Labels

Tuesday, November 13, 2012

Catatan Rehlah Haji 1433H (Siri 3)

Catatan Rehlah Haji 1433H (3)
بسم الله الرحمن الرحيم، وبه نستعين

Beberapa Pembaharuan di Makkah & Masya’ir:
Antara yang dapat dilihat di Arafah dan Muzdalifah ialah terdapat binaan tandas baru dibuat dua tingkat, mungkin pada musim haji tahun hadapan sudah dapat digunakan.. insya’Allah.
Adapun di Mina tidak kelihatan lagi projek tersebut, sedangkan Mina-lah tempat yang lebih mustahak untuk didahulukan kerana para jemaah akan berada di Mina selama lima hari. Mungkin selepas haji ini akan dimulakan insya’Allah swt.
Runtuhan Bangunan:
Sudah banyak bangunan yang diruntuhkan, bermula selepas bangunan Masyru’ Makkah (terkenal dengan nama Hilton) sampai kepada al-Misyal semuanya telah runtuh.
Dari kawasan Maulid Nabi sampai ke Syi’ib Amir semuanya telah diruntuhkan, dari selepas Marwah sehingga ke al-Barid (Pejabat Pos) sebelah Ma’la juga telah diruntuhkan segala binaan, kelihatan bulldozer sedang bekerja meratakan bukit.
Selepas haji nanti akan ada lagi kawasan yang akan diruntuhkan bangunannya.
Pembinaan Masjidil Haram Baru:
Binaan baru Masjidil Haram projek dibawah seliaan Raja Abdullah di sebelah Bab al-Umrah hingga ke Asy-Syamiah berjalan dengan begitu pesat sekali, sudah naik semua tingkat dibahagian hadapannya, dan telah digunakan secara tidak rasmi ketika jemaah ramai, dibahagian belakangnya masih terus dibina…Alhamdulillah.


Petikan Berita: [Kalau ikhwah ada maklumat yang tepat sila maklumkan kepada kami, Syukran]
JEDDAH 22 Ogos 2011: Pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah merasmikan pelancaran projek pembesaran Masjidilharam yang menelan kos AS$10.6 bilion (RM31.8 bilion), Jumaat lalu.
Projek itu bertujuan untuk membolehkan kompleks tersebut menampung kira-kira dua juta jemaah pada satu-satu masa, lapor akhbar Ash-Sharq al-Awsat.
Kira-kira 10,000 pekerja sedang bekerja siang dan malam di tapak seluas 400,000 meter persegi itu.
Projek tersebut melibatkan binaan tambahan berbilang tingkat di bahagian utara kompleks berkenaan, serta tangga dan terowong untuk memudahkan laluan jemaah ke masjid itu.
Masjidilharam telah diperbesarkan pada pertengahan 1980-an tetapi bilangan jemaah yang semakin bertambah bermakna satu lagi projek pembesaran diperlukan.
Lewat Jumaat lalu, Raja Abdullah turut merasmikan Menara Jam Diraja Mekah setinggi 601 meter, mercu tanda terbaru yang membantu jemaah di tempat-tempat suci lain mengenal pasti kedudukan Masjidilharam.
Menara jam itu ialah bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, pencakar langit 828 meter yang dirasmikan di Dubai pada awal tahun lepas. - AFP

Berita Palsu:
Sedang kami berada di Makkah, tersebar berita di Malaysia mengatakan Kerajaan Arab Saudi akan meruntuhkan Maqam Rasulullah SAW kerana hendak memperluaskan binaan Masjid Nabi SAW. Berita itu tidak benar, hanya desas desus yang ditimbulkan oleh pihak yang memushuhi kerajaan di sini semata-mata untuk menimbukan kebencian umat Islam terhadap penjaga al-Haramain, harapnya kepada umat Islam hati-hatilah dalam menerima berita yang disebarkan…
Sebaliknya cerita-cerita yang mengatakan visa umrah akan ditangguhkan pada tahun depan pula telah dinafikan oleh pihak penguasa Arab Saudi, sebagaimana berita berikut: No plans to halt Umrah visas in 2013. http://www.arabnews.com/no-plans-halt-umrah-visas-2013

