatannya) bahawa Rasulullah S.A.W pernah mengerjakan solat sambil mendukung Umamah, iaitu cucu Baginda. Setiap kali Baginda berdiri dalam solat, anak itu pasti didukungnya. Ketika Baginda sujud atau rukuk, anak itu diletakkannya dia atas lantai. Baginda terus melakukannya sepanjang solat selesai.
  
Wahai saudara sekamu…
Jika hal ini dilakukan oleh seorang imam, apa tindakan yang akan kita lakukan terhadapnya? Generasi terdahulu telah terdidik dengan akhlak yang mulia ini dan dengan akhlak inilah juga anak-anak kecil itu telah terdidik. Mereka hidup di sekeliling orang-orang yang mempunyai sifat kasih sayang seorang ayah yang sangat tinggi. Mereka juga mendapati banyak orang yang menjaga dan memperhatikan mereka. Adapun sifat bermasam muka sesama kita serta segala muamalat dan interaksi yang kasar dan buruk di kalangan generasi kita pada hari ini tidak berlaku perkara tersebut pada generasi yang terdahulu seperti yang dinyatakan di dalam kisah-kisah di atas.

Wahai saudara yang memiliki jiwa yang besar.
 Jika anda bekerja bersama seseorang dalam bidang perkilangan atau dalam sesebuah syarikat.. Kemudian anda diuji dengannya dan ia hendak melibatkan anda dalam perbalahan. Adakah anda mengikutinya?
Imam Malik rhm. menyatakan sifat Qasim bin Muhammad. Dia merupakan salah seorang ulama’ dari kalangan Tabi’in. Imam Malik berkata:
“Pernah terjadi perbalahan di antara Qasim bin Muhammad dengan seseorang tentang suatu perkara. Maka Qasim berkata: “ Jika kamu mahu bergaduh denganku tentang benda ini, maka ia adalah untukmu. Jika ia memang benar milikmu maka ambillah dan janganlah engkau memuji aku. Namun jika sebenarnya ia adalah milikku, aku halalkan sahaja dan ia adalah untukmu”.
Maksudnya tinggalkanlah aku supaya aku tidak terjebak dalam perbalahan ini dan boleh merendahkan akhlakku yang sanggup bertengkar tentang perkara-perkara kecil dan tidak berfaedah. [2]

Anda wahai para suami…
 Bagaimanakah anda bertindak ketika pertalian antara suami dengan isteri menjadi tidak serasi dan bermasalah..? ketika hubungan anda dengan isteri sudah tidak lagi bahagia?
Sebahagian suami ada yang menekan para isteri. Bahkan ada di kalangan mereka -Saya tidak berlebihan dalam kenyataan ini wahai saudaraku- yang sanggup memotong bekalan elektrik di rumahnya dengan tujuan semata-mata untuk menyusahkan isterinya dan supaya isterinya tertekan dengan kesusahan tersebut. Akhirnya, apabila isteri sudah tidak dapat bertahan dengan situasi tersebut, dia akan minta agar diceraikan. Suami mengambil kesempatan untuk mendapatkan ganti rugi seperti yang didakwanya iaitu dia meminta agar dikembalikan semula mahar yang diberinya dan segala perberlanjaan yang telah dibelanjakan untuk isterinya sepanjang mereka hidup bersama. Padahal si suami sudah menggaulinya. Bahkan boleh jadi si suami manghabiskan masa remajanya.  Di manakah letaknya maruah si suami ini?

Ketika seseorang sudah tidak lagi mencintai isterinya, dan seakan-akan duduk di atas bara api kerana kebencian dan sangat marah terhadap isterinya, maka tindakan apakah yang akan anda lakukan pada situasi seperti ini?
Jubair bin Muth’im R.A, dia menikahi seorang wanita dan sudah membayar mahar dengan sempurna kepada wanita tersebut. Kemudian dia menceraikannya sebelum menggaulinya. Lalu dia membaca ayat ini: “Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bersama dengan mereka, padahal kamu sudah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isteri kamu itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah[3], dan kemaafan kamu itu lebih dekat dengan taqwa. Serta janganlah lupakan keutamaan di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang kamu lakukan.”  (Surah Al-Baqarah:237)
 Jubair R.A berkata: “Saya patut memaafkannya. “Jubair R.A menyerahkan seluruh mahar kepada bekas isterinya, padahal dia berhak mendapat seperdua daripada mas kahwin tersebut.

