Labels

Monday, February 25, 2013

Memelihara Aurat ~ Lambang Peribadi Muslimah.

Memelihara Aurat (Ketika Solat~Di Luar Solat) 
 Lambang Peribadi Muslimah.

Antara syiar terpenting yang dapat membezakan seorang wanita Islam dengan wanita bukan Islam ialah dari segi disiplin pakaian yang menepati kehendak dan piawaian syariat. Disiplin berpakaian ini lebih kerap disebut sebagai kewajipan menutup aurat kerana secara asasnya Islam tidak menetapkan jenis pakaian yang perlu dipakai, tetapi menetapkan bahagian mana yang wajib ditutup bersama beberapa kriteria asas. Hal ini bersesuaian dengan ciri-ciri syariat Islam itu sendiri yang bersifat thabat dan murunah, tetap dalam menjaga prinsip-prinsip asas dan anjal jika melibatkan permasalahan cabang dan kaedah pendekatan. Ia tegas dari segi prinsip wajib memakai tudung kepala dan menutup aurat mengikut batas yang telah ditentukan. Namun dari segi jenis pakaiannya masih fleksibel dan boleh disesuaikan selama mana ia memenuhi garis panduan atau ciri-ciri menutup aurat.
Justeru itu kita melihat agama Islam boleh tersebar ke segenap pelosok dunia dan para wanita Islam daripada pelbagai bangsa dapat menyesuaikan pakaian mereka yang sedia ada dengan identiti seorang wanita Islam yang bertudung dan menutup aurat.
Sebagaimana yang sedia maklum, perintah agar menutup aurat dan menyembunyikan perhiasan tubuh badan wanita daripada pandangan lelaki yang bukan mahram merupakan satu perintah Allah yang disebutkan secara jelas di dalam al-Quran al-Karim. Ayat ke-31 daripada Surah al-Nur menyebut yang bermaksud: “.. Dan janganlah mereka (golongan mukminah) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang-orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka..”

Perbahasan tentang perhiasan yang disebutkan di dalam ayat ini begitu panjang dibincangkan oleh para ulama. Dr. Yusof Al-Qardhawi menyebut bahawa para muslimah dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan seperti perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan kepala (rambut dan sanggul), perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh diperlihatkan kepada lelaki melainkan suami dan mahram sahaja. Golongan muslimah hanya boleh membuka muka dan kedua telapak tangan yang memang diberikan kelonggaran oleh syarak untuk didedahkan.

Pemahaman ini telah diperkuatkan lagi oleh hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a bahawa kakaknya Asma’ binti Abu Bakar r.a pernah masuk ke rumah Nabi s.a.w dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya, lalu Rasulullah s.a.w memalingkan wajahnya lalu menyebut, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah didatangi haid (mencapai usia baligh), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini” - sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya. (H.R. Abu Daud)
            Justeru itu, para ulama telah menetapkan beberapa garis panduan untuk memastikan bahawa ciri-ciri pakaian muslimah itu bukan sahaja menutup kulit di bahagian badan yang menjadi auratnya, tetapi juga menepati konsep menutup aurat bagi mencapai objektif yang dikehendaki oleh syariat.

Tujuh Garis Panduan Pakaian Muslimah Di Hadapan Bukan Mahram

Pertama- Pakaian yang menutupi keseluruhan tubuh badan melainkan muka dan tapak tangan.
 Ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil yang telah disebutkan.

Kedua- Pakaian tersebut bukanlah perhiasan yang melampau, atau bertabarruj sehingga menarik perhatian.
           Bertabarruj boleh difahami secara umum sebagai memperlihatkan kecantikan wanita sama ada di bahagian muka atau lain-lain perhiasan pada pakaian dan bahagian tubuh badan. Ini termasuk solekan yang tebal selain bedak, celak dan inai yang biasa dipakai oleh wanita.
                     
Ketiga- Pakaian tersebut tidak terlalu nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau membayangkan anggota tubuh.

