Labels

Sunday, September 11, 2011

Penjelasan Seminar Siasah Syar'iyyah SPSS2011

KENYATAAN AKHBAR PENGARAH SEMINAR
Buat julung kalinya, Jabatan Al-Syariah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) akan menganjurkan sebuah seminar di peringkat kebangsaan untuk menonjolkan fungsi siasah syar’iyyah dalam konteks semasa khususnya dalam sistem pentadbiran, fatwa dan ijtihad, kehakiman dan ekonomi.

Program yang diberi nama “Seminar Pelaksanaan Siasah Syar’iyyah Dalam Konteks Semasa Peringkat Kebangsaan 2011” (SPSS ’11) akan diadakan pada 19 Syawal 1432H bersamaan 17 September 2011M (Sabtu) bertempat di Dewan Besar Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan.


Seminar tersebut bakal mendedahkan konsep siasah syar’iyyah sebagai kaedah pentadbiran dalam sistem pemerintahan Islam dan sebagai kaedah penentuan hukum atau metode ijtihad. Ia juga bakal merintis jalan kepada mewujudkan garis panduan kepada pihak pemimpin sesebuah kerajaan dalam memastikan segala tindakan atau polisinya bertepatan dengan konsep siasah syar’iyyah.
Menurut Pengarah Seminar, Ustaz Zulqarnain bin Hassan yang juga merupakan Ketua Jabatan Al-Syariah KIAS, pihak jabatan memandang serius peri pentingnya menganjurkan seminar ini untuk memberi kefahaman kepada pemimpin masyarakat, ahli akademik dan orang ramai tentang konsep siasah syar’iyyah. Ini memandangkan bahawa fungsi dan tugas siasah syar’iyyah adalah amat penting untuk menangani dan menyelesaikan masalah-masalah semasa agar tetap bersesuaian dan bertepatan dengan syariat Islam yang mulia.
Tokoh-tokoh akademik yang bakal mengupas isu-isu penting di dalam seminar tersebut ialah Prof. Madya Dr. Hj. Abdul Aziz bin Hj. Hanafi (Dekan Kuliyyah Syariah KUIN), Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman (Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara), Prof. Madya Dr. Shukeri bin Mohamad (Pensyarah UM), Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman (Pensyarah KIAS), YB Dr. Mohd Fadhli bin Hj. Hassan (EXCO Kerajaan Negeri Kelantan) dan Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Pensyarah USM dan Mantan Mufti Perlis).
Program berkenaan akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz bin Hj. Nik Mat, manakala ucapan penutup akan disampaikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif KIAS iaitu  Dr. Idris bin Awang .
Penganjuran seminar tersebut yang turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK) dijangka menerima penyertaan seribu orang peserta dari seluruh negara.
Untuk itu, tempoh pendaftaran peserta telah dilanjutkan sehingga 15 September ini. Yuran penyertaan yang dikenakan ialah sebanyak RM100 bagi pegawai kerajaan, RM80 bagi orang awam dan RM40 bagi pelajar.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pejabat KIAS di talian 09-7129386/7 atau fax 09-7126161 atau Zulqarnain Hassan : 013-5305369 atau Nurul Akma Mohamed : 013-9968751 atau e-mail: seminarsiasah2011@gmail.com. Seminar tersebut juga boleh dilayari di alamat seminarsiasah2011.blogspot.com.