Pada
17 Ogos 2013, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri
Kelantan telah mengadakan Seminar Sosiobudaya Antara Kaum peringkat Negeri di
Dewan Balai Islam, Lundang yang dibentangkan oleh dua ahli panel dari kaum Cina
iaitu Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong dan juga Dr. Hj. Ann Wan Seng.
Untuk
menyebarluaskan manfaat dari perbincangan ini, ana minta Akhi Ahmad Iqram Mohd
Noor membuat catatan dan ulasan kepada seminar ini, jazahullahu khaira.
Seminar
ini sangat bertepatan dibincangkan dalam kerangka masyarakat yang berbilang
kaum supaya dapat mewujudkan nilai toleransi yang tinggi dan menghapuskan sifat
rasis perkauman dalam masyarakat. Sudut pandang Islam juga tidak berhenti
setakat itu, Islam juga menganjurkan kepada umatnya untuk keluar berdakwah. Tugas
utama yang perlu difahami adalah peranan kita untuk menyampaikan Islam kepada
mereka bukan Islam. Maka dengan ini dapatlah kita fahami bahawa tanggunjawab
kita sebagai seorang muslim adalah menjadi suatu kewajipan untuk menyampaikan
dakwah dan seruan Islam kepada seluruh masyarakat di luar sana mengikut
kemampuannya. Dari Abdullah Ibnu Amru Al-Ash,
Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikan
daripadaku walau satu ayat!” (Hadis Riwayat Al-Bukhari).
Dengan kata lain seruan
ini dinamakan sebagai dakwah. Pada asasnya pengertian umum dakwah bermaksud
panggilan, seruan atau ajakan. Maksud ajakan di sini ialah menyeru manusia
mengakui kebesaran Allah Yang Maha Kuasa serta perlunya manusia hidup
berlandaskan peraturan yang ditetapkan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
Walaupun kewajipan
dakwah sangat jelas untuk kita, namun terdapat segelintir dari umat Islam yang
langsung tidak berdakwah. Kejahilan telah membelenggu di dalam pemikiran mereka
sehingga menyebabkan mereka menganggap bahawa solat dan puasa itu wajib, tetapi
dakwah pula tidak wajib ke atas mereka. Sebahagian yang lain pula benar-benar
menjaga solat mereka, tetapi tidak pernah menjaga dakwah mereka. Mereka solat
secara tawadhu’ dan konsisten, tetapi
tidak pernah berdakwah secara konsisten.
Mereka menganggap
bahawa dakwah hanyalah aktiviti ‘part
time’ yang hanya akan dilakukan bila perlu dan jika ada ruang kelapangan.
Bila sibuk dengan urusan dunia, maka dakwah akan ditinggalkan, walaupun mereka
ini mungkin tidak pernah meninggalkan solat di dalam kesibukan mereka. Ada
sebahagian yang lain memberikan alasan ‘tidak cukup ilmu’ untuk berdakwah.
Anehnya, mereka ini dalam masa yang sama tidak pula berusaha untuk menuntut
ilmu, walaupun menuntut ilmu itu jelas-jelas diwajibkan oleh agama Islam.
Apabila diajak untuk mempelajari ilmu Islam ataupun berdakwah, pelbagai alasan
diberikan, walhal dalam masa yang sama mereka boleh menghabiskan masa di
gelanggang futsal setiap minggu, menonton TV berjam-jam sehari, bermain golf
sepanjang hari, melancong dan sebagainya. Mereka boleh pula menuntut pelbagai
ilmu lain dengan amat mendalam, tetapi tidak ilmu Islam. Malah sebahagian
mereka sanggup menghabiskan umur bermati-matian untuk cemerlang mendalami ilmu
ekonomi dan usahawan, berusaha untuk mencapai kegemilangan dalam mempelajari
dan melaksanakan undang-undang kufur serta ingin menjadi terkenal dan terbilang
di dalam menerapkan sistem pemerintahan yang diwarisi dari penjajah. Bagi
mereka, dakwah merupakan satu ‘bebanan’, bukannya kewajipan! Hal ini yang perlu
ditajdidkan kembali dalam kalangan masyarakat hari ini.
