Labels

Sunday, September 28, 2014

Sepuluh Fadhilat Wuquf di Arafah Pada Hari Jumaat & Makna Haji Akbar


Keistimewaan Wuquf di Arafah
pada Hari Jumaat & Haji Akbar.

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه، ومن والاه، وبعد.


        Hari Jumaat ialah hari yang mempunyai keistimewaan tersendiri dalam Islam sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:
“Hari paling baik yang matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat, pada hari itu Adam Alaihissallam diciptakan,  pada hari itu pula Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga, pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat suatu waktu di mana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan, kecuali Allah akan mengabulkan permintaannya.”  [HR. Muslim].

            Catatan ringkas ini membincangkan tajuk fadhilat Wuquf pada hari Jumaat.

      Wuquf pada hari Jumaat mempunyai sepuluh keistimewaan berbanding dengan Wuquf pada hari-hari lain, kerana beberapa sebab/perkara;
Pertama: Kerana berkumpul pada ketika itu dua hari yang merupakan hari yang paling afdhal. Hari Jumaat yang paling afdhal dalam seminggu dan Hari Arafah yang paling afdhal dalam setahun.
Kedua: Ianya merupakan hari yang terdapat padanya waktu yang mustajab doa. Kebanyakan ulama’ mengatakan pada akhir hari selepas asar. Kebanyakan jemaah haji yang berada di Arafah berdiri berdoa dengan penuh tadarru’, merendah diri kepada Allah SWT.
Ketiga: Ianya bersamaan dengan hari Rasulullah SAW Wuquf semasa mengerjakan Haji Wada’.
Keempat: Berkumpulnya semua umat Islam di seluruh dunia mendengar khutbah dan solat Jumaat. Berbetulan juga dengan jemaah haji sedang berkumpul di Arafah. Maka terjadilah ijtima’ umat Islam di masjid-masjid mereka dalam keadaan mereka berdoa dan bertadarru’ yang tidak terjadi pada hari lain.
Kelima: Hari Jumaat merupakan hari raya (mingguan) dan hari Arafah adalah hari raya bagi jemaah haji yang berada di Arafah, kerana itu mereka tidak disunatkan berpuasa di Arafah.
Hikmahnya, agar mereka kuat untuk berdoa dan beribadat di Arafah. Ada juga pendapat yang mengatakan kerana ianya hari raya bagi ahli Arafah.
Keenam: Bertepatan dengan hari yang Allah SWT sempurnakan Agamanya bagi hamba-Nya yang beriman dan menyempurnakan nikmat-Nya ke atas mereka.
Ketujuh: Ianya bertepatan dengan hari perhimpunan agung, hari Kiamat yang akan berlaku pada hari Jumaat kelak.
Kelapan: Umat Islam biasanya akan melakukan ketaatan yang banyak pada malam dan hari Jumaat berbanding pada hari-hari lain. Bahkan ramai kaki maksiat pun yang menghormati hari Jumaat, mereka mengira sesiapa yang berani membuat maksiat pada hari itu, Allah SWT akan menyegerakan siksaannya. Ini telah menjadi kefahaman mereka melalui pengalaman, tidak lain melainkan kerana kebesaran hari Jumaat dan kemuliaannya di sisi Allah SWT. Maka Allah SWT memilihnya daripada hari yang lain, maka tidak diragukan lagi Wuquf padanya mempunyai kelebihan daripada hari-hari lain.
Kesembilan: Bertepatan dengan hari tambahan nikmat bagi ahli Syurga, iaitu hari yang Allah SWT kumpulkan ahli syurga di Wadi Afyah, diletaknya mimbar dari lu’lu’ (mutiara), emas, zabarjad dan yaqut di atas pasir kasturi, maka mereka memandang kepada Tuhan mereka Tabaraka wa Ta’ala. Allah SWT mentajalli (menzahirkan) kepada mereka dan mereka melihat-Nya. Peristiwa itu juga berlaku pada hari Jumaat.
Apabila hari Arafah terkena pada hari Jumaat maka bertambahlah kemuliaannya berbanding dengan hari lain.
Kesepuluh: Allah SWT menghampiri orang yang sedang berWuquf di Arafah pada petang Arafah, kemudian berbangga dengan hamba-Nya yang berWuquf kepada malaikat dengan firman-Nya:
{Apa yang mereka mahu? (datang ke Arafah ini)}. [HR: Muslim]
Aku saksikan kamu (wahai malaikat) bahawa aku telah mengampuni bagi mereka.} [Lihat Sahih At-Targhib 1154].
Pada petang Arafah merupakan waktu mustajab doa, tidak ditolak permintaan orang meminta segala kebaikan, maka ahli Arafah menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan berdoa dan bertadharru’ merendah diri pada waktu itu.
Allah SWT dekat dengan hamba-Nya mengandungi dua maksud;
1-    Hampir dengan menerima doa dan permintaan mereka pada waktu itu.
2-    Hampir dengan makna khas istimewa untuk mereka yang berwuquf di Arafah, Allah SWT berbangga dengan mereka kepada Malaikat, maka hati para mukmin yang berwuquf, bertambah kekuatan dan keyakinan, bertambah iman dan gembira, serta mengharapkan kelebihan dan limpah kurnia Tuhannya.

