PENGANTAR
اَلحَمْدُ لِلهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى
رَسُوْلِ اللهِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى
يَوْمِ الدِّينِ.
Memandangkan banyaknya ajaran sesat yang
timbul dalam masyarakat dengan pelbagai jenis ajaran dan kefahaman, kemuncaknya
mengaku menjadi tuhan.
Maka ana telah mengambil inisiatif
meminta beberapa orang pelajar subjek NUZUM di KIAS (Jazahumullahu Khaira) untuk
meringkaskan risalah yang dikeluarkan oleh MAIK dengan tajuk ‘Memerangi Ajaran Sesat’, yang diterbitkan pada Bulan
September 1987 untuk menjadi bacaan, panduan
dan rujukan kepada masyarakat agar terhindar dari ajaran sesat tersebut.
Akhukum, AAM, Hari Asyura 1435H.
Di negara kita, ajaran sesat memang telah dikesan sejak dahulu lagi dan pengaruhnya meresap masuk ke dalam masyarakat Islam menerusi gerakan batiniah atau yang bertopeng di sebalik nama tarikat-tarikat Sufiah yang dikenali di kalangan masyarakat negara ini. Ajaran tersebut lazimnya bergerak secara berkumpulan dan diketuai oleh guru atau pembawa ajaran itu yang dianggap mursyid serta kononnya mempunyai martabat yang tinggi pada pandangan pengikut-pengikutnya. Guru itu sendiri adakalanya menggunakan ilmu batiniah untuk meyakinkan pengikut-pengikutnya seperti menunjuk kekebalannya, mengeluarkan air dari jari, boleh merawat penyakit ganjil dan sebagainya.
Ada juga yang mendakwa boleh menghilangkan diri (ghaib) dari pandangan orang ramai, pergi ke suatu tempat dalam sekelip mata, mikraj ke langit beberapa kali, pergi bertemu Rasulullah SAW untuk menerima ajarannya, tidak pernah tidur semenjak sekian lama, tahu niat hati orang lain terutama pengikut-pengikutnya dan lain-lain lagi. Tujuannya berbuat demikian adalah untuk menarik kepercayaan orang ramai supaya menjadi pengikutnya.
Di Kelantan, kebanyakan ajaran sesat diseludup masuk
dari luar seperti negara jiran. Ajaran tersebut
bergerak secara sulit dengan mempengaruhi mereka yang jahil tentang ilmu agama.
Selalunya taktik yang digunakan untuk mempengaruhi pengikut ialah dengan mengemukakan
pertanyaan-pertanyaan untuk memerangkap kemudian membiarkan orang itu dalam
keadaan tertanya-tanya untuk beberapa ketika misalnya:-
1.
Kenapa Allah SWT memfardukan sembahyang Zohor empat
rakaat, tidak tiga atau dua?
2.
Apa maksud ‘Ba’ dalam awal ayat Bismillahhirrahmannirrahim?
3.
Apa Muhammad awal dan Muhammad akhir?
4.
Nama Allah yang diketahui umum ialah 99, apakah nama
Allah yang ke 100?
5.
Apa makna Alif, Dal, Mim pada nama Adam atau Mim, Ha,
Mim, Dal, pada nama Muhammad?
Pertanyaan yang direka-rekakan itu menimbulkan rasa
ingin tahu dalam hati orang yang dipengaruhi itu kerana sebelum itu mereka
belum pernah mendengar dari mulut guru-guru agama atau alim ulama. Untuk
mengetahui jawapan tersebut, seseorang itu mestilah memenuhi syarat tertentu
seperti berikrar tidak akan mendedahkan rahsia pengajaran yang dianggap ‘isi’
itu, mematuhi semua cakap dan arahan guru tanpa membantah, dan lain-lain syarat
lagi termasuk meminum air jampi. Keengganan mematuhi syarat-syarat yang
diberikan itu menyebabkan seseorang itu dianggap tidak layak menerima ilmu yang
disifatkan sebagai inti dari segala agama. Begitulah cara yang selalu dilakukan
oleh pembawa ajaran sesat supaya ajarannya tidak bocor ke pengetahuan orang
ramai yang dikira bukan ahlinya.
Pengajaran biasanya dibuat di rumah pengikut atau di
surau (balaisah) kepunyaan kumpulan mereka sendiri, bukan di masjid sebagaimana
yang lazim dilakukan oleh guru-guru agama. Di sana mereka berkumpul dan
mengadakan majlis zikir dan pengajaran cuma diselit-selitkan sahaja atau diadakan
pada waktu-waktu tertentu setelah berpuas hati bahawa dalam majlis tersebut dan
tidak ada orang luar yang cuba menyamar untuk mencari rahsia. Jika dalam majlis
tersebut ada orang yang tidak dikenal atau disyaki, maka pelajaran langsung
tidak akan diadakan bahkan majlis tersebut bersurai begitu sahaja.
Satu-satunya pengajaran khusus yang disampaikan kepada
individu tertentu tidak boleh dimaklumkan kepada orang lain tanpa izin guru
hatta sesama pengikutnya sendiri. Alasannya ialah kerana darjah seseorang itu
tidak sama dan mereka tidak semuanya layak menerima ajaran yang kononnya isi
itu kecuali kepada mereka yang sesuai sahaja mengikut penilaian guru mereka
sendiri. Pengajaran hanya disampaikan secara lisan tanpa berpandukan kitab-kitab
tertentu. Jika ada pun, buku tersebut ditulis sendiri oleh guru berkenaan dan
penggunaannya amatlah terbatas supaya tidak jatuh ke tangan orang lain.
Guru ajaran sesat menggunakan berbagai muslihat untuk menundukkan pengikutnya supaya patuh kepada segala arahan dan kehendaknya. Kesetiaan pengikutnya diukur dengan pengorbanan yang dicurahkan terhadap guru. Semakin banyak pengorbanan yang diberikan kepada guru semakin tinggilah pula penghormatan guru terhadap pengikut berkenaan dan semakin rapatlah hubungan mereka. Sebaliknya pula, sedikit pengorbanan yang diberikan mereka semakin rendah dan jauhlah hubungannya dengan guru dan pengikut. Oleh itu tidak hairanlah jika terdapat guru ajaran sesat memiliki kesenangan serta kemudahan yang diperlukannya kerana itu semua diperolehi hasil dari pengorbanan pengikut setianya. Bagi mereka, syafaat guru adalah merupakan suatu ganjaran yang amat diharapkan.
Di samping berusaha membentuk jiwa pengikut-pengikut
supaya kasih dan taksub terhadap ajaran yang dianuti, pembawa-pembawa ajaran
sesat tidak lupa mempengaruhi mereka supaya bersikap benci terhadap sesiapa jua yang
cuba menentang kegiatan mereka termasuk guru-guru agama, alim ulama,
undang-undang, pihak berkuasa agama dan lain-lain. Kononnya usaha suci mereka
itu ditekan dan dihalang oleh golongan yang tidak mahu kepada kebenaran. Segala
hujah yang dibawa oleh guru ajaran sesat untuk menegakkan kepalsuannya itu
memang diterima oleh para pengikutnya tanpa berfikir lagi. Dari sinilah
lahirnya rasa simpati terhadap diri guru mereka yang dianggap tidak bersalah
itu.
Keadaan ini menimbulkan sikap memberontak dalam diri pengikut-pengikut ajaran sesat terhadap pihak berkuasa alim ulama dan mereka lantas mengambil sikap memulau segala program keagamaan yang ditaja oleh orang lain yang bukan dari golongan mereka seperti kuliah-kuliah agama, perayaan agama, sembahyang Jumaat, sembahyang jemaah di masjid atau surau, majlis perkahwinan dan sebagainya. Sama ada disedari atau tidak, kumpulan penganut ajaran sesat itu telah menggugat perpaduan masyarakat dan menjejaskan keharmonian hidup akibat dari perbezaan pegangan ajaran agama antara mereka dan orang ramai. Pernah terjadi krisis rumahtangga bila salah seorang dari pasangan suami isteri enggan menyertai kumpulan tersebut. Demikianlah kesan yang wujud di dalam masyarakat akibat dari pengaruh ajaran sesat yang merbahaya itu.
Tidak syak lagi gerakan ajaran sesat itu jika
dibiarkan membiak akan mencetuskan suasana yang menggugat keselamatan negara
seperti apa yang berlaku di Batu Pahat, Johor pada 16hb. Julai, 1980. Dalam
peristiwa itu banyak nyawa telah terkorban dan cedera apabila kumpulan ajaran
sesat yang dipimpin oleh seseorang yang mengaku sebagai Imam Mahdi menyerang
balai polis Batu Pahat. Motif serangan itu adalah semata-mata menunjukkan
kekuatan mereka sebagai pejuang kebenaran kononnya, kerana terpengaruh dengan
dakwaan ketua mereka bahawa orang yang beramal dengan ajaran itu akan menjadi
kebal. Peristiwa seperti itu tidak mustahil akan berlaku lagi, jika masyarakat
mengambil sikap tidak peduli terhadap gerakan ajaran sesat yang berlaku di
kawasan mereka.
