Muhasabah
Selepas Haji Ditunaikan.
Alhamdulillah,
pada hari Sabtu 12 Zulhijjah semua jemaah Ash-Har selamat pulang ke Makkah keluar
dari Mina dengan niat nafar awal.
Jemaah
digalakkan melakukan Tawaf dan Sa'ei haji bagi mereka yang melakukan haji
tamattu', agar semua amalan haji selesai sebelum tamatnya hari Tasyriq - kalau
terlepas pun tidak salah- ambil jalan segera selesaikan semua amalan haji dan
terlepas semua larangan ihram (Tahallul Thani).
Semua
selesai kecuali mereka yang uzur syar'ie atau sakit yang memerlukan bantuan.
Majlis
Muhasabah.
Isnin,
14 Zulhijjah 1436H.
Setelah
berehat selama dua hari, suatu majlis muhasabah amalan haji yang telah selesai dilakukan,
diadakan di Hotel Nada Dhiyafah, Makkah.
Tujuan
majlis ini diadakan ialah untuk mengumpul semula semua jemaah haji yang bersama
dengan Ash-Har dari semua maktab untuk saling bertanya khabar dan mengucapkan
selamat mengerjakan haji.
Majlis
dimulakan dengan ucapan ketua Qafilah Ash-Har, Ustaz Haji Ahmed Shukri, dalam
uacapannya beliau menceritakan sedikit latar belakang operasi perjalanan haji
tahun ini, dengan usaha dan kerja keras warga Ash-Har di Malaysia dan Makkah
untuk memastikan jemaah kuota tambahan (60 orang lebih) dapat menunaikan haji
pada tahun ini.
Kemudian
Ustaz Hasyimi (Pembimbing Maktab 68) pula menyampaikan analogi haji yang
ditunaikan bukan seperti gambar dalam frem atau selfie si kaki pancing yang
dapat ikan besar kemudian ambil gambar dan ikan itu dilepaskan kembali.
MUHASABAH SELEPAS HAJI:
"HAJI BUKAN SEKADAR GAMBAR DALAM FRAME"
"Seumpama seorang kaki pancing yang sudah berhempas pulas,
berpenat lelah mengawal joran untuk menaikkan seekor ikan yang baru menyambar
umpan pada mata kailnya.
Setelah hampir sejam bertarung akhirnya si ikan gergasi berjaya
dinaikkan ke atas darat.
Puas dan lega! Si pengail terus mengambil gambar kenangan
bersama habuan tangkapannya ini. Ia seakan sebuah piala yang baru dimenangi.
Sejurus selepas itu, ikan tersebut dilepaskan kembali ke dalam
sungai. Yang tinggal pada si pengail cuma gambar kenangan. Ikan yang sepatutnya
menjadi santapan jasad, terbuang begitu sahaja. Alangkah ruginya si pengail.
Masa bertarung hampir sejam dengan si ikan gergasi hanyalah kerja
sia-sia."
Tepat dan benar sekali analogi ikan dan pengail yang diberikan
oleh ustaz Ahmad Hasyimi ketika mengisi slot "MUHASABAH SELEPAS HAJI"
untuk jemaah haji pakej ASH-HAR Travel di Hotel Nada al-Dhiyafah.
Analogi beliau memang wujud pada sesetengah orang yang pulang
dari mengerjakan rukun Islam ke 5 ini.
Kesusahan yang dilalui semasa menunaikan haji bermula dengan
berpanas di Arafah, bersesak tidur dengan berbumbungkan langit di bumi
Muzdalifah, bermalam pada hari 11 dan 12 Zulhijiah dalam khemah di Mina,
keletihan 3 atau 4 kali berjalan kaki untuk melontar Jamrah Kubra dan 3 Jamrah
yang lain, di mana setiap satu perjalanan melontar mencecah jarak 4.5 km!
Kesesakan menunaikan Tawaf Ifadhah dan Sa'ei Haji seakan hanyalah suatu
"kenangan susah" ketika melancong ke Makkah dalam musim Haji.
Roh haji tidak kekal melekat pada diri kita selepas pulang ke
tanah air. Kita yang perlu berusaha mengekalkannya sehingga ke akhir hayat.
Sungguh malang bagi manusia yang meninggalkan semangat rohani dalam ibadah haji
di Makkah. Kemudian pulang ke tanah air sebagai individu sama, yang masih
bergelumang dengan segala bagai tabiat lama, sedangkan gelaran "Tuan Haji
atau Puan Hajjah" bakal dinobatkan manusia.
