Rasulullah Sallallahu
‘alaihi wa sallam dengan Badwi.
Wahai
saudara sekamu…
Wahai orang-orang yang
mengerjakan solat. Kita yang berada di dalam masjid ini, seandainya ada anak
kecil yang berdiri di atas meja ini, kemudian dia kencing di atasnya atau ada
seorang tua yang pergi ke suatu sudut masjid, kemudian duduk dan kencing di
sana.
Bayangkan! Apa tindakan
yang akan kita lakukan terhadapnya. Mungkin dia tidak tahu bahawa dirinya akan
terkena (pukulan) tangan siapa. Tentunya semua orang akan memukulnya. Sementara
yang tidak sempat memukul, dia akan terus memaki dan mengumpatnya.
Wahai
saudaraku….
Pernah ada seseorang
yang datang ke masjid Nabi s.a.w semasa beliau bersama dengan para sahabat.
Kemudian orang itu pergi ke sudut masjid dan kencing di sana. Dia tidak
mendapatkan tempat lain kecuali di masjid.
Para sahabat mengherdiknya
tetapi Nabi s.a.w melarang para sahabat untuk melakukannya. Baginda turut
mengatakan: “ Jangan menyekat dia ketika dia sedang buang air kecil, agar tidak mendatangkan mudharat yang
lebih banyak.”
Rasulullah s.a.w
menyuruh seseorang membawa setimba air lalu dituangkan ke air kencing tersebut.
Kemudian beliau menegur
orang yang kencing tadi dengan penuh lemah lembut dan mengajarnya bahawa masjid
ini tidak harus dikotori.
Masalah pun selesai
tanpa harus menendangnya dengan kaki atau menginjaknya dengan tumit dan
sebagainya. Sungguh, orang itu tidak diusir, dimaki atau dicemuh tetapi dia
dimuliakan dan diajar dengan baik dengan menjelaskan bahawa masjid ini adalah
tempat solat dan tidak patut dikotori walau sedikit pun.
Dengan
akhlak mulia Nabi s.a.w inilah orang tersebut menjadi terbuka
hatinya. Dan sejak peristiwa itu terjadi, ia sentiasa mengatakan. “Demi Allah! sama
sekali Baginda tidak berkata kasar atau memarahiku dan saya tidak pernah brtemu
dengan seorang pengajar yang paling baik darinya.”
Wahai saudara sekamu…
Apakah seperti ini
akhlak kita bersama murid kita, para mad’u (yang didakwahi) dan seluruh
kaum muslimin?!!
Bayangkan seandainya ada
seorang imam di dalam masjid yang solat dengan sujud sangat lama dan tidak
mengangkat kepalanya dalam tempoh yang lama.
Ketika anda mengangkat
kepala, anda melihat anak kecil imam tersebut sedang duduk di atas kepalanya.
Apakah tindakan yang akan anda lakukan.? Dan apa yang akan anda katakan kepada
anak kecil itu..? Tentunya setelah kamu semua mengatakan kepada imam itu
hal-hal yang dibencinya, anda pasti segera pergi ke Majlis Agama untuk
memecat dan memberinya pelajaran.
Wahai saudaraku, itu hanya
anak kecil yang sedang bermain-main. Mereka tidak mencari mainan lain selain
berada di atas badan ayahnya.
Wahai saudara sekamu, ingatlah,
Nabi s.a.w. pernah sujud lama dalam solat Baginda. Seorang sahabat mengangkat
kepalanya, beliau mendapati Hasan atau Husain sedang bermain di atas Baginda.
Ketika Rasulullah s.a.w. sudah selesai solat, beliau menjelaskan kepada mereka
kenapa Baginda lambat mengangkat kepala semasa sujud. Baginda s.a.w.
mengatakan: “Sesungguhnya cucuku ini menjadikan badanku sebagai kenderaan
baginya dan aku tidak ingin menghentikannya.”
Baginda tidak tergamak
untuk menghentikan kegembiraan anak kecil ini.
Adapun kita, setiap kali
melihat anak kecil bergerak sedikit saja kita terus berdalil dengan hadith:
“Jauhkan anak-anak kecil
dan orang-orang gila kamu semua dari masjid.”
Padahal hadis ini tidak
sahih sama sekali.