SEJARAH PERKEMBANGAN AJARAN SESAT DI
KELANTAN
Semenjak dulu lagi umat Islam di negeri Kelantan
sedang dilanda ajaran sesat yang kebanyakannya dibawa masuk dari luar Kelantan.
Sekitar tahun 50-an, 60-an dan 70-an muncul ajaran yang
digelar ilmu isi, ajaran Tok Janggut, amalan subud, ajaran Haji Ibrahim Tok
Gedong dari selatan Thailand, Tarikat Naksyabandiah Kadirun Yahya, ajaran Hassan
Anak Rimau dan lain-lain lagi termasuk ajaran Tajalli yang dibawa oleh Ahmad
Laksamana dan ajaran Mat Nor Kua Supa.
Kelahiran ajaran tersebut secara tak langsung menjadi kayu pengukur yang dapat menentukan tahap kelemahan seseorang muslim sejauh mana kemampuan mereka menilai antara ajaran yang hak dan batil.Apa yang nyata, segelintir masyarakat tanpa mengenal peringkat telah terkeliru lalu menerima ajaran dan pegangan ajaran sesat dengan menganggap sebagai sebahagian dari ajaran Islam kerana jahil tentang hakikat sebenar ajaran Islam.
Sebagai
contoh mereka terperangkap dalam gerakan ajaran sesat iaitu dapat menerima
konsep pengajaran yang bercanggah dengan syara’ seperti:-
1.
Sembahyang hanya
memadai dengan niat sahaja tanpa perlu dikerjakan seperti yang disuruh oleh
syara’, sehingga ianya boleh dilakukan sambil berjalan, sambil makan, sambil
bekerja dan sebagainya.
2.
Manusia
keseluruhannya dari Allah SWT dan akan kembali menjadi Allah seolah-olah mereka
adalah satu juzuk dari zat Allah, bukannya makhluk ciptaan Allah. Pegangan
seperti ini sama dengan ajaran Buddha yang mendakwa kononnya manusia yang suci
dan tidak berdosa akan kembali bersebati dalam zat Tuhannya.
3.
Mengerjakan haji
di Makkah sunat sahaja bukan wajib, sebagaimana dakwaan Hassan Anak Rimau.
Dakwaan itu terang-terangan bertentangan dengan rukun Islam yang ke-lima yang
tidak pernah dipertikaikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini, kecuali mereka
yang menyeleweng dan terpengaruh dengan ajaran sesat.
Percanggahan-percanggahan
yang amat keterlaluan dengan syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sudah
jelas membuktikan bahawa ajaran tersebut sengaja direka oleh musuh-musuh Islam
dengan tujuan untuk memesongkan ajaran Islam yang sebenarnya. Itulah sebab
pembawa ajaran sesat tidak mempunyai kitab-kitab rujukan yang tertentu yang
diakui sebagai sandaran kepada butir-butir pengajarannya. Ada juga yang
mendakwa bahawa ajarannya berlandaskan kitab-kitab Tasauf karangan ulama-ulama
Tasauf yang terkenal, tetapi akibat dari kelemahan dirinya memahami isi
kandungan kitab-kitab tersebut menyebabkan berlakulah penyelewengan. Hal itu banyak
terjadi pada mereka yang hendak cuba memahami ilmu tersebut padahal mereka
tidak mempunyai asas pengetahuan yang cukup untuk mencapai ilmu yang tinggi dan
rumit itu, apa lagi jika usaha tersebut dilakukan secara sendiri sahaja tanpa
bimbingan dari guru yang mursyid.
Ciri-ciri ajaran salah dan mengenal pasti kesalahan-kesalahan.
Agama
Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW, yang
memberikan kepada manusia bimbingan, pegangan, amalan-amalan serta hukum hakam,
yang dinyatakan di dalam "Hadis Jibril"
yang ditentukan ruang lingkupnya sebagai "Iman", "Islam" dan "Ihsan", yang kemudiannya dihuraikan dengan terperinci segala kepenuhan
dan kedalaman dengan segalanya oleh para ‘ulama, sebagai merangkumi segi-segi
‘aqidah, syariah dan ajaran serta amalan rohaniah yang dipanggil tasauf. Ia kemudiannya
berkembang menjadi ilmu-ilmu asasi Islam, yang berdasarkan kepada al-Quran,
al-Sunnah serta menimbulkan penafsiran-penafsirannya di kalangan ahli-sunnah
pelbagai segi fahaman dan amalan serta nilai-nilai Islam yang meliputi itu.
Maka
takdirnya oleh kerana beberapa faktor sejarah dan manusiawi, timbullah
penyelewengan-penyelewengan yang melibatkan bidang-bidang "Iman", "Islam" dan "Ihsan" tadi dengan dakwaan ilmu kebatinan atau
kerohanian yang tulen, padahal sebenarnya ia adalah sesat serta menyesatkan.
Aliran-aliran yang sesat dan menyesatkan itu, yang terkeluar daripada ajaran Islam sebenar yang terdapat di seluruh Nusantara ini, berasal daripada aliran-aliran dari kawasan-kawasan pusat sejarah umat ini sendiri.
Di Malaysia juga timbul ajaran-ajaran sesat itu termasuk di negeri Kelantan.
Antara aliran-aliran atau ajaran-ajaran yang sesat yang akan dibicarakan di sini ialah aliran Hassan Anak Rimau, aliran Tajalli Haji Ahmad Laksamana, dan ajaran Muhammad Nor Kua Supa.
TA'RIF AJARAN SESAT
Mungkin bermanfaat jika dita'rifkan terlebih dahulu
apa yang kita maksudkan ajaran sesat itu.
Mungkin secara umumyanya ajaran salah atau ajaran sesat itu boleh ditakrifkan sebagai mana-mana ajaran, pegangan, atau amalan serta keyakinan yang dianuti atau diamalkan oleh seseorang Islam, ataupun orang bukan Islam, yang mendakwa kononnya ia adalah berdasarkan ajaran Islam, atau tidak berlawanan dengan pegangan dan amalan Islam, sedangkan pegangan, keyakinan, fahaman, serta amalan itu adalah berlawanan dengan Akidah dan Syariah Islamiah, sebagaimana yang dihuraikan oleh imam-imam di kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Mungkin secara umumyanya ajaran salah atau ajaran sesat itu boleh ditakrifkan sebagai mana-mana ajaran, pegangan, atau amalan serta keyakinan yang dianuti atau diamalkan oleh seseorang Islam, ataupun orang bukan Islam, yang mendakwa kononnya ia adalah berdasarkan ajaran Islam, atau tidak berlawanan dengan pegangan dan amalan Islam, sedangkan pegangan, keyakinan, fahaman, serta amalan itu adalah berlawanan dengan Akidah dan Syariah Islamiah, sebagaimana yang dihuraikan oleh imam-imam di kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Takrifan yang umum ini mudah–mudahan boleh membantu
dalam menentukan samada mana-mana ajaran, fahaman atau amalan itu adalah sesat
atau salah atau sebaliknya disisi ajaran dan amalan Islam sebenarnya.
Nampaknya pengertian ajaran sesat sebagaimana yang terdapat dalam Enakmen Negeri Kelantan No.2 tahun 1996, seksyen 69 juga boleh termasuk ke dalam pengertian umum ini iaitu: “Barangsiapa mengajar, menghurai di mana-mana sahaja sesuatu ajaran atau menjalankan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan hukum Syara’ atau mana-mana fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis (maka itu dikirakan sebagai ajaran salah atau sesat.”
Berdasarkan kepada neraca aqidah dan syariat itulah,
maka boleh ditentukan sesuatu ajaran itu sesat atau salah atau pun sebaliknya.
BEBERAPA KESIMPULAN TENTANG AJARAN SESAT
Insya’Allah,
dalam bab ini akan dijelaskankan beberapa tajuk asas berkenaan ajaran-ajaran
sesat yang telah dibicarakan dalam halaman-halaman yang sebelum ini,
sebagaimana yang jelas kepada para-para berikutnya.
1. Ajaran sesat atau salah ialah mana-mana ajaran atau pegangan serta amalan dan keyakinan yang dianut atau diamalkan oleh seseorang Islam, atau pun bukan orang Islam, yang didakwa ianya adalah berdasarkan ajaran Islam, sedangkan pegangan, keyakinan, fahaman serta amalan itu berlawanan dengan aqidah dan syariah Islamiah ,sebagaimana yang dihuraikan oleh kalangan imam-imam Ahli-Sunnah wal Jamaah. Berdasarkan kepada neraca aqidah dan syariah itulah maka boleh ditentukan sesuatu ajaran itu sesat ataupun salah atau sebaliknya.
2.