Bahaya Lidah:
Adab dan etika ketika menerima berita telah kita pelajari, tetapi ketika hendak buat sesuatu perkara kita terlupa kepada akhlak tersebut…
Bercakap tak ikut fakta, atau yang lebih malang lagi kalau kita bersikap “nammam”, iaitu  batu api yang melagakan orang dan menimbulkan kecelaruan dalam kalangan jemaah haji (bagi yang datang haji) atau masyarakat umum…
Ingatlah pesanan Rasulullah saw: Jangan jadi orang muflis di akhirat..
Sila baca di: http://www.abuanasmadani.com/?p=752

Sekiranya ada perkara yang tidak puas hati dengan pengurusan pakej atau Tabung Haji, haji/hajjah boleh berjumpa dengan pihak pengurusan secara baik, bukan dengan berceramah tak rasmi di tempat makan atau mencerca secara terbuka, sehingga mempengaruhi jemaah lain untuk turut tumpang sekaki. Menjadikan mereka lari dari amalan baik seperti berzikir, membaca al-Quran, pergi masjid dan lain-lain. Malah menjadi sibuk dengan buka kelab bual, hisap rokok dan mengutuk semua perkara, pakej, hotel, polis, orang tua yang datang bersama, Makkah hatta peminta sedekah.. dan lain-lain.
Belajarlah mengambil yang baik, comel dan indah untuk dibawa balik, dan jangan sekali-kali menjadi pemungut sampah di Tanah Haram… sila baca nasihat di:
http://www.abuanasmadani.com/?p=752 
Pilih Pakej:
Para jemaah yang datang dengan pakej swasta atau disebut dengan istilah PJH (Pengelola Jemaah Haji) kena baca semua maklumat pakej yang dipilih, pakej biasa yang dipilih ialah semua perkhidmatan di Masyair (Arafah, Muzdalifah & Mina) menggunakan bas, khemah & makan minum disediakan oleh pihak maktab atau muassasah, dari satu maktab dengan maktab yang lain ada perbezaan dalam perkhidmatan. Bas pula ikut nasib, ada kalanya dapat bas baru ada kalanya bas lama, aircond pun mati, bahkan bas pun kadang-kadang boleh mati di tengah jalan… ini pengalaman ana sendiri pada musim haji tahun 1432H, bas yang kami naik dari Arafah ke Muzdalifah mati di tengah perjalanan, terpaksa kena tunggu bas lain datang ambil…
Khemah pula setiap satu disediakan oleh muassasah, khemah di Mina setiap satu khemah untuk 56-60 orang. Mungkin dua tilam untuk 3 orang. Sangat sempit lah, tambah pula dengan bilangan tandas yang sangat terhad bilangannya berbanding dengan bilangan jemaah dalam satu maktab yang lebih kurang  2000-2400 orang.
Kalau mahukan lebih keselesaan kena pilih pakej yang menggunakan perkhidmatan khas, bayaran agak mahal tapi sepadan dengan khidmat yang diberi, insya’Allah.
Tapi bagi jemaah yang tak tenang jiwanya, walau duduk di istana atau menjadi tetamu kerajaan Arab Saudi yang ditanggung sepenuhnya perjalanan, hotel & makan minum pun, akan ada juga yang tak kena dimatanya dan akan terus mengomel juga.
Jika jemaah tidak mendapat maklumat yang jelas, mereka akan senang membuat tuduhan kepada pihak PJH dengan andaian yang mereka buat sendiri, Allahul-musta’an..
Satu isu lagi yang jemaah kena ingat, kalau mereka pilih pakej 4 orang sebilik atau tiga orang, tiba di Makkah mereka dapat bilik yang bilangan lebih kecil, dari 4 jadi 3, itu kira rezeki atau bonus dari PJH. Atau ada orang yang bayar untuk 4 orang diletakkan dalam dalam bilik 3 orang, terimalah dia sebagai ahli bilik, jangan pula dok iri hati atau mengungkit kerana kawan tu bayar murah sikit tapi duduk dalam bilik sama, kita kena bertimbang rasa, pihak pengurusan mungkin terpaksa melakukan sedemikian kerana faktor bilik yang hanya untuk 3 orang, atau yang seorang tu dah tak ada kawan lain untuk diberi bilik khas, maka terpaksalah pihak PJH menanggungnnya…. Bertimbang rasa dan bertoleransi adalah amalan mulia… dan termasuk juga dalam “Bir al-Hajj” kebajikan dalam melakukan haji, insya’Allah swt.