Sementara si ayah, yang
memiliki anak-anak tadi, wajahnya menjadi merah kerana menahan perasaan serba
tidak kena. Barangkali pada ketika itu, si ayah sedang berhadapan dengan
situasi-situasi tertentu yang menyebabkan dia membawa anak-anaknya ke masjid.
Kemungkinan dia sedang menangisi kematian isterinya dan dia memerlukan kepada
ketenangan dan belas ihsan orang ramai. Mungkin juga ibu anak-anak itu sedang
sakit atau sedang menghadapi apa-apa tekanan hidup. Barangkali disebabkan
dengan perkara-perkara di atas, si ayah membawa keluar anaknya dari rumah dan
membawa mereka bersama-samanya ke masjid. Kemudian kita pula melakukan
sedemikian rupa kepada beliau dan anak-anaknya?
Wahai saudara sekamu!
Rasulullah S.A.W pernah berkhutbah. Kemudian baginda
turun dari mimbarnya hanya kerana melihat Hasan dan Husain. Perhatikan Hadith
Buraidah di bawah ini. Dari Buraidah R.A, dia berkata:
“Rasulullah S.A.W pernah
berkhutbah pada hari jumaat, kemudian datang Hasan dan Husain memakai baju
merah. Kedua-duanya berjalan dan terjatuh. Maka Rasulullah S.A.W turun dari
mimbar, lalu Baginda mendukung kedua-duanya dan meletakkan mereka di depannya.
Beliau bersabda: “Sungguh benar Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya harta dan
anak-anak kamu adalah fitnah. Saya melihat dua anak kecil ini berjalan dan
terjatuh, maka saya tidak mampu bersabar hingga terpaksa menangguhkan khutbah
dan mendukung kedua-duanya”[1]
Kalaulah
seorang Imam atau Khatib melakukan seperti ini pada hari Jumaat lalu dia
mengambil cucunya, kemudian dia mendukungnya seperti yang dilakukan oleh Rasulullah
s.a.w kepada cucunya, cuba bayangkan apakah tindakan kita terhadapnya?
Telah thabit
(benar periwayatannya) bahawa Rasulullah S.A.W pernah mengerjakan solat sambil
mendukung Umamah, iaitu cucu Baginda. Setiap kali Baginda berdiri dalam solat,
anak itu pasti didukungnya. Ketika Baginda sujud atau rukuk, anak itu
diletakkannya dia atas lantai. Baginda terus melakukannya sepanjang solat
selesai.
Wahai saudara
sekamu…
Jika hal ini
dilakukan oleh seorang imam, apa tindakan yang akan kita lakukan terhadapnya?
Generasi terdahulu telah terdidik dengan akhlak yang mulia ini dan dengan
akhlak inilah juga anak-anak kecil itu telah terdidik. Mereka hidup di
sekeliling orang-orang yang mempunyai sifat kasih sayang seorang ayah yang
sangat tinggi. Mereka juga mendapati banyak orang yang menjaga dan
memperhatikan mereka. Adapun sifat bermasam muka sesama kita serta segala
muamalat dan interaksi yang kasar dan buruk di kalangan generasi kita pada hari
ini tidak berlaku perkara tersebut pada generasi yang terdahulu seperti yang
dinyatakan di dalam kisah-kisah di atas.
Wahai saudara
yang memiliki jiwa yang besar.
Jika anda bekerja bersama seseorang dalam
bidang perkilangan atau dalam sesebuah syarikat.. Kemudian anda diuji dengannya
dan ia hendak melibatkan anda dalam perbalahan. Adakah anda mengikutinya?
Imam
Malik rhm. menyatakan sifat Qasim bin Muhammad. Dia merupakan salah seorang ulama’
dari kalangan Tabi’in. Imam Malik berkata:
“Pernah
terjadi perbalahan di antara Qasim bin Muhammad dengan seseorang tentang suatu
perkara. Maka Qasim berkata: “ Jika kamu mahu bergaduh denganku tentang benda
ini, maka ia adalah untukmu. Jika ia memang benar milikmu maka ambillah dan
janganlah engkau memuji aku. Namun jika sebenarnya ia adalah milikku, aku
halalkan sahaja dan ia adalah untukmu”.
