Labels

Wednesday, June 17, 2015

CATATAN PETIKAN TAZKIRAH AAM RAMADHAN 1436H

TAZKIRAH MALAM 1 RAMADHAN 1436H
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
           
            Alhamdulillah malam ini selepas Isya', sebelum menunaikan solat sunat tarawih yang pertama untuk Ramadhan tahun ini, di Masjid ar-Rahman PSD,  al-Fadhil Dr Abdul Basit telah menyampaikan sedikit tazkirah tentang adab, rukun, sunat dan beberapa perkara yang berkaitan dengan Ramadhan dan solat tarawaih secara umumnya.
            Antara yang paling menarik dan menyentap hati ialah tentang membaca al-Quran dalam bulan yang penuh keberkatan, keampunan, pahala berganda  dan rahmah ini.
         
   Kata beliau hfzahullah:
            "Menjelang Ramadhan ini sekurang-kurangnya kita meletakkan target (sasaran cita-cita)  untuk menghabiskan bacaan al-Quran yakni khatam seluruh al-Quran itu sekurang-kurangnya tiga kali dalam bulan Ramadhan ini. JIka mampu lebih daripada itu tentula lebih baik.
            Jika kita berjaya khatam sebanyak tiga kali, alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah!
            Jika kita berjaya khatam sebanyak dua kali, alhamdulillah, alhamdulillah!
            Jika kita berjaya khatam sebanyak sekali sahaja pun, juga alhamdulillah.
            Tetapi jika  kita tidak berjaya khatam walaupun hanya sekali,  innalillahi wa inna ilaihi raji'un!!!!
            Itu sudah mencapa taraf mayat hidup, jika pada bulan Ramadhan yang hanya sekali sahaja setahun pun kita tidak mampu habiskan bacaan al-Quran, tiada  guna lagi hidup, makan dan minum cuma buat menghabiskan beras..."

            Alangkah benar sekali, terasa betapa kita mensia-siakan segala peluang dan tawaran yang diberi oleh Allah SWT, itu baru bab membaca al-Quran, belum lagi masuk persoalan tentang solat sunat tarawih, malam lailatul-Qadr, bersedekah pada bulan Ramadhan dan jamuan  iftar, memberi makan orang yang berpuasa dan lain-lain ibadat.

 

            Sebaliknya jika mendengar ada tawaran, offer diskaun di mana-mana pusat mebeli-belah, manusia berduyun-duyun datang bahkan ada hatta yang  berebut-rebut, sedangkan harga yang kita bayar itu belum tentu murah atau pasti kita untung.
            Tetapi tawaran dan janji yang pasti dari Allah ini, kita manusia kurang mengendahkan dan dan tidak cuba mengautnya semaksimum mungkin.
            Tentang cara membaca al-Quran pada bulan Ramadhan, berbagai formula dan cara dibuat dan disebarkan, tetapi malangnya kebanyakan teori ini hanya tinggal teori, bahkan yang menyebarnya juga mungkin kecundang.
            Yang paling baik kita lakukan adalah mengikut kemampuan, keselesaan dan masa kita sendiri. Aturlah jadual yang bertepatan dengan gaya hidup kita seharian untuk memanfaatkan masa sebijak mungkin.
            Bagi yang bekerja, waktu yang biasanya diperuntukkan  untuk sarapan, rehat, makan tengahari, minum petang dan seumpamanya boleh digunakan untuk membaca al-Quran. 
            Bagi mereka yang tidak keluar bekerja, para homemaker, baik wanita atau lelaki,  waktu yang biasanya digunakan untuk menyediakan sarapan, makan tengahari dan petang boleh dimanfaatkan untuk membaca al-Quran. Subhanallah sesungguh Allah tidak menghilangkan sesuatu perkara itu kecuali ianya akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

            Berapa muka, berapa helai, berapa juzuk sekali baca, kita tentukan dan atur sendiri jadualnya. Bagi para wanita pula, (bagi yang masih mempunyai kitaran haidhnya) terpaksalah berusaha lebih sikit, ini kerana kita akan ketinggalan pada beberapa hari tertentu. Ini tidak menjadi masalah, maka janganlah bersedih dan terasa kerugian kerana ini sudah fitrah kejadian kita sebagai kaum Hawa ciptaan Allah SWT.
            (Insya'Allah nanti kita membincangkan isu khusus tentang  ibadat wanita semasa haidh pada bulan Ramadhan dan beberapa isu tentangnya. Sudah ada penjelasan  dari beberapa kuliah dan tazkirah Dr Abu Anas).

Wallahu a'lam.

UAM, nzny2015
1 Ramdahan 1436H. 
PSD.