Penjelasan Isu "Minta Maaf Menjelang
Ramadhan".
Setibanya bulan
Sya'ban, kembali tersebar mesej ini
samada melalui wassap, fb dan lain-lain media. Setiap tahun ianya dikitar
semula, setiap tahun ramai para ustaz menjawab kepada yang rajin bertanya dan
mahu memastikan apakah ia sahih. Namun sayangnya masih ramai yang tidak
menjumpai maklumat ini dan terus menyebarkannya tanpa memeriksa terlebih
dahulu.
Inilah akibatnya jika
mahu beramal tanpa berasaskan ilmu, tradisi dianggap sunnah atau ibadat. Yang
tersebar sekarang adalah tradisi bermaaaf-maafan sebelum Ramadhan di alam maya
pada zaman timbulnya "mazhab wasafi".
Mereka yang menyebarkannya berdalil dengan hadis yang terjemahannya seperti
berikut:
"Ketika Rasulullah
s.a.w sedang berkhutbah pada solat Jumaat
(dalam bulan Sya’ban), Baginda mengatakan Amin sebanyak tiga kali, dan para
sahabat yang mendengar Rasulullah mengatakan Amin, terkejut dan secara spontan
mereka turut mengatakan Amin. Tapi para sahabat tidak pasti kenapa Rasulullah
berkata Amin sehingga tiga kali. Apabila selesai solat Jumaat, para sahabat bertanya
kepada Rasulullah, lalu Baginda menjelaskan:
“Ketika aku sedang berkhutbah, datanglah
Malaikat Jibril dan berbisik, wahai Rasulullah Amin-kan doa ku ini.”
Doa Malaikat Jibril itu adalah:
“Ya
Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, iaitu mereka yang tidak melakukan perkara
berikut sebelum tiba bulan Ramadhan:
1) Tidak memohon maaf dengan
kedua ibu-bapanya (jika masih ada(.
2) Tidak
bermaafan antara suami-isteri.
3) Tidak bermaafan dengan orang-orang sekelilingnya."
PENJELASAN:
Namun peliknya, hampir semua yang menuliskan hadis ini tidak ada seorangpun
yang menyebutkan periwayat hadisnya. Apabila dicari, hadis tentang cerita ini pun tidak dijumpai
dalam mana-mana kitab hadis.
Tetapi terdapat sebuah
hadis yang hampir sama dengan cerita ini, ianya diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah (3/192) dan Imam
Ahmad (2/246, 254) seperti berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقِيَ الْمِنْبَرَ، فَقَالَ: "آمِينَ، آمِينَ،
آمِينَ"، فَقِيلَ لَهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا كُنْتَ تَصْنَعُ هَذَا؟! فَقَالَ:
"قَالَ لِي جِبْرِيلُ: أَرْغَمَ اللَّهُ أَنْفَ عَبْدٍ أَوْ بَعُدَ، دَخَلَ رَمَضَانَ
فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ، فَقُلْتُ: آمِينَ. ثُمَّ قَالَ: رَغِمَ أَنْفُ عَبْدٍ أَوْ بَعُدَ
أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا لَمْ يُدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، فَقُلْتُ: آمِينَ.
ثُمَّ قَالَ: رَغِمَ أَنْفُ عَبْدٍ أَوْ بَعُدَ، ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ
عَلَيْكَ، فَقُلْتُ: آمِينَ".
قال الشيخ الأعظمي: إسناده
جيد.
"Dari
Abu Hurairah r.a, pada suatu hari Rasulullah S.A.W. naik mimbar lalu bersabda:
‘Amin, Amin, Amin’. Para sahabat lalu bertanya : “Kenapa tuan berkata demikian,
wahai Rasulullah?”
Kemudian Baginda
bersabda: “Sekejap tadi Jibril berkata
kepadaku, ' Allah memalukan atau menjauhkan dari rahmat-Nya seorang hamba yang
melalui bulan Ramadhan tanpa mendapatkan keampunan, maka aku berkata, ‘Amin’.
Kemudian Jibril
berkata lagi, ‘Allah memalukan atau menjauhkan dari rahmat-Nya seorang hamba
yang mendapati kedua ibubapanya masih hidup, namun itu tidak membuatnya masuk
Jannah (kerana tidak berbakti kepada mereka berdua)’, maka aku berkata: ‘Amin’.
Kemudian Jibril
berkata lagi, ‘Allah memalukan atau menjauhkan dari rahmat-Nya seorang yang
tidak berselawat ketika disebut namamu’, maka aku katakan, ‘Amin”. [HR: Ibnu
Khuzaimah, Sheikh Al-A’zhami berkata: “Sanad hadis ini jayyid”.].