Ajaran sesat atau salah itu muncul dalam masyarakat Islam mungkin hasil daripada
perancangan musuh-musuh Islam yang bertujuan untuk merosakkan Islam dan menimbulkan
perpecahan serta kesesatan dalam masyarakat Islam, termasuk masyarakat Islam di
negeri Kelantan ini.
3.
Ajaran-ajaran sesat itu tersebar di bawah nama gerakan kebatinan atau tarikat
sufiah, dengan ajaran padahal ianya adalah berlawanan daripada ajaran sufiah
sebenarnya dan ajaran kebatinan hakiki yang ada dalam Islam.
4.
Guru-guru atau pembawa ajaran-ajaran sesat yang salah itu biasanya dianggap
oleh para muridnya sebagai seorang yang mursyid dan ada yang mendapat
penghormatan dari kalangannya dengan cara
menunjukkan kekebalan ataupun kemampuan merawat penyakit-penyakit yang
ganjil-ganjil, atau kemampuan mengghaibkan diri dan sebagainya.
5. Antara kaedah-kaedah mengajar yang menjerat murid-muridnya, para guru itu memulakan pengajian secara tidak fomal dengan mengadakan soalan-soalan yang pelik untuk menunjukkan kelebihan-kelebihannya dalam kefahaman agama, misalnya ditanyakan: Kenapakah sembahyang Asar itu empat rakaat, tidak tiga atau dua? Apakah maksud “ba” pada awal “Bismillah”? Apakah Muhammad awal? Dan apakah Muhammad akhir? Apakah nama Allah yang keseratus? Makna huruf-huruf alif – dal – mim pada nama Adam? Huruf-huruf mim-ha-mim – dal pada nama Muhammad? Demikianlah seterusnya.
6.
Pertanyaan-pertanyaan itu menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan murid-murid
yang tidak pernah mendengar persoalan–persoalan itu dari kalangan orang biasa,
lalu ia terperangkap, dan akhirnya menjadi pengikut yang setia, lalu ia diajar
“ilmu isi” itu.
7.
Murid-murid dikehendaki supaya mematuhi arahan guru dengan tidak boleh
membantah, dan ia dikehendaki meminum air jampi.
8.
Pengajaran ilmu sesat atau salah itu tidak dilakukan di tempat-tempat terbuka
seperti masjid-masjid atau madrasah-madrasah yang digunakan umum, bahkan di
rumah-rumah para pengikutnya atau di madrasah khas yang dibina oleh
pengikut-pengikut ilmu itu.
9.
Ajaran ilmu “isi” itu disampaikan pada lewat malam, bila sudah dipastikan tidak
ada orang-orang yang tidak diingini berada dalam majlis itu; jikalau ada
orang-orang yang tidak diingini maka perbincangan dengan guru adalah
berkisarkan hal-hal yang biasa sahaja.
10.
Sesuatu rahsia ilmu isi yang disampaikan kepada seseorang murid tidak boleh
disampaikan kepada orang lain. Kerana dikatakan bahawa martabat seseorang itu
adalah miliknya masing-masing dan tidak sama.
11.
Pengajaran ilmu “isi” itu disampaikan secara lisan, bukan melalui kitab-kitab
terkenal. Kitab-kitab terkenal hanya disebut sahaja untuk menimbulkan
kepercayaan di kalangan mereka yang hadir.
12.
Murid-murid dididik untuk menjadi taksub kepada gurunya dan menunjukkan kasih
yang teramat sangat kepada gurunya dengan berbagai cara, sehingga murid-murid
sanggup mengorbankan harta untuk kepentingan guru. Semakin banyak harta yang
dikorbankan semakin dekat murid dengan guru itu, dan semakin terjamin kedudukan
rohaninya.
13.
Para alim ulama dan guru-guru serta
ustaz-ustaz yang menentang aliran sesat mereka itu dikatakan sebagai orang-orang
yang “tidak sampai” kepada ilmu hakikat yang sebenarnya. Para alim ulama
dianggap sebagai penentang-penentang kepada ilmu yang hak, bahkan ada ketikanya
sehingga alim ulama dihalalkan darahnya oleh golongan yang sedemikian ini.
14.
Gerakan sedemikian menimbulkan kerosakan rumahtangga dan ketegangan dalam
masyarakat serta perpecahan. Bahkan ada yang meyebabkan pembunuhan sebagaimana
yang berlalu di Batu Pahat, Johor, pada 16hb Julai 1980, kalaulah laporan
tentang peristiwa itu benar.
15. Antara unsur-unsur am ajaran sesat itu ialah:
·
-pengajaran
adalah secara rahsia, tidak terbuka.
·
-pegangan
tentang ketuhanan berlawanan dengan pegangan Ahli-Sunnah: contohnya diajarkan
bahawa tujuan manusia beribadat dan beramal adalah untuk menjadi tuhan semula, semua
tuhan. Dia Tuhan, aku tuhan. Ini berlawanan dengan ajaran sebenar, iaitu Allah SWT
adalah tuhan yang menjadikan, dan manusia adalah makhluk yang dijadikan.
·
-Kenyataan tentang hukum syarak berlawanan dengan al-Quran
dan Hadis: misalnya sembahyang boleh dilakukan dengan niat sahaja, haji ke
Mekah tidak wajib, zakat adalah hukum rekaan pemerintah, bersekedudukan dengan
wanita ajnabi tidak haram jika diizinkan, semua ini berlawanan dengan nas-nas
syara’.
·
-Sikap dan tindakan-tindakan guru ilmu sesat ini menunjukkan
penentangan terhadap ilmu-ilmu Islam yang diakui dan ulama yang muktabar.
·
-Huraian-huraian dan tafsiran-tafsiran ayat-ayat al-Quran
dan Hadis bukan berdasarkan kaedah-kaedah ilmu yang diakui tetapi berdasarkan
andaian atau agakan hawa nafsu si guru itu.
·
-Perkara-perkara yang diajar bercampur aduk dengan
khurafat-khurafat dan ilmu kebatinan yang karut,yang membawa kepada kesesatan
dan kekufuran.
·
-Pengajaran yang diserapkan itu menimbulkan ketaksuban
kepada guru dan kumpulan tertentu itu sehingga mereka menganggap mereka sahaja
yang benar di dalam dunia ini dan orang lain semuanya salah.
·
-Unsur-unsur di atas itu menunjukkan bahawa bila ianya
ada pada mana-mana kumpulan, di bawah nama apa sahaja, itu menunjukkan bahawa
kumpulan yang berkenaan itu adalah kumpulan yang mengajar ilmu yang sesat atau
ilmu salah yang mesti dijauhi.
16. Antara ajaran-ajaran Hasan Anak Rimau dari
Bukit Mas, Tanah Merah, Kelantan, ialah seperti berikut:-
·
-Diri kita adalah Tuhan, Allah. Bila seorang muridnya
melihat wajahnya dalam cermin, kata Tok Hassan “Itulah Tuhan”
Sudah tentu ini adalah ajaran yang kufur, kerana
manusia adalah makhluk yang dijadikan, bukan Tuhan, bagaimanakah makhluk yang
lemah boleh menjadi Tuhan yang menjadikan? Ini adalah mustahil.
· -Hasan Anak Rimau mengaku telah mikraj sehingga sampai ke sebelah sana Sidratul-Muntaha, dan bila ditanya tentang Tuhan, jawabnya, Tuhan ialah kita sendiri.
Ini juga mustahil, sebab manusia adalah makhluk yang
dijadikan. Tentang mikraj itu mustahil, sebab hanya nabi sahaja yang mikraj.
· -Hasan Anak Rimau menyatakan kita tidak perlu beriman kepada Nabi Muhammad SAW sebab ia sama seperti kita juga, bahkan kita boleh melebihinya.
Pegangan ini terkeluar daripada agama Islam, kerana
kita wajib beriman dengan Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang jelas dari ayat al-Quran
yang bermaksud: “Muhammad adalah pesuruh Allah”. Adapun persamaan kita dengan
nabi itu adalah dalam hal makan minum dan sebagainya sahaja, bukan dalam hal pangkat
menjadi nabi dan sifat maksum, tidak melakukan dosa. Mustahil kita boleh
melebihi Nabi SAW, sebab pangkat tertinggi itu dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya.
·
-Dia mengajarkan bahawa zikir lebih utama daripada
sembahyang lima waktu, dan seseorang yang mendapat zauq, ilham dan kasyaf, maka
sembahyang lima waktu akan gugur dengan sendirinya, tidak wajib lagi keatasnya.
Sembahyang adalah “tiang agama” sebagaimana yang jelas
daripada hadis, dan juga “kepala ibadat”. Bagaimanakah zikir menjadi lebih
afdhal daripadanya? Sembahyang adalah wajib, walhal zikir adalah sunat, bagaimanakah
zikir lebih afdhal daripadanya? Orang yang meninggalkan sembahyang boleh dihukumkan
dengan hukum bunuh, bila cukup syarat-syaratnya, walhal orang yang tidak
berzikir tidak boleh dihukum bunuh. Bagaimanakah dikatakan zikir lebih afdhal
daripada sembahyang?