Di Negara Malaysia gerakkan dakwah perlu diutamakan
kepada kaum Cina kerana mereka adalah golongan bukan Islam yang dominan di
sini. Untuk melaksanakan urusan dakwah khusus kepada orang Cina hendaklah
memiliki beberapa maklumat asas yang perlu diketahui.
Kaum Cina memiliki pelbagai kepercayaan dan
pegangan, akan tetapi perlu dinilai kepercayaan mereka dalam rangka dasar yang
paling authentic dan berautoriti yang
diamalkan di Malaysia.
[Prof.
Dato’ Dr. Teo Kok Seong]
Mengenai kepercayaan dan juga pegangan
Cina ini boleh dibahagikan kepada dua ketegori, yang pertama adalah kepercayaan
dalam agama dan yang kedua pula kepercayaan dalam adat dan budaya. Antaranya
dinyatakan dibawah:
a)
Kepercayaan dalam agama: Kepercayaan kepada
dewa-dewi, roh nenek moyang (spiritisme), dan lain-lain spirituil.
Antara kepercayaan ritual yang terkenal di Kelantan ialah Datuk Kong atau
dikenali sebagai Tok Kong. Menurut sebutan orang
Cina adalah merupakan ‘Local Deity’ atau ‘Dewa Kawasan’ bagi sesuatu tempat.
Paling terkenal dengan panggilan ‘Earth Deity’ atau ‘Dewa Bumi’. Apa yang
nyata, ia merujuk kepada personaliti yang sama, iaitu Datuk Kong atau dikenali
juga Datuk Keramat. Datuk Kong merupakan dewa pangkat rendah di dalam hirierki
dewa-dewi Cina. Kebanyakkan Datuk Kong yang disembah adalah orang Melayu yang
telah meninggal malah patung di dalam rumah Datuk Kong juga merupakan patung
berciri-cirikan orang Melayu dengan memakai songkok, berkain samping, berbaju
Melayu dan memegang rantai tasbih. Ini kerana mereka mempercayai bahawa roh
orang baik-baik dan alim ini bila disembah dan disajikan dapat memberikan pelindungan kepada penduduk kampung.
Datuk Kong ini juga dikatakan dapat memberi kekayaan kepada sesiapa yang rajin
membaca zikir atau mantranya berulang kali (seperti bertasbih) dan sesiapa yang
rajin memuji-muji Datuk Kong akan diluaskan rezekinya, dilepaskan dari segala
bentuk kesulitan dan lain-lainnya. Datuk Kong juga akan menunaikan hajat kepada
sesiapa sahaja yang berdoa kepadanya. Dalam sesetengah upacara Datuk Kong akan
dipanggil oleh bomoh Cina dengan cara menurun untuk berkomunikasi dengan
penganut-penganutnya.
b) Kepercayaan adat: Kepercayaan kepada angka.
Secara asasnya masyarakat Cina amat mengambil berat mengenai angka kerana bagi
mereka angka memiliki eleman positif dan negatif. Hal ini tergolong dalam
ketegori membawa tuah dan nasib. Mereka mempercayai bahawa setiap angka
memiliki maksud tersendiri kecuali angka 1 yang tidak memiliki apa-apa
penafsiran. Dalam banyak-banyak angka, angka yang dianggap negatif satu-satunya
angka 4. Mereka mempercayai bahawa angka 4 adalah angka yang membawa sial dan
memiliki eleman yang negatif. Ini kerana mereka mempercayai bahawa angka 四 (sì)=4 ia mempunyai bunyi yang sama
dengan 死 ( sǐ ) yang membawa maksud mati, nombor
empat telah menjadi nombor malang bagi budaya orang Cina, Jepun, Korea dan
Viatnam. Berlainan pula dengan angka 八 (bā)= 8 Mempunyai bunyi yang sama dengan
(fā) yang membawa maksud kemewahan. Dalam dialek cantonese pulak, bunyi bā disebut sebagai ‘baat’ dan sama bunyinya dengan ‘faat’
yang bermakna masa depan yang cerah.
