Labels

Sunday, January 27, 2013

HUKUM BERSELAWAT & BERZIKIR DENGAN GENDANG, MUZIK & TARIAN

BERSELAWAT & BERZIKIR DENGAN GENDANG, MUZIK & TARIAN.
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وأصحابه، والتابعين لهم على الهدى والإسلام إلى يوم الدين، أما بعد
Dalam kita mencari ilmu untuk beribadah menurut apa yang diajar oleh Nabi saw, masih ramai lagi yang keliru dalam memahami kaedah sebenar sebagai panduan dalam beribadah. Maka lahirlah begitu banyak perselisihan di dalam bab ini. Baik perselisihan dengan golongan ahli ahwa’ (golongan rafhidhah yang menghalalkan bid’ah di dalam urusan agama) yang sememangnya tersasar dari Manhaj As-Sunnah mahupun perselisihan sesama golongan yang berfahaman atau bermanhaj As-Sunnah.
Perbincangan di sini akan difokuskan kepada isu yang menjadi persoalan dalam masyarakat, apabila ada ahli ilmu atau pencinta ilmu dalam kalangan ahli ibadat, orang masjid yang melakukannya.
Kita sedar dan faham bahawa perkara yang dibincangkan ini adalah dikatakan perkara khilaf yang menjadi perbezaan pandangan para ulama’ dahulu dan sekarang. Namun untuk menjelaskan isu ini eloklah kita rujuk pandangan imam yang besar dan pandangan ulama’ dalam kalangan pendokong Mazhab Syafie yang dekat dengan jiwa kita.

Membaca selawat sambil diiringi rebana, gendang atau yang seumpamanya (alat muzik).

  Perbuatan ini sama juga seperti membaca qasidah-qasidah atau sya'ir-sya'ir yang dinyanyikan dan diringi dengan pukulan kayu, rebana atau seumpamanya. Bahkan lebih teruk lagi sambil menggoyang-goyang badan, berpusing-pusing dan  menari-nari. Ia disebut dengan istilah as-Sama' atau Taghbir (sejenis syair berisi anjuran untuk zuhud di dunia yang dinyanyikan dengan sebahagian hadirin memukul-mukul kayu pada bantal, kulit atau sebagainya sesuai dengan irama lagunya).

Antara Pandangan Ulama'-ulama’ Ahlus Sunnah:

1)    Imam Asy-Syafei (wafat 204H) berkata:

خلفت ببغداد شيئاً أحدثته الزنادقة يسمونه التغبير يصدون به الناس عن القرآن

“Di Iraq, aku meninggalkan sesuatu yang dinamakan taghbir. (Iaitu) perkara baru yang diada-adakan oleh Zanadiqah (orang-orang zindiq; menyimpang), mereka menghalangi manusia dari al-Quran.” [Riwayat Ibnul Jauzi, dalam Talbis Iblis].
Ulama'  menjelaskan perkataan Imam asy-Syafei tersebut dengan mengatakan:
وما ذكره الشافعي - رضي الله عنه - من أنه من إحداث الزنادقة - فهو كلام إمام خبير بأصول الإسلام؛ فإن هذا السماع لم يرغب فيه ويدعو إليه في الأصل إلا من هو متهم بالزندقة...ذكر أبو عبد الرحمن السلمي في مسألة السماع....".
“Apa yang disebutkan oleh Imam asy-Syafei rahimahullah (bahawa perbuatan tersebut merupakan hasil ciptaan para zindiq), adalah suatu pandangan seorang imam yang ahli dalam ilmu usul dalam Islam. Kerana pada dasarnya, tidak ada yang menggalak dan menganjurkan nyanyian melainkan orang-orang zindiq….. sebagaimana yang disebutkan oleh Abdurrahman as-Sulami dalam Mas’alah as-Sama’ daripada Ibnu Rawandi.” [Majmu’ al-Fatawa, 11/570].
Dalam kitabnya, “Al-Umm”, Imam asy-Syafei rahimahullah menegaskan lagi bahawa:
(قَالَ الشَّافِعِيُّ - رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى -): "فِي الرَّجُلِ يُغَنِّي فَيَتَّخِذُ الْغِنَاءَ صِنَاعَتَهُ يُؤْتَى عَلَيْهِ وَيَأْتِي لَهُ، وَيَكُونُ مَنْسُوبًا إلَيْهِ مَشْهُورًا بِهِ مَعْرُوفًا، وَالْمَرْأَةُ، لَا تَجُوزُ شَهَادَةُ وَاحِدٍ مِنْهُمَا؛ وَذَلِكَ أَنَّهُ مِنْ اللَّهْوِ الْمَكْرُوهِ الَّذِي يُشْبِهُ الْبَاطِلَ، وَأَنَّ مَنْ صَنَعَ هَذَا كَانَ مَنْسُوبًا إلَى السَّفَهِ وَسُقَاطَة الْمُرُوءَةِ، وَمَنْ رَضِيَ بِهَذَا لِنَفْسِهِ كَانَ مُسْتَخِفًّا، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ مُحَرَّمًا بَيِّنَ التَّحْرِيمِ، وَلَوْ كَانَ لَا يَنْسُبُ نَفْسَهُ إلَيْهِ، وَكَانَ إنَّمَا يُعْرَفُ بِأَنَّهُ يَطْرَبُ فِي الْحَالِ فَيَتَرَنَّمُ فِيهَا، وَلَا يَأْتِي لِذَلِكَ، وَلَا يُؤْتَى عَلَيْهِ، وَلَا يَرْضَى بِهِ لَمْ يُسْقِطْ هَذَا شَهَادَتَهُ، وَكَذَلِكَ الْمَرْأَةُ". [الأم للشافعي (6/ 226)- الشاملة].
“Seorang lelaki yang menyanyi dan menjadikannya sebagai pekerjaan, adakalanya ia diundang dan adakalanya ia didatangi sehingga ia dikenali dengan gelaran penyanyi, juga seseorang wanita (yang seperti itu), maka tidak diterima sumpah persaksiannya. Kerana menyanyi termasuk permainan yang dibenci. Tetapi, adalah yang lebih tepat, sesiapa sahaja yang melakukannya, maka ia disebut sebagai dungu (bodoh) dan mereka termasuk orang yang sudah tiada harga diri (jatuh maruahnya)...” [Asy-Syafei, al-Umm, 6/226].
Bagi mazhab asy-Syafei sendiri dinyatakan bahawa: “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat muzik seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang saling dilagakan bagi menghasilkan bunyi), gendang, serunai dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Dibolehkan duff (kompang) bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau seumpamanya. Nyanyian jika tanpa alat muzik, hukumnya makruh (dibenci) dan jika dengan diiringi alat-alat muzik hukumnya adalah haram.” [Lihat perbahasannya dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah al-Faz al-Minhaj, Kitab asy-Syahadat karya Imam Muhammad bin Ahmad bin al-Khathib asy-Syarbini].
2)    Imam Ahmad apabila ditanya tentang taghbir, beliau menjawab: “Bid'ah.” [Riwayat Al Khallal. Dinukil dari kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 163].
 3)    Al-Qadhi Abu at-Toyib al-Tobari (wafat 450H), seorang tokoh ulama' Syafie yang telah menyatakan bahawa: “Kumpulan yang menyanyi untuk ibadah ini telah menyalahi jamaah muslimin kerana telah menjadikan nyanyian sebagai agama dan ketaatan. Iklan-iklan mereka terdapat di masjid-masjid, jami’ah dan semua tempat mulia.” [Mas’alah as-Sama’, Ibnu al-Qayyim].

4)   Imam At-Tartusyi (wafat 520H), tokoh ulama’ Maliki dari kota Qurtubah; telah  ditanya tentang satu kelompok di suatu tempat yang membaca Al-Quran, lalu seseorang di antara mereka menyanyikan sya'ir, kemudian mereka menari dan bergoyang. Mereka juga memukul rebana dan memainkan seruling. Apakah menghadiri majlis mereka itu halal atau tidak?
Beliau menjawab: “Jalan mereka itu adalah batil dan sesat. Islam itu hanyalah kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Adapun menari dan berpura-pura menampakkan cinta (kepada Allah), maka yang pertama kali mengada-adakannya adalah kawan-kawan Samiri (pada zaman Nabi Musa). Iaitu ketika Samiri membuatkan patung anak lembu yang boleh bersuara untuk mereka, lalu mereka datang menari di sekitarnya dan berpura-pura menampakkan cinta (kepada Allah). Tarian itu adalah agama orang-orang kafir dan para penyembah anak lembu.
Adapun majlis Rasulullah SAW dan para sahabatnya penuh ketenangan, seolah-olah di atas kepala mereka dihinggapi burung. Maka seharusnya pemerintah dan wakil-wakilnya melarang mereka menghadiri masjid-masjid dan lainnya (untuk menyanyi dan menari, Pen). Dan bagi seorang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidaklah halal menghadirinya. Tidak halal membantu mereka melakukan kebatilan. Demikian ini jalan yang ditempuh oleh (Imam) Malik, Asy-Syafei, Abu Hanifah, Ahmad dan lainnya dari kalangan imam-imam kaum muslimin.” [Tafsir Al-Qurtuba 11/238 Syamilah. Lihat Kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 168-169].