Muassasah Haji Asia Tenggara.. http://www.sea.com.sa/
Sebuah syarikat yang ditubuhkan bagi menggantikan mutawwif atau sheikh secara personal suatu masa dulu…
Jadi para jemaah kena faham bahawa Tabung Haji Malaysia dan PJH, semuanya terikat dengan peraturan muassasah dari sudut kenderaan, urusan passport, khemah dan tilam di Masya’ir, juga tentang makan dan minum…
Bukan mudah untuk kita menentukan sesuatu keputusan atau nak buat pilihan sendiri.. kerana itu sebelum mengeluarkan sebarang komen terbuka, jumpalah dengan ketua PJH anda minta penjelasan dengan baik, apa sebenarnya disebalik peristiwa yang berlaku. Semoga tidak terjebak dengan membuat tuduhan palsu atau provokasi yang boleh merosakkan ukhuwwah sesama jemaah dan sekaligus merosakkan keperibadian seorang haji/hajjah…

Setelah Pulang Dari Mina:
Setelah balik dari Mina, jemaah melakukan tawaf Ifadhah & Saei… kecuali yang uzur dan haidh, dalam kajian kita tentang masalah haidh, ada yang celaru dan ada yang jadi panjang sehingga 15 hari dan lebih, berpunca dari mengambil ubat penahan haidh… inilah juga laporan yang kami terima dari para asatizah Tabung Haji.
Tempat Saei
Ubat Penahan Haidh:
Nasihat kami kepada bakal hajjah: jangan cuba sekat atau kacau perjalanan tabie yang Allah swt tentukan kepada mereka. Cuma untuk melicinkan perjalanan ibadat haji pilihlah tarikh yang sesuai dengan tempoh yang sedia, jangan dok kacau tarikh kedatangannya…
Kata ulamak: Haidh ni seumpama aliran air, kalau kita kacau/sekat perjalanannya dia akan mengalir ke mana tempat yang dia boleh pergi, demikian juga dengan perjalanan atau kitaran haidh…
Apabila ditanya; Hajjah memberi jawapan nak beribadat sepenuhnya di Haramain ni, nak solat, tawaf, baca Quran dan lain-lain. Kerana di sinilah waktu mereka free, bebas dari tanggungjawab rumah & anak-anak, namun sebaliknya pula yang terjadi…
Kepada jemaah yang uzur syarie & fizikal, dan mereka telah berniat ingin melakukan amalan soleh samada di Tanah Haram atau di Malaysia, namun terhalang untuk melakukannya kerana keuzuran yang tidak dapat dielakkan seperti sakit, maka mereka tetap akan mendapat pahala.
Ingatlah kepada hadis Nabi SAW di bawah ini;
Daripada  Abu Abdillah (Jabir bin Abdillah) al-Ansari RA katanya,: “Semasa kami dalam peperangan (Tabuk) Nabi ada bersabda: “Sesungguhnya di Madinah ada beberapa orang sahabat (yang tidak dapat menyertai peperangan kerana sakit) ke mana kamu berjalan dan lembah mana sahaja kamu harungi mereka tetap bersama kamu.” Menurut satu riwayat lain: “Mereka tetap berkongsi pahala bersama-sama kamu.  [HR Muslim].
Huraian Hadis:
1-Orang yang tidak keluar berjihad kerana uzur akan diberi ganjaran sama seperti orang yang keluar berjihad jika benar niat dan keazamannya.
 2-Setiap Muslim mempunyai tanggungjawab dalam berjihad, dan sekurang-kurang martabat jihad adalah niat.
3- Niat mempunyai peranan dan kedudukan tinggi dalam sesuatu amal kebajikan.
4- Orang uzur yang berniat menyertai peperangan tetap mendapat pahala seperti orang yang berperang itu sendiri.
Oleh itu, kepada hajjah/muslimat yang mengalamai keuzuran ini janganlah bersedih, redha dan tenanglah dengan ketentuan dan ketetapan yang Allah SWT tentukan ke atas mereka. Wallahu a’lam.

