Dalam penerbangan SV5703. [KT 71]; Satu jam sebelum tiba di Jeddah, ramai para jemaah yang tertanya-tanya bilakah akan sampai di miqat? Ada juga yang runsing: Nanti terlepas miqat pula? Berbagai ragam jemaah ketika itu, Abu Anas yang baru terlelap sikit tu pun dikejutkannya.
Perhatian: Kebiasaannya, (dalam penerbangan kapal haji / umrah) setengah jam sebelum sampai di udara Miqat Qarnul Manazil, kapten akan mengumumkan bahawa kita akan melintasi udara miqat.. jemaah yang belum siap berpakain ihram boleh melakukan persiapan.
10 minit sebelum betul-betul tiba di miqat, sekali lagi anak kapal akan mengumumkan akan sampai di miqat, ketika itu para jemaah bolehlah berniat, kerana selepas itu tidak ada lagi pengumuman yang dibuat.
Bagi jemaah yang akan ke Makkah selepas ini sila ambil perhatian, waktu pengumuman ini, jangan sampai terlepas pula.
Adapun mereka yang akan ke Madinah dahulu setelah turun di Jeddah, jangan berniat di atas kapal terbang, kerana miqat mereka di Zulhulaifah atau Abyar Ali nanti.
Dalam penerbangan ini juga Abu Anas sempat minta izin dengan pramugara untuk bercakap sepatah dua, alhamdulilah dia benarkan bercakap selama 2 minit. Sempatlah membuat penjelasan tentang niat, kategori haji ada tiga, siapa yang nak haji Ifrad, niat haji sahaja, orang yang nak haji tamattu’ niat umrah sahaja, tak ada niat haji tamattu’. Alhamdulillah, penjelasan yang ringkas tapi insya’Allah ada manfaatnya sebagaimana kata sebahagian jemaah.
Dalam keadaan para pembimbing sentiasa memberi kursus dan penjelasan tentang perkara ini, ana dimaklumkan ada juga [dalam KT lain] berlaku sedikit kecelaruan tentang niat, terutamanya golongan yang tak belajar bab haji sebelum datang, atau datang kursus tapi tak faham, atau bila ustaz tanya: Faham semua? Mereka jawab: “Faham ustaz!” jadi siapa sebenarnya yang faham? Allahul musta’aan.
Sepanjang penerbangan dari KLIA – Jeddah, 5.30am – 9.50am [9 jam 20 minit; agak lama daripada biasa] Alhamdulillah, makananan dihidangkan sebanyak 2 kali; ada nasi dan spagheti.
Pada jam 9.40am (waktu Saudi) selamat mendarat di King Abdul Aziz Int. Airport [KAAIA], turun KT naik bas pula, sampai di Terminal Haji jam 10am.
Selesai masuk airport kena rehat dulu, tunggu giliran jemaah di hadapan selesai cop passport mereka, bila kosong baru kami di panggil ke imigresen. Selepas itu ambil barang, bawa ke kastam, masukkan ke dalam scanner dan bawa keluar, diambil oleh petugas muassasah dan dibawa ke tempat berkumpul hujjaj Malaysia.
Jemaah sekali lagi kena beratur untuk mendapatkan tiket bas ke Makkah, Madinah dan masya’ir. Harganya sama dengan harga tahun lepas.
Setelah itu dibawa ke tempat berkumpul hujjaj Maliziya, ruang di hujung terminal haji. Solat zuhur & asar jama’ taqdim, kemudian beratur naik bas. Di atas bas baru di beri makanan, kabsah (nasi minyak lauk ayam) sedap la makan, sebab lapar dah jam satu lepas zuhur (jam 6pm Malaysia).
Semasa di atas bas, macam-macam urusan lagi kena tunggu… hitung bilangan paspot, sodiq (panggilan kami kepada petugas Bangla) angkat barang naik ke atas atap bas, ceramah pegawai kesihatan tentang penjagaan kesihatan, haram rokok dan lain-lain. AAM sokong benar bab haram rokok ni, bimbang takut orang lain boleh haji mabrur, si hamba Allah ni dapat haji malboro!