Hadis ini disahihkan
oleh Al-Munziri di At-Targhib Wat-Tarhib (2/114, 406, 407, 3/295), juga oleh Az-Zahabi
dalam Al-Muhazzab (4/1682), dihasankan oleh Al-Haithami dalam Majma’ Az-Zawaid
(8/142), juga oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Al-Qaulul-Badi‘ (212), juga
oleh Al-Albani di Sahih At-Targhib (1679(
Dari sini jelaslah bahawa
kedua hadis tersebut di atas adalah dua hadis yang berbeza. Tidak dapat
dipastikan siapa yang mereka atau membuat
hadis pertama. Atau mungkin juga hadis tersebut disebut oleh penceramah dan
murid yang mendengar hadis kedua, lalu menyebarkannya kepada orang ramai dengan
ingatannya yang rosak, sehingga berubahlah makna hadis.
Atau mungkin juga,
pembuat hadis ini mereka-reka membuat adat bermaaf-maafan sebelum Ramadhan,
lalu sengaja menyelewengkan hadis kedua ini untuk membenarkan adat tersebut.
Yang jelas, hadis itu tidak ada asal-usulnya, kita pun tidak tahu siapa yang
mengatakannya, sebenarnya itu bukan hadis dan tidak perlu kita viralkannya.
Kepentingan Meminta
Maaf!
Meminta maaf itu pada
umumnya memang disyariatkan dalam Islam. Rasulullah S.A.W. bersabda,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
((مَنْ
كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ
الْيَوْمَ قَبْلَ أَنْ لَا يَكُونَ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ، إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ
صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ
مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ))
رواه
البخاري.
Maksudnya:
“Orang
yang pernah menzalimi saudaranya dalam apa perkara pun, maka dia wajib meminta maaf
atas perbuatannya tersebut dari saudaranya, sebelum datang hari di mana tidak
berguna dinar dan dirham. Kerana jika orang tersebut memiliki amal soleh,
amalnya tersebut akan diberikan kepada orang yang dizaliminya untuk membayar kezalimannya.
Namun jika ia tidak memiliki amal soleh, maka ditambahkan kepadanya dosa-dosa
dari orang yang ia zalimi." [HR. Bukhari no. 2449].
Dari hadis ini jelas bahawa
Islam mengajar untuk meminta maaf, jika kita berbuat salah kepada orang lain.
Adapun meminta maaf tanpa sebab dan dilakukan kepada semua orang yang ditemui,
tidak pernah diajarkan oleh Islam.
Bahkan jika ada yang
berkata: “Manusiakan tempat salah dan dosa, boleh jadi kita berbuat salah
kepada semua orang tanpa disedari”.
Apa yang dikatakan itu memang benar, namun apakah serta-merta kita
meminta maaf kepada semua orang yang kita temui? Mengapa Rasulullah S.A.W. dan para sahabat
tidak pernah berbuat demikian? Padahal merekalah orang-orang yang paling takut kepada dosa.
Selain itu, kesalahan
yang tidak sengaja atau tidak disedari tidak dikira sebagai dosa di sisi Allah
Taala. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ
لِي عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأِ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya:
"Sesungguhnya Allah telah memaafkan ummatku yang
berbuat salah kerana tidak sengaja, atau kerana lupa, atau kerana dipaksa.” [HR Ibnu Majah, 1675. Al-Baihaqi, 7/356. Sahih Ibni Majah].
Bahkan hakikatnya, perbuatan
meminta maaf kepada semua orang tanpa sebab boleh menjerumuskan kepada ghuluw
(iaitu berlebihan) dalam beragama.
Manakala maksud perkataan اليوم (hari ini) menunjukkan bahawa meminta maaf itu
boleh dilakukan bila-bila saja dan yang paling baik adalah meminta maaf dengan
segera, kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput.
Hadis yang menyebut
tentang amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ،
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ "تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ
يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ
شَيْئًا، إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا
هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ
حَتَّى يَصْطَلِحَا" .
Maksudnya:
"Amalan manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis.
Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang
saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu
mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai." [HR: Muslim]
Namun bagi seseorang
yang memang memiliki kesalahan terhadap saudaranya dan belum menemukan waktu
yang sesuai untuk meminta maaf, dan menganggap saat tibanya Ramadhan adalah waktu
yang tepat, tidak ada larangan memanfaatkan saat ini untuk meminta maaf kepada
orang yang pernah dizaliminya tersebut. Asalkan tidak dijadikan kebiasaan
sehingga menjadi amalan rutin yang dilakukan setiap tahun.
Wallahu’alam.
Akhukum,
Abu Anas Madani, 11
Sya'ban 1438H - 8/5/2017.
Sumber:
https://muslim.or.id/4352-bermaafan-sebelum-ramadhan.html