Tidak hairanlah sekiranya mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk
memiliki angka ini. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan juga ada sesetengah kaum
Cina juga telah menolak kepercayaan ini dan mereka menganggapnya sebagai
kepercayaan yang karut.
[Dr.
Hj. Ann Wan Seng]
Menjelaskan Pantang Larang Kaum Cina:
Masyarakat Cina mempunyai adat
resam atau pantang larang yang agak unik. Kehidupan seharian mereka yang
dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling menyebabkan mereka banyak
bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara, tukang tilik mempunyai peranan
yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal, kelahiran, perkahwinan dan
kematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan secara berbeza-beza
mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun apa yang diterangkan
seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina secara keseluruhannya.
a) Sewaktu mengandung
Pelbagai bentuk adat resam dan
pantang larang diamalkan oleh wanita masyarakat Cina semasa mengandung dan juga
selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal lahir itu tidak ditimpa
kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau kematian. Wanita-wanita
masyarakat Cina yang mengandung sentiasa diberikan kawalan ketat di dalam
setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka.
Dalam masyarakat Cina ibu mertua
bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan bukannya suami. Masyarakat Cina
juga amat mementingkan anak lelaki. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan
keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan hanya
menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin,
mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya. Terdapat banyak pantang larang
yang perlu dipatuhi semasa mengandung. Antaranya mereka tidak
dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang
lahir akan mengalami kecacatan. Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku
seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang. Ini
bertujuan menghindari bayi dari terkena badi.
Di samping itu mereka juga
digalakkan bekerja bagi memudahkan proses bersalin. Sewaktu mengandung sebarang
konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami
sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi yang belum lahir semasa mengandung
juga adalah antara pantang larang dalam masyarakat Cina. Ini adalah untuk mengelakkan
perasaan kecewa bila harapan tidak tercapai.
Selain itu wanita hamil tersebut
tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir
kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang
hamil dilarang sama sekali makan makanan yang “tajam” seperti nenas dan mangga
serta tidak digalakkan makan banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan
ini akan membuatkan ibu sukar untuk bersalin. Untuk menentukan samada kandungan
itu lelaki atau perempuan, maka masyarakat Cina melihat bentuk perut wanita
yang hamil, terutama apabila kandungan berusia empat bulan ke atas. Jika perut
ibu agak bulat, bayi yang di kandung adalah perempuan dan sebaliknya lelaki
jika perut kelihatan tajam.
b)
Kelahiran:
Keluarga Cina mempunyai beberapa kepercayaan semasa ibu mengandung.
Misalnya di dalam bilik ibu, perabot tidak boleh diubah, terutamanya katil,
memaku dinding rumah tidak dibernarkan sama sekali. Ibu yang mengandung
mesti berjaga-jaga supaya tidak terperanjat dengan benda-benda yang tidak baik.
Pantang larang itu diamalkan selama kira-kira sebulan selepas bersalin. Orang
Cina tidak suka bayi mereka itu dipuji “berat badannya”. Sebaliknya kata-kata
pujian seperti “gemuk” atau “gemuk macam babi” dapat diterima. Kelahiran seseorang
anak biasanya diraikan apabila ia berumur sebulan. Saudara mara dan sahabat
handai memberi hadiah yang boleh digunakan bayi. Hadiah-hadiah itu dibungkus
dengan kertas merah. Sesetengah keluarga meraikan bagi keduanya apabila anak
itu berumur satu tahun.
c) Perkahwinan
Perkahwinan
adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan kaum Cina mahupun keluarganya.
Ia merupakan peralihan yang banyak mempengaruhi perubahan bagi seseorang
lelaki. Pada umumnya, perkahwinan adalah cara yang sah untuk mendapatkan
seseorang isteri. Institusi ini memberikan kebenaran untuk menyambung zuriat
nenek moyangnya serta memulakan zuriat sendiri. Di samping itu, lelaki Cina
akan menghadapi banyak tanggungjawab baru sebagai suami dan sebagai seorang
bapa kemudiannya. Dalam masyarakat Cina, pada masa dahulu pertunangan boleh
dilakukan apabila kanak-kanak itu berumur di antara 7 dan 14 tahun. Selanjutnya
tidak terikat lagi dengan peraturan tradisional bagi seseorang perempuan Cina
untuk berkahwin. Pada masa dahulu sesuatu perkahwinan adalah diatur oleh kedua
ibu bapa. Tetapi keadaan itu telah berubah pada hari ini. Walaubagaimanapun ibu
bapa masih mempunyai kuasa dalam mencampuri hal perkahwinan anak-anak mereka.
Walaupun kini perkahwinan tidak diatur oleh ibu bapa tetapi peringkat ramalan
nasib masih dijalankan dan ia merupakan peringkat yang sangat penting.
Penetapan masa dan tarikh untuk perkahwinan juga penting.
Terdapat tiga upacara yang
dijalankan oleh masyarakat Cina di Malaysia semasa sesuatu perkahwinan diadakan
iaitu:
·
Perkahwinan sivil dimana bakal
perngantin itu perlu berdaftar dahulu sebagai suami isteri yang sah dari segi
undang- undang.
·
Upacara minum teh. Ia merupakan satu
budaya tradisional Cina di mana pengantin baru memberi teh kepada ahli-ahli
keluarga yang lebih tua untuk minum sebagai tanda pengenalan antara satu sama
lain.
·
Jamuan makan. Pada jamuan ini semua
saudara mara dan kawan-kawan akan dijemput.
Pada kebiasaannya upacara perkahwinan sivil dan upacara
minum teh adalah untuk dihadiri oleh saudara mara yang rapat sahaja. Perkara
yang dianggap mustahak dalam perkahwinan kaum Cina ialah pengumuman perkahwinan
itu kepada kawan-kawan dan dan saudara mara mereka dengan mengadakan jamuan.
Besar kecilnya jamuan ini bergantung kepada kemampuan seseorang. Oleh kerana
majlis ini penting maka tetamu-tetamu yang hadir eloklah memakai pakaian yang
cantik dan berwarna merah. Sebaiknya-baiknya hendaklah dielakkan daripada
memakai baju yang berwarna hitam, biru atau kelabu kerana warna-warna ini
biasanya dikaitkan dengan peristiwa sedih dalam masyarakat Cina. Apabila tetamu
berjumpa dengan kedua pengantin baru itu mereka haruslah mengucapkan tahniah
kepada mereka. Tetamu janganlah menceritakan atau menyebut perkataan-perkataan
yang sedih seperti kematian, sakit, bencana atau hantu apabila bertutur dengan
kedua pengantin itu.
Warna merah dikalangan
masyarakat Cina bererti tanda baik dan gembira. Oleh kerana itu, sekiranya tetamu
memberi hadiah eloklah dibungkus dengan kertas berwarna merah.
d)
Kematian
Upacara
kematian yang melibatkan penziarahan dan penjagaan mayat biasanya berlangsung
dari tiga hingga tujuh hari. Ini untuk membolehkan sanak saudara dan rakan
taulan memberi penghormatan terakhir, selain menghadiri upaca pengebumian.
Sumbangan wang dalam sampul putih
biasanya disampaikan kepada keluarga si mati oleh mereka yang datang
menziarahi. Jumlahnya pula perlu berupa wang dalam bentuk angka yang ganjil.