Seorang isteri bertindak yang tidak sepatutnya terhadap anda, adakah anda akan terus menjatuhkan talak tiga terhadapnya seperti yang telah dilakukan sesetengah orang?
Adakah anda memukulnya?
Menyeksanya?
Adakah anda meninggalkannya begitu sahaja?
Sungguh, sebahagian wanita ada yang mengadu bahawa ia telah ditinggalkan suami sejak bertahun-tahun tanpa ada perhatian dan tanpa nafkah. Sebahagian mereka mengatakan bahawa dia sering pengsan, kerana suaminya sering memukul kepalanya.
Sebahagian isteri juga mengatakan bahawa suaminya masuk rumah dengan mengomel dan mencaci serta keluar rumah dengan menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya tanpa sebab yang jelas.
Kemudian dikatakan kepadanya “Semestinya anda menjauhi tindakan-tindakan yang membuatnya marah.”
Si isteri menjawab: “Dia pada dasarnya memang pemarah. Tanpa ada sebab, dia tetap marah dengan sendirinya. Tidak ada kebaikan apa pun kecuali saya sudah lakukan terhadapnya. Dia marah hanya disebabkan oleh perkara yang sangat remeh. Bahkan dia juga marah pada ketika yang sepatutnya perbuatan ini sangat tidak perlu dilakukan. Pada malam Hari Raya Idul Fitri, dia marah–marah. Juga pada pagi hari sebelum solat Idul Fitri, dia juga sangat marah.”

Ada segelintir wanita menelefon kami dan bertanya: “Suamiku telah mentalak saya tiga kali, hanya kerana saya membangunkannya untuk memakan makanan yang saya siapkan pada pagi hari Idul Fitri. Maksud saya agar dia merasai masakan saya sebelum pergi solat Idul Fitri. Tetapi dia terus mentalak saya tiga kali. Ia bangkit dan menabur makanan itu di dapur lalu memukul saya dengan sangat kuat. Dia juga mencaci saya dan mencaci seluruh keluarga saya. Hal itu terjadi pada pagi hari Idul Fitri.”
Na’udzu billah mudah-mudahan Allah S.W.T melindungi kita daripada perbuatan buruk ini. Padahal apa yang dilakukannya? Ia telah melakukan suatu perbuatan yang sangat mulia. Semestinya perbuatan mulia dibalas kemuliaan. Tetapi ia dibalas dengan perbuatan yang sangat buruk.

Wahai saudaraku…
Aisyah R.A berkata kepada Rasulullah s.a.w, “ Kamukah orang yang mengaku sebagai Rasulullah?” ini adalah kata-kata yang sangat tidak patut dan sangat menyakiti. Tetapi apa tindakan yang dilakukan Nabi S.A.W? Baginda tidak melakukan lebih daripada sekadar tersenyum. Baginda hanya tersenyum dan tidak melakukan tindakan apa-apa pun.
 Jika isteri anda berkata kepada anda seperti ini: “Kamu mengaku mempunyai kejantanan?” “Kamu mengaku sebagai orang baik?” Maka apa tindakan anda  terhadapnya? Mungkin yang saya  jangkakan, daging si isteri itu akan bercampur jadi satu dengan bajunya. Dan saya tidak yakin bahawa ia akan selamat dan keluar dari rumahnya dalam keadaan tidak kurang suatu apa pun pada situasi seperti itu.
 Pernah ketika Nabi S.A.W bersama para sahabat, tiba-tiba salah seorang daripada isteri  Baginda yang pandai memasak mengirim sepinggan besar makanan kepada  Baginda.
 Maka timbullah rasa cemburu di kalangan isteri-isteri Baginda yang lain.
Hadith ini adalah sahih. Sebahagian riwayat ada disebutkan nama-nama isteri Baginda itu. Semua riwayatnya adalah sahih, ada yang diriwayatkan oleh Imam An-Nasa’ie dan juga oleh imam-imam yang lain.
Dalam sebuah riwayat, isteri yang cemburu ini memukul tangan Nabi s.a.w, sehingga pinggan besar yang berisi makanan itu terjatuh ke lantai. Manakala dalam riwayat lain menyebut bahawa dia menyuruh seorang budak perempuan untuk mengambil pinggan besar itu dan melemparkannya di lantai, sehingga pinggan itu pecah dan makanan bertaburan di lantai.
Sementara dalam riwayat ketiga menyebut bahawa dia datang dengan penuh kemarahan di depan para tetamu, kemudian dia mengambil pinggan itu dan melemparkannya di hadapan tetamu.
Bayangkan apa tindakan Nabi S.A.W? Baginda hanya menyuruh budak perempuan itu mengambil makanan lain daripada isteri yang telah memecah pinggan dan makanan bertaburan di lantai. Baginda bersabda: Pinggan diganti pinggan dan makanan diganti dengan makanan.” dan masalah pun selesai.
Baginda tidak sekalipun mengatakan: “Kamu telah membuat saya malu di hadapan tetamu.”