Ustaz Hasyimi menegaskan roh serta semangat ibadat haji yang
menuntut kita "bersabar dan patuh" kepada semua suruhan dan larangan
Allah dalam haji, wajib dibawa pulang bersama ke tanah air. Ia wajib dipakai
seumur hidup. Pulang haji menuntut kita membuka lembaran baru dalam hidup
selepas menjiwai peranan "HAMBA ALLAH YANG SENANTIASA PATUH DAN RELA
BERKORBAN APA SAHAJA DEMI ALLAH."
Berkaitan dengan jaminan pengampunan Allah bagi orang yang
mencapai haji mabrur pula, Ustaz Hasyimi menegaskan bahawa hak memberi
pengampunan adalah MUTLAK MILIK ALLAH. Ia bukan boleh dipaksa. Allah bukanlah
majikan yang "terpaksa" memberikan "gaji pengampunan" kepada
manusia setelah "kerja haji" diselesaikan. Sebaliknya pengampunan
dari Allah adalah al-Fadhl atau kemuliaan yang Allah berikan kepada sesiapa
sahaja yang Dia mahu:
أَلَمْ
تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ
وَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
{Tidakkah
engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? DIA
MENYEKSA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT ATURAN DAN HUKUM SYARIATNYA), DAN
MENGAMPUNKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT ATURAN DAN HUKUM SYARIATNYA).
Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} [Al-Ma'idah, 5:40].
Bukti lain yang menunjukkan pengampunan adalah hak mutlak Allah
adalah kerisauan nabi Adam AS di padang mahsyar nanti jika Allah akan menarik
balik pengampunan yang pernah Allah anugerahkan kepadanya semasa di dunia
dahulu:
فَأَكَلَا
مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ
الْجَنَّةِ ۚ وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَىٰ
{Kemudian
mereka berdua (Adam dan Hawwa') memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada
mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun
dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah
jalan (dari mencapai hajatnya).}
ثُمَّ
اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَىٰ
Kemudian TUHANNYA MEMILIHNYA (DENGAN DIBERI TAUFIK UNTUK
BERTAUBAT), LALU ALLAH MENERIMA TAUBATNYA SERTA DIBERI PETUNJUK.} [Taha, 20:
121-122].
Walaupun dosa Baginda a.s sudah diampunkan, kerisauan tetap ada
pada Baginda di akhirat kelak sehingga apabila diminta memberikan syafaat
kepada semua manusia Baginda menjawab:
إن ربي
غضب غضبا لم يغضب قبله مثله ولا يغضب بعده مثله وإنه نهاني عن الشجرة فعصيت نفسي نفسي
نفسي اذهبوا إلى غيري
"Sesungguhnya Tuhanku murka pada hari ini dengan kemurkaan yang
belum pernah berlaku pada sebelum dan selepasnya. Sesungguhnya aku sendiri
pernah dilarang dari mendekati pokok terlarang (dalam syurga dahulu) tapi aku
mengingkarinya. Maka pada hari ini (usahlah berharap padaku kerana kita semua
membawa diri) sendiri sendiri. Pergilah kamu mencari (pemberi syafaat) selain
dariku." [Sunan al-Tirmidhi].
Rupanya haji mabrur yang kita usahakan semasa di dunia ini kelak
akan dipakai sebagai asset penting di akhirat kelak.
Walaupun haji mabrur adalah anugerah Allah kepada sesetengah
insan, ia tetap berkait rapat dengan usaha ikhtiar dan SANGKA BAIK kita kepada Allah
sebagaimana firman-Nya dalam sebuah hadith Qudsi:
أنا عند
ظن عبدي بي
"Aku
berada pada (tahap) sangkaan hambaKu pada-Ku." (Sahih al-Bukhari &
Muslim).
Bersangka baiklah dengan Allah yang mampu menganugerahkan kita
Haji Mabrur. Iringkan harapan mendapat Haji mabrur selepas pulang ke tanah air
dengan usaha MENJAGA SEGALA ARAHAN DAN LARANGAN ALLAH sepanjang umur kita.
Mudah-mudahan kita mendapat haji Mabrur yang bakal menjadi aset akhirat
melepaskan diri dari azab neraka.