Keempat- Pakaian tersebut hendaklah longgar, tidak ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh dan tidak menampakkan tempat-tempat fitnah yang mengundang syahwat.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Ada dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya, (salah satunya ialah) perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (H.R Muslim)

Kelima- Tidak memakai wangian yang harumnya boleh dihidu oleh lelaki ajnabi.
Nabi s.a.w telah mengingatkan kaum wanita dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Mana-mana wanita yang berwangi-wangian dan kemudiannya lalu di kalangan khalayak lelaki yang menghidu harumannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang tertarik lalu memandangnya adalah mata yang berzina.” (H.R Abu Daud, At-Tirmizi: Hasan Sahih)

Keenam- Tidak menyerupai pakaian lelaki

Allah S.W.T melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan juga wanita yang menyerupai lelaki. Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.” (Musnad Ahmad, no: 6875).

Ketujuh- Tidak dipakai untuk tujuan kemasyhuran, glamor atau menunjuk-nunjuk.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran, maka Allah akan memakaikannya pada hari Qiamat yang sepertinya, kemudian membakarnya dengan api neraka.” (H.R Abu Daud: 4029)
Pakaian kemasyhuran tidak hanya tertumpu kepada pakaian yang cantik bergemerlapan sahaja, tetapi juga pakaian yang sengaja diburuk-burukkan dengan tujuan supaya orang ramai mengatakannya seorang yang zuhud.

Tujuan Wanita Diperintah Memelihara Aurat

Sudah tentu tujuan utama menunaikan perintah menutup aurat adalah sebagai satu manifestasi pengabdian kita kepada Allah yang mesti ditaati perintah-Nya. Seandainya di tempat-tempat kerja mempunyai etika pakaian yang tersendiri yang mesti dipatuhi oleh pekerja, maka di dunia ini yang merupakan tempat kita beramal juga mempunyai etika pemakaiannya yang tersendiri. Sekiranya perbuatan melanggar etika berpakaian di tempat kerja atau tempat belajar dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib, maka begitulah juga perbuatan melanggar etika berpakaian sebagai seorang muslim atau muslimah di dunia ini adalah berdosa dan akan dikenakan tindakan dan hukuman di akhirat nanti.

Allah S.W.T menyebut di dalam surah al-Ahzab ayat 36 yang bermaksud: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Namun begitu kerapkali kedengaran suara wanita Islam yang tidak berpuas hati dengan kewajipan menutup aurat yang kelihatan jauh lebih berat berbanding lelaki. Harus difahami bahawa keadilan Islam dalam meletakkan batasan aurat yang berbeza antara lelaki dan perempuan sudah tentu ada hikmah tersendiri yang diatur oleh Allah, Pencipta Yang Maha Bijaksana. Ada di kalangan masyarakat Islam yang turut menganggap batasan ini sebagai satu pantang larang yang menyekat kebebasan wanita. Mereka terpengaruh dengan agenda musuh Islam yang sentiasa menganjurkan wanita mendedahkan aurat kononnya untuk memberi kebebasan kepada wanita, namun sebenarnya ia adalah untuk memberi kebebasan kepada mereka untuk mudah mendekati lantas merosakkan wanita.

Sesungguhnya bagi kaum muslimah, tujuan penutupan aurat yang agak ketat adalah untuk menjaga kehormatan diri wanita yang tinggi nilainya di sisi Islam. Bagaimana mungkin sesuatu yang berharga dan tinggi nilainya dibiarkan terdedah sehingga boleh dilihat dan dicapai oleh golongan yang tidak berhak?