Aktiviti Jemaah Ash-Har:
1-Kuliah & Tazkirah:
Seperti biasa, setelah 2 hari berehat untuk memberi peluang kepada jemaah menyelesaikan tawaf & saei haji, aktiviti kuliah/tazkirah mula disambung semula..
Kita mulakan dengan Tajuk: Muhasabah Selepas Haji.
Ulangkaji semua perjalanan haji ibadat haji yang dilakukan, mungkin ada kesalahan yang perlu kena bayar dam/fidyah atau ada perkara yang perlu disegerakan dan sebagainya. Semoga semua jemaah dapat selesaikan ibadat haji dengan sempurna dan balik dalam keadaan fail amalan tertutup dengan sempurna.
Juga dengan penuh harapan serta berbaik sangka “husnuzzan” bahawa Allah swt menerima dan menqabulkan amalan yang dilakukan itu…
Antara isi kuliah juga ialah ulang semula pengertian intipati khutbah Rasulullah saw di Arafah; [Petikah Khutbah Arafah di: http://www.abuanasmadani.com/?p=1256 ]
Perincian isu Riba, saham yang tak patuh Syariah, contohnya ASB, ASN dan lain-lain, lihat:  http://www.sc.com.my/eng/html/icm/sas/sc_syariahcompliant_120525.pdf

Hukum wasiat harta kepada anak-anak yang menjadi penerima pusaka, banyak kes yang timbul, kecelaruan dan salah faham sebab banyak iklan dari ejen-ejen syarikat wasiat yang asyik berkempen suruh buat dengan mereka. Sedangkan sudah jelas dalam hadis Nabi SAW melarang dari berwasiat kepada pewaris.
.عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي خُطْبَتِهِ عَامَ حَجَّةِ الْوَدَاعِ: ((إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى لِكُلِّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ فَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ)) (سنن الترمذى، صحيح)
Dari Abi Umamah Al-Bahili ra, katanya: Saya mendengar Rasulullah bersabda dalam khutbahnya ketika Hajjatul Wada’: “Allah swt telah memberI kepada setiap orang yang berhak itu akan haknya, maka tidak ada wasiat bagi pewaris”. [HR: At-Tirmizi dan lain]
Lawatan Ke Maalim Makkah sekitar Masjidil Haram & Ma’la.
Pada pagi Isnin 5/11/2012 seawal jam 7 pagi kami mengadakan jaulah berjalan kaki bermula dari Hotel Zuwar Al-Haramain, di Al-Misyal, Toriq al-hijrah.
Tujuan lawatan ini untuk mengaktifkan jemaah agar berjalan mencari maklumat dan mengenali tempat atau lokasi, yang mungkin sudah ramai yang membacanya dalam buku Makkah Mukarramah catatan Abu Anas, namun dengan mengetahui lokasi tentulah maklumat yang dibaca lebih menampakkan reality lagi.
Selain maklumat kami juga ingin menyampaikan kepada jemaah tentang beberapa salah faham sebahagian masyarakat, ada antaranya yang mengatakan air Ja'ranah lebih hebat dari zamzam atau berdoa dekat maulid Nabi lebih mustajab dari Multazam dan lain-lain.
Bukit Safa
Bayangkanlah ketika kita berjalan di Jalan Hijrah ke rumah Saidina Abu Bakar as-Siddiq kemudian ke rumah Rasulullah saw biarlah tergambar bagaimana Rasulullah melalui jalan ini ketika berhijrah bersama Abu Bakar RA..
Melalui Bukit Safa yang terletak di situ rumah Arqam bin Abi Al-Arqam, pusat dakwah pertama di tengah penentangan kaum Quraish..