Catatan: Ustaz Haji Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Makkah Mukarramah. 14 ZULHIJJAH 1436 /27 SEPTEMBER 2015.
[Lihat FB: Haji Bukan Sekadar Gambar Dalam Frame ]
Kemudian
Ustaz Ahmad Husni - Abu Fatih Al-Mubaraki- (Pembimbing Maktab 112) pula menyampaikan
ucapan nasihat dan taujihat, betapa haji yang dilakukan adalah suatu ibadat
seumur hidup yang perlu dijaga dan disuburkan kemanisannya sentiasa.
Antara
butir pesanan atau tausiyah Abu Fatih;
1. Rumah yang wajib dirindui adalah Baitilllah al-Haram.
Itulah antara hikmah dinamakan sebagai al-bait (rumah).
2. Manusia pada hakikatnya seronok dengan ibadah dan
kebaikan. Buktinya sewaktu menjalankan ibadah Haji semua bersungguh-sungguh
kerana sebenarnya manusia sangat rindukan suasana dekat dengan Allah cuma
selama ini mungkin jauh dan tak dipedulikan.
3. Bertemu dan berpisah adalah lumrah. Kita berlatih untuk
perpisahan abadi setelah kita mati nanti
Ukhuwwah
yang terbina sepanjang rehlah perlu juga dijaga sampai ke akhirnya.
Abu
Anas pula memulakan uacapan dengan mengucapkan tahniah di atas sempurna sudah
amalan haji yang menjadi agenda dan objektif kedatangan kita ke Makkah pada
tahun ini.
Kemudian
di ceritakan semula semua amalan haji yang telah dilakukan bermula dari hari
tarwiyah sampailah balik ke Makkah. Sekiranya ada mana-mana bahagian yang
kurang sempurna atau tersalah jemaah diminta tampil bertemu dengan ana untuk
menyelesaikan perkara yang boleh diselesaikan. Atau sekiranya ada dam atau
fidyah yang mesti dibayar maka perlu diselesaikan segera sebelum pulang ke
Malaysia, kerana isu haji tidak boleh diselesaikan di tanahair selepas pulang.
Alhamdulillah,
banyak perkara yang dapat diselesaikan, dan tidak banyak masalah yang
dikemukakan.
Inilah
tugas para pembimbing yang sepatutnya dijalankan, bukan setakat duduk berlagu
di Arafah atau Mina pada saat jemaah perlukan ketenangan dan tumpuan untuk beribadat.
AAM; Tanyalah Ustaz 290110 Muhasabah Selepas Haji Bhg 1
AAM; Tanyalah Ustaz 300110 Muhasabah Selepas Haji Bhg 2
AAM; Tanyalah Ustaz 310110 Muhasabah Selepas Haji Bhg 3
Majlis Kedua: Aku Seorang Haji / Hajah & Tips Istiqamah
Selepas Haji.
Rabu 16 Zulhijjah 1436H.
Menjadi kebiasaan para ulama' dan
murabbi akan berpesan kepada jemaahnya agar beristiqamah tetap pendirian di
atas jalan yang diredhai oleh Allah Azza wajalla.
Namum perkataan "Fastaqim"
iaitu "teguh pendirian" adalah suatu ucapan yang sangat berat untuk
menanggungnya, kerana itu ianya menjadi pesanan.
Maka sebelum berpisah ana memilih tajuk
ini buat bicara dengan para jemaah sebagai wasiat dan taujihat untuk dijadikan
panduan dalam menjaga rekod amalan yang telah dibersihkan sebagaimana Firman
Allah pada petang Hari Arafah: {Keluarlah kamu dari Arafah dengan Dosa Yang
diampunkan}.
Beberapa Tips atau Panduan telah
disampaikan buat Jemaah:
ISTIQAMAH SELEPAS HAJI.
Ringan pada lidah tapi berat pada
perlaksanan dan tindakan. Itulah penangan istiqamah atau konsisten dalam
kebaikan, lebih-lebih lagi selepas pulang dari haji. Walaupun sukar ia tetap
menjadi kewajipan bersesuaian dengan firman Allah:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا
ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Ertinya: {Oleh itu, hendaklah engkau
(wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang
diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada
kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas
hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.}
(Hud [11:112]).
Sukar memang sukar, namun ia mampu
dilakukan kerana Allah tidak menyuruh sesuatu yang mustahil.
