Labels

Thursday, April 12, 2012

Hukum Pemindahan Organ Manusia.

Catatan Abu Anas tahun 1996 sewaktu masih belajar 
di Universiti Islam Madinah:
Masalah Pemindahan & Penanaman Semula Organ 
Dan Anggota Manusia.
Sabda Nabi SAW  من يرد الله به خيرا يفقهه في الدّين  :
Maksudnya : “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan maka diberi kefahaman dalam agama”
      
Dalam tulisan yang ringkas ini, Insyaallah sama-sama kita kaji satu tajuk yang menjadi perbincangan hangat di kalangan  ulama dan ahli perubatan Islam khasnya dan masyarakat dunia seluruhnya.
       Sebagai pendakwah yang sedang menuju ke alaf baru, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama, khasnya pelajar-pelajar di institusi-institusi pengajian Islam untuk mengetahui, mengkaji dan menyelidik masalah-masalah semasa (Contemporary Issues) yang menjadi persoalan dan tanda tanya  di kalangan masyarakat Islam untuk mencari jawapan atau mengemukakan penyelesaian kepada masalah tersebut.
       Memandangkan tanggungjawab tersebut, sukalah saya mencatatkan di sini beberapa petikan ringkas daripada kajian alim-ulama dan ahli-ahli perubatan Islam  mengenai masalah tersebut di dalam kitab yang ditulis oleh Dr. Ali Al-Bar, perunding perubatan Islam di Pusat Kajian Perubatan King Fahd, Universiti King Abdul Aziz, Jeddah.
       Mudah-mudahan ia akan menjadi perangsang dan galakan kepada para pelajar untuk terus mengkaji dengan lebih terperinci dan mendalami lagi masalah-masalah semasa yang sentiasa wujud dan bertambah, sesuai dengan zaman ‘cyber’, MSC dan sebagainya yang semakin canggih dan mencabar ini.
       Masalah pemindahan organ dan anggota manusia adalah merupakan satu tajuk yang sensitif kerana ia berkaitan dengan orang yang hidup dan orang yang telah mati. Sesungguhnya tajuk atau isu ini bukanlah satu benda baru yang lahir di abad 21 ini, bahkan ia merupakan satu cara (method) yang telah lama diketahui dan diamalkan oleh masyarakat terdahulu seperti tamadun Mesir purba, India dan lain-lain dengan cara dan kaedah masing-masing.
       Tetapi amalan ini dipraktikkan semula secara meluas di zaman moden ini sehinggakan tiada satu organ ataupun tisu daripada badan manusia yang ditinggalkan.
       Isu ini perlulah dijadikan kajian dan perbincangan dikalangan alim-ulama dan Fuqaha’ Islam kerana tidak terdapat nas-nas tentang hukum amalan ini daripada mana-mana kitab feqah lama. Hanya terdapat beberapa nas yang menyebut tentang hukum  menggunakan jasad manusia seperti didalam bab jual-beli dan sedikit dalam masalah perubatan ketika membincangkan hal-hal terdesak dan terlalu berhajat (لاضطرار) seperti:-
1.         Bolehkah manusia memakan daging manusia didalam keadaan darurat.
2.         Bolehkah membelah perut mayat untuk mengeluarkan harta yang ditelan.
3.         Bolehkah membelah perut ibu (mayat) untuk mengeluarkan janin yang                                             bernyawa.
       Menurut pendapat Dr. M. N. Yassin, kebanyakkan perbincangan Fuqaha’ tentang menggunakan jasad manusia ketika hidup atau mati hanyalah berkisar tentang sama ada   boleh dimakan atau tidak ketika darurat, dan Fuqaha’ Syafieyyah yang paling banyak membincangkannya dan tidak terdapat Fuqaha’ lain (kecuali sedikit) selain daripada kelompok  Syafieyyah yang membincangkan tentang masalah mengambil manfaat daripada tulang mayat untuk digunakan kepada yang masih hidup.
       Mengikut pendapat Imam An-Nawawi didalam “Minhajul-Tholibin” dan juga oleh Al-Khatib Al-Syarbini didalam “Mughnil-Muhtaj” adalah harus menggunakan tulang orang yang mati untuk menyambung tulang orang yang masih hidup.
       Dan kebanyakkan Fuqaha’ membincangkan masalah ini didalam kaedah:
(  ارتكاب أخف الضّررين لدفع الأشد منهما    )
dengan mengambil mudharat yang lebih kecil untuk menolak mudharat yang lebih besar. Disini akan dibawa pandangan atau hukum feqah dalam masalah ini sebagai perbincangan dan panduan.