Lagipun, kalau seseorang mendapat kasyaf yang sebenar,
iaitu dibukakan oleh Allah Taala tabir alam ghaib, dan ia mengalami zauq, iaitu
merasai lazat dalam ibadat, dan ia mendapat ilham, iaitu mendapat fahaman yang
sebenar melalui malaikat ilham dan lainnya, mestilah ia lagi kuat dan
bersungguh menunaikan solat. Bagaimanakah dikatakan ia tidak perlu solat?
· -Ia mengajarkan
bahawa anak muridnya sahaja yang masuk syurga, orang lain itu hanya seperti
babi sahaja.
Syurga dikurniakan oleh Allah mengikut rahmatNya
kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, mustahil syurga milik anak-anak
muridnya. Bahkan anak-anak murid Hasan ini yang tidak mengikut syariat dan
sunnah dan beriktiqad zindik, bukan menjadi penghuni syurga, bahkan mungkin
sebaliknya, na’uzubillahiminzalik.
· -Tok Hasan mengaku anak kunci syurga berada di dalam tangannya.
Pengakuan itu adalah mustahil, sebab anak kunci syurga
tidak ada dalam tangan makhluk, bahkan ditangan Allah SWT sahaja. Allahlah yang
memasukkan makhluk ke dalam syurga atau sebaliknya. Nabi Muhammad SAW yang
seumpama itu pun tidak memegang anak kunci syurga, ini pula Tok Hasan yang
tidak mengikut syariat dan tidak beriman kepada Allah Azzawajalla dengan
keimanan yang sebenar sebagaimana yang diajarkan oleh imam-imam Ahli-Sunnah
wal-Jamaah.
·
-Hasan Anak Rimau mengajarkan bahawa solat Jumaat
tidak wajib, dan ia sendiri solat jarang-jarang di hadapan orang sahaja.
Memang Hasan tidak percaya kepada hukum syariat
termasuk kewajipan sembahyang Jumaat. Ajaran demikian membawa kepada kekufuran
sebab wajibnya sembahyang Jumaat adalah tetap dengan nas daripada al-Quran,
Hadis, dan Ijma’ ulama umat ini.
·
-Ada berita menyatakan bahawa Tok Hasan ini tidak
pandai sembahyang jenazah.
Kalaulah sembahyang wajib yang lima waktu, dan hukum
syariat serta sembahyang Jumaat tidak diambil berat, maka munasabah sekali ia
tidak ambil berat tentang sembahyang jenazah sehingga ia tidak tahu
melakukannya.
· -Tok Hasan mendakwa ia mikraj tujuh kali, dan ia duduk “catak” (bertinggung) di atas ‘Arasy.
Dakwaan demikian membawa kepada kekufuran, oleh kerana
sesiapa yang mikraj hanya dengan roh sahaja. ‘Arasy tidak boleh dihubungkan
dengan makhluk, ianya dihubungkan dengan Allah.
· -Tok Hasan mengajarkan bahawa dalam diri Adam ada nur a’zam, dan kerana kita ini keturunan Adam, maka kita juga mempunyai nur a’zam yang menyebabkan malaikat sujud kepada Adam. Kerana kita ada nur itu maka kita Tuhan, dia Tuhan, kita Tuhan, semua Tuhan.
Ini adalah ajaran zindik, sebab yang dimasukkan ke
dalam Adam as adalah sesuatu daripada roh ciptaan Tuhan, makhluk, bukan Tuhan. Kalau
dikatakan Tuhan ada dalam diri kita bermakna Tuhan bertempat, dan ini mustahil.
Sesiapa yang percaya Tuhan berada dalam dirinya, bertempat dalam dirinya, maka
terkeluar ia daripada agama Islam. Na’uzubillahiminzalik.
·
-Tok Hasan mengajarkan bahawa hukum syariat seperti
wajib sembahyang, puasa dan zakat adalah ciptaan pemerintah, tidak ada kena-mengena
dengan Tuhan (oleh itu tidak wajib ditaati).
Ini adalah fahaman yang silap, karut, membawa kepada
kekufuran .Hukum-hukum itu semua adalah wajib dengan nas al-Quran, Hadis, dan
ijma’ atau persepakatan ulama ummat ini. Tok Hasan yang jahil dan tidak
mengerti nas serta sejarah mengatakan demikian.
·
-Beliau ada mengajarkan bahawa al-Quran yang ada
ini bukan sebenar, al-Quran yang sebenar adalah lain.
Al-Quran yang ada sekarang ini adalah jelas al-Quran
yang sebenarnya sebagaimana yang terbukti dalam sejarahnya dari awal lagi. Oleh
itu ianya adalah al-Quran yang sebenarnya sebagaimana yang jelas dari nas alQuran,
Hadis dan Ijma’. Tok Hasan yang jahil tentang perkara ini semua telah mengatakan
sedemikian rupa.
·
-Beliau mengajarkan bahawa hari Kiamat tidak akan
berlaku, sebab Tuhan tidak bodoh hendak membinasakan alam ini selepas ia
menjadikannya.
Tentang kiamat itu wajib berlaku berdasarkan kepada
nas al-Quran, Hadis, dan Ijma’. Bahkan dari segi ilmu fizik cara moden pun
disebut bahawa pada suatu masa mesti alam ini akan binasa. Tok Hasan adalah
seorang yang jahil murakkab, yang jahil dan tidak mengerti bahawa dirinya
jahil, padahal dia ingin berbicara tentang perkara seperti ini, dengan itu ia
menyesatkan orang lain.
·
Dia juga
dilaporkan sebagai mengajar bahawa dunia dan akhirat adalah kita sendiri, dunia
adalah anggota kita yang lahir dan akhirat anggota kita yang batin dalam tubuh
kita.
Ini
juga pegangan yang sesat dan menyesatkan, sebab dunia dan akhirat jelas ada,
dan ini jelas dengan pengalaman, dengan nas al-Quran, Hadis, dan ijma’. Tentang
diri kita ini ada alam zahir dan ada alam ghaib padanya itu adalah misalan
sahaja, untuk tujuan pengajaran tertentu.
·
Beliau juga
mengatakan bahawa para ulama tidak mengajarkan ilmu beliau itu kerana mereka hendak
menipu orang ramai, padahal mereka mengamalkan untuk mereka sendiri.
Sebenarnya
ini adalah tuduhan yang tidak ada alasan langsung. Para ulama tidak mengajarkan
ilmu seperti yang diajarkan oleh Tok Hasan oleh kerana ilmunya adalah ilmu yang
sesat dan zindik, yang membawa kepada kekafiran. Yang sebenarnya menipu manusia
adalah Tok Hasan yang mengajarkan ilmu dengan cara yang berlawanan dengan al-Quran,
sunnah dan ijma’ serta pengalaman yang diakui di kalangan mereka yang ahli di
dalamnya.
17. Antara ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Ahmad Laksamana
di Kelantan kepada murid-muridnya ialah seperti di bawah ini:
·
Matlamat mengaji
ilmu hakikat ialah untuk menjadi Allah.
Jelas
kita ini manusia, dan oleh itu kita makhluk yang dijadikan oleh Tuhan. Yang
menjadikan kita ialah Tahan. Bagaimana pula makhuk boleh menjadi Tuhan? Tentang
ilmu makhluk, ilmu itu adalah ilmu yang menghuraikan hakikat perhubungan antara
hamba dan Tuhan, dan bagaimana caranya hendak mencapai martabat yang sama tinggi
dengan Tuhan. Tidak ada ulama hakikat yang mengatakan bahawa tujuan ilmu
hakikat diajarkan ialah untuk membawa manusia menjadi Tuhan. Itu adalah ajaran
zindik.
·
Dia mengajarkan,
“Diriku ini ialah Allah dan kepadanya kena balik (kembali) menjadi Allah
semula.”
Sebagaimana
yang dikatakan diatas, kita adalah makhluk, bukan Tuhan, kita dijadikan, dan
bukan menjadikan. Bagaimana makhluk menjadi Tuhan? Jangankan dari segi agama,
dari segi logik pun fikiran demikian adalah tidak munasabah. Satu perkara lagi,
dimanakah sifat-sifat Allah SWT yang ada pada kita? Sifat Qadim? Baqa?
Wahdaniyyah? Sudah tentu tidak ada kerana kita hanyalah makhluk.
· Beliau mengajarkan, “Diri kita adalah diri Tuhan.”
Kata-kata
ini juga bercanggah dengan aqidah Islamiah, dan tidak munasabah pada akal,
kecuali kepada orang yang gila.
· Beliau dilaporkan telah mengajar, “Selagi kita takut jadi kafir, selama itu kita tidak berjumpa dengan Islam.”