Istiqamah paling utama selepas haji
adalah istiqamah dalam Tawhid.
Lihat pesanan Baginda SAW kepada
sepupunya Abdullah bin 'Abbas yang masih kecil ini:
يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ
يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا
اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى
أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ
لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ
قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ
Ertinya: "Wahai anak! Aku akan
mengajarkanmu beberapa pelajaran berguna. Jagalah hak Allah, pastinya Allah
akan menjagamu. Jagalah hak Allah, pastinya Allah akan membantumu. Jika engkau
mahu meminta sesuatu maka mintalah dari Allah. Jika engkau mahukan pertolongan,
maka mintalah pertolongan darinya. Percayalah bahawa jika seluruh umat manusia
berkumpul untuk memberikanmu sesuatu manafaat, mereka tidak akan mampu (sama
sekali) memberikanmu manafaat melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu.
Dan jika mereka (seluruh umat manusia) berkumpul untuk memudharatkanmu, mereka
tidak akan mampu (sama sekali) memudharatkanmu melainkan apa yang sudah Allah
tentukan untukmu. Pena taqdir sudah diangkat dan kertas taqdirmu juga sudah
kering! (Taqdir yang ditulis semenjak azali sudah muktamad dan tidak akan berubah)."
(Sunan al-Tirmidhi).
Syiar Talbiah dalam Haji terkandung
padanya prinsip Tawhid. Muslim sanggup berhabis harta, tenaga dan masa hanya
kerana menyahut seruan Allah. "Hanya kerana Allah! Tidak yang lain!"
Inilah prinsip Tawhid dalam ibadah haji.
Tawhid dalam haji bukan pemula hidup
muslim tetapi suatu "PEMUGARAN SEMULA", seumpama pokok yang
dibugarkan dengan siraman air. Penanaman Tawhid sudah bermula seawal kelahiran
manusia ketika mereka diazan dengan Kalimah Tawhid. Apabila usia mencecah 7
tahun, seorang anak diajar solat kerana dalam solat juga terkandung intisari
Tawhid.
Selepas pulang haji, apa tandanya cahaya
Tawhid mulai meresap masuk ke dalam diri?
Dr Abdul Basit menyebut ia berkait
dengan hati. Hati yang soleh dan mengenal Tawhid berasa tenang dengan Islam,
manakala hati yang berkarat berasa sempit apabila mendengar perkataan Islam.
Ayat ini menjadi indikator terbaik:
فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ
لِلْإِسْلَامِ ۖ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا
كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى
الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ
Ertinya: {Maka sesiapa yang Allah
kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan
dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah
kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit
sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah
payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak
beriman.} (Al-An'am [6:125]).
Tuan Guru Dr Abdul Basit mencadangkan
beberapa panduan yang perlu dikat erat pada hati semua jemaah pakej haji
ASH-HAR Travel demi menjaga Istiqamah (konsisten dalam kesolehan) selepas Haji
sehingga kita dijemput Allah:
1) Berpegang kepada akidah yang benar
dan menjauhi segala lubang syirik. Ini kerana syirik adalah
"KEZALIMAN TERBESAR::
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ
لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Ertinya: {Dan (ingatlah) ketika Luqman
berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak
kesayanganku, JANGANLAH ENGKAU MEMPERSEKUTUKAN ALLAH (DENGAN SESUATU YANG
LAIN), SESUNGGUHNYA PERBUATAN SYIRIK ITU ADALAH SATU KEZALIMAN YANG BESAR."}
(Luqman [31:13]).
2) Menjaga solat 5 waktu (merangkumi solat sunat rawatib 12
rakaat setiap hari bersama zikir pagi dan petang) dan jangan berlagak seperti
"lembu kenyang" yang buta hati tidak mempedulikan seruan azan.
3) Melazimi pakaian taqwa yang berbentuk
zahir (tidak ketat menyeksa dan tidak
nipis menggoda), juga pakaian taqwa berbentuk batin (akhlak mulia). Bagi
merealisasikan usaha ini, semua pergaulan bebas dan gambar tidak lulus syariah
dalam media sosial "WAJIB SEGERA DIHENTI DAN DIPADAMKAN."