Wanita juga diwajibkan memenuhi kriteria menutup aurat untuk menjaga ketenteraman awam agar tidak terganggu secara emosi dengan aurat yang terdedah sehingga menjadi punca berlakunya kerosakan dan maksiat. Bahagian tubuh yang didedahkan dan menggoda kerapkali mengganggu ketenteraman jiwa lelaki dan mungkin juga wanita yang melihat sehingga turut mengganggu kerukunan rumahtangga dan masyarakat.
Justeru itu dengan menutup aurat secara sempurna akan menyelamatkan wanita, lelaki dan seluruh masyarakat daripada begitu banyak kerosakan yang mungkin berlaku. Di dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu.”
            Seorang muslimah yang solehah akan berusaha untuk menutup aurat dengan sempurna, melabuhkan tudungnya agar mereka tidak diganggu kerana dikenali sebagai perempuan yang baik. Lebih penting daripada itu ialah seorang muslimah juga hendaklah sentiasa menjaga maruah diri, memelihara sifat malu, tidak sewenang-wenangnya menonjolkan diri untuk tatapan ramai, menjaga pergaulan, tutur bicara dan pandangan mata daripada apa yang diharamkan oleh Allah. Sudah tentu tanpa keperibadian muslimah dan akhlak yang baik secara menyeluruh, pakaian yang dilihat menutup aurat sahaja belum mampu menjamin tercapainya tujuan di sebalik penutupan aurat kaum muslimah.

Seterusnya, Adakah Berbeza Aurat Wanita Di Dalam dan Di Luar Solat?
Menjadi fenomena yang biasa berlaku di kalangan wanita Islam ialah walaupun ada di kalangan mereka yang tidak sempurna penutupan auratnya dalam kehidupan seharian, namun mereka masih lagi menitik beratkan kewajipan menutup aurat dalam mengerjakan solat. Masing-masing faham betapa besarnya implikasi jika mengerjakan solat tanpa menutup aurat dengan sempurna kerana menutup aurat itu termasuk di dalam syarat sah solat. Lantaran itulah kebanyakan masyarakat Islam, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu menyediakan telekung solat yang khusus bagi wanita bukan hanya untuk memastikan kebersihan pakaiannya ketika mengerjakan solat, tetapi juga untuk memastikan auratnya terjaga dengan lebih sempurna dan sah solatnya.
Rentetan daripada itu timbul persoalan, adakah aurat wanita ketika berada di luar solat dan ketika mengerjakan solat mempunyai sempadan dan hukum yang berbeza?
Secara ringkas, ketika berada di luar solat, aurat wanita yang wajib ditutup daripada pandangan sesama wanita dan sesama mahram terdekatnya adalah di antara pusat dengan lutut. Seandainya menimbulkan fitnah, maka wajib ditutup apa yang dikhuatiri menimbulkan fitnah tersebut walaupun di antara sesama mahram.
Manakala aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi pula mengikut pandangan yang muktamad ialah seluruh tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan sebagaimana yang telah dibincangkan di atas.
Dalam hal mengerjakan solat pula, sempadan aurat wanita yang wajib ditutup sebagai syarat sah solat ialah yang sama seperti sempadan aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi. Imam al-Syafi’e di dalam kitab al-Umm (Jilid 1, hlm. 109) menyebut bahawa seorang perempuan wajib menutup seluruh badannya di dalam solat melainkan muka dan kedua tapak tangannya.

Pakaian Wanita Ketika Mengerjakan Solat
Imam al-Tirmizi (No. hadith 277) meriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
لا تقبل صلاة الحائض إلا بخمار
“Tidak diterima solat perempuan yang telah baligh melainkan dengan  memakai kain yang menutup kepalanya.”
Di dalam sebuah hadith yang lain pula, Ummul Mu’minin Ummu Salamah r.a telah meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi s.a.w:
يا رسول الله، أتصلي المرأة في درع وخمار ليس عليها إزار؟
“Adakah seseorang perempuan itu boleh bersolat dalam keadaan memakai baju dan tudung kepala sahaja, tetapi tidak memakai kain sarung?”
Rasulullah s.a.w menjawab:
نعم إذا كان سابغا يغطي ظهور قدميها.
“Boleh, jika bajunya itu labuh sehingga menutup zahir (bahagian atas) kedua kakinya.” (H.R Abu Daud, no. 640 dan al-Baihaqi, jilid 2, no. 232)
Terdapat tiga istilah yang telah disebutkan di dalam hadith-hadith di atas berkenaan dengan pakaian wanita di dalam solat iaitu dir' (baju yang menutupi bahagian tengah tubuh), khimar (tudung yang menutupi kepala) dan juga izar (kain sarung yang menutupi bahagian bawah badan).
Berdasarkan hadith berkenaan dengan khimar di atas, maka tidak ada khilaf di kalangan fuqaha bahawa hukum menutup kepala iaitu seluruh rambut, telinga dan juga leher adalah wajib bagi wanita yang telah baligh di dalam solatnya.
Adapun pakaian yang boleh digunakan untuk mengerjakan solat pula ialah apa jua pakaian yang menutup keseluruhan tubuh badan wanita sehingga ke kakinya, kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan sama ada dengan sehelai pakaian atau lebih. Hal ini jelas disebut oleh Ibn al-Munzir berdasarkan kepada hadith Ummu Salamah yang telah disebutkan tadi, di mana baju labuh yang sudah menutupi zahir kedua kaki boleh dipakai untuk bersolat, dan tidak perlu lagi memakai kain sarung yang khusus. (Al-Mufassal fi Ahkam a-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 1, hlm 193)
Imam Ahmad pula berkata, "Disepakati oleh para ulama bahawa yang wajib dipakai ialah baju yang labuh (dir' atau jubah) dan tudung kepala (khimar). Namun jika ditambah (kainnya) adalah lebih afdhal jika ia lebih menutupi aurat. Adalah dikira memadai dengan dua helai pakaian itu kerana ia sudah menutup apa yang wajib ke atasnya untuk ditutup." (Al-Mughni, jilid 2, hlm. 330-331)
Adapun pakaian solat wanita yang lebih digalakkan menurut para ulama ialah sebanyak tiga helai pakaian iaitu dir’ (baju yang longgar menutupi badan hingga ke kaki), khimar (yang menutup kepala dan leher) dan jilbab iaitu telekung yang besar diletakkan di atas khimar yang melitupi sebahagian besar tubuh supaya tidak menampakkan bentuk tubuh wanita. (Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 1, hlm. 193)

