Labels

Tuesday, July 9, 2013

Hadis Fadhilat Tarawih Setiap Malam Adalah PALSU.

 بسم الله الرحمن الرحيم، وبه نستعين
Bagi seorang mukmin apabila berada pada bulan Ramadhan akan berhadapan dengan dua jihad di dalam dirinya. 
Pertama jihad di siang hari dengan berpuasa dan kedua jihad pada malam hari dengan Qiyamullail. 
Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya dengan sabar dan sempurna maka ganjarannya amat besar tidak terhingga.  
Baginda Rasulullah SAW telah memberikan galakan untuk melakukan solat tarawih (qiyam Ramadhan) dengan sabdaNya:

((مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ)) [متفق عليه]

Maksudnya: “Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Memadai bagi kita dengan fadhilat Tarawih yang bersumberkan dari Hadis yang Sahih dan berauthoriti ini untuk kita beribadat dan menggalakkan umat Islam beribadat.



Malangnya masih ada lagi sebahagian pendakwah yang menyebarkan hadis rekaan ini kepada masyarakat, dan orang awam pun turut menyebarkannya melalui segala media dengan kemudahan pelbagai alat yang ada hari ini.
 Oleh itu kami berharap agar masyarakat faham; 
Jangan dibaca dan disebarkan hadis palsu fadhilat solat tarawih setiap malam, nanti kita termasuk dalam golongan yang berdusta ke atas Nabi SAW, seperti yang dilarang keras oleh Baginda.
Sila lihat: https://www.youtube.com/watch?v=1ROWcy-O4F8

Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis dikalangan orang-orang yang Qiyam (orang yang berdiri solat).



Dosa Besar 14; BERDUSTA ATAS ALLAH & RASUL.  

Di Bawah ini petikan kajian Jabatan Mufti.
Pertama:

Fatawa Brunei: Fadhilat Sembahyang Tarawih
Soalan:

Unit Kajian Dan Penyelidikan, Bahagian Kajian Dan Penerbitan, Pusat Da'wah Islamiah sedang menjalankan kajian mengenai dengan hadis fadhilat sembahyang Tarawih, kitab Durrah AI-Nashihin (terbitan Mesir tahun 1949), diriwayatkan oleh Ali bin Abu Thalib.

Hadis tersebut sangat popular di kalangan masyarakat di negara ini kerana sejak 10 tahun yang lalu penerbitan-penerbitan buku (risalah) mengenai hadis tersebut telah dijalankan dan hadis-hadis berkenaan juga disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei dalam bentuk promo bagi maksud mentarghib masyarakat supaya mendirikan sembahyang Tarawih dengan teratur.Sepanjang tempoh tersebut, kitani tidak pemah mempersoalkan tentang sanad atau sumber hadis tersebut. Bagaimanapun, Berita Harian (Malaysia) keluaran 31hb. Disember, 1998, Ihb. Januari, 1999 dan 16hb. Januari, 1999 telah mempersoalkan keshahihan hadis tersebut sehingga sampai kepada kesimpulan bahawa hadis tersebut adalah hadis maudh71 '.

Sukacita kami menghadapkan isu mengenai hadis ini kepada Pehin bagi mendapatkan fatwa dan ketentuan tentang kedudukan hadis-hadis berkenaan untuk dijadikan pegangan dan menghindari keraguan di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Jawapan:

الحمد الله الفتاح الوهاب الهادى إلى الحق والصواب، والصلاة والسلام على رسوله سيدنا محمد خاتم الانبياء والمرسلين، وآله وصحبه أجمعين.

 Hadis mengenai fadhilat sembahyang Tarawih yang disebutkan dalam kitab Durrah Al- Nashihin bermaksud: “ Daripada Ali Bin Abu Talib Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu alaihi Wasllam telah ditanya tentang keutamaan-keutamaan Tarawih di bulan Ramadhan. Baginda bersabda: “ Orang mukmin keluar daripada dosanya pada:

Malam pertama: Seperti saat dia dilahirkan ibunya

Malam kedua: Dia diampuni, juga kedua orang tuanya, jika keduanya mukmin.

Malam ketiga: Malaikat berseru dari bawah ‘Arasy. Mulailah beramal, semoga Allah mengampuni dosamu yang telah lalu.”

Malam keempat: Dia memperolehi pahala seperti pahala membaca Taurat, Injil, Zabur dan Al-Furqan.

Malam kelima: Allah Ta’ala memberinya pahala seperti pahala orang yang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam keenam: Allah Ta’ala memberinya pahala orang yang bertawaf di Makmur dan dipohonkan ampun oleh setiap batu dan cadas ( lapisan tanah yang keras )

Malam ketujuh: Seolah-olah dia mencapai darjat Nabi Musa ‘Alaihi salam dan kemenangannya atas Firaun dan Haman

Malam kelapan: Allah Ta’ala memberinya apa yang pernah Dia berikan kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam

Malam kesembilan: Seolah-olah dia menyembah Allah Ta’ala sebagaimana ibadat Nabi Shallallahu alaihi wasalam

Malam kesepuluh: Allah Ta’ala mengurniakan kepada nya kebaikan dunia dan akhirat.