Maka sepuluh perkara ini dan selainnya menjadikan Wuquf pada Hari Jumaat lebih baik daripada Wuquf pada hari-hari lain. 

Berkata Ibnu Al-Qayyim rahimahullah:
“Adapun apa yang tersebar di atas lidah orang awam bahawa, ‘Wuquf pada hari Jumaat menyamai tujuh puluh dua kali haji’ adalah maklumat yang batil, tidak ada sandaran asal baginya dari Rasulullah SAW, tidak juga dari salah seorang sahabat Nabi SAW dan juga tabi’in, Wallahu a’lam”. [Diringkaskan dari Kitab: Zad al-Ma’aad 1/60-65].
Berkata Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah:
“Adapun apa yang disebut oleh Ruzain dalam kitab Jami’ dan dimarfu’kan (kepada Nabi SAW) hadis:
(Sebaik-baik hari yang naik matahari padanya ialah hari Arafah, jika bertepatan dengan hari Jumaat maka lebih afdhal daripada tujuh puluh kali haji yang berwuquf pada hari lain.)
Hadis ini aku tidak tahu kedudukannya, kerana tidak disebut siapakah sahabat yang meriwayatkannya, tidak disebut pula kitab yang mengeluarkannya, bahkan dimasukkannya pada hadis al-Muwatta’ yang disebut secara mursal dari Talhah bin Abdullah bin Kuraiz, dan tambahan tersebut tidak ada sedikit pun dalam kitab-kitab Muwatta’.
Sekiranya hadis ini ada asalnya, maka kemungkinan maksudnya 70 itu ialah bilangan atau mubalaghah iaitu menunjukkan kelebihan, kedua-duanya menunjukkan kepada keistimewaannya, wallahu a’lam”. [Fath al-Bari 8/271]
Berkata Sheikh Al-Mubarakfuri:
“Perhatian, telah masyhur di kalangan orang awam bahawa apabila Wuquf pada hari Jumaat maka ia adalah Haji Akbar. Ini tidak ada asal (sandarannya). 
Betul Ruzain meriwayatkan dari Talhah:
(….Apabila Wuquf pada hari Jumaat maka lebih afdhal daripada tujuh puluh kali haji yang berWuquf pada hari lain.) Demikian dalam kitab Majma’ Al-Fawaid, hadis ini mursal, dan saya tidak menemui sanadnya.” [Tuhfah Al-Ahwazi 4/27]



