Labels

Saturday, November 9, 2013

Catatan Rehlah Haj (3) 1434H


Abu Anas Madani: Catatan Rehlah Haji 1434H (3).

TARWIYAH:
Keadaan di Makkah malam ini (7hb Zulhijjah);
Jemaah sudah ada yang mula berangkat ke Mina untuk menghidupkan Sunnah Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) berada di Mina esoknya.

Rasulullah SAW sewaktu Hajjatul Wada';
Berangkat ke Mina pada pagi hari Tarwiyah, melakukan solat zuhur, asar, maghrib, isya' dan subuh (5 waktu) pada waktunya yang tertentu tanpa jamak, dan yang 4 diqasarkan 2 rakaat.
Lihat Siri 1 di: Rehlah Haji 1434 (1)
Lihat Siri 2 di: Rehlah Haji 1434 (2).


Pagi hari 9 Zulhijjah Baginda berangkat ke Arafah.
قال صلى الله عليه وسلم:
))خذوا عني مناسككم)). ((الحج المبرور ليس له جزاء إلا الجنة((.

Alhamdulillah jemaah Ash-Har yang bersama ana semua berada di Mina pada hari Tarwiyah, menghidupkan sunnah haji ini.
Di Mina kami isikan masa dengan solat, zikir, tazkirah serta kuliah dan lain-lain aktiviti.
Demikian juga pada hari raya dan tasyrik selepasnya.
اللهم اجعل حجنا حجا مبرورا....

Buku-buku Murajaah & Mutalaah Musim Haji 1434H

 ********
9 Zulhijjah 1434H Hari Wuquf.
Selepas solat subuh jemaah dibawa dengan bas ke Arafah.
Sampai di Arafah jemaah berehat seketika.
Kemudian ana bagi tazkirah Dhuha; ulangkaji Khutbah Rasulullah saw di Arafah pada 1424 tahun yang lampau.
[Pagi Arafah Sebelum Waktu Wuquf]

Selepas solat zuhur, jemaah bermunajat, berdoa, berzikir memohon segala hajat, agar diampunkan dosa dan segala kesalahan.
Fenomena Zikir Munajat seperti biasalah di Arafah, Muzdalifah dan Mina… terus berkumandang, istimewa lagi apabila ada bersama dengan kami Sheikh munajat sendiri… Allahul musta’aan.
[baca catatan tahun 1430H sudah diceritakan dengan detail di:

**************

Doa pada Hari Arafah Untuk Jemaah Haji Atau Semua? 
Sila Baca di: Doa Hari Arafah

DI ARAFAH.
1424 Tahun Lalu
((Seorang Yahudi berkata kepada Umar radhiyallahu anhu: Wahai Amirul Mukminin, ada SATU AYAT yang kamu baca di dalam Al-Qur'an, jika ayat tersebut itu diturunkan kepada kami Yahudi, nescaya kami akan menjadikan hari tu sebagai HARI RAYA.
Umar ra berkata: Ayat yang mana?
Yahudi itu berkata:
"اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا"
Bermaksud: {Pada hari ini AKU telah SEMPURNAKAN AGAMA kamu, dan AKU telah LENGKAPKAN NIKMAT-KU, dan AKU telah REDHA ISLAM sebagai AGAMA.} [Al-Maidah:3]
Umar ra berkata: Kami mengetahui hari dan tempat turunnya ayat tersebut kepada Nabi SAW. Ia turun ketika Baginda berada di ARAFAH pada hari Jumaat.)) [Muttafaqun Alaih]

Berpegang teguhlah dengan AGAMA ISLAM yang telah diredhai dan disempurnakan oleh Allah Taala pada 1424 TAHUN yang lalu.
Agama Islam telah sempurna.
Agama Islam telah sempurna.
Agama Islam telah sempurna.

Ingatlah, sesuatu perkara atau urusan yang bukan daripada agama ISLAM 1424 TAHUN yang lalu, maka ia bukan daripada agama Islam pada hari ini.

Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami atas agama dan ketaatan kepadaMu.
#arar.
(AAM, Mina, Maktab 74, Pagi Hari Arafah 1434H)

*******
Mina - منى
Kenapa dinamakan Mina?
J1: Kerana banyak darah hadyu, korban atau dam ditumpahkan di sini.
J2: Tempat Manusia berkumpul ketika haji.
J3: Cita-cita atau harapan.
Ceritanya: Apabila Jibrail nak berpisah dengan Nabi Adam di Mina, Jibril bertanya: Apakah cita-cita tuan? Jawab Adam: Aku mengharapkan Syurga.
Kata Imam Nawawi: J1 yg betulnya.
(AAM, Mina, Yaum an-Nahr, 1434H).

*****
HARI RAYA
Hari Raya di Mina, Jemaah beribadat dan berehat di Khemah.
Pada petang hari ini, kami ke Jamarat, melontar Jamrah Al-Aqabah dan bercukur atau bergunting. Selesai tahallul Awwal.
Alhamdulillah, semua jemaah haji lelaki yang bersama Abu Anas bercukur kepala (100%), terima kasih kerana memilih yang terbaik.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ((Allah merahmati orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata: Bagaimana dengan orang-orang yang bergunting wahai Rasulullah?
Baginda bersabda: Allah merahmati orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata: Bagaimana dengan orang-orang yang bergunting wahai Rasulullah?
Baginda tetap bersabda: Allah merahmati orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata lagi: Bagaimana dengan orang-orang yang bergunting wahai Rasulullah?
Kemudian barulah baginda bersabda: Dan juga orang-orang yang bergunting)). [HR: Bukhari & Muslim].
Manakala perempuan hanya perlu menggunting sekadar seruas jari dari hujung rambut.
(AAM, Mina, 11 Zulhijjah 1434H).

*****
Forum Perdana di Mina 11 Zulhijjah;
Pihak Tabung Haji telah memilih tiga orang ustaz sebagai ahli panel forum:
     1-    Dato’ Daud Che Ngah. 
     2- Abu Anas Madani 
     3- Habib Ali Zainal Abidin dan Ustaz Shukri Ramli sebagai moderator.
Tajuk: Anggaplah Peluang Haji Hanya Sekali! Maka lakukanlah amalan Ibadat Haji Yang Terbaik....

Isi perbincangan;
1- Jemaah perlu mendapat ilmu & motivasi yang cukup sebelum datang.
2- Di Makkah, para pembimbing perlu berusaha menyampaikan maklumat yang sahih, zikir, cerita dan rahsia atau hikmah ibadat (rahsia) haji selain hukum hakam.
3- Kesedaran jemaah yang ingin berubah perlu diisi dengan tarbiyah dan bimbingan & suntikan semangat yang berterusan.
4- Memperkenalkan kelebihan Tanah Haram, Makkah, Muzdalifah & Mina. Biar jemaah sedar di mana mereka berada!
Bukan hanya tengok bangunan tinggi atau longgokkan sampah-sarap.
5- Perancangan rapi, 300 minit di Arafah ketika waktu wuquf perlu diisi dengan zikir, istighfar, munajat & taubat.
*(bukan zikir munajat dengan suara kuat yang menganggu jemaah lain beribadat).
5-Malangnya, masih ramai lagi yang melakukan haji malboro.. bukan haji mabrur.
اللهم تقبل منا حجنا انك انت السميع العليم.

****
Madrasah Haji:
Selain Madrasah Ramadhan, Madrasah Haji adalah yang madrasah yang paling menyentuh hati dan perasaan.
Saya perhatikan, semenjak pulang dari wukuf di Arafah, ahli jemaah banyak yang berubah, dari segi semangat, kata-kata, sikap, dan mereka menjaga amalan-amalan sunat.

Memang benar, Madrasah Haji adalah madrasah yang hebat yang mampu mengubah diri seseorang. Jiwa kembali kepada fitrah, hati kembali kepada ketenangan, diri kembali kepada mengabdikan kepada Tuhan. Di sanalah paling banyak manusia mengadu segala resah dengan Tuhannya, sehingga mengalirlah air mata, menangis mengingati diri, hamba yang penuh dosa dan noda.