Wahai saudaraku sekamu…
Kenapa saya datangkan contoh-contoh seperti ini daripada kehidupan Rasulullah S.A.W? Hal ini kerana jika saya mendatangkannya selain daripada Rasulullah s.a.w, mungkin ada orang yang mengatakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Hal ini kerana besarnya keburukan dalam diri kita, juga kesombongan berlebihan yang membuatkan kita menolak kemuliaan selain daripada Rasulullah  s.a.w. Perkara ini juga adalah disebabkan kebiasaan kita yang suka berbuat jahat dan tidak bersikap lembut kepada para wanita.
Perhatikan kisah Rasulullah s.a.w. Baginda hanya mengatakan pinggan diganti pinggan dan makanan diganti makanan. Setelah kejadian itu, Baginda tidak pernah mengungkit, memukul, mencerai atau meninggalkannya. Peristiwa itu terus selesai pada saat itu juga.

Kepada anda wahai para wanita…
Jika ada satu kata yang keluar dari mulut suami, apakah anda akan memasukkannya dalam senarai hitam hanya kerana ucapan itu? Dan tidak akan anda lupakan?
Kemudian… jika anda wahai saudaraku mempunyai pembantu, lalu dia berbuat salah atau menceroboh haknya. Bayangkan apa tindakan anda jika dia memecahkan pinggan atau piring misalnya, apa tindakan yang anda akan buat terhadapnya?
Perhatikanlah, Rasulullah s.a.w dalam Hadith Abdullah bin Umar r.a, Baginda didatangi seorang lelaki. Lalu dia bertanya: “Wahai Rasulullah! Berapa kali kita memaafkan pembantu? “Rasulullah diam tidak menjawab. Kemudian lelaki itu mengulangi pertanyaannya. Rasulullah S.A.W tidak menjawab. Kemudian lelaki itu mengulangi pertanyaannya. Rasulullah S.A.W tetap diam tidak menjawab. Kemudian lelaki itu mengulangi pertanyaannya lagi. Setelah tiga kali pertanyaan ini, maka Rasulullah S.A.W menjawab: “Berikan maaf padanya setiap hari sebanyak tujuh kali.” Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Nasiruddin Al-Albani.

Wahai saudara sekamu…
Dalam sehari berapa kali kita memaafkan pembantu?
Dalam setahun berapa kali kita memaafkannya?
Berapa kali dalam setahun kita memaafkan pembantu peribadi kita?    
Seandainya dia datang mengadap bahawa kereta yang dipandunya terlibat dengan kemalangan, dia datang dengan wajah penuh cemas dan ketakutan disebabkan oleh kesalahannya itu. Apa yang akan anda lakukan terhadapnya? Pasti ia akan menjadi sasaran cemuhan, makian dan pukulan. Kemudian pemandu kereta yang malang ini pasti akan dipotong gajinya untuk membayar kos membaiki kenderaan yang terlibat dengan kemalangan tadi.

Wahai saudaraku…
Ada seorang ulama’ yang bernama Ibnu ‘Aun, ia memiliki seekor unta yang bagus yang sangat disukainya. Dia selalu menggunakannya ketika mengerjakan ibadah haji dan berperang. Suatu ketika Ibnu ‘Aun menyuruh seorang budak pembantunya untuk memberi minum unta tersebut. Budak ini berwatak kasar dan tidak mempunyaia rasa belas kasihan.  Dia telah memukul unta itu dan menampar matanya hingga jatuh ke pipi akibat tamparan yang kuat.
 Ketika orang ramai melihat keadaan unta yang matanya tersembul keluar ke pipi akibat tamparan itu, mereka berkata: “Sekarang telah jelas sikap sebenar Ibnu ‘Aun. Sekarang telah kelihatan akhlak buruknya yang selama ini tersembunyi.”
Maka, pada ketika budak itu datang bersama untanya mengadap Ibnu ‘Aun, dan Ibnu ‘Aun melihat bawah mata untanya tersembul keluar ke pipi, dia terus berkata, “Subhanallah! Tidak ada tempat lainkah selain wajah untuk dipukul. Tidak bolehkah kamu memukul selain wajah binatang ini?
Semoga Allah  s.w.t memaafkanmu. Sekarang pergilah dari saya. Wahai para manusia! Saksikan bahawa hamba ini telah merdeka.”