Masalah pertama: Penanaman semula anggota asal di tubuh sendiri (Auto Graff Replantation). Contohnya seperti mengambil kulit dari badan sendiri untuk ditampal ke tempat-tempat lain yang memerlukannya. Sepertimana yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW, dimana Qatadah Ibnu Nu’man telah terkeluar matanya ketika peperangan Badar (pendapat lain dalam Uhud ), lalu Rasulullah SAW telah memasukkan semula mata beliau.
       Begitu juga dalam satu kejadian lain, Rasulullah SAW telah memasukkan kembali tangan Muawwaz Ibnu Afra’ dan tangan Habib Ibnu Yasaf yang terkeluar dalam peperangan Badar.
       Hukumnya: - Telah Ijma’ Ulama zaman ini bahawa harus menanam semula anggota asal di badan sendiri dengan syarat tidak membawa kepada kemudharatan dan untuk penyembuhan, berdalilkan kepada kaedah-kaedah syariah yang am, iaitu mengambil kira maqasid syariah dalam memelihara diri dan anggota, dan menghilangkan kecacatan yang menimpa seseorang itu yang mana boleh menyebabkan gangguan jiwa ke atasnya.
       Telah diputuskan didalam perbincangan Ulama-ulama besar, Kerajaan Arab Saudi, fatwa No. 99. bertarikh 6/11/1402 H (selepas perbincangan dan pertukaran pendapat, majlis memutuskan dengan ijma’ bahawa harus memindahkan anggota atau sebahagian daripadanya  daripada anggota manusia muslim atau zimmi yang hidup kepada dirinya sendiri apabila keadaan memerlukan dan aman daripada bahaya melakukannya dan terdapat keyakinan yang kuat diatas kejayaannya).

Masalah kedua : Mengembalikan atau menyambung anggota yang terputus dengan sebab kemalangan atau sakit.
Hukumnya:- Tiada khilaf di kalangan Ulama dan Fuqaha’ pada mengharuskannya dan ini telah dilakukan oleh Rasulullah SAW ke atas beberapa orang sahabat, berdasarkan kaedah-kaedah am syariah. Dalam hal ini darjat hukumnya menjadi sekurang-kurangnya harus atau sunat atau mungkin wajib. Contohnya dalam masalah ini, satu peristiwa yang berlaku kepada Afrajah Ibnu As’ad  RA  yang terputus hidung lalu digantikan bahagian itu dengan potongan perak tetapi tidak lama kemudian ia menjadi busuk, lalu Rasulullah SAW menyuruhnya menukar bahagian itu dengan emas kerana ia tidak rosak atau busuk lagi. Sungguhpun begitu, ini bukanlah satu pemindahan anggota, tetapi ia merupakan satu operasi untuk membaiki kecacatan anggota badan (body surgery).
  
Masalah ketiga:  Mengembalikan anggota yang telah dikerat dengan sebab qisas ataupun hudud.
Hukumnya:- Menurut fatwa yang telah diputuskan dalam Majma’ Al-Fiqh Al-Islami (OIC), Fatwa No. 6/9/60, bertarikh 17-23 Sya’aban 1410 H di Jeddah: (Tidak harus pada syara’ mengembalikan anggota yang telah diputuskan dalam hudud kecuali dengan izin daripada mangsa (dalam qisas itu) ataupun apabila anggota mangsa itu juga telah dapat disambung semula, itupun dengan syarat selepas dijalankan hukuman tersebut. Ataupun ke atas orang yang tersalah hukuman ke atasnya walhal dia asalnya tidak bersalah ).

Masalah keempat: Memindahkan organ manusia yang hidup kepada manusia hidup yang lain.
Hukumnya:- Beberapa Fatwa daripada Majaami’ Fiqhiyyah dan Darul-Ifta’ (Majlis-majlis Fatwa) dan anggota Ilmiah yang mengharuskan  pemindahan anggota manusia yang masih hidup kepada manusia hidup yang lain dengan beberapa syarat.