Ketika sesi taaruf di Mina, kebanyakan ahli jemaah sebak dan menangis. Kebanyakan mereka berkata, "Kali ini saya baru saya kenal siapa diri saya sebenarnya, hamba Allah yang hina lagi banyak dosa."
" Ya Allah berilah kami kesempatan lagi menyahut seruan Mu. "

Nafar Awwal (12 Zulhijjah 1434H);

Alhamdulillah, selesai amalan Haji di Mina...
ربنا تقبل منا إنك أنت السميع العليم.
Firman Allah SWT;
وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ لِمَنِ اتَّقَىٰ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
Maksudnya: "Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua (nafar awwal), maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (Ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya." [Al-Baqarah: 203].
(AAM, Makkah 12 Zulhijjah 1434H)

*********
Selepas Haji:
Ana sempat meninjau pembangunan Masjidil Haram yang masih dalam pembinaan.
Perancangan Pembangunan Makkah sehingga tahun 1462H insya' Allah.
*Sempat atau tidak, atau dah kiamat? Allahu a'lam, perancangan perlu dibuat!

المخطط الشامل لمكة المكرمة والمشاعر المقدسة



Penjunjung Jemaah Haji Uzur:
Bila lihat orang uzur tawaf dengan kerusi roda maka teringatlah kepada cerita lama:
تاريخ مكة: الشًّبرية - الشباري
Syibriyah - Syabari;
Katil atau kotak yang dibuat dari kayu dari Jawa dan diikat dengan tali.
Untuk membawa tawaf orang sakit atau tua yang tak larat berjalan.
Ianya seperti raga atau kotak yang dibuat dari kayu dan tali, orang yang uzur duduk di dalamnya, kemudian diusung atau dijunjung oleh 2 atau 3 orang penjunjung, sekiranya pesakit itu besar maka 4 orang akan membawanya...
Syiar mereka minta laluan ialah: "Khasyab-khasyab!!!" - خشب ertinya kayu. Semua orang akan beri laluan kerana takut kena langgar oleh penjunjung yang biasanya berbadan besar (orang Nigeria).
Syabari ini telah dihentikan khidmatnya sekitar tahun 2008 dan digantikan dengan kerusi roda.
[AAM, Makkah, 15 Zulhijjah 1434H]

Kerusi Saei (Teksi Saei).
Dulu kerusi ini digunakan untuk membawa orang yang uzur melakukan saei... 
Kini sudah tinggal sedikit sahaja, kerana orang guna kerusi biasa yang tidak berhias (macam yang hospital).
(Mas'aa, Makkah. 14/12/1434H, AAM).

*******
UNTA
Pagi ini bersama jemaah Ash-Har, tadabbur ayat tentang unta;
Firman Allah SWT:
أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ
{(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?} [Al-Ghasyiah: 17].
Sila lihat Surah An Nahli, ayat 5-6 yang menyebut tentang nikmat Allah 'Azza wajalla ke atas hamba-Nya dengan pengurniaan haiwan-.an'aam ni.

Kemudia jemaah dibawa melawat Hudaibiyah, tempat2 bersejarah dan ladang unta. Di sana para jemaah juga sempat minum susu unta yg dan melawat Muzium Haramain.
(AAM, Hudaibiyah, 16/ 12 / 1434H).