Dan banyak lagi peristiwa yang boleh menginsafkan dan mengingati perjuangan Rasulullah saw..
Melalui Syi’b Abi Talib… 3 Tahun Baginda bersama Bani Hasyim & Bani Abdul Muttalib di kepong dan di boikot, sehingga terpaksa makan daun kayu.. kedengaran tangisan anak-anak kelaparan di tengah malam..
Perkuburan Ma'la
Berakhirnya jaulah di Perkuburan Ma’la yang dipilh oleh Allah swt menjadi tempat persemadian beberapa jasad yang mulia, Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid RA yang sangat disayangi oleh Rasulullah … serta beberapa orang sahabat yang lain…
Setiap inci bumi dipersekiran Masjidil Haram ini telah menjadi saksi kepada perjuangan agung Sayyidul Ambiya’ wal Mursalin SAW… berjalanlah dengan tawadhu’ dan penuh kesedaran akan membuahkan rasa keinsafan terhadap apakah sumbangan kita kepada perjuangan Islam yang ditinggalkan oleh Baginda saw. Untuk keterangan lanjut sila baca buku kami Makkah Al-Mukarramah Kelebihan Dan Sejarah.
Balik ke zaman kita ini pula, dalam perjalanan kita akan Melalui mercu tanda baru, menara jam Abraj Al-Bait 601 m yang dikira bangunan no 2 tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa 828 m. menara KLCC jatuh no 6 + 7 [Lihat senarai di: http://ms.wikipedia.org/wiki/Senarai_bangunan_tertinggi_di_dunia#cite_note-1 ]
Walaupun dia baru, tapi inilah mukjizat Rasulullah saw apabila ditanya oleh Jibrail tentang tanda kiamat…

Berlumba-Lumba Membina Bangunan Tinggi

Walaupun semua ini adalah satu fenomena baru, tapi ini adalah satu mukjizat Rasulullah apabila ditanya oleh Jibrail tentang tanda-tanda kiamat, Baginda telah menerangkan dengan tepat dan jelas lagi fenemona yang akan berlaku pada waktu itu dan telah menjadi satu realiti pada hari ini!

Dalam satu hadis yang panjang berkenaan Iman, Islam dan Ehsan yang disampaikan oleh malaikat Jibrail kepada Rasulullah s.a.w, dimana didalam hadis ini juga Jibrail telah memberi tahu petanda dekat berlakunya hari kiamat.

Daripada Umar bin al-Khattab r.a, lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Kiamat. Baginda bersabda: “Orang yang ditanya tentang Kiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda:

....وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ.

(Antara tanda-tandanya ialah) Apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing (berbangga-bangga) menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan.

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: “Wahai Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?” Aku berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: “Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu”. [HR al-lmam Muslim].

Dan dijelaskan dalam riwayat Imam Ahmad dari Ibnu ‘Abbas RA, beliau berkata:

يَا رَسُـولَ اللهِ، وَمَنْ أَصْحَابُ الشَّاءِ وَالْحُفَاةُ الْجِيَـاعُ الْعَالَةُ قَالَ: اَلْعَرَبُ.
“Wahai Rasulullah, siapakah para pengembala, orang yang tidak memakai selipar, yang dalam keadaan lapar dan miskin itu?” Baginda menjawab: “Orang Arab.” [3] Musnad Ahmad (IV/332-334, no. 2926), Syarah Ahmad Syakir, beliau berkata, “Sanadnya sahih.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar rhm berkata: “Makna berlumba-lumba meninggikan bangunan, adalah setiap orang yang membina rumah/bangunan ingin jika rumahnya itu lebih tinggi daripada yang lainnya. Mungkin pula maknanya adalah berbangga-bangga dengan menghias dan memperindahkannya, atau makna yang lebih umum dari itu. Suasana ini telah banyak ditemui bahkan makin meningkat.” [Fathul Bari (XIII/88)].
Abraj Al-Bait
Untuk menampakkan lagi petanda tersebut Allah telah mentakdirkan antara mercu tanda kiamat tersebut betul-betul berdiri di hadapan Ka’bah untuk peringatan dan tatapan umat Islam bahawa saat kiamat yang telah dijanjikan oleh Allah melalui malaikat Jibrail adalah sangat hampir dengan terbinanya menara Abraj Al-Bait itu!!!!!
Menara tersebut merupakan ke 2 tertinggi didunia buat masa ini, tetapi ketika masa pembinaannya ia menandakan era baru dalam perlumbaan pembinaan pencakar langit; sehingga Council of Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH) mengumumkan bermulanya era bangunan "Megatall".
Menurut laporan CTBUH sebanyak 27 dari 88 bangunan tertinggi didunia dibina di Timur Tengah, menunjukkan dengan jelas perlumbaan untuk bermegah-megah dengan binaan tinggi oleh kaum badwi padang pasir ini tidak dapat ditandingi oleh kaum lain.
Kingdom Tower yang akan dibina di Jeddah oleh Kingdom Holding Company (KHC) yang dimiliki oleh Putera al-Waleed bin Talal telah mengesahkan pembinaan bangunan 1km tinggi itu dengan kos SR4.6bn. ia akan menjadi bangunan tertinggi didunia melepasi 1km!
 