Maksudnya
tinggalkanlah aku supaya aku tidak terjebak dalam perbalahan ini dan boleh
merendahkan akhlakku yang sanggup bertengkar tentang perkara-perkara kecil dan
tidak berfaedah. [2]
Anda wahai para suami…
Bagaimanakah anda bertindak ketika pertalian
antara suami dengan isteri menjadi tidak serasi dan bermasalah..? ketika
hubungan anda dengan isteri sudah tidak lagi bahagia?
Sebahagian suami ada
yang menekan para isteri. Bahkan ada di kalangan mereka -Saya tidak berlebihan
dalam kenyataan ini wahai saudaraku- yang sanggup memotong bekalan elektrik di
rumahnya dengan tujuan semata-mata untuk menyusahkan isterinya dan supaya
isterinya tertekan dengan kesusahan tersebut. Akhirnya, apabila isteri sudah
tidak dapat bertahan dengan situasi tersebut, dia akan minta agar diceraikan.
Suami mengambil kesempatan untuk mendapatkan ganti rugi seperti yang didakwanya
iaitu dia meminta agar dikembalikan semula mahar yang diberinya dan segala
perberlanjaan yang telah dibelanjakan untuk isterinya sepanjang mereka hidup
bersama. Padahal si suami sudah menggaulinya. Bahkan boleh jadi si suami
manghabiskan masa remajanya. Di manakah
letaknya maruah si suami ini?
Ketika seseorang sudah
tidak lagi mencintai isterinya, dan seakan-akan duduk di atas bara api kerana
kebencian dan sangat marah terhadap isterinya, maka tindakan apakah yang akan
anda lakukan pada situasi seperti ini?
Jubair bin Muth’im R.A, dia
menikahi seorang wanita dan sudah membayar mahar dengan sempurna kepada wanita
tersebut. Kemudian dia menceraikannya sebelum menggaulinya. Lalu dia membaca
ayat ini: “Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bersama
dengan mereka, padahal kamu sudah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua
dari mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isteri kamu itu
memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah[3],
dan kemaafan kamu itu lebih dekat dengan taqwa. Serta janganlah lupakan
keutamaan di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa
yang kamu lakukan.” (Surah
Al-Baqarah:237)
Jubair R.A berkata: “Saya patut memaafkannya.
“Jubair R.A menyerahkan seluruh mahar kepada bekas isterinya, padahal dia
berhak mendapat seperdua daripada mas kahwin tersebut.
Seorang isteri bertindak
yang tidak sepatutnya terhadap anda, adakah anda akan terus menjatuhkan talak
tiga terhadapnya seperti yang telah dilakukan sesetengah orang?
Adakah anda memukulnya?
Menyeksanya?
Adakah anda
meninggalkannya begitu sahaja?
Sungguh, sebahagian
wanita ada yang mengadu bahawa ia telah ditinggalkan suami sejak bertahun-tahun
tanpa ada perhatian dan tanpa nafkah. Sebahagian mereka mengatakan bahawa dia
sering pengsan, kerana suaminya sering memukul kepalanya.
Sebahagian isteri juga
mengatakan bahawa suaminya masuk rumah dengan mengomel dan mencaci serta keluar
rumah dengan menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya tanpa sebab yang
jelas.
Kemudian dikatakan
kepadanya “Semestinya anda menjauhi tindakan-tindakan yang membuatnya marah.”
Si isteri menjawab: “Dia
pada dasarnya memang pemarah. Tanpa ada sebab, dia tetap marah dengan
sendirinya. Tidak ada kebaikan apa pun kecuali saya sudah lakukan terhadapnya.
Dia marah hanya disebabkan oleh perkara yang sangat remeh. Bahkan dia juga
marah pada ketika yang sepatutnya perbuatan ini sangat tidak perlu dilakukan.
Pada malam Hari Raya Idul Fitri, dia marah–marah. Juga pada pagi hari sebelum
solat Idul Fitri, dia juga sangat marah.”
Ada segelintir wanita
menelefon kami dan bertanya: “Suamiku telah mentalak saya tiga kali, hanya
kerana saya membangunkannya untuk memakan makanan yang saya siapkan pada pagi
hari Idul Fitri. Maksud saya agar dia merasai masakan saya sebelum pergi solat
Idul Fitri. Tetapi dia terus mentalak saya tiga kali. Ia bangkit dan menabur
makanan itu di dapur lalu memukul saya dengan sangat kuat. Dia juga mencaci
saya dan mencaci seluruh keluarga saya. Hal itu terjadi pada pagi hari Idul
Fitri.”