Malam kesebelas: Dia keluar dari dunia seperti saat dia dilahirkan dari perut ibunya.

Malam kedua belas: Dia dating pada Hari Kiamat sedang wajahnya bagaikan bulan di malam purnama.
Malam ketiga belas: Dia dating pada Hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap keburukan

Malam keempat belas: Para malaikat datang seraya memberi kesaksian untuknya, bahawa dia telah melakukan sembahyang Tarawih, maka Allah tidak menghisabnya pada hari Kiamat.

Malam kelima belas: Dia didoakan oleh para malaikat dan para penanggung ‘Arasy dan Kursi

Malam keenam belas: Allah menetapkan baginya kebebasan untuk selamat dari neraka dan kebebasan masuk ke dalam syurga

Malam ketujuh belas: Dia diberi pahala seperti pahala para nabi.

Malam kelapan belas: Malaikat menyeru: “ Wahai Hamba Allah, sesungguhnya allah redha kepadamu dan kepada ibu bapamu.”

Malam kesembilan belas: Allah mengangkat darjat-darjatnya dalam syurga Firdaus.

Malam kedua puluh: Allah memberi pahala para syuhada’ dan shalihin.

Malam kedua puluh satu: Allah membangun untuknya sebuah gedung daripada cahaya

Malam kedua puluh dua: Dia dating pada hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap kesedihan dan kesusahan.

Malam kedua puluh tiga: Allah membangun untuknya sebuah kota dalam syurga

Malam kedua puluh empat: Dia memperolehi dua puluh empat doa yang dikabulkan

Malam kedua puluh lima: Allah Ta’ala menghapuskan daripadanya azab kubur

Malam kedua puluh enam: Allah mengangkat pahalanya selama empat puluh tahun.

Malam kedua puluh tujuh: Dia dapat melewati Shirath pada Hari Kiamat, bagaikan kilat yang menyambar.

Malam kedua puluh lapan: Allah mengangkat baginya seribu darjat dalam syurga

Malam kedua puluh sembilan: Allah memberi pahala seribu haji yang diterima.

Malam ketiga puluh: Allah berfirman: “ Hai Hambakan makanlah buah-buahan syurga, mandilah daripada air Salsabila dan minumlah dari Kauthar. Akulah Tuhanmu, dan engkau hambaKu.” ( Majalis )

Setelah merujuk kepada kitab-kitab hadis yang muktabar di kalangan ahli Sunnah Wal Jama’ah, termasuk kitab-kitab yang menjadi sandaran dalam pencarian hadis-hadis, sehingga setakat ini tidak dijumpai hadis-hadis yang khusus menyebutkan tentang kelebihan sembahyang Tarawih dengan menyatakan ganjaran yang diperolehi pada setiap malam Ramadhan sepertimana yang dinyatakan.

Apa yang telah ditemui setakat ini, hanyalah riwayat-riwayat yang hampir sama dengannya dan dihubungkan sanadnya kepada sayyidina Ali Bin Abu Talib iaitu tersebut dalamkitab Bihar Al-Majlisi, salah Ramadhan dan kirab Was’a’il Al- Syi’ah karangan Al-Shiekh Muhammad bin Al-Hasan Al-Har Al-‘Amili dalam bab Istihab Al-Shalah Al-Mukhshushah Kulla Lailah min Syahr Ramadhan wa Awwal Yaum Minh.Maka sehubungan itu, oleh kerana hadis yang ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh dii’timad, maka ia mestilah dihentikan daripada dipromokan melalui radio ataupun televisyen.



Sekiranya Pusat Da’wah Islamiah ingin menggalakkan orang ramai supaya rajin dan bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang Tarawih, adalah lebih baik hadis-hadis yang dipromokan itu diambil daripada kitab-kitab yang muktabar.Fadhilat sembahyang Tarawih yang ada disebut dalam hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab sunan yang muktabar hanyalah secara umum sahaja tanpa menyebut fadhilat 30 malam Ramadhan itu. 

Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada abu Hurairah Radhiallahu a’nhu, sabda Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه

 Maksudnya: “ Sesiapa yang mendirikan sembahyang di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ( pahala daripada Allah ), diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.”Hadis seumpama inu turut diriwayatkan oleh Muslim, Tirmidzi, abu daud, Imam Ahmad dan lainnya


Negara asal : Brunei darussalam
Negeri : Brunei
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia
Tarikh Diisu : 1999
Nota: Fatwa Mufti Kerajaan 1999
Sumber: infad.usim - Fatwa Brunei - Hadis Palsu
Lihat Juga: http://www.al-ahkam.net/home/hadis-fadhilat-tarawih-tiada-dalam-kitab-muktabar-ahlus-sunnah

Kedua:

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH SETIAP MALAM

Dikeluarkan oleh: Jabatan Mufti Negeri Terengganu. 
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, Selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : “Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
·Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.
Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di
antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: {Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.} (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa’bah..
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: {Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang.} (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:
1-Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2-Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis shohih.
3-Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4-Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.
Sumber: [ http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=10&parent=06 ]
Lihat Juga: http://www.abuanasmadani.com/?p=1141

Akhukum,
Abu Anas Madani, 1 Ramadhan 1434H - 10 Julai 2013M.