Pelawat seharusnya tidak memakai pakaian yang berwarna-warni
sewaktu pergi ke rumah orang mati. Sebaiknya-baiknya pelawat itu memakai baju
berwarna muram seperti hitam atau kelabu dan sebagainya. Apabila seseorang itu
memasuki rumah si mati dia hendaklah membawa sepasang lilin putih “duit kertas”
dan lain-lain alat sembahyang untuk diberikan kepada keluarga si mati yang
kurang berada. Sekarang lazimnya pelawat memberikan derma atau menghantar
kalungan bunga kepada si mati. Kadang kala sekumpulan sahabat atau sesuatu
persatuan menyediakan panji-panji yang ditulis dengan kata-kata pujian kepada
si mati.
Dalam kebudayaan Cina, kematian selain melibatkan
perbelanjaan wang yang besar jumlahnya, dianggap sebagai sesuatu yang
“kotor/mencemarkan”, malah amat kotor dan mencemarkan sekali. Justeru itu,
terdapat dua pihak yang terpaksa ‘bergelumang’ dengan kekotoran/ pencemaran
yang membawa sial ini. Pertama ialah keluarga si mati, kedua ialah rakan taulan
yang menziarah.
Sehubungan dengan kekotoran ini, mayat Cina diuruskan dengan
penuh berhemat dan penuh teliti. Oleh itu, (orang Cina) mengambil langkah
berhati-hati semasa berhadapan dengan hal kematian dan lebih-lebih lagi dengan
mayat si mati. Untuk ini, ramai (orang Cina) yang berada pada jarak yang jauh
daripada mayat dan sesetengahnya tidak pun mahu melihat mayat dalam keranda
dari jarak yang dekat semasa memberi penghormatan terakhir takut-takut terlekat
sial. Dalam hal ini, seboleh-bolehnya mayat dan keranda tidak boleh disentuh
oleh mereka (orang Cina) yang mengziarahi. Ini kerana penyentuhan itu dianggap
terlalu berbahaya, apatah lagi untuk diusung pada hari pengkebumian.
Ketika meninggalkan rumah si mati, pelawat biasanya
diberikan seutas benang merah atau gula-gula berikat benang merah sebagai tanda
terima kasih. Warna merah itu warna yang membawa nasib baik dan menghalang
hantu syaitan yang cuba mengacau. Gula-gula yang diberi itu boleh dimakan.
e)
Perayaan
Majlis riang ria yang paling dinantikan oleh kaum Cina
adalah tahun bharu. ia boleh dikatakan festival Cina yang paling penting dan
yang paling meriah untuk diraikan selama 15 hari pada bulan pertama takwim
Cina.
Perayaan tahun baru diadakan jamuan yang istimewa sempena
menghimpunkan ahli keluarga untuk merayakannya di malam tahun baru. Perayaan
ini diserikan dengan adat orang tua memberi angpau kepada kanak-kanak dan ahli
keluarga yang belum mendirikan rumah tangga. Pemberian angpau adalah untuk
melambangkan kegembiraan, selain merupakan semacam restu untuk kehidupan makmur
serta untung nasib yang baik sepanjang tahun.
Tarian singa dipersembahkan sempena perayaan
ini, adalah untuk menghalau kuasa jahat seperti syaitan dan iblis. Ia juga
dilihat sebagai mengundang perkara yang baik-baik. Kadang kala tarian singa
dipersembahkan untuk dikaitkan dengan cuaca sepanjang tahun dipenuhi rahmat dan
hujan.
Mercun ikut dipasang untuk menghalau kuasa
jahat selain menandakan kemeriahan perayaan tahun baru. Dan pada tahun baru
juga terdapat buah yang sinonim dengan orang Cina iaitu limau. Juga menjadi amalan baik untuk membawa
dua atau empat biji limau Mandarin untuk diberikan kepada tuan rumah oleh
tetamu semasa menziarahi pada perayaan tahun baru. Pemberian limau itu
diibaratkan sebagai pemberian emas. Ini kerasa dalam bahasa sukuan Cina
kantonis, nama/sebutan untuk limau menyerupai nama/sebutan untuk emas.
f)
Pantang larang makan
Orang Cina amat mementingkan kesihatan dan makanan yang
berkhasiat. Orang tua dilarang memakan kangkung kerana boleh menyebabkan sakit
sendi. Mereka yang mempunyai luka pada badan tidak dibenarkan memakan udang dan
ketam kerana mengakibatkan luka susah sembuh.
Pada tahun baru Cina, ikan yang dimakan tidak boleh putus
kerana membawa petunjuk yang tidak baik. Para nelayan yang makan di atas kapal
dilarang membalikkan ikan yang mereka makan kerana boleh membawa bencana dan
kemalangan. Orang Cina tidak digalakkan bercakap semasa makan. Mereka dilarang
mengetuk mangkuk dan pinggan dengan penyepit.
Terdapat
banyak kepercayaan Cina jika ingin disenaraikan. Ini kerana orang Cina akan
mewarisi setiap kepercayaan daripada nenek moyang mereka. Jadi, tidak menjadi
masalah untuk memahami kondisi mereka memandangkan ia adalah kepercayaan yang
menyeluruh di dalam kalangan masyarakatnya. Hal ini boleh dirujuk mana-mana buku
yang disenaraikan di akhir perbincangan masalah ini juga boleh dirujuk kepada
orang Cina sendiri.
Setelah mengenal pasti kepercayaan dan pegangan
orang Cina maka bolehlah dikritiskan dengan memahami kepincangan dalam agama
mereka. Sebelum itu hendaklah mengetahui bagaimana kronologi agama Cina
terbentuk.
a) Majoriti Cina non-muslim di Malaysia
adalah penganut agama Buddha (Mahayana). Dalam falsafah Buddha ini terdapat
beberapa kepincangan dasar dan salah satunya falsafah Buddha tidak memiliki
penjelasan mengenai konsep ketuhanan dan juga penciptaan. Sebelum itu perlulah
mengenali konsep agama yang dianut oleh orang Cina. Hal ini boleh dilihat dalam
sejarah China dimana kronologi pencantuman tiga agama Cina berlaku iaitu agama
Confusios, Taoisme dan Buddha. Hal ini dinamakan sebagai sinkretisme (ia adalah hasil daripada
gnosticisme dibawah pecahan pluralisme) atau dikenali penyatuan aliran yang
berbeza-beza. Orang Cina menggangap ketiga agama itu saling isi mengisi antara
satu sama lain, yang satu menyempurnakan kekurangan yang lain. Bagi mereka yang
hendak mengatur alam realiti akan merujuk kepada Confusios. Mereka yang
mencarikan kehidupan yang romantik dan perhubungan alam ghaib akan merujuk
kepada Taoisme. Manakala bagi mereka yang menempuh jalan ke akhirat akan
merujuk Buddha. Pada hakikatnya memang tidak ada pertentangan atau percanggahan
benterokan ketiga agama ini, kerana masing-masingnya seolah-olah berjalan
mengikut lajurnya sendiri dan tidak memasuki lajur yang lain. Bagi mereka tiga
agama itu mempunyai satu tujuan juga, iaitu hendak memberi kebahagian kepada
manusia.
b) Kaum Cina sangat fleksibel dan juga
memiliki pegangan yang kukuh terhadap falsafah mereka. Sekira diteliti kembali
sejarah perkembangan agama Buddha yang mana kronologi awal pengasasnya adalah
Siddhartha Guatama Buddha yang lahir dari Kapilavastu terletak di sebelah utara
India Tengah berhampiran dengan Nepal. Guatama Buddha pada awalnya adalah
seorang penganut agama Hindu yang membawa pembaharuan di dalam agamanya.