Jam 1.54pm bas mula bergerak menuju ke Makkah.. berhenti sekejap di Asy-Syumaisi, urusan passport dan ambil guide untuk ke pejabat muassasah di Makkah, satu badan NGO, Badan Kebajikan Memberi Hadiah Kepada Jemaah Haji dan Umrah [http://www.hajigift.org/Pages/Default.aspx], telah membahagikan sebotol air zamzam dan biskut kepada setiap jemaah.
Kami sampai di pejabat Muassasah Haji Asia Tenggara Maktab 71 di Ajyad Bir Balila, berhenti di hadapan Hotel Syuhada’ yang kebetulan pada waktu itu Solat Asar di Masjid al-Haram.. walaupun saf tak bersambung, putus tengah jalan, ramai juga orang dok solat depan hotel tu…
Sampai di Hotel Ummu Hani* jam 4pm, Alhamdulillah. Dapat masuk bilik no 501..
Selepas solat Isya’, Jam 9.00pm jemaah dibawa ke Masjidil Haram, untuk melakukan tawaf umrah atau tawaf qudum bagi jemaah yang melakukan haji ifrad dan melakukan Saei umrah atau haji.
Abu Anas pula, telah naik taraf vip (tapi tak ada pula polis mengawal), apabila terpaksa tawaf naik kereta tolak (kerusi roda) ketika tawaf dan saie, lantaran sakit lutut kiri yang agak kronik, tidak boleh jalan jauh dan berhimpit.. semoga Allah swt sembuhkan penyakit ini dengan kuasanya..
أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لا شِفَاءَ إِلا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لا يُغَادِرُ سَقَمًا
Maksudnya: “Hilangkanlah penyakit hamba-Mu ini wahai Tuhan sekelian manusia! Sembuhkanlah, hanya Engkau sahaja yang dapat menyembuhkan. Tiada kesembuhan melainkan kesembuhan yang Engkau kurniakan, iaitu kesembuhan dari segala penyakit.” [HR Bukhari].
Sedihnya perasaan hamba Allah swt ini Tuhan sahaja yang tahu, dulu di Rumah ini aku melakukan tawaf.. berjalan, berlari anak di antara Safa dan Marwah.. berjalan ke sana sini di lorong-lorong di Makkah ini, tempatku berulang alik pagi dan petang dari rumah nenek Aminah -rahimahallah- di Jiyad al-Masafi ke Masjidil Haram, mengikuti kelas tahfiz al-Quran... kini, ketara sangat usia semakin tua, kesihatan semakin terhakis… namun semangat dakwah dan jihad tidak pudar…
Benarlah sabda Nabi saw:
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
Maksudnya: Dua nikmat yang Allah kurniakan, ramai orang yang kerugian (tidak menggunakannya) dengan sebaik mungkin; kesihatan dan kelapangan. [HR: Bukhari].
Pagi Selasa 28 ZulQa’dah 1432H -25 Oktober 2011 mula bertugas di Hotel Ummu Hani Makkah, Memberi khidmat nasihat dan taujihaat kepada jemaah..
Sepanjang di Makkah; Beberapa siri ceramah telah diadakan kepada jemaah haji Ash-Har Travel yang berada di 3 buah Hotel; Dar Ummu Hani’, Ufuk al-Fateh 2, dan Hotel Safwah Royal Orchid. Jadual ikut hotel jemaah. Solat Istisqa’ (solat minta hujan): Pada pagi Isnin 04 Zulhijjah bersamaan 31/10/2011: Selepas solat Isya’ malam tu imam Masjidil Haram (MH) telah mengisytiharkan akan melakukan solat minta hujan esok, memandangkan hujan sudah lama tidak turun, masyarakat yang tinggal di padang pasir kekeringan air, dan rumput makanan haiwan ternakan juga kering. Apabila rakyat mengadu kepada Raja, Baginda akan mengarahkan agar solat Istisqa’ dilakukan diseluruh Mamlakah (Kingdom Arab Saudi).