Seorang wanita muslimah, jika suaminya berpoligami dan memiliki isteri lain selain daripada dirinya, apakah dia akan hidup dengan penuh kebencian dan iri hati? Permusuhan? Tidak boleh tidur pada waktu malam kerana memikirkan setiap kata yang diucapkan suaminya terhadapnya?
Wahai saudaraku!
Ini adalah Ummu Habibah, Ummul Mukminin. Ketika hendak meninggal dunia, dia memanggil Aisyah r.a dan berkata: “Mungkin telah terjadi di antara kita kejadian yang biasa terjadi di antara para isteri terhadap madunya. Oleh kerana itu mudah-mudahan Allah mengampuni anda dan mengampuni saya.” Maka Aisyah R.A berkata: “Mudah-mudahan Allah  s.w.t mengampuni semua kesalahan anda dan membebaskan anda daripada semuanya.” Ummu Habibah menjawab lagi, “Terima kasih, anda telah memaafkan saya. Mudah-mudahan Allah s.w.t juga menghapuskan segala kesalahan anda.”
Kemudian Ummu Habibah memanggil Ummu Salamah dan mengatakan hal yang sama terhadapnya seperti yang dikatakan kepada Aisyah r.a. Ummu Salamah pun mengatakan hal yang sama.

Setelah mendengar semua ini wahai saudaraku..
Apakah kita sudah menghias diri kita dengan akhlak-akhlak mulia ini? Apakah kita sudah menghiasi diri kita dengan akhlak orang-orang besar?
Wahai saudaraku…
  Masalah ini bukan seperti yang dikatakan, bahawa seorang penyantun adalah orang yang dipukul kemudian dia berlaku santun, tetapi saat mampu mambalas dia pun membalas dendam. Bukan seperti itu, namun seorang penyantun adalah seseorang yang dipukul kemudian dia berbuat santun, dan ketika dia mampu membalas dia memaafkan.
Kalau begitu kenapa kita tidak mengubah akhlak kita?
Kenapa kita tidak berazam untuk kembali mulai malam ini kepada keluarga kita dengan wajah baru..?
Adakah kita mendengar kenyataan ini hanya sekadar untuk mainan dan hiburan sahaja?
Na’uzudzubillah, kita berkumpul di sini bukan untuk sekadar mendengar. Bayangkan! Apa yang akan terjadi jika akhlak mulia ini diterapkan. Nescaya ia mendatangkan titik-titik positif yang sangat terpuji. Seperti bersatunya kaum muslimin atas satu kata dan terjalinnya hati-hati mereka. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermasud:
Maka disebabkan rahmat daripada Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi bersifat kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri daripadamu. Oleh kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermesyuarahlah dengan mereka dalam urusan itu.”[4] (Surah Aali ‘Imran:159)

Perhatikanlah!!
Jika Nabi  s.a.w adalah makhluk paling sempurna, tetapi manusia menjauhkan diri daripada  Baginda ketika berakhlak buruk, tentunya kita harus lebih berakhlak mulia dan dilarang untuk berakhlak buruk. Disebabkan itu Allah s.w.t menyuruh  Baginda untuk memaafkan, mengampuni dan berlemah lembut. Apalagi dengan akhlak mulia, kita akan mendapat pahala yang sangat tinggi dari Allah  s.w.t.
Allah berfirman:  
"Semoga kita (tetap) mengikut (ugama) ahli-ahli sihir itu kiranya merekalah orang-orang yang menang".  (Surah Asy-Syura:40)
Dan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Segalah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Aali- ‘Imran:133)
Kemudian Allah s.w.t menyebut sifat-sifat orang yang bertakwa itu:
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
136. orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan  syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (Surah Aali-’Imran:134-136)
Di antara sifat-sifat mereka adalah: Menahan amarah dan memaafkan manusia. Dengan demikian mereka menjadi seorang yang “muhsin” dan Allah  s.w.t sangat mencintai orang-orang yang berbuat ihsan.
 Allah  s.w.t juga berfirman yang bermaksud:
Ÿ“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani[5]. (Surah An-Nur:22)
   Maksud orang-orang yang mempunyai kelebihan adalah orang-orang yang berkedudukan tinggi, sedangkan orang-orang yang memiliki kelapangan adalah para orang kaya.
  Allah  s.w.t menurunkan ayat ini dan ditujukan kepada Abu Bakar r.a, ketika Aisyah, puterinya difitnah telah melakukan perkara yang tidak baik. Siapakah yang dituduh? Dan siapakah yang menuduh? Yang menuduhnya adalah pengikut orang-orang munafik, kemudian ada sebahagian kaum muslimin yang mengikutinya.