 5) Imam Al-Hafiz Ibnu As-Solah (wafat 643H), imam terkenal penulis kitab Muqaddimah 'Ulumil Hadis. Beliau juga ditanya tentang orang-orang yang menghalalkan nyanyian dengan rebana dan seruling, dengan tarian dan bertepuk-tangan. Mereka menganggapnya sebagai perkara halal dan qurbah (perkara yang mendekatkan diri kepada Allah), bahkan (katanya sebagai) ibadah yang paling utama.
فتاوى ابن الصلاح (2/ 499): مَسْأَلَة أَقوام يَقُولُونَ إِن سَماع الْغناء بالدف....
Kesimpulan jawapan beliau ialah: “Mereka telah berdusta atas nama Allah Ta'ala. Dengan pendapat tersebut, pandangan ini masyhur di kalangan golongan batiniyyah  yang Mulhidin (menyimpang). Mereka juga bertentangan dengan ijma'.
Sesiapa yang menentang ijma', (ia) terkena ancaman firman Allah:
{وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَاتَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَاتَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَتْ مَصِيرًا }
{Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam. Dan Jahanam itu seburuk-buruknya tempat kembali.} [An-Nisa:115]”. [Fatawa Ibnu As-Solah, 2/499- Syamilah. Lihat: Kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 170].

5)   Syeikh Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiah rahimahullah berkata: “Dan telah diketahui secara pasti dari agama Islam, bahawa Nabi SAW tidak mensyariatkan kepada orang-orang soleh dan para ahli ibadah dari umat Baginda, agar mereka berkumpul dan mendengarkan bait-bait yang dilagukan dengan bertepuk tangan, atau pukulan dengan kayu (stik), atau rebana. Sebagaimana Baginda  tidak membolehkan bagi seorangpun untuk tidak mengikuti Baginda, atau tidak mengikuti apa yang ada pada Al-Kitab dan Al-Hikmah (As-Sunnah). Baginda tidak membolehkan, baik dalam perkara batin atau zahir, untuk orang awam atau untuk orang tertentu.” [Majmu' Fatawa, 11/565. Dinukil dari kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 165].

6)    Fatwa Imam as-Suyuthi rahimahullah (wafat 911H):
"ومن ذلك الرقص، والغناء في المساجد، وضرب الدف أو الرباب، أو غير ذلك من آلات الطرب. فمن فعل ذلك في المسجد، فهو مبتدع، ضال، مستحق للطرد والضرب؛ لأنه استخف بما أمر الله بتعظيمه، قال الله تعالى: (في بيوت أذن الله أن ترفع " أي تعظم " ويذكر فيها اسمه)، أي يتلى فيها كتابه. وبيوت الله هي المساجد؛ وقد أمر الله بتعظيمها، وصيانتها عن الأقذار، والأوساخ، والصبيان، والمخاط، والثوم، والبصل، وإنشاد الشعر فيها، والغناء والرقص؛ فمن غنى فيها أو رقص فهو مبتدع، ضال مضل، مستحق للعقوبة". [الأمر بالاتباع والنهي عن الابتداع - (ج 1 / ص 30) المكتبة الشاملة].
“Dan di antaranya adalah menari, menyanyi di dalam masjid, memukul kompang (atau gendang) atau rebab (sejenis alat muzik bertali seperti biola), atau selain itu dari jenis-jenis alat-alat muzik.
Maka sesiapa yang melakukan perkara yang tersebut di dalam masjid maka dia adalah mubtadi’ (pelaku bid’ah), sesat, perlu dihalau dan boleh dipukul, kerana dia meremehkan perintah Allah untuk memuliakan masjid. Allah SWT berfirman: Bertasbihlah kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan (iaitu menggagungkannya) dan disebut nama-Nya di dalamnya.” [An-Nur, 24: 36]. Iaitu dibacakan kitab-Nya di dalamnya.
Rumah-rumah Allah adalah masjid-masjid, dan Allah Ta’ala telah memerintahkan untuk memuliakannya, menjaganya dari kotoran, najis, anak-anak (dari mengotori masjid), hingus, bawang putih, bawang merah (memakannya kemudian ke masjid tanpa bersugi terlebih dahulu), nasyid-nasyid, sya’ir, nyanyian dan tarian di dalamnya. Maka sesiapa yang menyanyi atau menari di dalamnya maka dia adalah pelaku bid’ah, sesat dan menyesatkan, dan berhak dikenakan hukuman.” [Jalaluddin as-Suyuti, Al-Amru bil Ittiba’ wan Nahyu ‘anil Ibtida’, m/s. 30 – Al-Maktabah Asy-Syamilah].


