Biodata

Saturday, November 12, 2011

Catatan Rehlah Haj 1432H [4].

Ke Muzdalifah
Apabila masuk waktu maghrib, Rasulullah SAW keluar dari Arafah menuju ke Muzdalifah dan mengerjakan di sana, solat maghrib dan isya’ secara jamak ta’khir dan qasar setelah itu Baginda SAW berehat.
Tidak ada riwayat yang menyebut Rasulullah saw melakukan ibadat khusus pada malam Muzdalifah tersebut.
Jemaah yang terkena giliran awal, bila dah dekat waktu maghrib, diminta bersedia untuk dibawa ke Muzdalifah dengan bas yang disediakan.
Setiap maktab akan disediakan beberapa buah bas (Shuttle bus) yang akan memunggah jemaah haji ke Muzdalifah yang jaraknya lebih kurang 8 km, mengambil masa 10-15minit sahaja melalui jalan khas yang dipanggil “Jalan Taraddudiyyah”, jalan ini khas untuk  jemaah haji Asia Tenggara.
Jemaah Ash-Har tahun ini asyik terkena giliran yang akhir sahaja (jenuh Penyelaras Haji Ash-Har berunding tapi tak dapat), biasanya bila lewat keluar dari Arafah jalan dah mula jem, disebabkan bas-bas yang rosak di tengah jalan, kerana jalan yang dilalui mendaki bukit. Setelah jam hampir pukul sembilan malam baru sampai giliran, ana menaiki bas no 2, sampai 2/3 perjalanan bas rosak, air cond pun mula jadi panas, pemandu masuk gear depan, tapi bas berjalan ke belakang pula, Allahul musta’aan. Akhirnya kami terpaksa kena tukar bas lain, dan Alhamdulillah kami tiba di Muzadalifah dah jam 11.30 malam dan menjadi rombongan Ash-Har terakhir tiba…
Sewaktu di Muzdalifah juga jemaah haji kita mula mengutip anak-anak batu untuk melontar. Batu yang dikutip seharusnya hanya sebesar ruas jari kelingking atau kacang fol dan jangan melebihi daripada saiz ini sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah SAW: “Janganlah kamu melampau/melebihi,” ketika menunjukkan saiz batu untuk melontar.
Baginda juga tidak mensyaratkan agar batu itu dikutip di Muzdalifah, tetapi boleh saja dimana-mana.
Perhatian: Diingatkan di sini tidak perlulah jemaah haji membawa lampu suluh setiap seorang, memadailah sebuah untuk satu keluarga atau kumpulan, sebagai bekalan untuk kecemasan.
Selepas jam 12 tengah malam jemaah haji Malaysia mula diangkut keluar dari Muzdalifah menuju ke Mina.
Alhamdulillah, dalam susah ada rahmat, memandangkan giliran Ash-Har akhir, dapatlah bermabit (bermalam) penuh di Muzdalifah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Selepas solat subuh bas datang membawa kami ke Mina.
Kesedaran seperti ini perlu diajar kepada jemaah, barulah mereka akan tenang apabila terkena giliran yang terakhir (selepas subuh).

10 Zulhijjah 1431H (Yaum al-Hajj al-Akbar) Hari Raya.
Selepas solat zuhur, Ana mula bagi penjelasan tentang hukum / amalan haji bagi hari ini, cerita tentang Mina dan lain-lain.
Jemaah Ash-Har diarah keluar ke Jamarat selepas solat Maghrib…
Selepas melontar dan balik ke khemah, suasana dalam khemah nampak ceria dan terang dengan kepala haji-haji yang licin.
Alhamdulillah mereka menyambut tawaran Rasulullah saw yang mendoakan agar Allah SWT memberi rahmat kepada orang yang bercukur kepalanya sebanyak tiga kali, kemudian setelah dirayu kali keempat barulah Rasulullah SAW mendoakan Rahmat untuk mereka yang hanya bergunting sahaja.
Alhamdulillah, semua jemaah lelaki Ash-Har yang bersama ana ke Arafah-Mina 100% cukur licin pada tahun ini.. Terima kasih kerana jemaah menerima tawaran besar dari Rasulullah saw.
Sedih dan terkilan juga bila tengok masih ramai hujjaj yang tidak ingin merebut ganjaran pahala yang ditawarkan ini, yang entah bila lagi akan hadir dalam hidup mereka, masih enggan untuk mengugurkan seluruh rambut mereka di Mina yang berokah ini, lebih sayangkan rambut daripada mengikut sunnah Rasulullah SAW!
Rambut yang dicukur akan tumbuh semula, insya’Allah, tetapi peluang untuk menjadi orang yang termasuk dalam doa Rasulullah SAW yang diulang sebanyak tiga kali ini, tiada siapa yang dapat menjamin peluang ini akan berulang sekali lagi dalam hidupnya!