Selepas Solat Subuh, sejurus selepas matahari terbit, Solat dilakukan diseluruh Negara.
Di Masjidil Haram Makkah, Imam Solat ialah Shaikh Dr. Su’uud Al-Shuraiym, imam yang dikenali dan diminati kelunakan suaranya oleh para jemaah haji seluruh dunia termasuk Malaysia. Sheikh Shuraym seorang yang amat mudah sebak ketika khutbah & Solat, suaranya sayu meruntun jiwa.
Kebiasaannya solat ini akan dihadiri oleh pembesar negeri, Amir Kota Makkah, Khalid bin Faisal bin Abdul Aziz al-Su'ud. Ketua Majlis Tertinggi Qadha’ Arab Saudi, Shaikh Dr. Soleh bin Abdullah bin Humayd, Ketua Urursan Dua Masjidil Haram. Di samping para pegawai kanan Saudi dan ratusan ribu umat Islam.
Antara ungkapan paling menyentuh hati dalam Khutbah Istisqa' Shaikh Shuraym ialah; beliau memetik ungkapan Seorang Sahabat Nabi saw, Abdullah bin Mas'ud ra tentang punca hilangnya iman manusia akibat perangai mengampu. Ia suatu perbuatan yang amat Allah murkai hingga boleh mengundang bala kepada umat manusia.
Abdullah bin Mas'ud menyatakan tentang manusia yang berjumpa pembesar dengan memuji pembesar itu dengan demikian dan demikian bentuk pujian dan ampuan sambil mengharapkan redha dan habuan daripada pembesar itu. Kata Ibnu Mas'ud, manusia itu balik setelah perjumpaan itu dalam keadaan imannya sudah hilang kerana dia tidak mencari redha Allah, bahkan mengampu untuk mendapatkan reda manusia.
Astaghfirullah! Sungguh sayu seduan tangisan Shaikh Shuraym menaqalkan ingatan sahabat ini tentang dosa-dosa manusia yang menghapuskan amalan mereka dan mengundang kemurkaan Allah.
Shaikh Shuraym juga mengingatkan tentang punca bala Allah turunkan kepada manusia selain sifat jahat manusia yang mengutamakan reda manusia hingga membekalangkan redha Allah, ialah sifat tamak haloba yang tiada batasannya. Kata beliau, hari ini ramai yang makan, tapi tak pernah kenyang, ramai yang mengumpul harta tapi tak pernah cukup, ramai yang mengampu tetapi tak pernah puas. Allah! Ampunilah hamba-hamba-Mu. Astaghfirullah! Sendunya tangisan Shaikh Shuraym mengundang tangisan para jemaah yang memahami bahasa Arab beliau yang amat mudah lagi menusuk kalbu. Kelihatan Sang Amir yang duduk di kaki mimbar, di hadapan Khatib turut mengesat airmatanya akibat ingatan dosa-dosa dan perlakuan manusia ini.
Pemandangan cukup indah gandingan umara dan ulama yang saling mengingati tugas dan tanggungjawab memelihara iman umatnya.