Setelah itu dia dipulaukan oleh golongan Brahma kerana dia didakwa sebagai
seorang ahli bid’ah. Jelas disini bahawa Guatama Buddha adalah orang India dan
membawa ideologi Hinduisme. Persoalan mula timbul, bagaimanakah orang Cina
menerima agama Buddha sedangkan sejarah awal Buddha tidak ada kaitan dengan
Cina? Sejarah menyatakan bahawa falsafah Buddha mula memasuki ke Cina pada 399
SM oleh seorang sami yang bernama Fa
Hsien. Ini jelas bahawa kaum Cina sangat fleksibel sehingga dapat
mengaplikasikan Buddha pada awalnya adalah India kepada budaya Cina.
c) Dalam agama Buddha memiliki kitab
sucinya yang dinamakan Tri-Pitaka yang
bermakna “tiga bakul”. Kitab ini ditulis dalam bahasa Pali, suatu bahasa yang
mempunyai perkaitan rapat dengan bahasa Sanskrit. “Tripitaka” yang dalam bahasa
Pali disebut Tipitaka adalah tiga gabungan tulisan penting yang terdiri
daripada: Vinaya Pitaka, Sutta Pitaka, dan Abhi-dhamma Pitaka yang ditulis
dalam bentuk persajakan, memuatkan ajaran-ajaran mengenai kepelbagaian cawangan
doktrin Buddha. Kitab agama Buddha ini sukar untuk diperolehi, jadi tidak
hairanlah sekiranya ramai dari penganut agama Buddha tidak memilikinya. Ada
juga segelintir dikalangan penganut agama Buddha tidak mengenali langsung
kitab-kitab ini. Penafsiran kandungan kitab ini juga tidak banyak dinyatakan di
dalam buku-buku terbitan kuil. Ini jelas menunjukkan bahawa pengamalan kaum
Cina Buddha tidak bergantung terus kepada kitab agama mereka. Mereka lebih
terikat dengan budaya orang dulu-dulu.
d) Mengenai agama anutan kaum Cina ini
masih lagi diperdebatkan oleh ilmuan perbandingan agama dan juga ahli falsafah.
Terdapat dua kes, pertama ramai ilmuan menyatakan bahawa Buddha itu bukanlah
suatu agama tetapi ia sekadar falsafah. Manakala ada juga dakwaan menyatakan
Confusios dan Taoisme tidak lebih daripada kepercayaan orang Cina dan ia bukan
agama. Kedua, terdapat penafsiran menyatakan bahawa gabungan ketiga-ketiga
agama Cina ini (sinkritisme Confusios, Taoisme dan Buddha) tidak sepatutnya
dinamakan sebagai agama Buddha seperti dilabelkan oleh kebanyakkan ilmuan. Ini
seolah-olah mengetepikan sistem agama Confusios dan Taoisme dalam kepercayaan
Cina yang mana tidak kurang hebatnya pengaruh mereka di dalam masyarakat Cina.
Ada usul cadangan supaya menamakan kembali fahaman sinkritis ketiga-tiga agama
ini.
Kesimpulan
Pada
bahagian akhir bab dinyatakan perbincangan ‘kepincangan’ itu bukanlah bermaksud
untuk mengkritik agama Buddha tetapi untuk memberi ruang perbincangan secara
akedemik kepada mereka yang mengkaji agama Buddha dan budaya Cina. Sesungguhnya
dapat disimpulkan bahawa orang Cina lebih mementingkan budaya daripada agama.
Sebab itulah kaedah untuk berdakwah kepada orang Cina adalah penting untuk
mendalami budaya dan adat mereka lebih-lebih lagi boleh berbahasa mandarin.
Mereka (orang Cina) bersifat fleksibel dan mudah untuk didekati dan antara
kaedah yang paling mesra yang sering diamalkan oleh para pendakwah adalah
menjemput mereka ke restoran untuk menikmati hidangan beserta mengadakan dialog
dan beramah mesra.
Pengetahuan
dan pemahan yang dijelaskan secara ringkas diatas ini sudah tentu banyak
membantu kita melakukan penyesuaian budaya dengan lebih baik lagi, khusunya
dalam bentuk empati budaya (yakni pemahaman sesuatu kaum) serta relativity
budaya (iaitu sesuatu budaya itu tidak sama dengan yang lain).