Wahai saudaraku..
 Ganjaran daripada Allah s.w.t selalu diberikan sesuai dengan jenis perbuatan. Telah diriwayatkan oleh Asy-Syaikhan (Bukhari & Muslim) tentang seorang saudagar yang banyak memberi hutang kepada manusia. Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada saudagar yang selalu memberi hutang kepada orang ramai. Setiap kali dia melihat orang yang berada dalam kesusahan, dia berkata kepada para pembantunya: “Biarkan jika mereka masih tidak mampu membayarnya “.Maafkan dia, mudah-mudahan Allah S.W.T memaafkan kita. Maka Allah pun memaafkannya.”
Oleh kerana itu, jika anda memaafkan manusia dan tidak  mengambil kira kesalahan dan keburukan mereka, nescaya Allah s.w.t memaafkan anda.
Ditambah lagi, dengan akhlak mulia ini kita dapat memecahkan rasa permusuhan yang bertunas dalam hati, juga menutup pintu syaitan. Allah s.w.t berfirman: “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) Dengan cara yang lebih baik; apabila Engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib”. (Surah Fussilat:34)
Abdullah bin Abbas r.a mentafsir ayat ini: “Allah  s.w.t memerintahkan orang-orang yang beriman untuk bersabar ketika marah. Berlaku sopan ketika menghadapi orang bodoh. Dan memaafkan ketika disakiti. Jika mereka sudah melakukan hal itu, nescaya Allah s.w.t akan melindungi mereka daripada syaitan. Musuh juga tunduk kepada mereka seolah-olah ia seorang teman yang sangat dekat.”[6]
Ditambah lagi dengan akhlak mulia ini kita akan menemukan kebahagian,  ketenangan dan ketenteraman hati.

Wahai saudaraku…
 Tentunya anda tahu apa itu kedengkian. Dengan kedengkian ini seseorang akan merasa terseksa sebelum orang lain. Jika anda hidup dengan penuh kedengkian dan kemarahan, nescaya ia akan terus membebani dan menyusahkan anda. Ia juga akan membuatkan anda berhenti bekerja, berhenti taat kepada Allah dan membuat hati anda tidak selesa ketika beribadah dan bermunajat.
Oleh itu saya katakan seperti dikatakan sebahagian orang: indahnya memaafkan lebih agung jika dibanding indahnya membalas dendam. Dan hal itu menjadi sangat buruk bagi orang yang mampu, saya membalas dendamnya.

Oleh itu, memaafkan adalah perkara yang sangat baik yang diajarkan oleh Islam. Pekerti itu menunjukkan betapa lapang dada orang yang terhiasi dengannya, betapa besar husnuzhan-nya kepada manusia dan betapa besar ia mampu menjauhkan diri daripada perbuatan hina serta tidak berguna.
Saya memohon kepada Allah s.w.t agar yang kita perhatikan ini dijadikannya sebagai orang-orang yang mendapat petunjuk. Dan dijadikanNnya sebagai orang yang selalu jauh dari keburukan diri kita.
Semoga selawat serta salam disampaikan kepada junjungan kita Rasulullah Muhammad  s.a.w.
[Selesai murajaah pada Hari Rabu 15/5/2013, akhukum: Abu Anas Madani]


[1] HR. Ahmad, 46/469 dan At-Tirmidzi, no. 7133. At-Tirmidzi berkata: ini adalah Hadis hasan sahih. Lihat pula tafsir Ibnu Katsir pada tafsir surat At-Taghabun: 64
[2]  Tahdzibul Kamal, 23/423
[3] Ialah suami atau wali. Kalau wali memaafkan, maka suami bebas dari membayar mahar yang seperdua. Jika  suami yang memaafkan, maka dia membayar seluruh mahar.
[4] Maksudnya: urusan peperangan dan hal-hal duniawi, seperti urusan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lain.
[5] Ayat ini berkaitan dengan sumpah Abu Bakar r.a bahawa dia tidak akan memberi apa-apa kepada saudaranya atau pun orang lain yang terlibat dalam menyiarkan khabar berita bohong tentang diri Aisyah. Maka turunlah ayat ini melarangnya melaksanakan sumpah itu dan menyuruh memaafkan serta berlapang dada terhadap mereka setelah mendapat hukuman atas perbuatan mereka itu.
[6] Lihat: Tafsir Ibnu Katsir pada surah Fushshilat :34