Beberapa Isu Berkenaan Pakaian Solat Wanita
Pertama - Jika dilihat sekilas pandang, maka asas sempadan aurat wanita di dalam solat adalah sama dengan sempadan auratnya di luar solat apabila terdedah kepada pandangan lelaki ajnabi. Namun bagi para ulama yang berpandangan bahawa terdapat perbezaan bagi sempadan aurat di dalam dan di luar solat, maka kebanyakan mereka menjadikan aurat di luar solat iaitu di hadapan lelaki ajnabi itu lebih ketat daripada aurat wanita ketika mengerjakan solat di tempat yang tidak dapat dilihat oleh lelaki ajnabi. Ini adalah kerana bagi kebanyakan ulama, fitnah di dalam solat adalah lebih ringan berbanding fitnah di luar solat. Justeru itu, tiada khilaf tentang perlunya membuka muka untuk mengerjakan solat, tetapi terdapat khilaf tentang wajibnya menutup muka di hadapan lelaki ajnabi di luar solat.
Begitu juga masih sah solat wanita yang bersolat dengan pakaian yang ketat apabila telah menutup bahagian auratnya kerana tidak ada dalil yang mengatakan sebaliknya. Namun begitu ada di kalangan ulama yang meletakkan hukumnya sebagai makruh. Akan tetapi sekiranya pakaian yang ketat itu dipakai di hadapan lelaki ajnabi, maka hukumnya adalah haram dan berdosa.
Dukacitanya, hukum yang telah dirumuskan oleh para fuqaha berpandukan al-Quran dan al-Sunnah di atas tidak difahami dan tidak dipatuhi oleh sebilangan wanita Islam dewasa ini. Amalan masyarakat yang mengetatkan penutupan aurat di dalam solat kerana khuatir ibadah mereka tidak sah, tetapi pada masa yang sama tidak begitu menitik beratkan penjagaan aurat di luar solat dalam kehidupan seharian adalah jelas bertentangan dengan hukum berkenaan. Hal ini berlaku mungkin kerana masih terpisahnya aspek ibadah daripada soal kehidupan bagi kebanyakan anggota masyarakat kita. Padahal sebagaimana menutup aurat di dalam solat itu adalah perintah Allah s.w.t, maka menutup aurat di luar solat juga adalah perintah Allah s.w.t yang wajib dipatuhi dengan sebaiknya.
Kedua – Apa yang dimaksudkan dengan dua tapak tangan yang dibenarkan untuk dibuka ialah bermula dari hujung jari jemari sehingga ke tulang yang timbul di pergelangan tangan (al-ku'), termasuk belakang dua tapak tangannya, zahir dan batinnya (Nihayatul Muhtaj, jilid 2, hlm. 6). Manakala pandangan yang mengatakan bahawa hanya bahagian tapak tangan sahaja yang harus dibuka, sedangkan belakang tapak tangan itu perlu ditutup dengan telekung solat yang labuh atau lengan baju yang panjang adalah tidak mempunyai dalil atau hujah yang kuat. Jumhur fuqaha menegaskan bahawa seluruh tapak tangan wanita (zahir dan batinnya) adalah bukan aurat di dalam bersolat (Ahkam al-‘Aurah wa al-Nazor, hlm. 234).
Ketiga - Berkenaan dengan kaki wanita pula, maka menurut pandangan yang muktamad daripada mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, ia merupakan aurat wanita yang wajib ditutup di dalam solat dan di luarnya ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Namun demikian masih lagi terdapat khilaf di dalam mazhab-mazhab itu sendiri tentang keharusan membuka kaki di dalam solat. Menurut mazhab Hanafi pula, kaki wanita bukanlah aurat dan tidak perlu ditutup sama ada ketika solat mahupun di luarnya. Namun terdapat satu riwayat yang lain di dalam mazhab tersebut yang menetapkan bahawa kaki wanita juga adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi, tetapi bukan aurat yang perlu ditutup di dalam solat. (Ahkam al-‘Aurah wa al-Nazor, hlm. 233)
Pandangan jumhur fuqaha dibuat berdasarkan kepada hadith Ummu Salamah yang telah disebutkan di awal tadi. Hadith tersebut memberi maksud bahawa baju labuh yang wajib dipakai oleh wanita untuk mengerjakan solat ialah yang menutup kakinya. Ini adalah kerana apabila pakaian solat wanita sudahpun menutup zahir kedua kakinya ketika berdiri dan rukuk, ia pasti akan menutup tapak kakinya ketika duduk dan sujud disebabkan berhimpunnya anggota-anggota tubuh yang lain ketika duduk dan sujud.
Keempat - Berkenaan dagu wanita yang seringkali ditutup dengan telekung solat di negara kita, adakah ianya termasuk bahagian yang wajib ditutup ataupun ia adalah sebagai satu cara untuk lebih berhati-hati (ihtiyath)?
Perbincangan mengenai sempadan muka boleh didapati di dalam bab bersuci iaitu dalam membincangkan tentang had muka yang wajib dibasuh sewaktu berwudhu. Secara ringkas, sempadan muka dari segi memanjang bermula dari tempat tumbuh rambut (bahagian atas) hingga ke bahagian paling bawah dagu, dan dari segi lebarnya bermula dari telinga hingga ke telinga. (Fiqh Minhaji, jilid 1, hlm. 60). Namun Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya Fiqh al-Thaharah (hlm. 141) menyebut pandangan beliau bahawa adalah tidak perlu untuk mengehadkan sempadan muka dengan begitu detil kerana ia adalah sebagaimana yang telah diketahui umum merupakan wajah yang dapat dilihat dari arah hadapan.
Justeru itu, dagu yang wajib dibasuh tanpa khilaf ketika berwudhu masih termasuk dalam sempadan muka yang harus dibuka semasa wanita mengerjakan solat. Bagaimanapun pandangan yang menganjurkan agar bahagian bawah dagu itu sebaiknya ditutup bersama khimar adalah pandangan yang berdasarkan ihtiyath (lebih berhati-hati).