Di antaranya fatwa daripada Majma’ Al-Fiqhi (Rabithah), Qarar, No. 1, perhimpunan ke-8, di Makkah bertarikh 28/4 – 7/5 / 1405 H, bersamaan 19 -28 Januari 1985, keputusannya adalah seperti berikut:-
       Adalah harus mengambil organ daripada manusia yang masih hidup untuk diberikan kepada manusia lain yang berhajat bagi menyelamatkan hidupnya atau mengembalikan fungsi salah satu daripada anggota asasnya, selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip kemuliaan manusia bagi pihak penderma (Donor) dan memberi manfaat kepada pihak penerima (Recipient), dan ini adalah satu amalan yang disyariatkan dan dipuji jika ia memenuhi syarat-syarat di bawah ini:-   
1. Tidak memberi mudharat kepada penderma organ itu, kerana kaedah syara’ ialah kemudharatan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudharatan yang seumpamanya atau yang lebih teruk lagi
الضّرر لا يزال بضرر مثله ولا بأشد منه
Dan sekiranya membawa kemudharatan, maka tidak diharuskan oleh syara’ kerana penderma seolah-olah telah sengaja menempah kebinasaan.
2. Penderma hendaklah memberi dengan kehendak dan kerelaannya sendiri, bukan terpaksa atau dipaksa.
3. Tiada alternatif pengubatan lain kecuali pemindahan organ tersebut.
4. Ramalan nisbah kejayaan hendaklah melebihi nisbah kegagalan mengikut adat kebiasaan.
    Dan ditambah beberapa syarat lagi didalam fatwa yang lain:-
5. Penderma hendaklah sempurna keahliannya (akil-baligh)
6. Pemberian bukannya kerana bayaran, kerana anggota manusia adalah haram hukum jual-belinya, tetapi harus bagi penerima memberi apa-apa saguhati yang sepatutnya.

Masalah kelima: Memindahkan organ manusia yang telah mati (mayat) kepada manusia yang masih hidup.
Persoalannya:-   Adakah mengambil organ daripada mayat itu boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang menyakiti dan menghina mayat sebagaimana yang dilarang oleh Rasulullah SAW didalam hadisnya?
Hukumnya:- Para Fuqaha’ telah mengharuskan pembedahan ke atas mayat berdasarkan kepada kaedah menanggung kemudharatan yang ringan untuk maslahah yang lebih besar. Kebanyakkan para Fuqaha’ telah mengharuskan membelah perut mayat untuk mengeluarkan harta yang bernilai dan janin yang bernyawa.
       Jadi apabila ulama telah mengharuskan perkara tersebut tadi, maka membedah mayat untuk mengambil organnya bagi meneruskan hidup satu insan yang lain adalah lebih afdhal dan utama hukumnya, dengan syarat mendapat keizinan dari simati semasa hayatnya dan izin serta muafakat para warisnya setelah kematiannya.
       Beberapa persidangan Fiqh Islami mengenai perkara ini telah mengharuskan kaedah pemindahan organ dan dalil-dalil yang dijadikan hujah oleh mereka adalah berdasarkan kaedah-kaedah fiqh seperti berikut:-
1. Memindahkan organ mayat kepada orang yang masih hidup adalah sebahagian daripada kaedah perubatan yang dibolehkan.
الضّرر الأشد يزال بالضّرر الأخف،  الضّرر يزال، الضّرورات تبيح المحظورات، إذا تعارضت المفسدتان روعي    2.  لأعظمهما بارتكاب أخفهما ..
3. Kemaslahatan orang yang hidup didahulukan daripada maslahat orang yang telah mati.
4. Konsep Takaful, Al-Ehsan, Al-Birr dan Al-Ithar (melebihkan orang lain).

Diantara fatwa-fatwa pada zaman ini ialah:-
  1. Fatwa yang terawal ialah yang mengharuskan pemindahan mata (kornea) mayat kepada orang yang masih hidup dari Sheikh Hassan Makmun, Mufti Mesir, bertarikh 14 April 1959 M, Sheikh Hasanain Makhluf, Mufti Mesir dan fatwa Anggota Ulama Besar Arab Saudi No. 62, bertarikh 25/2/1368 H.
  2. Dalam masalah mengunakan lain-lain organ mayat kepada orang yang hidup, antaranya Fatwa Muktamar Islam Antarabangsa di Malaysia, bertarikh April 1969, dan Fatwa Majlis Tertinggi Islam Al-Jazair (Algeria) dan Fatwa Anggota Ulama Besar Arab Saudi, No. 99, bertarikh 6/11/1402 H, dan Fatwa Majma’ Fiqh Islam (Rabithah), Qarar 1, No. 8 bertarikh 1405 H/1985 M, dan beberapa keputusan Majma’ Fiqh Islam (OIC) dan lain-lain.