Menjelang 2020, kita akan dapat melihat 8 buah bangunan yang lebih dari 600 m tinggi yang diklasifikasikan sebagai megatall akan siap dibina, dibatasi antara Menara Jam Makkah dan bangunan melepasi awan Kingdom Tower Jeddah!


Fenomena ini telah dimaklumkan oleh Rasulullah dalam beberapa hadis yang lain lagi antaranya; Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ... حَتَّى يَتَطَاوَلَ النَّاسُ فِي الْبُنْيَانِ.
As-Sa’ah [Hari Kiamat] tidak akan berlaku; sehinggalah manusia berlumba-lumba membuat bangunan yang tinggi.” [H.R. Bukhari]

Lawatan Ke Hudaibiyah, Minum susu Unta & Muzium Haramain.
Telaga & Masjid
Hudaibiyyah terletak kira-kira 24km dari Masjidil Haram dan 2km di luar sempadan Tanah Haram Makkah, iaitu di jalan lama Makkah-Jeddah. Namanya diambil daripada nama telaga Hudaibiyyah. Ia juga dikenali dengan nama Asy-Syumaisi, yang diambil daripada “Telaga Syumaisi” (Bi’r Syumaisi).
Di Hudaibiyah ini terdapat sebuah masjid yang merupakan tempat para sahabat melakukan bai‘ah (janji setia) kepada Rasulullah SAW untuk memerangi orang kafir Quraisy, yang dikenali sebagai “Bai‘ah Ar-Ridhwan” pada tahun 6H. Masjid ini didirikan sebagai menanda tempat tersebut.
 Susu Unta:
Kami juga melawat ke sebuah ladang unta dan para jemaah berpeluang membeli dan meminum terus susu unta yang fresh di situ. Ini merupakan satu pengalaman baru bagi yang pertama kali mencubanya.
Cerita Unta:
Unta ialah salah satu dari jenis haiwan yang disebut dalam al-Quran:
Allah SWT berfirman: {Maka apakah mereka tidak memerhatikan kepada unta, bagaimana ia diciptakan?} [Al-Ghaasyiyah: 17].
Banyak cerita dan pengajaran yang dapat di ambil dari Unta ini kalau kita perhatikan. Sila ke: http://www.republika.co.id/berita/dunia-islam/khazanah/12/05/29/m4rtxr-subhanallah-inilah-mukjizat-penciptaan-unta
Apakah Daging Unta Membatalkan Wudhu’?
Sebenarnya dalam mazhab Syafie hanya lima perkara sahaja yang membatalkan wudhu’ seseorang, antaranya adalah:
1. Keluar sesuatu dari dua jalan (qubul atau dubur).
2. Hilang akal, sama ada sementara atau kekal.
3. Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
4. Menyentuh kemaluan atau pintu dubur dengan telapak tangan.
5. Tidur, kecuali apabila dalam keadaan duduk dan tidak berubah kedudukannya.
Sesetengahnya menambahkan bahawa murtad membatalkan whudu’ bagi Syafie.
Mengenai persoalan (makan daging unta batal whudu’) adalah batal whudu’ bagi mazhab Hambali; ini berdasarkan hadis Jabir bin Samurah r.a, beliau berkata:
    “Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: Adakah kami perlu memperbaharui wudhu’ apabila memakan daging kambing? Jawab baginda: Jika kamu mahu, berwudhu’lah. Jika sebaliknya, tidak mengapa. Ditanya lagi: Adakah kami perlu berwudhu’ apabila memakan daging unta? Jawab baginda: Ya. Berwudhu’lah apabila memakan daging unta. Ditanya lagi: Bolehkah kami solat di kandang kambing? Jawab baginda: Boleh. Ditanya lagi: Bolehkah kami solat di kandang unta? Jawab baginda: Tidak. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)
Rumusannya:
Makan daging unta itu membatalkan whudu’ pada sisi Imam Ahmad atau mazhab Hambali sahaja.
Adapun di sisi mazhab-mazhab yang lain (Imam Malik, Syafi’ie dan Abu Hanifah), ia (makan daging unta) tidaklah membatalkan whudu’. Berkenaan hadis tadi, mereka menjawab; Maksud whudu’ di dalam hadis tadi ialah membasuh tangan dan mulut untuk tujuan kebersihan. Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas RA yang menceritakan: “Nabi meminum susu. Kemudian baginda meminta air, lalu berkumur dan berkata; “Sesungguhnya ia berlemak”. [HR Imam Muslim].
Untuk meneliti perbahasan dalil dan sandaran para ulama’ boleh baca di:

Muzium Al-Haramain.
Kerajaan Arab Saudi telah membina sebuah muzium yang dikenali dengan nama: Mathaf Al-Haramain Asy-Syarifain, ianya mula dibuka pada 25/10/1420H, terletak bersebelahan dengan Kilang Kiswah (Kelambu) Ka’bah.
Di muzium ini tersimpan barang-barang lama yang berada di dalam Ka’bah, seperti pintu, kunci serta tiang Ka’bah yang dibina pada tahun 65H dan lain-lainnya.
Untuk keterang lanjut sila lawati: http://www.theartimes.com/makkah-museum/ .
Kitab Hadiah:

Dalam kemeriahan jemaah haji di Makkah, alhamdulillah Abu Anas telah dianugerahkan sebahagian besar kitab-kitab karangan dan yang ditahqiq oleh Sheikh Prof. Dr. Abdul Malik bin Abdullah bin Duhaish, [Lihat Biografi beliau di: http://www.almaktabah.net/vb/showthread.php?t=77182 ]
 Sheikh seorang yang sangat mengambil berat tentang Tanah Haram Makkah, beliau telah telah mentahqiq kitab “Akhbar Makkah” tulisan Al-Azraqi dan Al-Fakihi, bahkan tesis Ph.D beliau adalah tentang sempadan tanah haram Makkah [lihat gambar]. Beliau juga banyak mentahqiq kitab Hadis dan kitab Fiqh Mazhab Hambali.

Boleh lihat senarai hasil karya beliau di:
http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=263370
Jazahullahu khaira ‘anna wa ‘anil muslimin…


Hadiah di Malaysia;

Beberapa ajensi telah memberi hadiah kepada jemaah haji, seperti sabun tak berbau, ubat kumur dan lain lagi, terima kasih kepada para penyumbang. Tapi kami rasa kalaulah dibekalkan dengan ubat-ubatan yang betul-betul berguna tentu lebih bermanfaat bagi jemaah, seperti; Panadol, ubat selesema, ubat batuk dll.

Di Makkah kami dapat banyak hadiah buku dan CD yang diberi secara percuma, cuma pihak penganjur kena pergi ambil sendiri di pusat dakwah sekitar Makkah & Madinah.

Sekian..


Beberapa Isu Hukum Yang Perlu kepada Kajian yang lebih teliti dan terbuka berdasarkan pandagan para ulama’:
1-      Hukum Solat Hormat Waktu.
2-      Solat Jamak Tamam di Arafah & Mina.
3-      Tawaf Wada’; hukum Ambil Gambar & beri sedekah di Masjidil Haram selepas tawaf.
4-      Selipar Mesti nampak 5 anak jari semuanya.
5-      Solat Jemaah dengan Imam Masjidil Haram atas Bangunan berdekatan.
6-      Jemaah Nafar Awal, selepas melontar Jamrah Aqabah (Kubra) kena undur ke belakang, kemudian niat nafar awal dan berjalan terus keluar.
7-      Dan lainnya yang difikirkan perlu..

Setelah semua urusan selesai, Abu Anas ikut rombongan Furada (Maktab 100) ke Madianah pada Pagi Hari Khamis 01 Muharram 1433H bersamaan 14/11/2012, insya’Allah.
Akhukum,
Abu Anas Madani, Makkah.
28 Zulhijjah 1433H, 13 Nov 2012.