Labels

Monday, November 30, 2015

Doa & Ibadat Ketika Ditimpa Musibah Banjir.

بسم الله الرحمن الرحيم
Apabila ditimpa musibah, hadapilah ianya dengan kesabaran serta mengharapkan pahala dari Allah SWT.
Pertama sekali hendaklah kita berdoa dan  ber-istirja’ iaitu mengucapkan: Inna Lillah….

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّهَا قَالَتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:  
مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللَّهُ:
"إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا".
إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا.
      Dari Ummu Salamah sesungguhnya dia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Setiap orang Islam yang ditimpa musibah lalu dia mengucapkan apa yang diperintahkan Allah iaitu:
{Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Allah. Ya Allah, Berikanlah aku pahala kerana musibah yang ku hadapi ini dan gantikanlah dengan yang lebih baik.}
Nescaya Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik."
[HR Muslim].

*Ktbh AAM 06122013 Hujan & Banjir; Hikmah, Hukum & Pengajaran. 




1 -Amalan Ketika Berlakunya Hujan.

 

1.Doa ketika hujan turun.

اللَّهُمَّ صَيِّباً نَافِعاً.
“Ya Allah, cucurilah kami dengan hujan manfaat". [Al-Bukhari].

 

2. Doa selepas hujan turun.

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ.
“Kami telah diturunkan hujan dengan limpah kurnia dan rahmat daripada Allah”. [Al-Bukhari, Muslim].

 

3. Doa ketika hujan terlalu lebat (agar berhenti).

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَام وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ .
“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah ditimpakan bencana ke atas kami. Ya Allah, turunkannya di dataran tinggi, bukit-bukit, lembah-lembah serta tempat tumbuhnya pokok-pokok”.  [Al-Bukhari, Muslim].

      Diriwayatkan dalam satu hadis, Rasulullah s.aw membaca doa ini ketika terjadi banjir, akibat hujan terlalu lebat. Maka doa ini boleh kita baca dalam keadaan banjir seperti yang terjadi di negara kita. Dengan harapan, semoga Allah tidak menimpakan hujan itu sebagai azab, bahkan sebagai satu rahmat. Juga agar hujan itu turun di tempat yang subur dan bermanfaat bagi tanaman. [HR. Bukhari & Muslim].




4. Doa ketika angin ribut.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا، وأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا .
“Ya Allah, aku memohon daripada-Mu kebaikannya dan aku berlindung dengan-Mu dari keburukannya”. [HR Abu Daud, Ibnu Majah. Lihat: Sahih Ibnu Majah].
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا فِيهَا، وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ،
وأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا، وَشَرِّ مَا فِيهَا، وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ .

 “Ya Allah, aku pinta daripada-Mu kebaikannya, kebaikan yang terdapat padanya dan kebaikan yang dikirimkan bersamanya.
Aku berlindung dengan-Mu dari keburukannya, keburukan yang terdapat padanya dan keburukan yang dikirim dengannya”. [Al-Bukhari, Muslim]

5. Doa ketika mendengar guruh.

سُبْحَانَ الَّذِي يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ .

“Maha Suci Allah yang diucapkan tasbih oleh guruh dan malaikat dengan memuji-Nya, lantaran takut kepada-Nya”.
    Apabila Abdullah bin Az-Zubair radhiallahu 'anhu mendengar guruh beliau diam dan membaca doa ini.
[Al-Muwatta’, kata ulama': Sanadnya Sahih dari perkataan Ibnu Az-Zubair.]


6. Doa minta selamat daripada terhimpit, tenggelam, lemas, terbakar, 
nyayuk, jatuh dan pelbagai kemalangan lain:
((اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَدْمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ التَّرَدِّي، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْغَرَقِ، وَالْحَرَقِ، وَالْهَرَمِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنِيَ الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ فِي سَبِيلِكَ مُدْبِرًا، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ لَدِيغًا))
"Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari terhimpit dalam kemalangan (bangunan atau kenderaan), dan aku berlindung kepada-Mu dari jatuh dari tempat tinggi (kapal-terbang, gunung atau bangunan), dan aku berlindung kepada-Mu dari tenggelam (lemas dalam air), terbakar dan kenyanyukan. Dan aku berlindung kepada-Mu dari godaan syaitan ketika hampir sakaratul-maut, dan aku berlindung kepada-Mu dari mati dalam keadaan melarikan diri (murtad) dari jalan-Mu, dan aku berlindung kepada-Mu dari terkena sengatan binatang berbisa." [HR Abu Daud, sahih].



  2: HUKUM FIQH BERKAITAN BANJIR.
Rukhsah dalam bab solat Ketika Waktu kesukaran seperti; Hujan, angin kencang, banjir dan yang seumpamanya.

Penjelasan Perbincangan Para Ulama':
Ulama' mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isya' disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah.

Di sini dibawa beberapa pandangan ulama' dalam permasalahan ini.

1) Ulama' mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian.
Sebahagian ulama' Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah selut dan berlumpur dan ketakutan atas keselamatan (biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). [Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76; Kifayatul Akhyar, 1/337].

2) Ulama' mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit.
[Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185].

3) Ulama' mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan, angin kencang, juga wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusanya untuk jama’ ini.
Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas.

عن ابن عباس أن رسول الله جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء بالمدينة في غير خوف ولا مطر.  قيل لابن عباس: ما أراد إلى ذلك؟ قال: أراد أن لا يحرج أمته.
Ertinya: "Rasululllah s.a.w telah menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya' di Madinah tanpa berlaku ketika itu sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepada Ibnu Abbas apakah tujuan Baginda? Maka dijawab: Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya". [HR Muslim].

Kesatuan Ulama' Fiqh Sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat sebagaimana dalam hadis tadi.
Namun tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.


KESIMPULAN
Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi (dalam Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini juga terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, (rujuk al-Umm, 1/76.) Khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad dan pelbagai masalah yang berkaitan dan logik.

Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjama’kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isya', ia meringankan kerana dengan sekali wudhu' dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu' dan sukar untuk berwudhu' berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan.
Tetapi jika batal diantara dua solat jama’ itu, wudhu' tetap WAJIB diambil. Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau paip yang bersih, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu.
Cuma para ulama' bersepakat jika solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah.


      Sentiasalah berdoa agar Allah jauhkan dari bala bencana banjir, rubut taufan, kebakaran dan sebagainya.
Perbanyakkan istighfar dan taubat agar semuanya selamat.
     Wallahu a'lam.


Akhukum;
Abu Anas Madani,
Pondok Sungai Durian.
30 Nov 2015.



Perisai Muslim; DOA MINTA HUJAN, Alih Hujan.


Ktbh AAM; Banjir Bukan Pesta Tapi Peringatan Dari Allah Untuk Hamba-Nya


AAM Ktbh 02 Jan 15 (Seminggu Pasca Banjir 01);
 3 Pengajaran & Iktibar Daripada Banjir Yang Melanda. 



Ktbh AAM; Teguran Menyebarkan Ramalan Banjir 
& Kesan Pengaruh Media Kepada Masyarakat.