Inilah sepatutnya yang dikutip oleh para jemaah sewaktu berada di Tanah Suci. Saki baki amalan Salaf dan Sunnah Nabi SAW yang hampir tidak wujud di tempat kita. Bagaimana mungkin negara boleh kekal dirahmati jika para ulama tidak diberikan peluang sebebas-bebasnya menasihatkan ummah dan perlakuan jahat mereka yang lari daripada agama dengan sandaran asas agama yang kukuh? Para umara perlu mengkaji hal ini. Pada pihak para ulama pula, sampai bila perlu ada rasa gerun dengan umara apabila menyampaikan yang haq? Bukankah kebenaran yang disampaikan itu adalah untuk memelihara iman dirinya dan iman umatnya. Bukankah dengan terpeliharanya iman, maka rahmat Allah akan berterusan turun mencurah dari langit. Langit dan bumi jadi saksi perlakuan kita semua. Hari akhirat nanti Allah akan membalas dan menilai menurut amalan kita. Umara akan dihisab, ulama juga tidak akan terlepas. Ya Allah, ampunilah kami! Betapa daif dan lemahnya diri ini. Astaghfirullah! Ya Allah! Turunkanlah hujan rahmat-Mu di bumi yang mulia ini. Amin! [Terjemahan Ringkasan Khutbah & ulasan oleh: Dr Juanda]
Antara tajuk yang dibincangkan;
1- Anda di Makkah; menjelaskan kedudukan/kemuliaan Tanah Haram Makkah, adab-adab berada di TH.
2- Kelebihan Sepuluh Awal Bulan Zulhijjah; amalan yang patut dilakukan. [http://www.youtube.com/watch?v=A4QxkgV0Mjo]
3- Memahami Istighfar, Zikir dan Doa. Buku Zikir Pagi dan Petang, susunan AAM dijadikan sebagai muqarrar / bacaan dan hafalan rasmi jemaah sepanjang musim haji dan insya’Allah akan menjadi amalan sepanjang hayat.
4- Beberapa Perkara Yang Membatalkan Aqidah.
5- Ulangkaji Amalan Haji. Persiapan ke al-Masya’ir; Arafah, Muzdalifah, Mina.
Insya’Allah swt, Kuliah dan ceramah akan diteruskan di al-Masyair dan akan sambung lagi selepas balik darinya.
Jumaat 8 Zuhijjah 1432H – 04 Nov 2011M, Hari Tarwiyah, Jemaah berangkat ke Mina – Arafah… bersambung dalam siri akan datang, Insya’Allah swt.
* Kenali Siapakah Ummu Hani.
Beliau bernama Fakhitah, seorang wanita dari kalangan bangsawan Quraisy. Puteri kepada bapa saudara Rasulullah s.a.w yang bernama Abu Talib bin Abd Manaf bin Abd Mutthalib bin Hasyim bin Abd Manaf bin Qushay. Ibunya bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim bin Abdi Manaf. Dia saudara kandung kepada Sayyidina ‘Ali, ‘Aqil dan Ja’far, yang merupakan putera-putera Abu Talib.
Dia begitu memahami tentang agungnya hak seorang suami. Dia juga sangat memahami tentang hak anak-anak yang ditinggalkan suaminya dalam asuhannya. Dia tidak akan mensia-siakan satu pun dari keduanya, sehingga dia mendapat pujian yang begitu mulia, “Sebaik-baik wanita penunggang unta adalah wanita Quraisy, sangat penyayang terhadap anak-anaknya.”
Semasa zaman jahiliyah, Rasulullah s.a.w pernah meminangnya. Pada saat yang sama, seorang pemuda bernama Hubairah bin Abi Wahb Al-Makhzumi pun meminangnya juga. Abu Talib menjatuhkan pilihannya pada Hubairah dan akhirnya Abu Talib mengahwinkan Hubairah dengan puterinya.
Dari perkahwinan ini, lahirlah putera-putera Hubairah, di antaranya Ja’dah bin Hubairah yang kemudianya dilantik oleh ‘Ali bin Abi Thalib r.a (khalifah ketika itu) sebagai gabenor di negeri Khurasan.
Putera-puterinya yang lainnya adalah `Amr (telah meninggal dunia ketika masih kecil) juga Hani` dan Yusuf.
Namun pada akhirnya, Islam memisahkan mereka berdua. Ketika Allah swt membukakan negeri Makkah kepada Rasul-Nya s.a.w dan manusia berduyun-duyun masuk Islam, Ummu Hani r.a pun turut Islam bersama mereka. Mendengar berita pengislaman Ummu Hani`, Hubairah pun melarikan diri ke Najran.