Mina 1432H
Di Mina, kebanyakan jemaah haji Malaysia diletakkan di perkhemahan Mu’aisim yang jaraknya hampir 3km daripada Jamarat (tempat melontar).
Rombongan kami ditempatkan di Maktab 97, Perkhemahan Asia Tenggara. Kebanyakan jemaah haji Malaysia ditempatkan disekitar ini kecuali mereka yang membayar mahal (pakej VIP), ditempatkan dekat dengan Jamarat.
Kami yang tinggal di perkhemahan ini, disediakan makanan secara bungkus sebanyak tiga kali sehari, nasi kering tanpa kuah (mungkin untuk mengurangkan keperluan kepada bilik air), bolehlah untuk menghalau lapar, alhamdulillah. Ramai jemaah bawa bekalan serunding dll. sebagai lauk tambahan. Makanan yang paling popular lima hari ni ialah GaGa (Mee Segera made in Indonesia), orang yang tak makan maggi mi di Malaysia pun terpaksa makan di sini, dah jadi jamuan rasmi pula.. balik melontar, lepas ceramah.. pakat cari air panas…nak buat mee segera.
Lelaki dan perempuan dikhemah yang berasingan, diberikan tilam kecil satu seorang (nak dapat tilam, Ash-Har kena bayar tambahan kepada Muassasah), seelok-elok muat badan, seperti liang-lahad, sebagai peringatan kepada kematian. Tilam yang telah disusun dan bantal yang diatur oleh petugas cantik dah, tiba-tiba boleh hilang, dok dikhemah lain.. heran juga dengan kekawan petugas ni… Suasana tidaklah begitu sesak sangat, kerana terdapat ramai jemaah yang berulang alik pulang ke Makkah untuk menunaikan tawaf dan saei masing-masing, khasnya orang-orang muda dan jemaah wanita yang menjangkakan haidh mereka sudah hampir.
Jemaah yang balik tawaf & saei.. bila nak balik semula ke Mina pada hari 11, terpaksa kena jalan kaki sejauh 8Km.. masya’Allah swt jihad sungguh mereka..
Yang menjadi sedikit masalah, memerlukan kesabaran dan ketahanan yang amat tinggi ialah tentang bilik air dan tandas. Bilangan tandas yang amat sedikit berbanding dengan jemaah yang amat ramai, satu maktab yang yang terdiri lebih daripada 2400 orang jemaah, hanya disediakan 40 buah  tandas sahaja. Satu tandas pula dikunci, kononnya khas untuk petugas, sampai hati mereka! Selama ana beratur tu tak nampak pula kelibat mereka, alangkah baiknya kalau mereka buat peraturan; petugas yang datang dengan name tag mereka jemaah kena beri laluan, lebih baik dari terus kunci tandas tu..
Purata masa yang diperlukan jika waktu subuh, hampir atau lebih dari sejam beratur untuk menunggunya. Lebih-lebih lagi bagi kaum wanita, nak beratur lagi, dan perlu jaga aurat lagi (terdapat juga yang tidak begitu mengambil berat tentang aurat mereka).
Perhatian:
Satu lagi yang perlu diberi perhatian dan kesedaran kepada hujjaj Malizia ialah sifat suka mandi tak kira masa dan keadaan.  Orang melayu ini tidak faham-faham, dalam keadaan yang begini terdesak pun, masih sentiasa hendak mandi, tidak hanya menyelesaikan hajat-hajat yang wajib sahaja! Setelah selesai solat nanti pergilah mandi.
Jemaah haji yang berada di Mina diminta supaya solat jamak yang tamam (tanpa qasar) dengan alasan darurat susah mendapatkan air, bila dapat air mereka guna untuk mandi pula, sedangkan jika mengikut sunnah Nabi SAW, Baginda melakukan solat qasar tanpa jamak, bererti setiap solat dilakukan dalam waktunya sendiri.
Aktiviti ibadat lain, mengikut kerajinan dan keaktifan ustaz pembimbing masing-masing. Ada yang meriah dengan ceramah dan tazkirah, ada yang senyap sahaja. Alhamdulillah kami rombongan Ash-Har, sentiasa mengadakan tazkirah setiap selepas solat jamaah, dan ceramah sejarah Mina serta hikmat bermabit (bermalam) & melontar di adakan setiap hari, begitu juga taklimat dan penerangan bagi setiap aktiviti yang akan dilakukan seperti melontar dan lain-lain.
Ana telah mengarahkan kepada jemaah lelaki / wanita agar mengadakan kelompok usrah tilawah al-Quran sepanjang perjalanan haji, Alhamdulillah ramai yang berjaya khatam al-Quran dalam tempoh tersebut..
Perhatian:
Kelonggaran yang dilonggarkan:
Pada hari 11 Zulhijjah, dalam hari haji dikenali dengan nama “Yaum al-Qarr”. Hari bertenang, kerana pada hari ini jemaah haji bertenang di Mina.
Namun dalam ketenangan ada kegelisahan, kerana ramai jemaah haji di Malaysia dll telah dibawa melontar selepas solat subuh lagi. Seronoklah jemaah bila dah selesai melontar, happy sahaja nampak bercakap di tepi tandas, bila kita tanya kenapa dah lontar? Mereka jawab: pagi kan tenang, tak panas!
Mereka tidak tahu hakikat sebenarnya, yang mereka telah keluar dari amalan majority ulama’ Islam yang terawal (salafussolih) . Apa yang dipegang sebagai sandaran itu adalah pandangan dari dua ulama’ salaf iaitu Athaa’ dan Thawus. Sedangkan pada hari tersebut tiada sesuatupun yang perlu dikejarkan. Solat pun telah boleh diqasarkan atau di jama’ tamamkan. Minta para pembimbing rujuk kembali kitab-kitab dan pandangan serta perbahasan yang berkaitan. Mintalah jemaah haji melontar pada waktu petang atau malam jika alasannya untuk mencari keselesaan dan ketenangan dari kesesakan. Berbeza situasinya jika hari tersebut adalah hari nafar samada awal atau thani kerana kesesakan jalan yang teruk dan punya sebab-sebab munasabah berbuat demikian. Dalam hal ini pandangan ulama’ juga agak luas dan lebih ramai bilangannya berbanding hanya terhad kepada dua pendapat yang tersebut tadi. Keluar dari khilaf ulama’ itu adalah mustahab (dituntut). [Lihat Al-Mughni fi Fiqh al-Hajj wa Al-‘Umrah m/s 386]