Kata-kata
ini adalah berlawanan dengan al-Quran, Sunnah dan Ijma’, kerana kita diajarkan oleh nas-nas supaya
mengelak dri kita daripada kekufuran pada pegangan, perbuatan dan percakapan.
Dengan mengelak diri kita daripada kekufuran itu,maka selamatlah Islam kita.
Sebaliknya, jika kita bersama dengan kekufuran – dalam percakapan, perbuatan
atau pegangan – maka kita menjadi kafir. Na’uzubillahiminzalik.
·
Beliau
dilaporkan mengajar, “Tanpa Muhammad, (maka) wajib Tuhan tak ada.”
Nabi
Muhammad SAW adalah hamba yang dijadikan oleh Tuhan, dan oleh itu ia makhluk
yang diadakan selepas daripada tidak ada. Sebelum ada Muhammad SAW. Allah SWT
sedia kala ada. Bagaimana dikatakan bahawa tanpa Muhammad, Allah tidak ada? Ini
adalah kata-kata zindik yang juga tidak logik langsung dari segi fikiran yang waras.
Kata-katanya sedap di dengar disisi nafsu tetapi karut dan sesat.
· Beliau dilaporkan berkata “Kalau kita tidak menjadi Tuhan, maka wajib tak kenal Tuhan.”
Ini
kata-kata yang sesat dan menyesatkan. Pertamanya mustahil kita “menjadi” Tuhan,
sebab Tuhan adalah Tuhan bukan dengan “menjadi”. Keduanya, tidak ada nas dalam
Islam yang menyatakan kaedah mengenal Tuhan ialah dengan “menjadi” Tuhan.
Kaedah itu bukan kaedah, tetapi suatu kesesatan yang nyata dan kata-kata yang
zindik. Mengenal Tuhan adalah dengan mengenal sifat-sifatnya, serta dengan
mengenal hukum-hukumNya serta membersihkan hati daripada sifat-sifat keji, dan
bila hati bersih maka Allah SWT kurniakan
pengenalan itu kepada seseorang itu.
· Beliau mengajarkan “Muhammad itu adalah kita”.
Ajaran
ini adalah menyesatkan, oleh kerana Muhammad SAW adalah nabi dan rasul, kekasih
Tuhan, dan kita ini bukan nabi dan rasul, tetapi orang biasa yang wajib
mengikut nabi dan rasul itu. Jadi Muhammad SAW adalah Muhammad, dan kita adalah
kita. Jadi dimanakah alasan yang menyebabkan seseorang itu boleh berkata;
Muhammad adalah kita?
·
Beliau mengajarkan
bahawa ejaan bagi “Islam” alif-sin, lam–mim itu
bermaksud : Alif : Allah, sin: salam, sejahtera, lam-alif : syahadat
tauhid : lailaha illallah, dan mim : syahadat rasul : Muhammadur Rasulullah.
Ini
adalah huraian yang tidak berdasarkan kepada nas dan tidak ada dalil yang
membolehkan seseorang itu menghuraikan maksud itu demikian.
·
Beliau
mengajarkan bahawa hakikat sembahyang ialah berdiri menyaksikan hakikat diri
sendiri, untuk menyaksikan pada diri bahawa tidak nyata pada diri melainkan
Allah, diri yang batin, dan Muhammad adalah diri yang zahir.
Ini
adalah huraian tentang hakikat sembahyang yang sesat dan menyesatkan. Kita
adalah hamba yang berdiri di Hadrat Allah, bagaimanakah kita menyaksikan Allah Taala
pada diri? Allah adalah Allah, kita adalah kita, kita bermunajat dengan Allah
SWT, bukan menyaksikan Allah pada diri. Dan Muhammad adalah rasul kita, dan
kita bukan Muhammad SAW.
·
Diajarkan oleh
beliau bahawa rukun sembahyang yang tiga belas itu adalah diambil sempena
daripada sendi manusia yang besar.
Ini
adalah huraian tentang rukun sembahyang yang tidak ada dalil dan sandaran
langsung. Dari manakah didapati huraian seperti ini? Demikian juga ajarannya
yang mengatakan bahawa Allah mengisyaratkan sembahyang zohor, Muhammad
mengisyaratkan sembahyang Asar, dan seterusnya, ini semua tidak bersandarkan
kepada nas-nas yang nyata dan oleh itu ianya tertolak. Ini semua berpunca
daripada khayalannya sendiri.
18.Antara ajaran-ajaran sesat yang hampir serupa ialah apa yang
disampaikan oleh Muhammad Nor Kua Supa, Paloh Rawa, Kelantan. Antara ajaran itu ialah seperti berikut :
·
Katanya “Tuhan
ada dalam diri kita.”
Sebagaimana
yang telah dijelaskan di atas ini adalah kenyataan zindik yang menjadikan
seseorang kafir, sebab yang ada dalam diri kita ialah makhluk ciptaan Allah SWT,
roh, dan bukan Tuhan, sebab Tuhan tidak bertempat.
· Beliau juga mengajarkan “Kita kena ‘fana’kan diri kita yang bererti kita kena tinggalkan Syara’, kerana kita sudah sampai ke alam baqa, maka Syariat tidak berguna lagi.”
Fana
diri sebagaimana yang dihuraikan oleh arifin ialah bila seseorang yang ikhlas
beramal itu sampai kepada satu peringkat, apabila ia mengalami yang sebenar hanya
ada ialah Allah sahaja, ia merasakan dirinya sendiri tidak ada. Itu fana diri,
bukan ia meninggalkan syara’, bahkan orang yang mencapai pengalaman ini adalah orang
yang beramal dengan syara’ dengan sehabis sempurna. Mana boleh dikatakan bahawa
jika kita fana diri bererti meninggalkan syara’? Apa maksud “sampai ke alam
baqa” sedangkan orangnya belum mati? Kalau mati barulah syara’ tidak diamalkan
lagi, kerana mati. Tetapi ini orang yang hidup? Nabi Muhammad SAW yang sampai
Mikraj ke alam sana, bila ia pulang ke dunia ia beramal dengan syara’, siapakah
yang lebih tinggi bila dibandingkan dengan Nabi Muhammad SAW? Ini adalah ajaran
zindik yang menjadikan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam.
· Beliau mengajarkan, “tidak boleh (di) ceraikan perkataan la ilaha illa’Llah dengan (atau daripada) Muhammadun Rasulullah, kalau (di) cerai (kan), (nescaya orang yang berkenaan itu) menjadi kafir”.
Kalau
maksudnya ialah kalau seseorang mengucap syahadah sekerat sahaja, dengan
mengatakan la ilaha illa’llah sahaja, syahadatnya tidak sah, itu betul; atau
maksudnya kalau seseorang itu percaya kepada la ilaha illallah sahaja, tidak
percaya kepada muhammadun Rasulullah, maka ia kafir, itu benar; kalaulah
maksudnya kalau seseorang itu bertahlil la ilaha illallah sahaja, tidak
menyambung dengan Muhammadun Rasulullah, ia menjadi kafir, itu tidak betul;
yang sebenarnya, adalah baik dari segi adab tahlil, bila seseorang itu
mengatakan la ilha illa’llah Muhammadun Rasulullah; seperkara lagi, kalau
maksudnya ialah seseorang itu jikalau ia menerima al-Quran sahaja dan ia
menolak hadis Nabi SAW maka ia menjadi kafir, ini benar. Wallahua’lam.
19. Antara ajaran dan amalan
yang sedang merebak yang menjejaskan keimanan dan amalan seseorang ialah
ajaran-ajaran dan amalan-amalan secara Syiah Imamiah.
Antara ajaran mereka itu adalah sebagai berikut:
·
Mereka percaya
kepada imam mereka yang dua belas orang itu yang mereka percayai maksum, dan
melintasi darjat para rasul dan malaikat muqarrabin, sebagaimana yang ada dalam
kitab mereka, al-Kafi dan al-Hukumah al-Islamiah oleh Khomeini.
Mengikut
ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah, yang maksum adalah hanya para nabi dan rasul
a.s. Pegangan yang mengatakan imam dua belas itu melintasi nabi dan rasul
adalah pegangan yang sesat dan menyesatkan.
·
-Mereka
percaya bahawa imam dua belas di kalangan mereka itu mempunyai kekuasaan di
atas semua zarah alam ini, iaitu semua atom-atom ini terletak di bawah
kekuasaan mereka, kerana mereka itu dikatakan mempunyai khilafah takwiniyah
atau kuasa khilafah ke atas seluruh alam ini.
Pegangan
sedemikian ini juga adalah batil dan tidak ada puncanya dalam nas-nas yang
diakui. Pegangan ini memahamkan bahawa imam-imam mereka itu mempunyai kekuasaan
seperti tuhan. Ini boleh membawa kepada kesyirikan. Pegangan ini merosakkan
keimanan seseorang itu, Na’uzubillahiminzalik.
·
-Diajarkan di dalam
kitab al-Kafi yang berkedudukan sebagai Hadis al-Bukhari di kalangan kita,
bahawa para imam mereka yang dua belas itu mengetahui semua ilmu malaikat, ilmu
para nabi dan rasul, serta ilmu semua manusia, dan mereka paling mengatahui
tentang perkara yang mendatangkan maslahat untuk manusia, mereka tidak silap
dan lupa.
Jelas
sekali bahawa sifat-sifat yang sedemikian itu mewas-waskan kepada kita tentang
sifat Maha Mengetahui yang ada pada Allah SWT sahaja. Pegangan demikian adalah
merupakan sifat Maha Mengetahui yang ada pada Allah SWT sahaja. Pegangan demikian
merupakan pegangan syirik. Ianya hendaklah ditolak.
· -Dalam kitab al-Kafi mereka juga menyebutkan bahawa imam mereka yang dua belas itu boleh memilih tarikh kematian mereka sendiri.
Jelas
sekali pegangan demikian bertentangan dengan al-Quran sebab dinyatakan dalam quran dalam ayat yang
bermaksud “Dan bila datang ajal mereka maka mereka tidak memperlewatkannya
sesaat dan juga mereka tidak boleh menyegerakan walaupun sesaat.” Bagaimanakah
dikatakan mereka boleh menentukan tarikh maut mereka sendiri walhal ajal maut di
tangan Allah Azzawajalla?
·
-Dalam
al-Kafi juga disebutkan bahawa orang-orang syiah mempunyai mushaf Fatimah, dan al-Quran
disisi mereka itu adalah tiga kali ganda daripada al-Quran yang biasa ini.
Disebutkan oleh ulama mereka yang bernama al-Tabarsi bahawa antara surah yang
tidak ada dalam al-Quran biasa ialah surah al-Wilayah.
Al-Quran
yang dipanggil mushaf Uthmani yang ada pada kita sekarang adalah al-Quran yang
diterima daripada Nabi SAW dan tidak ada al-Quran lain lagi yang diterima daripadanya.
Ini jelas dinyatakan dalam kitab-kitab berkenaan dengan hal sedemikian ini
seperti al-Itqan oleh al-Suyuti. Pegangan tentang Quran lain ada lagi
iaitu adalah pegangan Syiah Imamiah yang tidak ada nas yang diakui yang memberi
keterangannya.
·
Dalam Kasyful
Asrar karangan al-Khomeini disebutkan bahawa selepas wafat Nabi SAW maka para
sahabat menjadi murtad, melainkan beberapa orang sahaja seperti Ali, Salman, Miqdad
dan Abu Zar (Allah meredhai mereka semuanya).
Pegangan
Khomeini yang berpegang kepada syiah Imamiah ini adalah pegangan yang tidak
berasas. Tidak ada ayat al-Quran dan hadis yang menyebutkan tentang murtadnya
para sahabat dengan kewafatan baginda itu SAW. Ini adalah pegangan sesetengah
orang syiah Imamiah yang tidak berdasarkan kepada nas-nas yang diakui.
·
Syiah Imamiah
juga menuduh sahabat-sahabat sebagai fasik, itu sekurang-kurangnya, atau tidak
mengetahui agama, sebagaimana yang jelas daripada kitab Sab’ah minas Salaf.
Antara yang dikatakan fasik itu ialah Abu Bakar, Umar, Uthman, Aisyah, Habsah,
Muawiyah dan Yazid. (Allah meredhai mereka semuanya).
Tidak
syak lagi bahawa pegangan yang demikian itu adalah berlawanan dengan al-Quran,
Hadis, dan pendapat ulama Ahli Sunnah, yang berpendapat semua sahabat adalah
adil. Perbezaan pendapat mereka itu adalah ijtihad mereka masing-masing.
Pegangan yang ada pada mereka itu adalah pegangan yang sesat dan menyesatkan.
· Mereka percaya bahawa al-Mahdi, imam mereka yang dua belas, yang bernama Muhammad bin Hasan al-Askari, akan muncul pada akhir zaman dan memerintah dunia dengan adil.
Pegangan
yang sedemikian adalah tidak berasaskan nas-nas yang boleh diterima. Memang
al-Mahdi adalah berdasarkan kepada riwayat yang dari segi maknanya mutawatir, akan
tetapi al-Mahdi itu namanya ialah Muhammad bin Abdullah, sebagaimana yang
ditegaskan dalam beberapa hadis yang kuat riwayatnya. Dan, bagaimanakah
seseorang yang telah hilang lebih seribu tahun lalu muncul kembali menjadi al-Mahdi?
Ini adalah pegangan yang tidak munasabah.
·
Mereka menuduh
al-Bukhari ada memuatkan hadis-hadis yang mengandungi pegangan kafir, misalnya
yang menyebutkan bahawa di akhirat kelak Allah akan membuka labu betis-Nya
untuk dilihat oleh makhluk sekalian.
Sebenarnya,
ini timbul oleh kerana salah faham mereka, atau sengaja disalah-fahamkan. Maksud
hadis tersebut ialah masa itu adalah masa yang sedemikian mengejutkan sehingga
diumpamakan keadaan yang menyebabkan orang-orang perempuan mengangkat kain dari
betis mereka berlari-lari untuk menyelamatkan diri, atau pun maksudnya ialah
Allah ‘mentajallikan’ diri-Nya setakat yang dikehendaki-Nya, sebagaimana yang
diisyaratkan dalam Tafsir al-Baidawi contohnya. Bukanlah bermakna bahawa
golongan Ahli Sunnah percaya bahawa Allah mempunyai labu betis yang di buka-Nya
pada Hari Kiamat.
·
Mereka mempunyai
pegangan bahawa pemerintah yang sah ialah pemerintahan yang direstui oleh imam
mereka sahaja, semua yang lain adalah tidak sah dan mesti digulingkan. Oleh itu
mereka mengeksport revolusi ala Iran ke mana-mana. Bahkan mereka menganggap
kerajaan khulafa ar-Rasyidin tidak sah, yang sah hanya kerajaan Ali b. Abi
Thalib.
Pegangan
yang demikian itu adalah pegangan yang tidak disokong oleh nas-nas yang boleh
dipegang. Kerajaan Islam di bawah Khulafa ar-Rasyidin adalah sah, termasuk
kerajaan Ali, demikian juga sah kerajaan khalifah-khalifah Umayyah dan
Abbasiyyah, demikian juga pemerintahan-pemerintahan kemudiannya seperti yang
ada di Istanbul dan lain-lain. Pegangan Syiah Imamiah sedemikian rupa membawa
implikasi yang berbahaya dari segi keselamatan negeri-negeri di mana mereka
berada, dan bukan sahaja implikasi buruk dari segi agama Islam.
·
Golongan Syiah
Imamiah mengamalkan kahwin mut’ah dan mereka anggapkan ini adalah halal.
Dari
segi ajaran Syariat Ahli Sunnah kahwin mut’ah ini; iaitu nikah dengan
menentukan waktunya, dengan tidak ada walinya, adalah tidak sah dan haram, dan
membawa kepada zina. Ini disepakati dalam mazhab yang empat sebagaimana yang
jelas dalam kitab Al-Fiqh alal Mazhab al-Arba’ah antaranya.
20. Ajaran sesat cara baru yang disebarkan oleh seseorang yang
menamakan dirinya sebagai “Abdul Manan Harun” adalah ajaran sesat
yang merbahaya.
Antara
ajaran itu ialah:
·
Beliau merayu
kepada mereka yang mengaku umat Islam supaya membuang “tuhan-tuhan” seperti
Syafie, Hanbali, Ghazali, Hanafi, Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud, serta
“tuhan-tuhan” lain yang dipertuhankan oleh manusia dengan kembali kepada Allah
SWT, dan mengikut kitabnya, al-Quran (dengan tidak disebutkan Sunnah Nabi SAW).
Jelas
pengarang risalah ini tidak percaya kepada sunnah sebab beliau menyuruh
orang-orang Islam kembali kepada Quran sahaja. Ini adalah berlawanan dengan
Quran sendiri sebab Al-Quan menyebut nabi S.A.W. diutuskan untuk menyampaikan
kepada manusia apa yang diwahyukan kepadanya dan menghuraikannya kepada
manusia.
Imam-imam
dan ulama yang disebutkan oleh pengarang risalah itu bukannya disembah sebagai
Tuhan, oleh itu mereka tidak boleh dikatakan “tuhan-tuhan” kerana mereka bukan barang
sembahan. Mereka dihormati kerana ilmu dan perjalanannya oleh kerana ilmu
mereka dan perjalanan mereka adalah benar sebagaimana yang dibuktikan oleh
sejarah. Kalau kita tidak mengikut mereka yang benar, siapa lagi yang kita akan
ikut. Adakah mengikut mereka yang benar dilarang al-Quran? Tidak, bahkan al-Quran
menyuruhnya di dalam ayat yang bermaksud, “Bertanyalah kamu kepada ahli ilmu
jika kamu tidak mengetahui.” Atas dasar inilah mereka diikuti, bukan disembah
sebagai Tuhan. Pengarang ini adalah seorang yang jahil yang tidak tahu
membezakan antara apa itu Tuhan dan apa yang bukan Tuhan .
·
Antara ajaran sesat
pengarang ini katanya, “Bukankah mereka yang menganut agama ahli Sunnah
wal-Jamaah telah mencari pertunjuk dari mereka…dan ini menjadikan mereka Tuhan?
Agama
yang dipegang oleh umat Islam ialah agama Islam bukan agama Sunnah wal-Jamaah.
Yang Sunnah wal-Jamaah itu ialah mazhabnya, iaitu mazhab yang hak berpandukan
kepada ajaran Rasul dan Sunnahnya serta ajaran para sahabat yang diasuh oleh
baginda SAW. Petunjuk yang dicari adalah daripada Allah, bukan manusia, sebab
manusia tidak boleh memberi pertunjuk. Yang manusia boleh lakukan ialah
menyampaikan ilmu, itu sahaja, yang memberi petunjuk hanyalah Allah SWT. Kita
umat Islam membaca kitab-kitab ulama untuk mendapatkan huraian-huraian tentang al-Quran
dan as-Sunnah sebab mereka adalah ahli ilmu. Dan orang-orang Islam tidak
menjadikan ulama itu sebagai sembahan. Itu adalah kekeliruan pengarang ini
sendiri.
· Kata pengarang yang sesat ini dalam risalahnya antara lain ialah: “Bukankah hukum-hukum syarak atau undang-undang syariat sekarang bercanggah dengan al-Quran, dan dikarang serta ditulis oleh Tuhan-Tuhan jenis manusia yang dinamakan Taghut?”
Hukum-hukum
Islam yang ada dalam kitab-kitab fiqh itu adalah karangan-karangan para ulama
yang ahli dalam ilmu syariat. Mereka mengarang kitab-kitab itu untuk memberi
bantuan kepada manusia memahami untuk hukum-hukum Allah SWT, takut-takut
manusia disesatkan oleh penulis-penulis jahil seperti pengarang risalah ini,
mereka bukanlah tuhan-tuhan yang disembah. Kitab-kitab mereka diterima oleh
umat Islam kerana kitab mereka itu kandungannya benar dan tidak menyeleweng.
Bagaimanakah mereka itu dipanggil Taghut oleh pengarang ini? Yang sebenarnya
Taghut itu ialah pengarang risalah ini, bukan para ulama itu.
Pengarang
risalah yang jahil ini hendaklah mengetahui bahawa ulama-ulama yang menyeleweng
dalam huraian-huraian mereka, kitab-kitab mereka tidak digunakan oleh umat
Islam sebagai kitab panduan. Aliran mereka telah pupus ketinggalan zaman.
·
Pengarang
risalah itu juga menulis, “….mereka mengaku mereka Islam dengan hanya mengucap
dua kalimah syahadah, “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan
aku naik saksi bahawa Muhammad itu Rasulullah.”….Katanya “Adakah dalam lafaz ini mereka membuat
pengakuan “Aku Islam kepada Allah” (walhal) Allah telah
mengajar kita bagaimana hendak melafaz cara bagaimana untuk menjadi Islam…”
Nampaknya
pengarang ini tidak bersetuju cara memeluk Islam ialah dengan mengucap dua
kalimat syahadah, beliau mahu syahadah itu berbunyi, “Aku Islam kepada Allah”,
dan bukan dengan membaca syahadah yang biasa dipakai itu. Ini adalah ajaran
yang sesat dan menyesatkan, kafir dan mengkafirkan orang yang berpegang
kepadanya. Cara memeluk Islam dengan mengucap syahadah itu adalah berdasarkan
kepada as-Sunnah yang sekuat-kuatnya dalam riwayat Bukhari, Muslim dan lainnya.
Dan itu diterima dari awal lagi. Fahaman pengarang ini nampaknya didapati
daripada ia membaca terjemahan al-Quran yang ada padanya itu. Sebab itulah
katanya Allah Taala mengajarkan cara mana hendak memeluk Islam itu dengan
menyebut ayat yang bermaksud “Aku Islam kepada Allah”, maksud ayat itu
sebenarnya ialah: “Aku tunduk kepada Allah (dalam agama Islam)”. Sebenarnya
ayat itu bukan menunjukkan cara memeluk Islam tetapi menunjukkan nabi pada zaman
dahulu kala telah menundukkan dirinya kepada Allah SWT dalam agama sebenarnya.
lanya berbentuk cerita, khabar, bukan berupa menunjukkan cara memeluk agama
Islam. Tetapi oleh kerana pengarang ini jahil dan tidak mahu mengaji, beliau
menyangka itulah caranya “syahadah” yang diajarkan oleh Allah, yang berlainan
daripada apa yang diamalkan oleh ulama.
·
Beliau
menyatakan bahawa mereka yang menyaksikan bahawa Muhammad adalah Rasulullah SAW
adalah orang-orang munafik, katanya: “Mereka tergolong daripada (sepatutnya,
“kedalam”. p) orang-orang munafik kerana sentiasa naik saksi bahawa Muhammad
itu Rasulullah SAW (6:31) seolah-olah Allah SWT tidak tahu Muhammad itu
rasulnya dan sambil menggunakan lafaz-lafaz ini untuk menyesatkan
manusia-manusia” (63:2).
Jelas
sekali bahawa pengarang ini tidak mempelajari tafsir al-Quran mengikut
punca-punca yang sebenarnya. Yang dikatakan munafiqin yang menyatakan Muhammad
Rasulullah adalah mereka yang tidak Islam sebenarnya, yang berpura-pura berkata
Muhammad pesuruh Allah, walhal mereka tidak percaya kepadanya. Ertinya yang
ditujukan oleh ayat itu ialah mereka yang munafik, yang berpura-pura Islam,
yang menggunakan syahadah itu untuk menyesatkan orang lain, dan untuk mencari
kepentingan. Ayat ini bukan melarang manusia mengucap syahadah, kerana memang
mengucap syahadah itu disuruh, sebagaimana yang jelas dalam hadis-hadis sahih.
Pengarang yang jahil ini sesat dan menyesatkan orang lain.
·
Beliau juga
mengatakan “Taghut-taghut muktabar mereka telah mengubah cara solat yang
diajarkan oleh Allah (17:110). Bukankah ini jelas mereka mempertuhankan Syafie,
Hanbali, al-Ghazali, Hanafi, Bukhari, Muslim….dan yang lain-lain sebagai tuhan
mereka?
Jelas
sekali bahawa pengarang ini tidak peduli kepada nas-nas yang menjadi pegangan
ulama dalam mempelajari dan memahami Islam. Berkenaan dengan sembahyang, maka
jelas itu adalah berdasarkan kepada bimbingan Nabi SAW sendiri, sebagaimana yang
diterangkan dalam Kitabus-Solah dalam al-Bukhari, Muslim, dan sebagainya
yang merupakan catitan sejarah yang tidak boleh dipersoalkan lagi kesahihannya.
Pengarang ini mahu kita memahami bahawa sembahyang itu mengikut apa yang
disebutkan di dalam al-Quran, atau pun terjemahan al-Quran sahaja. Ini adalah
sesat dan menyesatkan, kafir dan mengkafirkan. Tentang sembahyang ini tidak
perlu timbul sebagai persoalan lagi, sebab ianya adalah berdasarkan nas-nas
Quran, Sunnah dan Ijma’.
Itulah
yang muktamadnya. Dan pengarang risalah yang jahil ini tidak boleh mengubah itu
semua. Dan, sebagaimana yang telah dijelaskan, tidak ada sesiapa di kalangan
Ahli-Sunnah yang menyembah imam-imam sebagaimana yang diisyaratkan oleh
pengarang jahil ini. Hanya Allah sahaja yang menyelamatkan kita daripada
fitnah-fitnah dajjal akhir zaman ini. Wallahua’lam.
BEBERAPA LANGKAH YANG
PERLU DIAMBIL
Setiap
mukalaf dan ahli masyarakat Islam hendaklah mengambil langkah-langkah
untuk menyelamatkan dirinya daripada
cengkaman atau pengaruh ilmu-ilmu sesat yang sedang merebak dalam masyarakat
Islam kita sekarang ini, sebagaimana juga, perlulah setiap orang untuk
menyelamatkan dirinya dari terpengaruh dengan agama-agama yang selain daripada
Islam, sebab hanya agama Islam sahaja yang diterima oleh Allah SWT. Antara
langkah-langkah itu ialah sebagaimana yang disebutkan di dalam
perenggan-perenggan yang berikutnya.
