Kepercayaan Khurafat Dalam Bulan Safar
Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
Monday, February 11, 2008
MUHARAM baharu sahaja berlalu meninggalkan seribu satu
azam dan cita-cita di kalangan umat Islam dalam usaha melakukan `penghijrahan'
ke arah yang lebih baik serta diredhai Allah s.w.t.
AAM 1436; Kepercayaan Jaliliyah Tentang Kesialan Bulan safar, Tak Boleh Kahwin dll.
Namun, sesuatu yang agak menyedihkan ialah semangat
hijrah yang diharapkan berkekalan, tidak dapat bertahan lama dalam diri
sesetengah umat Islam. Umpama kata pepatah: `Kusangka panas hingga ke petang,
rupanya hujan di tengahari'.
Ini kerana, apabila tibanya bulan Safar terdapat
segelintir umat Islam yang masih terbelenggu dengan amalan-amalan dan kepercayaan
karut serta bidaah yang diamalkan dalam bulan Safar.
Walaupun sekarang amalan tersebut tidak begitu ketara,
namun masih ramai yang percaya bahawa bulan Safar membawa celaka dan sial.
Justeru, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu
yang menggunakan kertas atau papan yang ditulis dengan ayat-ayat tertentu dan
mandi dengan air yang direndam ayat-ayat berkenaan untuk menolak bala.
Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan
kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah. Safar bermaksud kosong. Ia juga
memberi erti, meninggalkan sesuatu tempat apabila merujuk kepada perkataan
`safir'. Telah dinyatakan juga bahawa dinamakan bulan Safar ekoran kebiasaan
orang Arab yang selalu meninggalkan kampung halaman untuk berperang dan
mengembara pada bulan tersebut.
Pada zaman Jahiliah, orang yang hendak bermusafir akan
melepaskan seekor burung. Apabila burung itu terbang ke atas atau ke kanan,
maka ia akan membawa petanda baik, tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke
bawah, mereka akan menangguhkan perjalanan kerana mereka beranggapan bahawa
bala akan menimpa sekiranya perjalanan diteruskan.
Seterusnya, amalan khurafat dan bidaah yang
bertentangan dengan syariat Islam diamalkan di dalam bulan Safar sebagai
kesinambungan kepada warisan zaman Jahiliah. Ini kerana menurut kepercayaan
turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar merupakan bulan
turunnya bala bencana dan malapetaka, khususnya pada hari Rabu minggu terakhir.
Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut dan bidaah
sebagai cara untuk menolak bala.
Sama ada sedar atau tidak, masyarakat Melayu Islam di
Malaysia masih lagi dibelenggu dengan amalan khurafat dan tahyul seumpama ini
pada bulan Safar. Di antara amalan khurafat yang pernah muncul di alam Melayu
ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular pada suatu waktu
dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal
berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi
beramai-ramai dengan kepercayaan bahawa perbuatan tersebut boleh menghapuskan
dosa dan menolak bala. Pada kebiasaannya, amalan mandi Safar ini dilakukan pada
hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar.
Selain itu, dalam kalangan masyarakat Melayu juga,
khususnya dalam kalangan orang tua, mereka tidak mahu mengadakan majlis
perkahwinan dalam bulan Safar. Ini kerana mereka berpendapat dan mempercayai
bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat sekiranya majlis
perkahwinan dilangsungkan dalam bulan ini. Amalan dan kepercayaan seperti ini
jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah
seseorang.
Sebenarnya sial dan bala bencana tidak berlaku hanya
pada bulan Safar. Firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 51 bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu
pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pengawal
yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah
hendaknya orang yang beriman bertawakal".
Rasulullah s.a.w. menyatakan melalui sabdanya yang
bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada
penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada bala
bencana bulan Safar". (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Tambahan daripada itu, Rasulullah s.a.w. juga
mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada
sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah
s.a.w. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah
syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman
sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal". (Riwayat
Ibnu Majah).
Sesuatu yang tambah menyedihkan lagi ialah apabila
terdapatnya umat Islam yang melakukan pelbagai upacara menolak bala pada bulan
Safar dengan tidak menganggapnya sebagai suatu perkara khurafat. Mereka
seolah-olah tidak memahami apa itu khurafat, lalu melakukan amalan khurafat
dengan sewenang-wenangnya.
Khurafat ialah mempercayai sesuatu yang bertentangan
dengan ajaran Islam. Kesan paling besar yang akan dihadapi oleh umat Islam
apabila mempercayai perkara khurafat ini ialah ia akan menjerumuskan umat Islam
ke lembah kekufuran dan kesyirikan. Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau
kepercayaan karut nyata ditegah oleh syarak.
Di samping itu, amalan khurafat tidak mendatangkan
sebarang faedah, sebaliknya hanya boleh merosakkan akidah seseorang. Oleh yang
demikian, umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada sangkaan atau
kepercayaan karut tersebut supaya terselamat daripada amalan-amalan yang boleh
membawa kepada syirik.
Amalan khurafat juga boleh menjejaskan kegiatan sosial
dan ekonomi umat Islam. Ia akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi
jumud, kegiatan ekonomi terbantut, mudah berputus asa, tidak bertawakal kepada
Allah serta menjejaskan martabat Islam yang syumul.
Apabila seseorang itu percaya kepada makhluk selain
Allah, maka ia akan membawa kepada lenyapnya keimanan kepada rukun Islam keenam
iaitu percaya kepada qada dan qadar Allah s.w.t. Kepercayaan dan amalan
khurafat yang masih membelenggu umat Islam hari ini berpunca daripada akidah
yang tidak mantap dan tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang hukum-hakam
yang terdapat di dalam Islam. Perlu diingatkan bahawa sebagai seorang Islam,
sewajarnya hanya memohon dan meminta sesuatu kepada Allah.
Kepercayaan dan amalan khurafat hanya boleh dibanteras
jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan menjadikan
al-Quran dan sunah sebagai rujukan dalam segala tindakan. Dalam hal ini, Nabi
s.a.w. menjelaskan kepada kita melalui sabda baginda yang bermaksud: "Aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya
sekiranya berpegang dengan kedua-dua perkara tersebut, iaitu Kitab Allah
(al-Quran) dan sunnahku".
Kepercayaan dan amalan khurafat memang tidak
memberikan manfaat langsung, malah lebih menjurus kepada perkara-perkara
negatif. Oleh itu, bagi menangani masalah khurafat ini termasuk kepercayaan
khurafat dalam bulan Safar, akidah umat Islam hendaklah diperteguhkan agar tidak
terus berada di dalam kepompong kejahilan. Apabila akidah sudah mantap, maka
minda umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan unsur khurafat, sebaliknya akan
lebih terbuka serta `berpijak di bumi nyata'.
Firman Allah dalam Surah al-A'raf ayat 33 bermaksud:
Katakanlah: Yang diharamkan Tuhanku hanyalah segala yang keji, baik yang lahir
mahupun yang batin, maksiat dan melampaui batas tanpa kebenaran dan kamu
mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tiada diberi keterangan kepadanya,
dan kamu katakan kepada Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui.
Sumber:
[AAM, 11 Muharram H – 04 November 2014]