Dr Abdul Basit menegaskan "MEDIA
SOSIAL YANG SENANG MENELANJANGKAN" umat Islam adalah fitnah terbesar akhir
zaman yang disebut sebagai "FITNAH AL-DUHAYMA' iaitu fitnah yang
"menampar semua manusia tanpa kecuali" sehingga sudah tidak dapat
dibezakan antara seorang mukmin dan munafik (Sunan Abu Dawud, Musnad Ahmad dan
Mustadrak al-Hakim).
[Lihat: Tazkirah Buat Teman di Facebook.
4) Berdamping dengan al-Quran seumur
hidup kerana ia adalah tali
penghubung antara kita dengan Allah dan Rasulullah SAW. Ia juga menjadi
penolong setia kita di akhirat kelak:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Ertinya: "Bacalah (fahami, hayati
dan praktikkan) al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat kelak sebagai
pembantu kepada pembacanya." (Sahih Muslim).
5) Cintakan ilmu dan melazimi majlis ilmu. Pencarian ilmu pada zaman moden
semakin mudah. Alasan malas atau tidak sempat sudah tidak relevan kerana ilmu
boleh diakses di mana sahaja. Tampaknya semakin tinggi teknologi maka semakin
tinggi hujah untuk Allah menyalahkan kemalasan kita di akhirat kelak. Pun
begitu, majlis ilmu rasmi di surau masjid tetap perlu dihadiri bagi mendapat
siraman 4 rahmat Allah sebagaimana hadith ini:
مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلا حَفَّتْهُمُ
الْمَلائِكَةُ , وَتَنَزَّلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ ، وَتَغَشَّتْهُمُ الرَّحْمَةُ
, وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Ertinya: "Tiadalah sesuatu kaum itu
berkumpul bagi mengingati Allah (menghadiri majlis ilmu) melainkan mereka (akan
memperoleh 4 kelebihan, iaitu) (1) akan dinaungi para malaikat, (2) ketenangan
akan turun kepada mereka, (3) rahmat akan melitupi mereka dan (4) Allah akan
menyebut nama mereka dalam kumpulan orang yang dekat kepada-Nya." (Sahih
Muslim).
7) Menjaga halal haram dalam muamalat. Hindari riba sejauh mungkin kerana ia
antara wasiat utama khutbah wada' Rasulullah SAW (Sirah Ibn Hisyam). Berterusan
dalam sistem riba seumpama mengisytiharkan "PERANG DENGAN ALLAH DAN
RASULULLAH":
فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ
وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا
تُظْلَمُونَ
{Oleh itu,
kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka
ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya
kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang
sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak
berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.}
(al-Baqarah [2:279]).
8) Bersahabat dengan orang soleh terutama sekali kaki masjid dan surau
kerana mereka "bersahabat dengan para malaikat" sebagaimana pujian
Rasulullah SAW:
إن للمساجد أوتادا هم أوتادها ، لهم جلساء من الملائكة ،
فإن غابوا سألوا عنهم ، وإن كانوا مرضى عادوهم ، وإن كانوا في حاجة أعانوهم .
Ertinya: "Sesungguhnya bagi masjid
itu ada "tiang serinya", mereka (kaki surau masjid) mempunyai teman
(semasjid) dari kalangan para malaikat, jika mereka tidak hadir (ke masjid)
para malaikat akan bertanya khabar perihal mereka, jika mereka sakit para
malaikat akan menziarahinya dan jika mereka mempunyai keperluan, para malaikat
akan membantu mereka." (Mustadrak al-Hakim).
Kaki surau masjid boleh menjadi
"radar pengesan dan pemberi peringatan" jika kita terlupa
mengimarahkan rumah Allah.
9 ) Senantiasa berdoa dengan doa anjuran
Rasulullah agar ditetapkan hati atas iman
dan amal soleh:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Ertinya: "(Ya Allah) Yang Berkuasa
membolak balikkan hati, tetapkan hatiku dalam agama-Mu." (Sunan
al-Tirmidhi).
Juga firman Allah:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا
وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Ertinya: {(Mereka berdoa dengan
berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami
sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah
rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah
pemberian-Nya.} (Ali 'Imran [3:8]).
Juga doa saranan Rasulullah SAW:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِن الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ
Ertinya: "Ya Allah aku mohon
perlindungan dari belot (terpesong) sesudah mendapat petunjuk." (Sunan
al-Nasa'i).