****
Dalam banyak haiwan, Allah perintahkan kita perhati kepada kejadian UNTA, kenapa?
أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ ( عجائب الإبل )


Unta adalah makhluk Allah Ta'ala yang besar sebagai tanda kekuasaan Allah Azza wa Jalla sebagaimana firman-Nya, "Apakah kamu tidak perhatikan kepada unta bagaimana ia dijadikan?" (Al Ghasyiyah: 17).
Dengan seruan sebegini daripada Allah, sudah pasti ia sesuatu yang sangat penting, yang mempunyai kebaikan, pengajaran dan manfaat besar bagi manusia yang mengkajinya. Al-Quran yang mulia penuh hikmah dan pengajaran.
Kita di Malaysia memang sukar untuk melihat unta secara live, mungkin ada jika kita pergi ke zoo yang besar. Tapi ini tidak menghalang kita daripada  menyahut  seruan Allah ini. Kita boleh mendapat maklumat tentang keajaiban unta menerusi buku-buku, laman web, majalah-majalah atau program dokumentari di  TV. Dengan itu kita boleh menggalakkan anak-anak kita dengan bacaan dan maklumat ilmu ini.

Berkata Ibn Kathir, kejadiannya pelik, susunan bentuknya aneh, mempunyai kekuatan dan kehebatan tapi boleh tunduk kepada manusia yang lemah. Ia boleh dimakan, diminum susunya dan kulitnya dimanfaatkan.
Antara keistimewaan unta ialah;
1.     Mempunyai daya ingatan yang kuat walaupun mengembara jauh ke serata tempat, unta pandai dan boleh kembali ke tempat asalnya..
2.     Mempunyai deria bau yang kuat. Boleh mengesan tempat ada air, tempat turun hujan atau tempat tumbuh rumput.
3.     Dapat membezakan suara tuannya dengan suara-suara lain.
4.     Ketika berjalan, unta mengangkat tangan kanan dan kaki kanannya serentak, langkah kedua, kedua tangan kiri dan kaki kiri bergerak serentak juga, untuk keseimbangan.
5.     Unta jantan mempunyai sifat cemburu yang sangat kuat dan tidak mahu unta lain berada berdekatan ketika musim mengawan. Jika tidak, unta jantan tadi akan mengejar dan membunuh unta jantan lain itu..
6.     Untuk menambat unta hendaklah mengikat tangan kirinya supaya tidak bergerak atau mudah duduk, demikian juga ketika nak sembelih atau nak perah susu.
7.     Unta juga mampu berenang dengan tangan dan kakinya.
8.     Bulu badan unta yang tebal bukan sahaja melindunginya daripada suhu panas dan sejuk, tetapi juga mencegah tubuhnya kehilangan air.

9.     Ia dapat menghalang badannya daripada berpeluh dengan cara meningkatkan suhu badan sehingga 41 darjah celcius.

10.   Bulu yang panjang pada hidung dan telinganya sebagai perisai daripada pasir dan debu padang pasir.

11.    Mampu menghabiskan 30 – 50 kg makanan sehari jika ada makanan, sebaliknya mampu bertahan hanya makan 2 kg rumput sebulan bila kekurangan makanan.

12.   Dapat hidup tanpa makanan dan air selama 8 hari di bawah suhu 50 darjah celcius. 

13.   Ia dapat meneguk air sebanyak 130 liter dalam jangkamasa 10 minit (yakni kira-kira 1/3 daripada jumlah keseluruhan berat badannya).

Masya’ Allah, Allah Al-Khaliq, Pencipta yang hebat. Kejadian unta begitu unik, cukup dengan segala kelengkapan untuk berdepan kesukaran dalam persekitarannya di padang pasir yang panas dan sumber air yang begitu terhad.
Demikianlah keajaiban yang Allah tunjukkan pada makhluk-Nya. Semoga kita sentiasa memerhati dan berfikir.
Sumber: الإبل عجائب وغرائب - منتديات النداوي الشعبية
(AAM, Hudaibiyah. 29 Rajab 1434H).



Beberapa Perhatian Untuk di Muhasabah:
Penaja bag kepada jemaah haji Msia tahun 1434H.
Terima kasih di atas sumbangan itu.
Cuma yang saya fikir:
Adakah Bank ini sudah patuh Syariah segala muamalahnya atau masih lagi mengamalkan sistem RIBA?
Kalau dah patuh, alhamdulillah.