Na’udzu billah mudah-mudahan
Allah S.W.T melindungi kita daripada perbuatan buruk ini. Padahal apa yang dilakukannya?
Ia telah melakukan suatu perbuatan yang sangat mulia. Semestinya perbuatan
mulia dibalas kemuliaan. Tetapi ia dibalas dengan perbuatan yang sangat buruk.
Wahai saudaraku…
Aisyah R.A berkata
kepada Rasulullah s.a.w, “ Kamukah orang yang mengaku sebagai Rasulullah?” ini
adalah kata-kata yang sangat tidak patut dan sangat menyakiti. Tetapi apa
tindakan yang dilakukan Nabi S.A.W? Baginda tidak melakukan lebih daripada
sekadar tersenyum. Baginda hanya tersenyum dan tidak melakukan tindakan apa-apa
pun.
Jika isteri anda berkata kepada anda seperti
ini: “Kamu mengaku mempunyai kejantanan?” “Kamu mengaku sebagai orang baik?”
Maka apa tindakan anda terhadapnya?
Mungkin yang saya jangkakan, daging si
isteri itu akan bercampur jadi satu dengan bajunya. Dan saya tidak yakin bahawa
ia akan selamat dan keluar dari rumahnya dalam keadaan tidak kurang suatu apa
pun pada situasi seperti itu.
Pernah ketika Nabi S.A.W bersama para sahabat,
tiba-tiba salah seorang daripada isteri Baginda
yang pandai memasak mengirim sepinggan besar makanan kepada Baginda.
Maka timbullah rasa cemburu di kalangan
isteri-isteri Baginda yang lain.
Hadith ini adalah sahih.
Sebahagian riwayat ada disebutkan nama-nama isteri Baginda itu. Semua
riwayatnya adalah sahih, ada yang diriwayatkan oleh Imam An-Nasa’ie dan juga
oleh imam-imam yang lain.
Dalam sebuah riwayat,
isteri yang cemburu ini memukul tangan Nabi s.a.w, sehingga pinggan besar yang
berisi makanan itu terjatuh ke lantai. Manakala dalam riwayat lain menyebut
bahawa dia menyuruh seorang budak perempuan untuk mengambil pinggan besar itu
dan melemparkannya di lantai, sehingga pinggan itu pecah dan makanan bertaburan
di lantai.
Sementara dalam riwayat
ketiga menyebut bahawa dia datang dengan penuh kemarahan di depan para tetamu, kemudian
dia mengambil pinggan itu dan melemparkannya di hadapan tetamu.
Bayangkan apa tindakan
Nabi S.A.W? Baginda hanya menyuruh budak perempuan itu mengambil makanan lain
daripada isteri yang telah memecah pinggan dan makanan bertaburan di lantai. Baginda
bersabda: “Pinggan diganti pinggan dan makanan diganti dengan
makanan.” dan masalah pun selesai.
Baginda tidak sekalipun
mengatakan: “Kamu telah membuat saya malu di hadapan tetamu.”
Wahai saudaraku sekamu…
Kenapa saya datangkan
contoh-contoh seperti ini daripada kehidupan Rasulullah S.A.W? Hal ini kerana
jika saya mendatangkannya selain daripada Rasulullah s.a.w, mungkin ada orang
yang mengatakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Hal ini kerana besarnya
keburukan dalam diri kita, juga kesombongan berlebihan yang membuatkan kita
menolak kemuliaan selain daripada Rasulullah
s.a.w. Perkara ini juga adalah disebabkan kebiasaan kita yang suka
berbuat jahat dan tidak bersikap lembut kepada para wanita.
Perhatikan kisah
Rasulullah s.a.w. Baginda hanya mengatakan pinggan diganti pinggan dan makanan
diganti makanan. Setelah kejadian itu, Baginda tidak pernah mengungkit,
memukul, mencerai atau meninggalkannya. Peristiwa itu terus selesai pada saat
itu juga.
Kepada anda wahai para
wanita…
Jika ada satu kata yang
keluar dari mulut suami, apakah anda akan memasukkannya dalam senarai hitam
hanya kerana ucapan itu? Dan tidak akan anda lupakan?