Bagi orang Malaysia pula, Nasihat dari Majlis Fatwa Negeri Melaka:
Fatwa Larangan Berzikir, Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Di Dalam Masjid.
Ibadah. Tarikh Keputusan:  29 Dec, 2010.
Keputusan:
 (a) Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam masjid atau surau kerana perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam;
(b) Bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa-apa jua jenis alatan muzik lain bagi menjalankan aktiviti yang dibenarkan oleh Syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid, surau atau madrasah dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan Syariat dan akhlak Islam.
Status Penwartaan:  Diwartakan
Tarikh Diwartakan:  5 Jan, 2012
Nombor Rujukan:  JMM/BFB(S)/351/255/02/10; PUNM. 700-02/37 Jld. 2
Akta/Enakmen:  Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002
Negeri: Melaka.

PENUTUP
Demikianlah penjelasan yang ringkas tentang masalah ini, kami nukilkan untuk maklumat dan penjelasan kepada masyarakat, lakukanlah amalan yang jelas ada dalil keharusannya, mencari yang benar dan tidak ada keraguan dalam beribadat adalah selamat sebagaimana yang diputuskan oleh para ulama’ bahawa الخروج من الخلاف مستحب  “Keluar dari perkara khilaf adalah dituntut”.
Perintah Nabi SAW:
عن الحسن بن علي بن أبي طالب سبط رسول الله وريحانته رضي الله عنه قال: حفظت من رسول الله صلى الله عليه وسلم: (دعْ ما يرِيبُك إلى ما لا يريبُك ) رواه الترمذي وقال : حديث حسن صحيح .
Tinggalkan apa yang kamu ragu kepada perkara tidak meragukan kamu”. [HR: Tirmizi, hasan sahih]
Perbuatan ini adalah khilaf antara Haram dengan Harus, bukan antara afdhal dengan kurang baik. Alhamdulillah, jalan ibadat kepada Allah yang sahih banyak dan luas kenapa mencari jalan yang kabur dan tidak jelas. Uslub untuk berdakwah dengan cara yang selamat masih banyak, tidak perlu menggunakan jalan yang meragukan keharusan amalnya, juga kesan akan kejayaannya.
Dalam ibadah tidak memadai hanya niat yang baik tanpa mengikut Syariat atau Sunnah. Niat yang baik mestilah diiringi dengan cara yang betul. Firman Allah SWT:
}الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ{
{Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.} [al-Mulk 67:02]
     Makna “lebih baik amalnya” (أحسن عملا ) ialah siapa yang amalannya paling ikhlas dan paling betul (أخلصه وأصوبه). Ini kerana sesuatu amalan jika ikhlas tetapi tidak betul maka ianya tidak diterima. Begitu juga sekiranya betul tetapi tidak ikhlas, maka ianya tidak diterima juga. Betul di dini merujuk kepada apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.
     Insan tanpa panduan al-Quran dan al-Sunnah akan tersesat dalam menentukan cara ibadah kepada tuhan. Inilah yang berlaku di dalam agama-agama palsu. Mereka mencipta cara ibadah menurut akal fikiran mereka tanpa tunjuk ajar wahyu. Mereka tersesat jalan kerana mendakwa kehendak tuhan dalam ibadah tanpa bukti, sekalipun mungkin mereka itu ikhlas. Keikhlasan tanpa diikuti dengan cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah adalah tidak mendapat tempat.
    Maka ibadah mestilah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW berdalilkan apa yang disebut oleh Allah SWT:
}قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ{
{Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} [Aal Imran 3:31]
Ibadah yang tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW sekalipun niat pengamalnya baik, adalah tertolak. Firman Allah SWT:
}وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِيناً فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِي{
{Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.} [Aal Imran 3:85]
     Berkata al-Imam Ibn Kathir rahimahullah (774H) ketika menafsirkan ayat di atas: “Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain dari apa yang disyari‘atkan oleh Allah maka sama sekali ianya tidak diterima.” [Tafsir Ibn Kathir].
     Dalam hal ini Dr. Yusuf al-Qaradawi juga mengingatkan:
“Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (tatacara) yang diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan”.     [Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi al-Islam].
     Semoga kita mendapat bimbingan dan rahmat dalam beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah, Alhamdulillah Rabbil 'alamin.
وصل الله وسلم على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Sumber:

Di Susun Oleh:
Al-Faqir Ilallah, Abu Anas Madani.
13 R. Awal 1434H – 25/1/2013M.