Syarat-syarat Fiqh dan Qanun bagi membolehkan pemindahan organ dan anggota mayat:-

  1. Keizinan daripada simati semasa hayatnya, dimana seseorang yang akil-baligh boleh memberi keizinan untuk mengambil mana-mana bahagian badannya dengan syarat-syarat berikut:-
   a) Izin itu tanpa paksaan, yakni dengan kerelaan sendiri.
   b) Tanpa ada apa-apa bayaran kepadanya mahupun kepada warisnya.
   c) Dia berhak menarik balik keizinannya itu pada bila-bila masa.
   d) Keizinan hendaklah secara bertulis dan persaksian yang sah. Hendaklah difahami, keizinan itu bukan secara mutlak, kerana seluruh jiwa raga kita ini adalah milik Allah SWT, cuma dengan niat ingin memanfaatkan sebahagian daripada anggota badannya demi menyelamatkan hidup orang lain.
  2. Persetujuan daripada waris simati jika tiada keizinan rasmi dari simati semasa hayatnya adalah perlu, berdasarkan kepada Ijma’ Fatwa yang mengharuskannya. Namun terdapat juga beberapa Qanun yang mewajibkan keizinan daripada waris simati semasa hayatnya, sebagai contoh seperti di Kanada, USA, dan di Arab Saudi dimana semua waris mesti memberi persetujuan tanpa pengecualian walaupun seorang, jika tidak, ia tidak boleh dilakukan.
  3. Muafaqah Waliyyul-Amri ataupun mereka yang mendapat tauliah. Adalah semua fatwa bersepakat bahawa Waliyyul-Amri boleh menjadi wali kepada orang yang tiada wali. Dengan ini Hakim Muslim berhak atau boleh memberi keizinan untuk memindahkan mana-mana anggota atau organ mayat kepada yang berhajat
  4.  Pemindahan merupakan satu keperluan asasi yang diletakkan dibawah darurat.

Masalah keenam: Haruskah mengambil anggota atau organ pesalah yang telah dihukum bunuh menurut syara’?
Hukumnya:- Kebanyakkan fatwa-fatwa kajian fiqh mengharuskan menggunakan organ-organ yang telah dihalalkan darahnya seperti kafir harbiy, orang murtad dan pembunuh yang tidak dimaafkan ketika darurat, berdasarkan pendapat Ulama Syafie yang mengharuskannya ketika darurat yang melampau. Kata Imam Nawawi; “Harus bagi seseorang yang sangat berhajat membunuh kafir harbiy dan orang murtad, lalu memakan dagingnya tanpa khilaf. Adapun penzina yang muhsan, muharib dan orang yang meninggalkan solat ada dua pendapat, yang paling sahihnya ialah harus.”
       Namun  begitu, masalah ini masih lagi menjadi khilaf dikalangan Ulama semasa dan hanya ini saja yang sempat dibincangkan dalam ruangan yang terhad ini, untuk maklumat yang lebih lanjut lagi, sila rujuk kitab-kitab berikut:-

الموقف الفقهيي الأخلاقي من قضية زرع الأعضاء     .1
الدكتور محمد علي ألبار                                         
الطيب آدابه وفقهه                                            . 2
الدكتور زهير أحمد السباعي,                                   
الدكتور محمد علي ألبا ر                                       
أبحاث فقهية في قضايا طيبة معاصرة,                    .3
الدكتور محمد نعيم ياسين                                      

Penutup:-
       Sekali lagi diharapkan agar kita lebih gigih dan tekun dalam mempelajari  dan mengkaji masalah-masalah yang lama dan baru yang sering menjadi persoalan pada hari ini, seperti masalah bayi tabung uji, pengklonan, bank mani (sperma) dan tidak lupa juga dalam masalah muamalah, sistem perbankan hari ini, konsep jual-beli saham, konsep-konsep amalan syariah di bank-bank konvensional yang sukar dipastikan, apakah betul-betul mengikut syariah ataupun hanya semata-mata untuk mengaburi mata kita dengan nama-nama dan slogan yang digunakan tersebut.
     Dengan harapan akan lahir ulama-ulama pewaris Nabi yang menyuluh, membimbing masyarakat ke jalan yang diredhai Allah di saat-saat alim-ulama dihina, dikecam mahupun digam oleh golongan-golongan pemimpin sekular yang mengaku Islam, manakala golongan fasik yang berbuat kemungkaran pula disanjung dan dipuja.

Tajuk Yang Berkaitan, Sila Lihat:

PENDERMAAN ORGAN DARI PERSPEKTIF ISLAM 



Pendermaan Organ Menurut Perspektif Islam

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/agama/7610-pendermaan-organ-menurut-perspektif-islam.html