Di akhir tazkirah Dr Abdul Basit
menyimpulkan makna Haji Mabrur dengan katanya:
"Selepas pulang kita jangan
mengharap bertukar menjadi malaikat. Ia mustahil kerana kita tetap manusia yang
terdedah kepada salah dan silap. Maksud mendapat Haji Mabrur adalah kita
senantiasa cenderung ke arah kebaikan dan semakin menjauhi dosa dan maksiat.
Jika berasa lesu dari kebaikan, carilah ustaz atau teman yang boleh
"MEMUGARKAN KESOLEHAN" dalam diri sebagaimana kebiasaan para sahabat
Rasulullah yang saling mengingatkan sesama mereka ketika bertemu:
اجْلِسْ بِنَا نُؤْمِنْ سَاعَةً
Ertinya: "Duduklah bersama kami
seketika untuk menambah iman (dengan sedikit peringatan agama)." (Imam
al-Bukhari menyebutnya tanpa sanad dalam Sahih al-Bukhari dan disebut juga dalam
Musannaf Ibn Abi Syaybah).
Semoga perkongsian ini menjadi
peringatan kepada kita semua untuk kekal ISTIQAMAH sehingga mati selepas pulang
dari menunaikan haji.
Catatan: Ustaz Haji Abdullah Bukhari bin
Abdul Rahim.
Catatan 2 Oktober 2015 (4.20 pagi) di
hadapan Ka'abah.
Petikan dari Tazkirah "Istiqamah
selepas Haji" oleh Tuan Guru Dr. Abdul Basit pada 30 September 2015.
[Lihat
Istiqamah -
https://www.facebook.com/abdullahbukhari.abdulrahim/posts/10205324847186067 ]
Tips Istiqamah Selepas Haji
SESUDAH HAJI YANG TERTUNAI
Tazkirah Istiqamah diteruskan lagi dengan Nasihat dan Taujihat
Dari Ustaz Ahmad Hasyimi, Jazahullahu Khaira.
MUHASABAH HAJI:
"ISLAM ADALAH VISA KE SYURGA".
Susah sungguh memikirkan apa barang yang perlu dibawa pulang ke
Malaysia selepas selesai menunaikan haji. Senarai penerima "buah
tanda" haji berjela panjangnya. Seakan jika tidak dibawa produk Mekah maka
tidak sah gelaran haji atau hajah yang bakal dipakai.
Di tengah kecamuk pemikiran tentang "buah tanda
fizikal" dari haji itu, sesi muhasabah selepas haji anjuran pakej ASH-HAR
travel seakan satu tukul besar memecahkan segala pemikiran remeh sebegitu.
Sekali lagi Ustaz Hasyimi mengkagumkan saya.
Analoginya mudah dihadam:
"Banyak bekal haji boleh dibawa pulang. Yang paling utama
dan wajib dibawa pulang bukan buah tasbih, jubah, atau produk Mekah, tetapi
"kesempurnaan penghayatan Islam." Kesempurnaan Islam sangat tepat
dengan roh haji kerana ayat hukum terakhir yang menobatkan kesempurnaan Islam
turunnya kepada Rasulullah SAW pada haji terakhir Baginda."
Ayat yang dimaksudkan Ustaz Hasyimi adalah:
الْيَوْمَ
أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ
دِينًا
Ertinya: {Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama
kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam
itu menjadi ugama untuk kamu.} (al-Ma'idah [5:3]).
Mengapa disibukkan sangat dengan penghayatan Islam sebagai
"produk rohani Haji" yang wajib dibawa pulang, sedangkan semua tahu
Islam pasti melekat dengan jemaah haji yang pulang ke negara masing-masing.
Tidak lain, ini kerana Islam seumpama "visa utama"
bagi sebagai rukun utama Islam. Tanpa visa islam segala bagai ibadat tidak
berguna. Bahkan tanpa visa ini, mustahil seseorang itu boleh menjejak kaki ke
tanah haram. Ia diwartakan secara kekal oleh Allah berikutan turunnya ayat ini
pada tahun ke 9 Hijri:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ
بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا ۚ وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ
مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Ertinya: {Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya
(kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, OLEH ITU JANGANLAH MEREKA
MENGHAMPIRI MASJID AL-HARAAM SESUDAH TAHUN INI (TAHUN 9 HIJRI); dan jika kamu
bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah
kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.} (al-Tawbah [9:28]).
Semangat Tawhid dalam ibadah haji adalah tulang belakang Islam.
Melepaskan Tawhid dan terlibat dengan syirik seperti meruntuhkan tiang seri
Islam. Tanpa Islam dan Tawhid apalah gunanya bergelar Tuan haji atau Puan
Hajah. Ingat amaran nabi Isa AS ini:
لَقَدْ
كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ ۖ وَقَالَ
الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ ۖ إِنَّهُ
مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ
ۖ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ
Ertinya: {Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang
berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam". Padahal
Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan
Tuhan kamu, "BAHAWASANYA SESIAPA YANG MEMPERSEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU
YANG LAIN, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH HARAMKAN KEPADANYA SYURGA, DAN TEMPAT
KEMBALINYA IALAH NERAKA"; dan tiadalah seorang penolong pun bagi
orang-orang yang berlaku zalim".} (al-Ma'idah [5:72]).
Pendek kata tanpa Islam dan Tawhid yang tulen, usahlah mimpi
mahu ke syurga kerana ia adalah "SATU-SATUNYA VISA SYURGA" yang
diterima Allah. Tanpa visa tersebut, segala amalan baik kita di dunia dahulu
yang bergunung nilainya langsung tidak dipandang Allah:
قُلْ
هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا
Ertinya: {Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada
kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?}
الَّذِينَ
ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ
صُنْعًا
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam
kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan
baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".
أُولَٰئِكَ
الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا
نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا
Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan
mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka
akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka,
pada hari kiamat kelak.} (al-Kahfi [18:103-105]).
Oleh itu, segala semangat Islam yang dilatih semasa menunaikan
ibadah haji di Mekah merangkumi sikap warak, berhati-hati dalam bertindak,
kasih sayang sesama teman jemaah haji, semangat iktikaf serta solat berjemaah
di Masjid al-Haram, semangat menghidupkan solat malam, semangat membaca
al-Quran, bersedekah, berterusan berdoa dan sebagainya perlu dikekal serta
dibawa sebagai "OLE-OLE TANDA ROHANI HAJI" ke tanah air.
Jika semangat ini yang dibawa, maka insya Allah visa islam, iman
dan akhlak yang terangkum dalam makna "Haji Mabrur" akan menjadi
tiket kita ke syurga kelak seiring sabda Rasulullah SAW:
الْحَجُّ
الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةُ ، وَالْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ
كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا " .
Ertinya: "Haji Mabrur tidak ada ganjaran selayak baginya melainkan syurga,
dan antara dua umrah itu menjadi sebab penghapus kepada (dosa kecil) antara
keduanya." (Sahih al-Bukhari & Muslim).
Semoga cahaya iman yang terpancar dalam hati kita semua semasa
berada dalam keberkatan Tanah Suci Mekah akan terus bersinar seumur hidup kita
walau selepas pulang ke tanah air. Inilah harapan dan doa orang yang
benar-benar beriman:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ
يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا
الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ
نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ
لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Ertinya: {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu
kepada Allah dengan "Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan
kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan
orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh)
mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa
mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam
gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami,
dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu."} (al-Tahrim [66:8]).
#Catatan: Ustaz Haji Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
30 September 2015 @ di hadapan Ka'abah.
Ust Ahmad Hasyimi Rehlah Haji 1436 (13);
Visa Ke Makkah dan Visa Ke Syurga.
Lihat Di:
SETIAP YANG BERMULA ADA AKHIRNYA.
Demikianlah kami jemaah haji, Ana dan beberapa orang jemaah yang akan
berangkat ke Madinah awal iaitu selepas solat Asar hari Jumaat 18 Zulhijjah
1436H - 02 Oktober 2015.
Catatan Teman.
BINGKISAN WADA'
Perjalanan kami menuju 'kampung halaman ilmu' kami di
bumi Madinah Munawwarah dijadualkan selepas solat Asar.
Ini bermakna tawaf wada' mesti dibereskan sebelum asar
dan selepas solat Jumaat pada hari ini. Melihatkan kepada kelikatan bahang
cahaya mentari yang membakar, cuaca panas yang menjalar sangat menguji dan
mencabar.
Alhamdulillah. Hampir setiap kali tawaf wada' sejak
mula berkhidmat dengan Ash-Har Travel sebagai petugas dan pembimbing, saya
dapat menemani A.F Tuan Guru Dr Abu Anas Madani @ Abdul Basit Abdul Rahman di
medan tawaf.
Setiap kali itu jugalah saya mampu meneguk hikmah ilmu
dan khibrah dari beliau.
Dalam bahasa Arab beliau bermadah yang maksudnya:
"Jika begini dekat rasanya panas mentari hari ini
bagaimana pula mampu di tahan kepanasan dengan dekatnya mentari di atas
sekelian makhluk di akhirat nanti?"
Kami sama-sama terdiam.
Kalau di sini mampu kita berteduh dengan payung.
Kacamata hitam yang melindung. Deruan kipas bersulam air yang menyinggah.
Jika di SANA nanti bagaimana? Apa pula pelindungnya?
Ke mana pula ingin berteduhnya? Apakah pula penyejuknya? Tatkala mentari
sejengkal di atas kepala...
Ya Allah! Sungguh panas duniamu ini sudah mampu
memerah keringat dan memabukkan kepala. Kami faham bahawasanya 'mabuk' di SANA
lebih menyiksa kerana azabmu yang tidak terperi beratnya.
وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُمْ بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ)
"Engkau akan
melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah
amatlah berat, mengerikan." [Surat Al-Hajj 2]
Nyata...Tujuh pusingan Wada' itu harus punya makna.
Ya Rahman! Jadikanlah kami antara mereka di kalangan
golongan yang tujuh. Tujuh manusia yang mendapat teduh. Teduh di hari yang
tiada teduhan melainkan Engkau yang memberi teduh...
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ، ورجل قلبه معلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله . ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه " متفق عليه
"Tujuh
golongan manusia yang akan mendapat naungan (teduhan) Allah سبحانه وتعالى pada hari yang
tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.
(1) Pemimpin yang adil,
(2) Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan
ibadah kepada Allah,
(3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid,
(4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah
Ta'ala berkumpul dan berpisah kerana Allah juga,
(5) Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang
kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’,
(6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya
hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan
kanannya, serta
(7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendirian
sehingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (Muttafaq 'Alaih)
Catatan:
Ahmad Husni Abdul Rahman, Abu Fatih Al-Mubaraki.
#AFM - #GhiranonroutetoMedina -#18Zulhijjah1436H
[Lihat: https://www.facebook.com/ahmadhusni.abdrahman/posts/1153699614653058
]
Ust Ahmad Husni Rehlah Haji 1436 (14);
Lembutkan Hati Para Haji & Hajah Dengan Mencintai Allah dan Rasul.
Lihat Di:
Kata Abu Anas;
Wada' Makkah (Haji 1436H).
Amalan terakhir jemaah haji ialah TAWAF WADA'.
Saat perpisahan dengan Makkah, Kaabah.
Mungkin hikmahnya ialah mereka yang tidak merasai
kepahitan berpisah tidak akan mengetahui apakah kemanisan bertemu.
Setiap orang akan bertanya dirinya:
Adakah kita akan bertemu lagi?
Ataupun ini merupakan perpisahan abadi yang kita tidak
akan bertemu lagi?
Disaat itu jiwa dan perasaan akan gementar, air mata
akan mengalir, lidah akan berdoa:
اللهم لا تجعل هذا آخر عهدنا في هذا المكان الطاهر، وارزقنا العودة بعد العودة، عاجلا غير آجل يا كريم
"Ya Allah,
janganlan Engau jadikan ini kali terakhir aku berada di rumah-Mu ini, rezekikan
aku agar dapat kembali lagi menjadi tetamu-Mu!"
لئن أصبحت مرتحلا بشخصي -فروحي عندكم أبدا مقيم.
Walaupun jasadku berangkat meninggalkanmu -
Tapi jiwaku tetap berada di sisimu.
(Abu Anas Madani,
Wada' Makkah,
Petang Jumaat 18 Zulhijjah 1436H).
Lihat Catatan Siri 1: http://www.abuanasmadani.blogspot.my/2015/10/catatan-rehlah-haji-abu-anas-madani.html
Dan Siri 2 - http://www.abuanasmadani.blogspot.my/2015/10/catatan-rehlah-haji-abu-anas-madani_10.html#more
AAM Rehlah Haji 1436 (15);
Akhir Amalan Haji & Bersedia Menjadi Orang Baik dan Taat Kepada Allah.
Lihat Di:
In sya' Allah, Sambungan Rehlah Haji Siri 4;
Ke Madinah, Diyar Al-Habib Sollallahu
'alaihi wasallam.