Kalau belum patuh syariah, kesian kepada jemaah haji dok kelek ke semua tempat ibadat haji logo yang mengiklankan muamalah riba yang diharamkan oleh Allah 'Azza wajalla.

Pihak pengurusan Tabung Haji perlu peka dengan isu yang sensitif menurut Syariah.
************
Kerusi Roda.
Fenomena baru juga bagi jemaah Malaysia, suka solat jamaah bersama suami / isteri bersebelahan, sedangkan ruang masih ada untuk jemaah solat secara  berasingan.
*Dulu kita nampak jemaah negara lain. Lo ni orang kita pun dah pandai solat jamaah berduet.

            ********


Fenomena ber "Couple";
Fenomena baru juga bagi jemaah Malaysia, suka solat jamaah bersama suami / isteri bersebelahan, sedangkan ruang masih ada untuk jemaah solat secara  berasingan.
*Dulu kita nampak jemaah negara lain. Lo ni orang kita pun dah pandai solat jamaah berduet.

*Lo ni bukan setakat solat (di Makkah) bercouple, ceramah pun bercouple, macam tak sah kalau buat forum tak dak ustaz - ustazah, atau suami isteri berforum sepentas.

************
Makkah luas, Masjidil Haram pun luas.

Yang jadi masalahnya;
1- Orang suka duduk tengan jalan menuju ke Masjid. Tak mahu masuk ke dalam masjid.

2- Kalau Masuk masjid pun suka duduk dekat pintu.

3- Fenomena baru juga bagi jemaah Malaysia, suka solat jamaah bersama suami / isteri bersebelahan.

Benarlah apa yang dikatakan;
Pepatah Arab menyebutkan:

لعمرك ما ضاقت بلاد بأهلها - ولكن أخلاق الرجال تضيق

Demi sesungguhnya, sebuah negeri tidak sempit kerana (bilangan) penghuninya;
Namun, SIKAP PENGHUNINYA - yang menyempitkannya.
Wallahu alam.
(AAM, Makkah. 21 Zulhijjah 1434H).

************

Sebelum Berpisah.
Sebuah majlis perpisahan, Tazkirah & Makan malam jamuan anak unta (Hasyi).
Jemaah haji Ash-Har Travel 1434H  telah dibawa dengan bas ke Muzdalifah, المشعر الحرام
Semoga peristiwa ini menjadi suatu kenangan memori rehlah haji.


***********


Wada' Makkah (Haji 1434H).

Amalan terakhir jemaah haji ialah TAWAF WADA'.

Saat perpisahan dengan Makkah, Kaabah.
Mungkin hikmahnya ialah mereka yang tidak merasai kepahitan berpisah tidak akan mengetahui apakah kemanisan bertemu.

Setiap orang akan bertanya dirinya:
Adakah kita akan bertemu lagi?
Ataupun ini merupakan perpisahan abadi yang kita tidak akan bertemu lagi?

Disaat itu jiwa dan perasaan akan gementar, air mata akan mengalir, lidah akan berdoa:
اللهم لا تجعل هذا آخر عهدنا في هذا المكان الطاهر، وارزقنا العودة بعد العودة، عاجلا غير آجل يا كريم
"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan inilah kali terakhir aku berada di rumah-Mu ini, rezekikan aku agar dapat kembali lagi menjadi tetamu-Mu".!

لئن أصبحت مرتحلا بشخصي -فروحي عندكم أبدا مقيم.
Walaupun jasadku berangkat meninggalkanmu -
Tapi jiwaku tetap berada di sisimu.

(Abu Anas Madani, Wada' Makkah, pagi Isnin 23 Zulhijjah 1434H).



Akhukum,
Abu Anas Madani, Selamat sampai dari Rehlah haji pada Malam Rabu 1 Muharram 1435H - 5/11/2013.

Siap Catatan Pada: 5 Muharram 1435H – 9/11/2013.

Sila Baca Siri 1: Rehlah Haji 1434 (1)
Sila Baca Siri 2: Rehlah Haji 1434 (2)
Doa Hari Arafah: Doa Pada Hari Arafah.