Pada Hari 12 Zulhijjah, Jam 10.30 pagi kami mengadakan sessi kenalkan diri dan luahkan sedikit pengalaman menunaikan haji..
Alhamdulillah, majlis berjaya.. ada jemaah yang sayu, sebak ketika menceritakan pengalaman.. datang haji kerana dorongan isteri, tak pernah cukur kepala dalam hidup selain kali pertama dicukur oleh mak… tak pernah menangis takutkan Allah swt tapi menangis kerana anak tak lulus periksa.. etc.
Jemaah Malaysia diberi arahan oleh Muassasah keluar melontar selepas maghrib, kami pun keluar berjalan beramai-ramai ke Jamarat (tempat melontar). Bagi sesiapa yang mahu melontar secara persendirian, pada waktu selain tadi, boleh pergi, tetapi tidak dibenarkan membawa bendera negara kerana tidak mahu nampak bercanggah dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Muassasah yang bertugas.
Setelah dua malam berada di Mina, ahli rombongan kami diberi pilihan samada untuk melakukan nafar awal (balik dulu ke Makkah, selesaikan amalan haji di Mina) ataupun memilih untuk menyempurnakan mabit tiga malam di Mina dan melakukan nafar thani. Setengah jemaah melakukan nafar awal, majoriti jemaah melakukan nafar thani bersama ustaz. Ini berpandukan hukum kelonggaran yang diberikan oleh Allah Taala dalam firman-Nya:
{ وَاذْكُرُوا اللهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ، فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ، وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ لِمَنِ اتَّقَى، وَاتَّقُوا اللهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ } [البقرة: 203]
 Maksudnya: “Dan berzikirlah* (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang berbilang, barangsiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. dan barangsiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah, bahwa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya”. [Al-Baqarah: 203]
[*]Maksud zikir di sini ialah membaca takbir, tasbih, tahmid, talbiah dan sebagainya. beberapa hari yang berbilang ialah tiga hari sesudah hari raya haji iaitu tanggal 11, 12, dan 13 bulan Zulhijjah. hari-hari itu dinamakan hari-hari tasyriq.
Pada hari ke tiga belas, semua jemaah haji pulang ke Makkah, jemaah Ash-Har seperti awal tadi juga, masih mendapat giliran akhir (apa rahsianya? Wallahu a’lam) Memandangkan keadaan itu Ustaz Ahmad Syukri telah mengarahkan bas yang disewa khas (Saptco) agar memunggah jemaah dari Mina bawa ke Makkah. Dan jemaah akhir terpaksa kena naik bas muassasah, kerana jalan dah jem, bas kita dah tak boleh masuk Mina lagi. Alhamdulillah ‘ala kullihaal..
Setelah berehat beberapa ketika, para jemaah yang belum tawaf dan saei haji lagi, akan menyempurnakan tawaf dan saei mereka, orang yang uzur syarie terpaksa bersabar sehingga ‘line clear’ dan bagi orang tua yang uzur pun terpaksa menunggu giliran / trip pemandu yang akan menolak mereka ke masjid, tawaf dan saei.. . ربنا تقبل منا إنك أنت السميع العليم
Setelah berehat beberapa hari, kami mula mengadakan ceramah “Muhasabah Selepas Haji” dan lain-lain tajuk yang dipilih. Jemaah pula kembali mula aktif melakukan umrah semula, berulang-ulang kali.
Jika ditanya kepada ana tentang masalah ini, susah untuk dijawab, kerana ia tidak menjadi amalan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda yang selepasnya juga.
Namun permintaan Ummul Mukminin Aisyah RA untuk melakukan umrah selepas haji tidak dilarang oleh Rasulullah SAW, maka ini menjadi asas hukum bahawa ianya boleh dilakukan, wallahu a’lam.
Abu Anas Madani,

Catatan Rehlah Haji 1430H: