Bagaimana
Sultan Muhammad al-Fatih
bebaskan Kota Istanbul
ء
[Sultan Muhammad al Fatih telah
memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453
dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453].
546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad
melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapole.
Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang
pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al
Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak
pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.
Khutbah AAM;
Sejarah Pembukaan Kota Qastantin Oleh Sultan Muhammad al Fatih Pada 29-05-1453M.
a. Asuhan dan disiplin
Islam yang kuat.
b. Mempunyai matlamat
hidup yang ingin dijayakan.
c. Kehendak yang kuat.
d. Sabar dan ketahanan
ruhani yang kuat.
e. Pengetahuan dan
kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam
bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan.
f. Ibadah dan
pergantungan yang kuat dengan Pencipta.
Sebelum isu ini dikupas lebih
lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri
yang sangat menakjubkan;
Kota ini berbentuk tiga segi. Dua
bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian
daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;
a. Bahagian luar kota dilingkungi
oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter.
b. Ada dua tembok iaitu tembok
luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
c. Tembok dalam pula setinggi 40
kaki tinggi dan 15 meter tebal
d. Terdapat menara kawalan
sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 batalion tentera
terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa
Dengan kedudukan pertahanan
seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.
Di bahagian laut pula, terdapat
rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan
untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.
Konstantinapole telah menjadi ibu
kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang
paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan
Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik
dari segi perdagangan mahupun geo politik.
Sejak Rasulullah s.a.w
mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan
seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik
sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun
tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan
mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.
Hanya 800
tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi
kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran
Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole
pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453.
Dr. Danial Zainal - Halaqah - AL-FATEH Part 1
Dr. Danial Zainal - Halaqah - AL-FATEH Part 2
Dr. Danial Zainal - Halaqah - AL-FATEH Part 3
Sungguhpun pengepungan ini
berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah
berjalan lama!
Ia bermula apabila bapa Sultan
Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik
anak raja ini, yang waktu itu, seorang anak yang nakal.
Sejak berumur sembilan tahun,
Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal
sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda
memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik
Muhammad.
Rotan turut digunakan oleh
gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah
sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh
beliau.
Tujuan guru beliau berbuat
demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan
saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil
keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak
diperlakukan dengan adil!
Sultan Muhammad dibimbing untuk
menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan
zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan
perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata
apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai
pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.
Gurunya lah yang telah
mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang
berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah
yang lebih besar.
Pendidikan Sultan Muhammad di
istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran
Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari
lima bahasa.
Sudah tentu baginda fasih dalam
bahasa Arab.
Baginda juga diajar matapelajaran
sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk
memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.
Lama sebelum program pembebasan
Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar
sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan
Konstantinapole sebelum ini.
Apa rahsia kekuatan pertahanan
kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu
juga dibincangkan.
Dari perbincangan itu, antara
lain mereka mengenal pasti hal berikut;
a. Dinding tembok itu terlalu
tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan
Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok
itu.
Tentera baginda akhirnya berjaya
mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa
Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan
mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.
Berat setiap meriam ciptaan baru
ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang
tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap
tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah!
Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.
b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi
menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.
Sultan Muhammad telah mencipta
satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah
yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin.
Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam
supaya tidak disedari oleh musuh.
Mesti disiapkan dalam masa yang
singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan
meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan
telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.
Pada masa yang telah ditetapkan,
kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota
Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah
terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan
serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.
c. Lazimnya bila tentera sampai
di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana
kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan
serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.
Sultan Muhammad telah mengarahkan
benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa
tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.
Benteng Rumeli Hissari dibina di
tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana
Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan
Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan
Bayazid Yildirim dahulu.
Ia memang berjaya disiapkan
seperti direncanakan.
Dari mana kekuatan keinginan
seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?
Gurunya bukan sekadar
menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah
menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan
untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.
Sultan Muhammad dapat
menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap
setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.
Tetapi yang paling penting, sejak
kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan
dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang
memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.
Sasaran, visi dan misi yang
jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil,
Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!
Baginda bergerak selari dengan
impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.
Dari sudut kepimpinan, bapa
baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta
menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah.
Namun, dalam dua keadaan
kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas
ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan
semula empayar yang sedang berkembang itu.
Melalui pendedahan berbentuk
bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.
Ditambah, sepanjang hayat
baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan,
sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung,
gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.
Melihat 150,000 tentera Islam
berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh
yang sedang berkawal dalam kota!
Pada hari pembukaan Kota
Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.
Sepanjang kempen, baginda tidak
putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan
bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole
akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang
dijanjikan oleh Nabi itu.
Pada kali pertama solat Jumaat
hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan,
timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.
Baginda memerintahkan kesemua
tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di
antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau
sekali sila duduk!".
Tiada seorang pun yang duduk,
kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Pertanyaan seterusnya,
"Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan
solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertitah, "Siapa
di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat
tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".
Kali ini
semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!
Baginda tidak pernah meninggalkan
solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah
janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.
Sekarang, marilah kita
mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.
Pertama, Ahmad 'ibn
Ismail Al-Kori:
Guru istimewa ini menunjukkan
role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan
sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan
kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan
gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang
Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang
diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih
ganti.
Ahmad ibn Ismail lah yang
mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga
membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk
nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.
Kedua ialah Sheikh Muhammad
bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau
meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.
Beliau telah menginspirasikan
Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar
Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.
Beliaulah yang paling giat
meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang
dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.
Selain mengajarkan teras-teras
ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik,
sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.
Beliaulah yang telah merotan
Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan
Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya
oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana
ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil
adalah lebih berharga lagi.
Shamsuddin meletakkan insipirasi
dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas
dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.
Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai
Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin
dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih.
Sumber: Harakahdaily – 28 Mei 2009 -
{Risalah
Masjid Ar-Rahman, Pondok Sungai Durian. 4 J/Akhir 1430H – 29 Mei 2009}