Kemudian… jika anda
wahai saudaraku mempunyai pembantu, lalu dia berbuat salah atau menceroboh
haknya. Bayangkan apa tindakan anda jika dia memecahkan pinggan atau piring
misalnya, apa tindakan yang anda akan buat terhadapnya?
Perhatikanlah,
Rasulullah s.a.w dalam Hadith Abdullah bin Umar r.a, Baginda didatangi seorang
lelaki. Lalu dia bertanya: “Wahai Rasulullah! Berapa kali kita memaafkan
pembantu? “Rasulullah diam tidak menjawab. Kemudian lelaki itu mengulangi
pertanyaannya. Rasulullah S.A.W tidak menjawab. Kemudian lelaki itu mengulangi
pertanyaannya. Rasulullah S.A.W tetap diam tidak menjawab. Kemudian lelaki itu
mengulangi pertanyaannya lagi. Setelah tiga kali pertanyaan ini, maka
Rasulullah S.A.W menjawab: “Berikan maaf padanya setiap hari sebanyak
tujuh kali.” Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang
sahih sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Nasiruddin Al-Albani.
Wahai saudara sekamu…
Dalam sehari berapa kali
kita memaafkan pembantu?
Dalam setahun berapa
kali kita memaafkannya?
Berapa kali dalam
setahun kita memaafkan pembantu peribadi kita?
Seandainya dia datang
mengadap bahawa kereta yang dipandunya terlibat dengan kemalangan, dia datang
dengan wajah penuh cemas dan ketakutan disebabkan oleh kesalahannya itu. Apa
yang akan anda lakukan terhadapnya? Pasti ia akan menjadi sasaran cemuhan,
makian dan pukulan. Kemudian pemandu kereta yang malang ini pasti akan dipotong
gajinya untuk membayar kos membaiki kenderaan yang terlibat dengan kemalangan
tadi.
Wahai saudaraku…
Ada seorang ulama’ yang
bernama Ibnu ‘Aun, ia memiliki seekor unta yang bagus yang sangat
disukainya. Dia selalu menggunakannya ketika mengerjakan ibadah haji dan
berperang. Suatu ketika Ibnu ‘Aun menyuruh seorang budak pembantunya untuk
memberi minum unta tersebut. Budak ini berwatak kasar dan tidak mempunyaia rasa
belas kasihan. Dia telah memukul unta
itu dan menampar matanya hingga jatuh ke pipi akibat tamparan yang kuat.
Ketika orang ramai melihat keadaan unta yang
matanya tersembul keluar ke pipi akibat tamparan itu, mereka berkata: “Sekarang
telah jelas sikap sebenar Ibnu ‘Aun. Sekarang telah kelihatan akhlak buruknya
yang selama ini tersembunyi.”
Maka, pada ketika budak
itu datang bersama untanya mengadap Ibnu ‘Aun, dan Ibnu ‘Aun melihat bawah mata
untanya tersembul keluar ke pipi, dia terus berkata, “Subhanallah! Tidak
ada tempat lainkah selain wajah untuk dipukul. Tidak bolehkah kamu memukul
selain wajah binatang ini?
Semoga Allah s.w.t memaafkanmu. Sekarang pergilah dari
saya. Wahai para manusia! Saksikan bahawa hamba ini telah merdeka.”
Seorang wanita muslimah,
jika suaminya berpoligami dan memiliki isteri lain selain daripada
dirinya, apakah dia akan hidup dengan penuh kebencian dan iri hati? Permusuhan?
Tidak boleh tidur pada waktu malam kerana memikirkan setiap kata yang diucapkan
suaminya terhadapnya?
Wahai saudaraku!
Ini adalah Ummu Habibah,
Ummul Mukminin. Ketika hendak meninggal dunia, dia memanggil Aisyah r.a dan
berkata: “Mungkin telah terjadi di antara kita kejadian yang biasa terjadi di
antara para isteri terhadap madunya. Oleh kerana itu mudah-mudahan Allah
mengampuni anda dan mengampuni saya.” Maka Aisyah R.A berkata: “Mudah-mudahan
Allah s.w.t mengampuni semua kesalahan
anda dan membebaskan anda daripada semuanya.” Ummu Habibah menjawab lagi,
“Terima kasih, anda telah memaafkan saya. Mudah-mudahan Allah s.w.t juga
menghapuskan segala kesalahan anda.”
Kemudian Ummu Habibah
memanggil Ummu Salamah dan mengatakan hal yang sama terhadapnya seperti yang
dikatakan kepada Aisyah r.a. Ummu Salamah pun mengatakan hal yang sama.
Setelah mendengar semua
ini wahai saudaraku..
Apakah kita sudah
menghias diri kita dengan akhlak-akhlak mulia ini? Apakah kita sudah menghiasi
diri kita dengan akhlak orang-orang besar?
Wahai saudaraku…
Masalah ini bukan seperti yang dikatakan,
bahawa seorang penyantun adalah orang yang dipukul kemudian dia berlaku santun,
tetapi saat mampu mambalas dia pun membalas dendam. Bukan seperti itu, namun
seorang penyantun adalah seseorang yang dipukul kemudian dia berbuat santun,
dan ketika dia mampu membalas dia memaafkan.
Kalau begitu kenapa kita
tidak mengubah akhlak kita?
Kenapa kita tidak berazam
untuk kembali mulai malam ini kepada keluarga kita dengan wajah baru..?
Adakah kita mendengar
kenyataan ini hanya sekadar untuk mainan dan hiburan sahaja?
Na’uzudzubillah, kita
berkumpul di sini bukan untuk sekadar mendengar. Bayangkan! Apa yang akan terjadi
jika akhlak mulia ini diterapkan. Nescaya ia mendatangkan titik-titik positif
yang sangat terpuji. Seperti bersatunya kaum muslimin atas satu kata dan
terjalinnya hati-hati mereka. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermasud:
“Maka disebabkan
rahmat daripada Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya
kamu bersikap keras lagi bersifat kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri
daripadamu. Oleh kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka,
dan bermesyuarahlah dengan mereka dalam urusan itu.”[4]
(Surah Aali ‘Imran:159)
Perhatikanlah!!
Jika Nabi s.a.w adalah makhluk paling sempurna, tetapi
manusia menjauhkan diri daripada Baginda
ketika berakhlak buruk, tentunya kita harus lebih berakhlak mulia dan dilarang
untuk berakhlak buruk. Disebabkan itu Allah s.w.t menyuruh Baginda untuk memaafkan, mengampuni dan
berlemah lembut. Apalagi dengan akhlak mulia, kita akan mendapat pahala yang
sangat tinggi dari Allah s.w.t.
Allah berfirman:
"Semoga kita
(tetap) mengikut (ugama) ahli-ahli sihir itu kiranya merekalah orang-orang yang
menang". (Surah Asy-Syura:40)
Dan firman Allah SWT
yang bermaksud:
“Segalah kamu kepada
(mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan
(mendapat) syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi
orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Aali- ‘Imran:133)
Kemudian Allah s.w.t
menyebut sifat-sifat orang yang bertakwa itu:
“Iaitu orang-orang yang
mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan
kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah),
Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Dan juga orang-orang
yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka
segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya
tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak
meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka
mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
136. orang-orang yang
demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik
balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (Surah
Aali-’Imran:134-136)
Di antara sifat-sifat
mereka adalah: Menahan amarah dan memaafkan manusia. Dengan demikian mereka
menjadi seorang yang “muhsin” dan Allah
s.w.t sangat mencintai orang-orang yang berbuat ihsan.
Allah
s.w.t juga berfirman yang bermaksud:
“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya
dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum
kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan
Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan
orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? dan
(ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani[5].
(Surah
An-Nur:22)
Maksud orang-orang yang mempunyai kelebihan
adalah orang-orang yang berkedudukan tinggi, sedangkan orang-orang yang
memiliki kelapangan adalah para orang kaya.
Allah
s.w.t menurunkan ayat ini dan ditujukan kepada Abu Bakar r.a, ketika
Aisyah, puterinya difitnah telah melakukan perkara yang tidak baik. Siapakah
yang dituduh? Dan siapakah yang menuduh? Yang menuduhnya adalah pengikut
orang-orang munafik, kemudian ada sebahagian kaum muslimin yang mengikutinya.
Wahai saudaraku..
Ganjaran daripada Allah s.w.t selalu diberikan
sesuai dengan jenis perbuatan. Telah diriwayatkan oleh Asy-Syaikhan (Bukhari
& Muslim) tentang seorang saudagar yang banyak memberi hutang kepada
manusia. Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada saudagar yang selalu memberi hutang
kepada orang ramai. Setiap kali dia melihat orang yang berada dalam kesusahan,
dia berkata kepada para pembantunya: “Biarkan jika mereka masih tidak mampu
membayarnya “.Maafkan dia, mudah-mudahan Allah S.W.T memaafkan kita. Maka Allah
pun memaafkannya.”
Oleh kerana itu, jika
anda memaafkan manusia dan tidak
mengambil kira kesalahan dan keburukan mereka, nescaya Allah s.w.t
memaafkan anda.
Ditambah lagi, dengan
akhlak mulia ini kita dapat memecahkan rasa permusuhan yang bertunas dalam
hati, juga menutup pintu syaitan. Allah s.w.t berfirman: “Tolaklah
(kejahatan yang ditujukan kepadamu) Dengan cara yang lebih baik; apabila Engkau
berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan
serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib”. (Surah Fussilat:34)
Abdullah bin Abbas r.a
mentafsir ayat ini: “Allah s.w.t
memerintahkan orang-orang yang beriman untuk bersabar ketika marah. Berlaku
sopan ketika menghadapi orang bodoh. Dan memaafkan ketika disakiti. Jika mereka
sudah melakukan hal itu, nescaya Allah s.w.t akan melindungi mereka daripada
syaitan. Musuh juga tunduk kepada mereka seolah-olah ia seorang teman yang
sangat dekat.”[6]
Ditambah lagi dengan
akhlak mulia ini kita akan menemukan kebahagian, ketenangan dan ketenteraman hati.
Wahai saudaraku…
Tentunya anda tahu apa itu kedengkian. Dengan
kedengkian ini seseorang akan merasa terseksa sebelum orang lain. Jika anda
hidup dengan penuh kedengkian dan kemarahan, nescaya ia akan terus membebani
dan menyusahkan anda. Ia juga akan membuatkan anda berhenti bekerja, berhenti
taat kepada Allah dan membuat hati anda tidak selesa ketika beribadah dan
bermunajat.
Oleh itu saya katakan
seperti dikatakan sebahagian orang: indahnya memaafkan lebih agung jika
dibanding indahnya membalas dendam. Dan hal itu menjadi sangat buruk bagi orang
yang mampu, saya membalas dendamnya.
Oleh itu, memaafkan
adalah perkara yang sangat baik yang diajarkan oleh Islam. Pekerti itu
menunjukkan betapa lapang dada orang yang terhiasi dengannya, betapa besar husnuzhan-nya
kepada manusia dan betapa besar ia mampu menjauhkan diri daripada perbuatan
hina serta tidak berguna.
Saya memohon kepada
Allah s.w.t agar yang kita perhatikan ini dijadikannya sebagai orang-orang yang
mendapat petunjuk. Dan dijadikanNnya sebagai orang yang selalu jauh dari
keburukan diri kita.
Semoga selawat serta
salam disampaikan kepada junjungan kita Rasulullah Muhammad s.a.w.
[Selesai murajaah pada
Hari Rabu 15/5/2013, akhukum: Abu Anas Madani]
[1] HR. Ahmad, 46/469 dan At-Tirmidzi, no. 7133. At-Tirmidzi berkata:
ini adalah Hadis hasan sahih. Lihat pula tafsir Ibnu Katsir pada tafsir surat
At-Taghabun: 64
[2] Tahdzibul Kamal, 23/423
[3] Ialah suami atau wali. Kalau wali memaafkan, maka suami bebas dari
membayar mahar yang seperdua. Jika suami
yang memaafkan, maka dia membayar seluruh mahar.
[4] Maksudnya: urusan peperangan dan hal-hal duniawi, seperti urusan
politik, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lain.
[5] Ayat ini
berkaitan dengan sumpah Abu Bakar r.a bahawa dia tidak akan memberi apa-apa
kepada saudaranya atau pun orang lain yang terlibat dalam menyiarkan khabar berita
bohong tentang diri Aisyah. Maka turunlah ayat ini melarangnya melaksanakan
sumpah itu dan menyuruh memaafkan serta berlapang dada terhadap mereka setelah
mendapat hukuman atas perbuatan mereka itu.