Kesimpulan
Islam tidak menentukan pakaian yang khusus untuk dipakai oleh wanita ketika bersolat. Yang ditentukan oleh syarak ialah apa yang perlu ditutup, dan bukannya apa yang perlu dipakai. Justeru itu, para muslimah tidak perlu terikat dengan pemakaian telekung solat sahaja untuk mengerjakan solat kerana solat wanita boleh dikerjakan dengan apa jua bentuk pakaian, asal sahaja menutupi bahagian auratnya serta tidak terlalu nipis sehingga menampakkan warna kulit. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jilid 1, hlm. 580).
Mungkin apabila berada di rumah, memakai telekung solat yang khusus itu adalah lebih mudah kerana biasanya wanita memakai pakaian yang ringkas dan tidak memakai tudung kepala ketika berada di dalam rumah sesama mahramnya. Namun apabila keluar dari rumah, seorang muslimah sepatutnya telah memastikan bahawa auratnya ditutup dengan sempurna agar tidak dilihat oleh lelaki ajnabi. Justeru itu, solat wanita yang bertudung kepala bersama jubah, baju kurung atau baju labuh dengan seluar panjang yang longgar adalah sah di sisi syarak, setelah dapat dipastikan bahawa lengannya tidak tersingkap dan kakinya juga tertutup dengan sempurna sama ada dengan memakai stokin ataupun kain yang dilabuhkan.       
Sekiranya disiplin menutup aurat ini dijaga oleh para muslimah setiap kali keluar dari rumah sebagai memenuhi tuntutan yang diwajibkan oleh Allah s.w.t, sudah tentu keadaan ini akan menyelesaikan masalah sebahagian wanita yang menjadikan ketiadaan telekung solat sebagai alasan untuk melewat-lewatkan solat ataupun terus meninggalkan solat apabila keluar dari rumah.
Semoga Allah memudahkan kita semua untuk melaksanakan perintah-Nya sebagaimana yang Dia redhai, dan semoga kita semua para muslimah akan terus diberikan pahala oleh Allah s.w.t setiap saat kita berpakaian menutup aurat dan memelihara kehormatan diri sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat. Wallahu a’lam.
 اللهم إنا نسألك الهدى والتقى والعفاف والغنى
اللهم اجعلنا من الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنه
 Rujukan:         
  1. Abdul Karim Zaidan (1994). Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim. Beirut, Muassasah al-Risalah, Cetakan Keempat.
  2. Abu Malik Kamal bin al-Sayid Salim. Fiqh al-Sunnah Li al-Nisa’. Kaherah, Maktabah Taufiqiyyah.
  3. Musa’id bin Qasim al-Falih. Ahkam al-Aurah wa an-Nazor bi Dalil al-Nas wa al-Nazor. Riyadh, Dar al-Ma’arif.
  4. Ibn Qudamah (1992). Al-Mughni.Kaherah, Hajar Li al-Nasyr wa al-Tauzi’, Cetakan Kedua.
  5. Mohd Ali al-Hashimi (2002). Syakhsiyyah al-Mar’ah al-Muslimah. Beirut, Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Cetakan Ketujuh.
  6. Wahbah al-Zuhaily (1996). Al-Fiqh al-Islamy wa Adillatuh. Damsyik, Dar al-Fikr, Cetakan Ketiga.
  7. Yusof al-Qaradhawi (2008). Fiqh al-Thaharah. Kaherah, Maktabah Wahbah, Cetakan Keempat.
  8. Yusof Al-Qardhawi (1994). Al-Halal wal Haram fil Islam. Beirut, Al-Maktab al-Islamy, Cetakan Kelima Belas.
 @ Ukhtukum: Ummu Afif
Pensyarah di Jabatan al-Syariah KIAS.
 Rabi’ul Awwal 1434H


BATAS-BATAS AURAT & MAHRAM DALAM ISLAM

http://abuanasmadani.blogspot.com/2013/02/batas-batas-aurat-mahram-dalam-islam.html