Salah Faham Tentang Haji Akbar
Ramai lagi umat Islam yang masih belum faham dan keliru tentang maksud Haji Akbar (besar).
Bagi setengah mereka ia adalah apabila hari Wuquf jatuh pada hari Jumaat. Di sini kita cuba lihat penjelasan tentang maknanya yang sebenar berdasarkan ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih.
Allah SWT berfirman,
}وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَرِيءٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ وَرَسُولُهُ{
{Pengumuman dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar, bahawa Allah dan Rasul-Nya berlepas diri dari orang musyrik…}  [At-Taubah: 3]
*Mufassirin (ahli tafsir) berbeza pendapat tentang yang dimaksudkan dengan Haji Akbar, ada yang mengatakan hari Nahar (hari Idul Adha), ada yang mengatakannya hari Arafah. Tetapi yang dimaksudkan dengan Haji Akbar di sini adalah Haji yang berlaku pada tahun ke-9 Hijrah.
Kemudian dalam sebuah hadis, dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu:
Bahawa Abu Bakr As-Siddiq radhiallahu ‘anhu ketika musim haji yang diperintahkan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam sebelum musim haji Wada’, telah mengutuskan aku bersama sekumpulan kaum muslim untuk  mengumumkan kepada masyarakat pada hari Nahar (Idul Adha), bahawa:
لا يحج بعد العام مشرك ولا يطوف بالبيت عريان
Selepas tahun ini, orang musyrik tidak boleh datang haji lagi dan orang yang telanjang tidak boleh lagi tawaf di Ka’bah.” [HR. Muslim].
Berdasarkan ayat dan hadis di atas, maka makna hari Haji Akbar adalah hari dimana Abu Bakar RA bersama kaum muslim yang lain, mengumumkan kepada masyarakat Makkah bahawa orang musyrik tidak boleh lagi melakukan haji di Ka’bah. Ini menunjukkan bahawa hari Haji Akbar adalah hari Nahar (Idul Adha), kerana pengumuman tersebut dilakukan pada hari Idul Adha.
Imam An-Nawawi menjelaskan dalam Syarah Sahih Muslim, bahawa Ibnu Syihab mengatakan, “Humaid bin Abdurrahman mengatakan, Hari Nahar (Idul Adha) adalah hari Haji Akbar, berdasarkan hadis Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu di atas.”
Kemudian Imam An-Nawawi menjelaskan lagi,
“Makna perkataan Humaid bin Abdirrahman, firman Allah ‘Pengumuman dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar,…’ kemudian penyampaian pengumuman ini dilakukan oleh Abu Bakar, Ali bin Abi Talib, Abu Hurairah, dan para sahabat RA yang lainnya pada ketika hari Idul Adha, dengan izin dari Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam.” [Syarah Sahih Muslim, Imam An-Nawawi, 9:116].







Imam An-Nawawi juga mengatakan, “Ulama’ berselisih pendapat mengenai apa yang dimaksudkan hari Haji Akbar. Ada yang mengatakan, hari Arafah. Sementara Imam Malik, Imam as-Syafi’i, dan majoriti ulama’ berpendapat bahawa Haji Akbar adalah hari Nahar (Idul Adha).  Sebahagian ulama’ menjelaskan lagi: Dinamakan hari Haji Akbar, untuk membezakannya dengan haji Asghar (kecil), iaitu umrah.” [Syarah Sahih Muslim,  An-Nawawi, 9:116].
Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan, “Ulama’ juga berbeza pendapat tentang makna haji asghar. Majoriti ulama’ berpendapat bahawa haji asghar adalah umrah. Ada juga yang mengatakan, Haji asghar adalah hari Arafah (9 Zulhijah) dan Haji Akbar adalah Idul Adha’. Kerana pada hari Idul Adha, dilakukan penyempurnaan amalan manasik haji yang belum dilakukan.” [Fathul Bari, Syarah Sahih Bukhari, 8:321].
Dari keterangan di atas, dapat kita buat kesimpulan bahawa dinamakan Haji Akbar pada asasnya adalah untuk membezakannya dengan umrah atau dengan kegiatan haji yang lain. Bahkan lansung tiada tersebut dan tiada hubungannya dengan Wuquf yang jatuh pada hari Jumaat.
Disebutkan dalam Tuhfatul Ahwazi Syarh Jami’ At-Tirmizi:
قد اشتهر بين العوام أن يوم عرفة إذا وافق يوم الجمعة كان الحج حجا أكبر ولا أصل له
“Telah masyhur di kalangan masyarakat awam, bahawa hari Arafah, apabila bertepatan dengan hari Jumaat maka hajinya adalah Haji Akbar. Dan ini adalah pendapat yang tidak ada asasnya.”  [Tuhfatul Ahwazi Syarh Turmuzi, 4:27]. Wallahu a’lam.

            Demikianlah sedikit penjelasan tentang Fadhilat Wuquf pada hari Jumaat dan istilah yang masyhur “HAJI AKBAR” menurut huraian para ulama’.
            Kita berdoa kepada Allah ‘Azza wa Jalla agar menganugerahkan kepada jemaah haji semua “Haji Mabrur, Usaha Yang Diberkati dan Amalan Yang Diterima”.

وصلى الله على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم.

Akhukum,
AAM.
Makkah 4 Zulhijjah 1435H – 28 Sept 2014
Wuquf pada tahun ini Hari Jumaat, Alhamdulillah