Pada hari pembukaan negeri Makkah itu, ada dua kerabat suami Ummu Hani` dari Bani Makhzum, Al-Harith bin Hisyam dan Zuhair bin Abi Umayyah bin Al-Mughirah, datang kepada Ummu Hani` untuk meminta perlindungan. Waktu itu datang pula ‘Ali bin Abi Thalib r.a menemui Ummu Hani` sambil mengatakan, “Demi Allah, aku akan membunuh dua orang tadi!” Ummu Hani` pun menutup pintu rumahnya dan bergegas menemui Rasulullah S.a.w.
Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sedang mandi, dilindungi oleh puterinya, Fatimah r.a dengan kain. Ummu Hani` pun mengucapkan salam, lalu Rasulullah s.a.w bertanya, “Siapa itu?” “Saya Ummu Hani`, puteri Abu Talib,” jawab Ummu Hani`. Rasulullah s.a.w pun menyambutnya, dengan berkata: “Marhaban, wahai Ummu Hani`!”
Ummu Hani` mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang kedatangan dua orang kerabat suaminya untuk meminta perlindungan kepadanya, manakala ‘Ali r.a pula ingin membunuh mereka. Maka Nabi s.a.w pun menjawab, “Aku melindungi orang yang ada dalam perlindunganmu dan memberi jaminan keamanan pada orang yang ada dalam jaminan keamananmu.”
Selesai mandi, Rasulullah s.a.w menunaikan solat lapan rakaat. Waktu itu adalah waktu dhuha.
Setelah Ummu Hani` berpisah dari suaminya selepas memeluk Islam, Rasulullah s.a.w datang untuk meminang Ummu Hani`.
Namun secara halus Ummu Hani` menolak, “Sesungguhnya aku ini seorang ibu dari anak-anak yang memerlukan perhatian yang memerlukan banyak waktu. Sedangkan aku mengetahui betapa besarnya hak kepada seorang suami. Aku khuatir tidak akan mampu untuk menunaikan hak-hak suami.”
Maka Rasulullah s.a.w membatalkan niatnya. Baginda bersabda: “Sebaik-baik wanita penunggang unta adalah wanita Quraisy, sangat penyayang terhadap anak-anaknya.”
Ummu Hani` r.a meriwayatkan hadis-hadis dari Rasulullah s.a.w yang hingga sekarang ini termaktub dalam Kutub al-Sittah. Dia pun menyebarkan ilmu sehingga akhir hayatnya. Beliau meninggal dunia pada masa khilafah (pemerintahan) saudaranya, ‘Ali bin Abi Thalib r.a, pada tahun ke-50 H, Ummu Hani` Al-Hasyimiyyah, semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala meredhainya…Wallahu A’alam.
(Sumber Rujukan: Al-Bidayah wan Nihayah, Al-Imam Ibnu Katsir (4/292-293); Al-Ishabah, Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-’Asqalani (7/317); Al-Isti’ab, Al-Imam Ibnu Abdil Barr (4/1963-1964); Ath-Thabaqatul Kubra, Al-Imam Ibnu Sa’d (8/47); Siyar A’lamin Nubala`, Al-Imam Adz-Dzahabi (2/311-314); Tahdzibul Kamal, Al-Mizzi (35/389-390))
[Sumber:http://arsipsiroh.wordpress.com/2007/02/25/ummu-hani-bintu-abi-thalib-al-hasyimiyyah-radhiallohu-anha/] Telah membuang akan “Bisa”nya oleh: Abu Fatih al-Mubaraki dan UAM.
Akhukum;
Abu Anas Madani, Malam Tarwiyah 1432H.
Dar Ummi Hani’, Makkah Al-Mukarramah.
Catatan Rehlah Haji 1432H:
Catatan Rehlah Haji Tahun 1431H – 2010M