Pertamanya,
hendaklah tiap-tiap mukalaf diberi pendidikan Islam yang memadai dalam
bidang-bidang akidah, syariah, dan akhlak, demi membentuk peribadi Islam yang
baik, dan yang akan membolehkannya mengelakkan diri daripada aqidah dan
amalan-amalan yang sesat. Perlaksanaan pendidikan demikian ini, pada paras
sekurang-kurangnya yang menjadi tanggungjawab semua pihak, terutama keluarga,
pusat-pusat pendidikan yang mengajarkan ilmu-ilmu yang bukan ilmu-ilmu syariah,
dan seterusnya. Pelajaran Islam itu boleh dijayakan juga di dalam masjid-masjid,
madrasah-madrasah, musalla-musalla, demikianlah seterusnya, sehinggalah pada
tempat-tempat kerja, termasuk kilang-kilang dan bengkel-bengkel.
Kedua,
sebagai penekanan yang khusus, hendaklah ibu-bapa mengambil berat tentang pendidikan
agama yang sedemikian rupa bagi anak–anaknya, baik lelaki dan perempuan, dan
juga hendaklah mereka mengambil berat tentang kawalan yang sewajarnya ke atas
gerak-geri mereka supaya mereka itu tidak menyeleweng dari segi aqidah dan
amalannya.
Ketiga, hendaklah pihak-pihak yang
berwajib mengambil langkah-langkah sepatutnya, baik yang terdiri daripada
badan-badan agama yang bukan rasmi, termasuk juga pihak berkuasa, supaya
kesilapan-kesilapan dalam pegangan dan amalan itu disebarkan supaya dimengerti
oleh masyarakat Islam, dan langkah-langkah yang berkesan hendaklah diambil oleh
semua pihak supaya ilmu-ilmu sesat itu tidak berkembang dan dielakkan oleh ahli
masyarakat.
Keempat, hendaklah pemuka-pemuka ilmu sesat itu dikenakan tindakan yang tegas ke atas mereka mengikut lunas-lunas syariat Islam sebenarnya, termasuklah hukuman-hukuman yang menahan mereka sehingga mereka bertaubat, ataupun bila sabit kesalahannya, maka dikenakan hukuman yang lebih berat lagi daripada itu. Ini boleh dilakukan, Insya’Allah, dengan adanya kerjasama semua pihak. Perlulah diperhatikan bahawa penyebaran ilmu sesat ini adalah lebih berbahaya daripada dadah yang ditakuti itu, sebab, jikalau dadah membinasakan jasad manusia, maka ajaran sesat membinasakan zat insaniah itu sendiri sehingga ke alam yang kekal abadi.
Kelimanya,
antara lainnya, hendaklah adab-adab berkenaan dengan perhubungan ahli-ahli
zindik dan ahli-ahli bidaah sesat, seperti kaum yang tidak mengambil berat
tentang hukum syara’ ini, atau kaum yang mengajarkan ilmu bahawa kita ini
adalah tuhan, disebarkan supaya orang ramai mengerti adab-adab itu dan beramal
dengannya.
Antara adab itu ialah apa yang diterangkan oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali, semoga Allah meredhainya, di dalam kitab al-lhya’ nya, (juz ll, 166-167 ). Katanya:
Antara adab itu ialah apa yang diterangkan oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali, semoga Allah meredhainya, di dalam kitab al-lhya’ nya, (juz ll, 166-167 ). Katanya:
“Keduanya
ialah bidaah (sesat, seperti tidak memakai syara’ atau mengajar manusia menjadi
tuhan dan sebagainya) yang menyeru (orang lain) kepada bidaahnya itu. Kalaulah
bidaahnya itu adalah sedemikian yang menjadikan ia itu kafir kerananya, maka
keadaannya itu adalah lebih berat lagi daripada kafir zimmi, kerana ia tidak
mengakui kedudukannya dikenakan membayar jizyah dan ia tidak dilembutkan
perhubungannya dengan itu kerana perjanjian dengan orang-orang kafir zimmi itu.
“Kalau bidaahnya itu adalah bidaah yang tidak menjadikannya kafir, maka kedudukannya itu, antara dia dengan Allah adalah lebih ringan daripada kedudukan orang kafir, itu pasti, tetapi dalam hal mengingkarinya maka itu lebih berat daripada kedudukan orang kafir, kerana kejahatan pada orang kafir itu tidak melimpah (kepada orang yang tidak kafir). Maka sesungguhnya orang Islam beriktiqad orang-orang itu sebagai kafir, maka dengan itu mereka tidak peduli kepada kata-katanya, kerana ia tidak mengaku dirinya beragama Islam dan berpegang kepada aqidah yang hak.
“Adapun ahli bidaah (yang menyeru kepada bidaah sesatnya, walaupun tidak kafir, lebih-lebih lagi kalau bidaahnya kafir) yang menyeru kepada bidaahnya dan mengaku bahawa seruannya itu adalah hak, maka ia menjadi sebab kesesatan orang ramai. Dan kejahatan itu padanya melimpah kepada orang lain. Maka adalah mustahab, atau baik, dizahirkan kemarahan terhadapnya, dan ditujukan permusuhan dengannya serta memutuskan hubungan dengannya, serta menghinanya dan merendahkannya, kerana bidaahnya itu, dan menjadikan orang lain liar daripada bergaul dengannya adalah lebih berat.
“Kalaulah (orang bidaah yang demikian itu) memberi salam kepada seseorang di tempat sunyi, maka tidak mengapa menjawab salamnya (kalau bidaahnya tidak membawa kepada kekufuran), (tetapi) kalaulah anda mengetahui bahawa berpaling daripadanya dan diam daripada menjawab salamnya menjadikan ia merasa buruk bidaahnya sendiri dan memberi kesan dalam menjadikannya meninggalkan bidaahnya itu, maka tidak menjawab salam itu adalah lebih utama, kerana menjawab salam itu walaupun hukumnya wajib, ia menjadi gugur kerana ada tujuan yang sekecilnya yang ada maslahat di dalamnya, sehingga (gugur wajib menjawab salam itu) apabila seseorang itu berada dalam bilik mandi, atau ia berada dalam qadha hajat, dan (disini) tujuan untuk menjauhkan dirinya daripada bidaah itu adalah lebih mustahak lagi daripada tujuan-tujuan ini.
“Kalaulah (ahli bidaah itu) berada dalam satu kumpulan maka tidak menjawab salamnya adalah lebih utama untuk meliarkan (menjauhkan) orang lain daripadanya dan untuk menunjukkan keburukan bidaah itu pada pandangan mata mereka. Demikian juga lebih utama untuk berhenti daripada berbuat baik kepadanya serta memberi pertolongan kepadanya terutama dalam perkara yang boleh dilihat oleh orang ramai…..
“Ketiganya ahli bidaah yang awam (yang bukan berdakwah kepada bidaahnya itu) yang tidak mempunyai kemampuan untuk berdakwah kepada manusia bidaahnya itu, dan tidak dibimbangi ianya diikuti oleh orang lain, maka keadaanya itu adalah lebih senang (daripada keadaan orang diatas tadi); maka (dalam hal orang yang demikian ini) hendaklah ianya tidak diperburukkan dengan perangai kasar terhadapnya dan dengan menghinanya, bahkan handaklah ia diberi layanan dengan lemah-lembut dengan memberi nasihat. Sesungguhnya hati orang kebanyakan (atau orang awam itu) cepat berubah. Maka kalaulah memberi nasihat tidak mendatangkan faedah, maka berpaling daripadanya untuk menunjukkannya keburukan bidaah itu pada pandangannya sendiri, maka berpaling daripadanya itu adalah lebih baik lagi. Maka kalaulah diketahui bahawa itu tidak memberi kesan oleh kerana tabiatnya yang sudah keras dan pegangannya (yang paling sesat itu) sudah mendalam dalam jiwanya, maka berpaling daripada itu adalah lebih utama, kerana sesuatu bidaah itu apabila tidak ditunjukkan dengan bersangatan buruknya itu, maka ia merebak di kalangan orang ramai, dan kerosakannya menjadi merata.”
Inilah antaranya nasihat yang diberikan
oleh imam al-Ghazali yang arif ini tentang cara bagaimana kita berhadapan degan
golongan bidaah yang sesat – atau yang membawa kepada kekafiran – yang ada
dalam masyarakat kita. Kalaulah sikap ini diamalkan maka ajaran sesat ini tidak
akan berkembang dalam masyarakat Islam dan ianya akan terhapus, dengan izin
Allah SWT.
Hendaklah
nasihat yang sedemikian ini difahami, dan adab-adab yang disarankan ini dijadikan
pegangan dan amalan yang berkesan. Insya’Allah kita akan mendapat pertolongan
daripada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Wallahua’lam.
وصلّى
الله علي سّيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسّلم
والحمد
لله ربّ العالمين
[AAM, Pagi Hari Asyura 1435H bersamaan dengan 14 Nov 2013 - PSD]