::
Intipati perbincangan ini diambil dari dua kertas kerja, pertama Prof. Dato’
Dr. Teo Kok Seong (Felo Utama Institut Tamaddun Melayu) UKM bertajuk Sosiobudaya
Masyarakat Cina Satu Analisis. Kedua kertas kerja Dr. Ann Wan Seng
(Setiausaha Agung Kehormat MACMA Malaysia/ Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM) yang
bertajuk Pantang Larang Masyarakat Cina.
Catatan, Ahmad Iqram Mohd Noor.
Penulis adalah seorang Pendakwah,
Pengkaji Perbandinagn Agama, juga merupakan Siswa di KIAS). Boleh dihubungi
melalui FB: https://www.facebook.com/ahmad.i.mohdnoor
Catatan Akhi Zulkifli (orang KB bertugas di Sandakan) yang menyertai seminar:
Kebudayaan cina,
Setia pada negara, taat pada ibubapa-lindungi keluarga.
Kerajinan dan kesungguhan.
Pemujaan dewa dan nenek moyang.
Aspek di atas -humanisme - persoalan manusia dan masyarakat.
Aspek kelahiran.
Pantang larang sebulan untuk ibu bersalin berehat.
Anak lahir umur sebulan, jamuan makan + ang pau sampul merah atau hadiah-balut kertas merah, merah jambu atau kuning.
Sambut hari lahir genap 60 tahun. Kejayaan. Jamu mee yang panjang usia panjang. Angpau jumlah wang genap.
Merah warna berkat-darah kehidupan, tangkis kuasa jahat.
Perayaan.
Festival tahun baru cina selama 15 hari. Jamuan, bersosial. Jamuan kumpul semula ahli keluarga mlm ambang tahun baru.
Catatan Ustaz Abdul Qadir Alnali;
Antara yang menarik dalam pembentangan Prof Teo tengahari tadi (kalau saya tak salah dengar...) ialah mengenai masa BALIGH masyarakat cina ialah setelah berkahwin. Sebelum kahwin dianggap kanak-kanak dan layak menerima angpau walaupun sudah berusia 80 tahun....???
YB Dato' Nik Mohd Ammar (TMB) dalam ucapan perasmian menyebut bahawa Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong. (Pembentang kertas: Budaya Cina Satu Analisis). Adalah Pejuang Bahasa Kebangsaan.
Prof. Pernah tegur pengurus The Red Warrior kerana dok guna bahasa orang putih..
*Kata AAM: Ambo sokong teguran tu. Mace la org Kelate ni tak dak bahasa.
Dibaca Oleh;
Abu Anas Madani.
PSD, 11 Syawal 1434H – 18 Ogos 2013.
Catatan Lawatan Abu Anas ke China boleh dibaca di sini;
Siri 1: http://www.abuanasmadani.com/?p=856
Siri 2: http://www.abuanasmadani.com/?p=870
Siri 3: http://www.abuanasmadani.com/?p=884
[1] Dalam perbincangan
mengenai kepercayaan Cina termasuk dalam hal-hal spiritual ini sangat luas.
Antara rujukan yang boleh disemak lihat Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd Zin (1993) Dakwah Al-Quran Kepada Orang Bukan Islam:
Suatu Kajian Khusus Terhadap Dakwah Di Kalangan Masyarakat Cina Wilayah
Persekutuan, Tesis Ph.D, UMKL, hlm 174-216/ lihat Frena Bloomfield (1989). Book of Chinese Beliefs, Ballatine
Book, US / lihat Victor Purcell penterjemah Nik Hasnaa Nik Mahmood (1997). Orang-Orang Cina di Tanah Melayu,
Penerbitan Universiti Teknologi Malaysia, Johor / Lihat Ann Wan Seng (1996). Kepercayaan Orang Cina, Fajar Bakti,
Shah Alam. Selangor / lihat Lillian Too penterjemah Clara Herlina Kardjo
(1995). Feng Shui, PT Elex Media
Komputindo, Jakarta. Indonesia / lihat E.T.C Werner diterjemah Johan Japardi
(2008). Mitos dan Lagenda China, PT
Gramedia Pustaka Utama, Jakarta. Indonesia.