Tajuk: “Negara Berkebajikan; Dari Perspektif Siasah Syar’iyyah”.
1) MUQADDIMAH:
بسم الله الرحمن الرحيم.
{الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ} [الحج: 41]
Maksudnya: {(Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.} [Al-Haj: 41].
2) KEPENTINGAN PELAKSANAAN SIASAH SYARIAH DALAM SEBUAH MASYARAKAT DAN NEGARA.
Perbincangan ini cuba menyentuh satu sudut penting berkenaan pelaksanaan Siasah Syar’iyyah di dalam sebuah masyarakat dan negara iaitu aspek jaminan kesejahteraan terhadap rakyat. Hal ini mustahak untuk diketengahkan ketika mana ramai di kalangan ahli sains politik, sains sosial mahupun pemimpin masyarakat mencari pelbagai pendekatan Barat untuk memelihara maruah umat dan martabat wanita daripada pelbagai bentuk penindasan dan diskriminasi.
Pendekatan yang berteraskan agama khususnya Islam seringkali diketepikan lantaran timbulnya sikap yang prejudis terhadap identiti masyarakat Islam.